foto hiasan ~ sumber |
Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik ra:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi saw melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing. Hadith riwayat al-Bukhari: (5233)
Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478)
Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Surah al-Hajj: 28)
Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa hal ini hendaklah terlebih dahulu melihat sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban.
Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:
فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا
Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda saw memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya. Hadith riwayat Muslim: (1218)
Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya:
1. Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
2. Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.
3. Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)
Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)
Oleh itu, al-Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, mengatakan bahawa:
وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ : أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ
Maksudnya: Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826)
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya.
Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.
Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat agama-Nya dengan sebaiknya. Amin. WaAllahu a’lam.
(Rujukan: Irsyad Fatawa)
tahun ni nak buat korban, banyak SOP yang kena patuhi
ReplyDeleteAssalam moga ustaz n famili tiasa sht sjhtra..alhamdulillah ada rezki dpt beribadah korban
ReplyDelete