Peperangan Badar menyaksikan tiga beranak di kalangan musyrikin memulakan cabaran bertarung dengan tentera Islam. Mereka ialah Syaibah bin Rabi’ah, Utbah bin Rabi’ah dan anaknya Al Walid bin Utbah.
Cabaran mereka disahut oleh tiga orang pendekar Ansar, Auf bin Al Harith, Muaz bin Al Harith dan Abdullah bin Rawwahah.
"Hebat . Namun kami tidak berhajat kepada kalian. Kami mahu bertarung dengan sepupu sepapat kami orang Makkah!" Ujar musyrikin angkuh.
Lantas Hamzah bin Abd Muttalib dan dua orang anak saudaranya, Ali bin Abi Talib dan Ubaidah bin Al Harith tampil ke hadapan.
Hamzah berjaya menewaskan Syaibah, Ali menumpaskan Al Walid. Manakala Ubaidah dan Utbah kedua-duanya cedera.
Melihatkan Ubaidah dicederakan, Hamzah dan Ali datang membantu dan membunuh Utbah. Ubaidah diusung keluar. Beliau kemudiannya mati syahid 4 atau 5 hari selepas peperangan Badar.
Syaibah dan Utbah adalah dua beradik bangsawan Makkah. Selain memiliki kekayaan di Makkah, mereka turut mengusahakan ladang buah-buahan di Taif.
Ketika dihalau dari Taif, Nabi saw pernah berhenti di kebun mereka dan berlakulah satu peristiwa bersejarah antara baginda dan budak pekerja kebun yang bernama ‘Adas.
Utbah lahir tiga tahun sebelum serangan tentera bergajah. Dengan itu beliau lebih tua 3 tahun dari Nabi Muhammad saw. Beliau adalah anak kepada Rabi’ah bin Abdu Syams bin Abdu Manaf Al Qurasyi Al Kannani.
Ibunya Hindun binti Al Muhajir bin Al Harith bin Zuhair. Utbah pernah 3 kali berkahwin secara berasingan, bukan poligami.
Pertama dengan Halah binti Kabir, lalu dikurniakan 3 orang anak, iaitu Hindun (isteri Abu Sufyan), Al Walid (kafir, terbunuh dalam perang Badar) dan Abu Huzaifah (antara sahabat yang awal memeluk Islam).
Setelah bercerai dengan Halah, Utbah berkahwin pula dengan Ummu Khannas lalu dikurniakan anak bernama Fatimah. Perkahwinan ketiga berlaku dengan Safiah As Silmiyyah dan dianugerah seorang lagi anak iaitu Aminah.
Utbah berpeluang belajar dengan guru-guru yang hebat . Beliau pandai membaca dan menulis serta turut menguasai ilmu nasab Arab dan sejarah.
Kebijaksanaannya mampu menundukkan pihak lawan serta menghentikan peperangan. Peperangan Fijar yang berlangsung selama 10 tahun (tahun 43 hingga 33 sebelum Hijrah) berjaya dihentikan antara lain disebabkan kebijaksanaan Utbah yang masih muda ketika itu. Hingga orang Arab menggelarkannya sebagai Al-Adl (العدل).
Keluasan ilmunya menyebabkan kaum Quraisy berkata, kalaulah Allah hendak mengutuskan seorang rasul, maka Utbah adalah calunnya yang layak pada pandangan mereka.
Utbah seorang yang petah berbicara. Pandai berbudi bahasa. Tutur katanya sangat lunak didengar. Justeru, walaupun tergolong di kalangan mereka yang menentang Islam, Utbah tidak menggunakan pendekatan kekerasan seperti rakan-rakannya yang lain.
Budi bahasanya jauh berbeza dengan An Nadhar bin Al Harith, Abu Jahal, Abu Lahab, Uqbah bin Abi Mu’it, Ubay bin Khalaf dan lainnya. Mereka kasar dan ganas. Utbah lebih berlemah-lembut dalam menghadapi dakwah Rasulullah saw.
Lantaran itu, ketika di ambang peperangan Badar, Baginda saw melemparkan pandangan ke arah musuh lantas berkata,
إن يكن في القوم خير فعلى صاحب الجمل الأحمر
“Jika ada secebis kebaikan pada kaum itu, ia hanya ada pada orang yang sedang menunggang unta merah itu (maksudnya Utbah).”
