Assalamualaikum warahmatullah, salam Jumaat yang diberkati. Moga teman-teman beroleh kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan kehidupan. Puji dan syukur kepada Allah SWT yang tidak pernah berkurang nikmat dan belas kasihan kepada para hamba-Nya.
Alhamdulillah, keputusan ujian swab saya yang pertama tempohari telah pun diperolehi. Berkat doa sahabat-sahabat, keputusannya negatif. Insya-Allah, minggu hadapan ujian swab kedua pula akan dilakukan. Semoga keputusannya turut sama. Amiin.
Menjalani hari-hari tempoh kuarantin, ada juga masa-masa yang membosankan, apatah lagi terkurung seorang diri di dalam bilik. Biarpun sudah ada pengalaman dikenakan perintah kuarantin yang pertama dulu, namun bagi saya yang sudah biasa bergerak dalam gerakerja kemanusiaan bersama Yayasan Amal Malaysia, terkurung begini tanpa dapat keluar menyertai sahabat-sahabat yang lain menghantar bantuan terasa juga kekecewaannya.
Namun, saya pasrah. Arahan mengasingkan diri oleh pihak berwajib bukanlah suatu hukuman yang dikenakan, tetapi untuk kebaikan semua orang. Tentunya saya menyokong pengasingan diri ini dalam membantu usaha pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik ini. Tak apalah, cuma 14 hari. Pejam celik, pejam celik, cukup dua minggu. Jangan sambung lagi sudahlah.
Seperti biasa, sekali lagi bilik bacaan menjadi lokasi uzlah. Telefon bimbit, komputer riba dan buku-buku menjadi teman pendamping yang setia dalam mengisi masa-masa yang dilalui. Bayangkan jika semua itu tiada, alangkah tambah bosan.
Sekarang ini saya sedang menghabiskan bacaan buku berjudul 'Hang Tuah di Lautan Ceritera'. Sebuah buku bergenre kajian sejarah. Sebuah buku yang amat menarik pada hemat saya. Banyak lagi buku yang telah dibeli tetapi belum sempat dibelek dan dibaca. Insya-Allah, moga asbab kuarantin ini saya dapat menghabiskan lebih banyak lagi buku-buku yang sederetan di dalam rak. Doakan.
Wkmsalam
ReplyDeleteSemoga dipermudahkan urusan kuarantin yang dilalui
Asalamualaikum saudaraku Abu Ikhwan..semoga sentiasa sihat ya. Allah merahmati kita..perbanyakkan ibadah..InshaAllah..mudah urusan
ReplyDeleteAsalam...apa cerita lagi, rindu nak baca lagi saudaraku Ikwan..moga sihat ya
ReplyDeletehttps://madey09.blogspot.com/2021/09/buat-sendiri-suci-murni-kuih-kacang.html
ReplyDeletesalam terjah blog teman