"Belewat metlah.. Aok memai Tembsor geganey. Pepagi kala tak ngatong de kedai Icong carilah de kedai Yan, sikit hari lagi de Le Cok Cafe Man simpang kuburlah lepaknyeh.." (sumber: Aku Anak Pahang)
Ungkapan di atas adalah salah satu loghat di negeri Pahang. Pelikkah bunyinya? Sekiranya anda orang Pahang, loghat ini tidak pelik mana pun, bahkan sangat unik. Sebenarnya ia adalah loghat orang Tanjung Besar Benta, Kuala Lipis Pahang. Agaknya sahabat-sahabat yang membacanya dapatkah memahami apakah maksudnya? Hmm, orang Pahang mungkin sedikit sebanyak faham akan maksudnya.
Maksudnya, "Benar sangatlah (Belewat metlah maksud lain: melebihi) awak sememang (orang) Tanjung Besar (semata-mata) (geganey). Pagi hari lagi kalau tidak berehat dan berborak (ngatong) di kedai Icong (nama orang) cuba cari di kedai Yan, sekejap lagi di Le Chok (nama orang) Cafe Man simpang kubur lepaknya.." (sumber: Aku Anak Pahang)
Sedikit maklumat mengenai Tanjung Besar
Kampung Tanjung Besar berada di dalam Mukim Tanjung Besar dan di bawah Dun Benta dan mempunyai seribu lebih penduduk.
Kawasan kampung ini terletak kira-kira 45 km dari Bandar Kuala Lipis dan hanya 14 km dari Pekan Benta.
Terdapat empat buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu JKKK Tanjung Besar Hulu, Tanjung Besar Tengah, Bukit Belau dan Rengai Kadok.
Mengikut cerita mulut ke mulut orang terdahulu, Kampung Tanjung Besar dibuka sekitar tahun 1700-an bermula dari Perlong yang terletak di Kampung Kemahang Hilir. Pembukaan kampung itu didakwa diketuai oleh Tok Perlong @ Tok Mohamad @ Tok Pandak yang berasal dari keturunan Tun Ibrahim iaitu orang terawal membuka Lipis dan pengikut-pengikutnya.
Tok Perlong bersama para pengikutnya mudik dari Kampung Pagar dengan menaiki sampan melalui Sungai Lipis hingga tiba di Kuala Rengai. Menurut cerita lagi, rombongan tersebut kemudiannya singgah di Perlong atau kini lebih dikenali sebagai Kuala Kemahang, Mukim Tanjung Besar.
Tok Perlong ini mempunyai 16 orang anak dan salah seorang daripadanya ialah Tok Maulud yang lebih menonjol serta mempunyai tenaga yang kuat. Tok Maulud ini kemudian membawa ahli keluarganya serta beberapa pengikut mudik ke Sungai Rengai sebelum menjumpai sebuah kawasan tanjung. Rombongan tersebut membersihkan kawasan tanjung berkenaan dan bercadang untuk membuat penempatan baharu.
Mengikut perkiraan Tok Maulud serta pengikutnya, terdapat syarat-syarat yang perlu diambil kira jika nak buka sebuah kampung serta tanah paya iaitu keadaan tanah dan tumbuh-tumbuhan dari sebesar-besar pokok tualang sehinggalah sekecil-kecil tumbuhan renek. Diceritakan, pada suatu malam rombongan berkenaan menjumpai seekor ular tedung yang sangat besar hingga menimbulkan ketakutan dalam diri mereka. Walaupun ular tedung memiliki saiz yang besar tapi ia tak menyerang ataupun ganggu penduduk dan mereka sifatkan kejadian tersebut sebagai amat luar biasa.
Selepas kejadian itu rombongan tersebut bercadang untuk menamakan kawasan penempatan terbabit sebagai Tedung Besar berikutan penempatan didiami masih tidak bernama.Tetapi lama-kelamaan mereka memikirkan nama Tedung Besar tak sesuai sebab ia melambangkan ganas, jahat dan berbisa. Jadi mereka bersepakat untuk menukar kepada Tanjung Besar. (sumber: Sinar Harian Pahang)
As Salam, dah lama tak singgah sini...harap2 tuan rumah sehat2 saja.
ReplyDelete