Antara kisah masyhur pertembungan Utbah dengan Rasulullah saw ialah peristiwa kaum Quraisy mengutusnya untuk memujuk baginda menghentikan dakwah Islamiyyah. Ia satu pendekatan berhemah yang dilakukan oleh Utbah yang tidak mampu dilakukan oleh pemimpin Quraisy yang lain.
Utbah bertemu Rasulullah saw lalu memulakan bicara dengan bahasa yang baik: “Wahai anak kepada saudaraku, sesungguhnya kamu adalah seorang yang mempunyai kedudukan yang dihormati di kalangan kami seperti yang kamu sendiri mengetahuinya.
Sesungguhnya kamu telah membawa suatu perkara yang besar kepada mereka. Sehingga telah memecah-belahkan perpaduan mereka, membodohkan pandangan mereka, mencela tuhan mereka dan agama mereka. Dengan ajaran yang kamu bawa itu juga bermakna kamu mengkafirkan datuk nenek mereka.
Oleh itu, sudilah kiranya engkau mendengar pandanganku. Fikirkanlah dahulu. Mudah-mudahan engkau dapat menerima sebahagian daripadanya.”
Menjadi kebiasaan Rasulullah saw, orang yang datang dengan bahasa budiman akan juga dilayan secara budiman. Baginda saw bersabda:
قل يا أبا الوليد أسمع
“Katakanlah wahai Abul Walid, aku sedia mendengarnya.”
Utbah pun mula menawarkan cadangan-cadangannya:
يا ابن أخى، إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالاً جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالاً. وإن كنت تريد به شرفًا سَوّدناك علينا، حتى لا نقطع أمرًا دونك. وإن كنت تريد به ملكًا ملكناك علينا. وإن كان الذي يأتيك رِئْيًا تراه لا تستطيع رده عن نفسك طلبنا لك أطباء، وبذلنا فيه أموالنا حتى نبرئك منه
“Wahai anak kepada saudaraku, jika sekiranya apa yang kamu bawa ini tujuannya kerana mahukan harta benda, kami bersedia mengumpulkan harta kami untuk diberikan kepadamu supaya kamu menjadi orang paling kaya di kalangan kami. “Jika kamu berkehendakkan pangkat, kami bersedia melantik kamu menjadi ketua kami, sehingga kami tidak menandingi atau membantah urusanmu. “Jika kamu mahu menjadi raja, kami akan tabal kamu menjadi raja kami. “Jika apa yang berlaku kepadamu ini suatu rasukan yang kamu tidak dapat menolaknya dari dirimu, kami bersedia mencarikan untukmu bomoh yang segala kosnya kami tanggung untuk menyembuhkanmu.”
Rasulullah saw, hanya diam dan mendengar sepenuhnya apa yang dikatakan oleh Utbah. Sehinggalah apabila Utbah tiada lagi apa yang hendak dikatakan, baginda lantas bersuara,
“Adakah telah selesai apa yang kamu hendak perkatakan wahai Abul Walid?”
Jawab Utbah, “Ya.”
Rasulullah saw lantas bersabda, “Maka dengarlah pula dariku.”
Jawab Utbah, “Silakan.”
Rasulullah saw lantas membaca firman Allah dari awal Surah Fussilat:
(فصلت): بسم الله الرحمن الرحيم حم * تَنْزِيلٌ مِنَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ * كِتَابٌ فُصِّلَتْ آَيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ * بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لاَ يَسْمَعُونَ * وَقَالُوا قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ مِمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ وَفِي آذَانِنَا وَقْرٌ وَمِنْ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ فَاعْمَلْ إِنَّنَا عَامِلُونَ * قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ وَوَيْلٌ لِلْمُشْرِكِينَ * الَّذِينَ لاَ يُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ بِالآَخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ
Ayat-ayat yang menceritakan kebenaran Al Quran yang datang dari Allah, namun ditolak mentah-mentah oleh orang-orang kafir. Utbah terpegun mendengar ayat-ayat Al Quran yang sungguh luar biasa. Tangannya ditongkat ke belakang. Lalu baginda menyambung bacaan ayat 8 sehingga 12 yang menceritakan kuasa Allah mencipta alam dengan penuh kehebatan.
إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ * قُلْ أَئِنَّكُمْ لَتَكْفُرُونَ بِالَّذِي خَلَقَ الأَرْضَ فِي يَوْمَيْنِ وَتَجْعَلُونَ لَهُ أَنْدَادًا ذَلِكَ رَبُّ الْعَالَمِينَ * وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ مِنْ فَوْقِهَا وَبَارَكَ فِيهَا وَقَدَّرَ فِيهَا أَقْوَاتَهَا فِي أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ سَوَاءً لِلسَّائِلِينَ * ثُمَّ اسْتَوَى إلى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلأَرْضِ اِئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ * فَقَضَاهُنَّ سَبْعَ سَمَوَاتٍ فِي يَوْمَيْنِ وَأَوْحَى فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَحِفْظًا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ
Rasulullah saw mengakhiri bacaan baginda dengan ayat ke 13 yang memberi amaran:
فَإِنْ أَعْرَضُوا فَقُلْ أَنْذَرْتُكُمْ صَاعِقَةً مِثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُود
Yang bermaksud: “Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): "Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!"
Utbah begitu terpegun dengan ayat-ayat yang dibacakan. Tiada sebarang perkataan keluar dari mulutnya.
Melihatkan demikian, Rasulullah saw bersabda: “Apakah kamu telah mendengar wahai Abul Walid? Maka itulah dia untukmu…”
Utbah bingkas bangun dan bergerak meninggalkan Rasulullah saw. Dia menuju ke arah rakan-rakannya dengan muka yang berubah dari kebiasaanya.
Rakan-rakannya merasa hairan lalu bertanya, “Apa yang telah berlaku wahai Abul Walid?”
Utbah menjawab: “Aku telah mendengar suatu kata-kata yang belum pernah aku mendengar sepertinya. Ia bukannya syair, bukannya jampi ahli sihir dan bukan jampi ahli nujum. Wahai kaum Quraisy dengarlah kataku ini, biarlah dia dengan kerjanya, jangan mengganggunya lagi.”
Terkejut dengan perubahan yang berlaku kepada Utbah menyebabkan rakan-rakannya berkata, “Demi Allah kamu juga terkena sihirnya wahai Abul Walid. Kamu sudah terpengaruh dengan kata-katanya yang menarik.”
Utbah sudah nampak kebenaran Islam. Namun dia lebih mengutamakan rakan-rakannya. Dia kekal dalam kekufuran.
Dua tahun selepas Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, Utbah turut serta bersama pasukan Quraisy untuk memerangi Rasulullah saw di Badar.
Sebelum berlaku pertempuran, sekali lagi Utbah berpeluang untuk tidak turut serta memerangi Islam. Apabila dia mendapat tahu bahawa pasukan dagang Abu Sufyan telah selamat pulang ke Makkah, maka Utbah mencadangkan supaya pasukan Quraisy pulang sahaja ke Makkah dan tidak meneruskan hasrat memerangi umat Islam.
Namun pendapatnya dibantah oleh Abu Jahal. Sepatutnya sebagai seorang yang budiman dan cerdik, dia tidak perlu tunduk kepada Abu Jahal yang bodoh. Namun Utbah memilih kebodohan.
Dia bukan sahaja akur kehendak Abu Jahal, bahkan menjadi pencabar pertama untuk bertarung dengan tentera Islam.
Allah telah memberinya peluang berkali-kali untuk dia mendapat kebaikan sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang yang budiman. Namun dia tetap memilih kekufuran dan kebinasaan. Akhirnya Utbah menjadi salah seorang dari tiga orang pertama yang mati dibunuh dalam peperangan Badar.
Kesimpulannya, budiman tanpa iman, akan binasa dan jahanam. Binasa di dunia, jahanam di akhirat
Ambil pengajaran daripada riwayat ini
ReplyDeleteAssalam moga ustaz n famili afiah sejhtera tksh perkongsian ilmu n sejarah Islam
ReplyDelete