foto hiasan ~ sumber |
Pasti kita telah mendengar kisah Rasulullah saw bertanya seorang sahabat yang baru berkahwin, “Jandakah atau anak dara?”
Apabila diberitahu janda, lantas baginda bersabda, “Kenapa tidak kahwini anak dara? Kamu boleh bergurau senda dengannya, dia juga boleh bergurau senda denganmu.”
Sebenarnya ada sesuatu yang menyebabkan sahabat ini mengahwini janda. Ceritanya begini..
Rasulullah saw seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat keadaan para sahabat. Sakit pening, susah senang, suka duka dan sebagainya sentiasa diambil tahu oleh baginda. Ada kalanya baginda menyiasat sendiri keadaan mereka.
Al Bukhari meriwayatkan bahawa Jabir bin Abdullah pernah menceritakan kisah bagaimana baginda cuba menyelidiki keadaan hidupnya.
Dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas peristiwa Fathu Makkah, Rasulullah saw memerhatikan Jabir sedang menunggang unta yang biasa digunakan untuk mengangkut air. Unta itu kelihatan sangat lesu, letih dan lemah untuk melangkah.
Baginda bertanya, “Apa kena dengan unta ini?”
Jabir menjawab, “Unta ini memang sudah semakin uzur.”
Baginda kemudiannya memperlahankan langkah untanya. Apabila sudah berada betul-betul di belakang unta Jabir, baginda cuba menolak dan mendorong unta itu. Unta itu pun mula berjalan laju. Ia memintas unta-unta yang lain.
Selepas beberapa ketika baginda bertemu lagi dengan Jabir lalu bertanya, “Bagaimana untamu sekarang?”
Jabir menjawab, “Ia semakin baik. Sebelum ini ia ada masalah pada kakinya.”
Rasulullah saw mengesyaki Jabir dalam kesusahan. Jika tidak masakan dia masih menggunakan khidmat untanya yang uzur itu. Namun baginda masih cuba menduga.
“Mahukah kamu menjualnya kepadaku?” tanya Rasulullah.
Jabir menjadi serba salah untuk menolak permintaan baginda. Apa tidaknya. Itulah satu-satunya unta yang dimilikinya. Dengan unta itulah dia mencari rezeki. Namun untuk menolak permintaan Rasulullah saw adalah suatu yang amat mustahil baginya.
Lalu dia menjawab, “Boleh saja wahai Rasulullah.”
Setelah dipersetujui harganya, maka berlakulah jual beli itu dengan penyerahan tangguh setelah sampai di Madinah kelak.
Dalam perjalanan itu juga Jabir memberitahu Baginda saw bahawa dia baru sahaja berkahwin. Inilah salah satu sifat mulia Jabir. Biarpun baru sahaja berkahwin, namun dia tetap menyahut seruan jihad.
Tujuannya memberitahu baru berkahwin adalah kerana hendak meminta izin daripada baginda saw untuk meninggalkan rombongan dan bergerak cepat menuju Madinah. Lalu Rasulullah saw mengizinkan.
Namun baginda sempat bertanya: “Kamu kahwini anak dara atau janda?”
Jabir menjawab, “Saya kahwini janda.” Dikatakan nama isterinya Suhailah binti Mu’awwiz Al Ausiyah.
Baginda lantas bersabda dengan hadis yang masyhur:
هَلَّا تَزَوَّجْتَ بكْرًا تُلَاعِبُهَا وتُلَاعِبُكَ
“Mengapa tidak kahwini anak dara. Kamu boleh bergurau senda dengannya. Dan dia juga boleh bergurau senda denganmu.”
Cadangan baginda itu ialah kerana ini adalah perkahwinan pertama bagi Jabir. Janda biasanya tidak semesra anak dara. Hatinya mungkin masih ada rasa kasih kepada suami pertama. Sedangkan anak dara, tiada pengalaman mempunyai suami. Inilah suaminya yang pertama yang akan diletakkan kasihnya sepenuh hati.
Ini bukan suatu HUKUM. Tetapi galakan bagi orang yang kali pertama berkahwin.
Namun Jabir menjelaskan, “Ayah saya telah meninggal dunia (syahid dalam peperangan Uhud). Oleh itu saya perlu memelihara adik-adik perempuan yang masih kecil. Sekiranya saya kahwini anak dara, mungkin adik-adik saya tidak akan hormatinya kerana faktor usia yang tidak jauh daripada usia mereka. Isteri saya juga tidak akan mampu berperanan sebagai pendidik kepada mereka.”
“Dengan sebab itulah saya kahwini janda yang sudah berpengalaman mengurus rumah tangga dan mampu menjaga serta mendidik adik-adik saya.”
Begitu jauh wawasan Jabir rupanya.
Daripada cerita ini, Rasulullah saw mendapat maklumat tambahan berkaitan kehidupan Jabir. Fahamlah baginda bahawa sememangnya Jabir seorang yang susah. Namun bertanggung jawab terhadap adik-adik yang dipeliharanya setelah kematian bapanya.
Setelah itu Jabir pun memecut untanya menuju ke Madinah, meninggalkan rombongan Rasulullah saw dan para sahabat yang lain.
Selepas beberapa hari di Madinah, Jabir mendapat khabar ketibaan Rasulullah saw. Beliau bergegas ke rumah Rasulullah saw pada awal pagi untuk menyerahkan untanya.
Baginda gembira melihat Jabir menunaikan janjinya lantas menyerahkan bayaran harga unta seperti yang dipersetujui dalam perjalanan beberapa hari sebelum itu.
Amat mengejutkan Jabir, apabila baginda mengambil unta yang sudah menjadi milik baginda lalu diserahkan kembali kepadanya sebagai hadiah. Duit harga unta sudah diperoleh, kini unta pula dikembalikan oleh baginda.
Tidak cukup dengan itu, Rasulullah saw turut menyerahkan sejumlah harta rampasan perang yang sememangnya Jabir berhak kerana turut serta dalam peperangan tersebut.
Wallahu a'lam.
Assalam moga ustaz n famili sihat..masyaAllah sifat baginda rasulullah amat mulia pengasih n prihatin
ReplyDeleteSubahanallah..cerita tauladan dan banyak hikmah
ReplyDeletecerita ini sangat menarik dan mengujakan ...
ReplyDeleteterima kasih kerana sudi berkongsi
Kisah yang menarik dan menakjubkan.
ReplyDelete