Friday, 25 September 2020

SYAITAN MAKAN BERSAMA TUAN RUMAH

SOALAN: 

Adakah syaitan masuk dalam rumah jika tuan rumah makan tidak baca bismillah. Saya ingin tahu adakah hanya baca bismillah saja? Kalau tidak baca adakah syaitan masuk sahaja dalam rumah atau dia makan sekali? 

JAWAPAN: 

Kita lihat dulu hadith yang menjadi sandaran persoalan ini. 

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah r.a. katanya Nabi saw bersabda:

 إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قالَ الشَّيْطَانُ: لا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وإذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ المَبِيتَ، وإذَا لَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قالَ: أَدْرَكْتُمُ المَبِيتَ وَالْعَشَاءَ 

Ertinya: “Apabila masuk seseorang ke dalam rumahnya lalu dia menyebut nama Allah pada ketika masuknya dan pada ketika makannya nescaya berkatalah syaitan : Tiada tempat tidur bagi kita malam ini dan tiada makan malam. Dan apabila seorang itu masuk ke dalam rumah tanpa menyebut nama Allah maka berkatalah syaitan : Kamu semua sudah ada tempat bermalam. Dan apabila seorang itu tidak menyebut nama Allah ketika dia makan maka berkata pula syaitan : Kamu sudah ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadith Riwayat Muslim) 

Maka hadith ini menjadi dalil bahawa syaitan akan menunggu apabila seorang kamu hendak masuk ke dalam rumahnya setiap kali dia pulang kerana syaitan hendak masuk ke dalam rumahnya. Tetapi apabila dia menyebut nama Allah seperti Bismillah ketika masuk maka syaitan tidak akan dapat masuk. 

Begitu juga syaitan akan menunggu untuk makan bersama tuan rumah apabila dihidangkan makanan tetapi apabila tuan rumah menyebut nama Allah ketika makan maka syaitan tidak dapat makan bersama. 

Ada pun orang yang masuk ke rumahnya tanpa menyebut nama Allah maka syaitan yang menunggu itu akan memanggil syaitan-syaitan yang lain supaya masuk bersama ke dalam rumahnya dan apabila tuan rumah tidak menyebut nama Allah ketika makan maka syaitan akan memanggil syaitan-syaitan yang lain untuk makan beramai-ramai bersama tuan rumah dan makanan yang dimakan bersama syaitan itu adalah tidak berkat. 

Ada pun kaifiat kelakuan makan syaitan itu adalah sesuai mengikut tabiat kejadiannya. 

Dan apabila masuk syaitan ke dalam rumah seseorang maka dihasutnya isi rumah itu kepada melakukan dosa dan perkara sia-sia. 

Dan yang afdhal ketika hendak masuk ke dalam rumah ialah membaca doa yang diajar oleh Rasulullah saw iaitu :

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Malik Al-As’ary r.a. katanya Rasulullah saw telah bersabda :

 إِذَا وَلَجَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا، ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ 

Artinya : “Apabila masuk seseorang ke dalam rumahnya maka bacalah : Ya Allah aku memohon kepada Mu akan masuk yang baik dan keluar yang baik. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan atas Allah Tuhan kami yang kami berserah. Kemudian hendaklah dia memberi salam atas keluarganya di dalam rumah.” 

Kesimpulan 

Disunatkan ketika hendak masuk seorang ke dalam rumahnya membaca Bismillah sekurang-kurangnya kemudian memberi salam dan apabila hendak makan membaca juga sekurangnya akan Bismillah. 

Rumah yang tidak disebut nama Allah ketika masuk akan di masuki sama oleh syaitan. 

Hidangan yang tuan rumah tidak menyebut nama Allah ketika memakannya akan turut dimakan oleh syaitan. 

Wallahua’lam

3 comments:

  1. Besar fadhilat membaca Bismillah ni.Rugi tak buat perkara simple yg mbawa byk kebaikan.

    ReplyDelete
  2. Assalam moga ustaz n famili sihat sejahtera...insyaaAllah amalan terbaik

    ReplyDelete