Sebelum Allah mengutuskan Nabi Muhammad saw, manusia seluruhnya tenggelam dalam kegelapan jahiliyyah, kezaliman menjadi satu perkara biasa, kehidupan tidak tenteram manakala hawa nafsu dijadikan panduan. Mereka benar-benar berada di dalam kesesatan.
Setelah Rasulullah saw diutuskan dengan membawa risalah tauhid dan cahaya iman, sebahagian mereka menerima dan sebahagian lagi menolak dan menentang. Mereka yang menerima cahaya iman itu sedikit demi sedikit berubah perangainya ke arah yang lebih baik. Kehidupan mereka mula bertukar. Ini semua berlaku kesan dari iman yang tumbuh di dalam hatinya. Iman yang bertunjangkan ke kalimah tauhid mula menjalar ke seluruh tubuhnya sekaligus membunuh kuman-kuman jahiliyyah yang telah lama bersarang, membunuh sifat-sifat keji dan digantikan dengan sifat-sifat mulia.
Jaga iman
Tauhid dan iman yang tersemat di hati seseorang mukmin hendaklah dijaga sebaik mungkin. Apabila ia dipupuk dan dibaja, pasti akan menggerakkan pemiliknya supaya melakukan segala tuntutan syahadah yang telah dilafaznya. Sekaligus ia merubah seseorang itu daripada perhambaan kepada sesama manusia kepada hanya menyembah Allah Yang Maha Esa. Ia berubah daripada menghayati dan mengagungkan ajaran-ajaran jahiliyyah dan taghut kepada menghayati ajaran-ajaran Islam. Bahkan menjadikan seseorang itu melihat Islam sebagai sesuatu yang amat bernilai dan berharga.
Sejarah menukilkan bagaimana jawapan Rabi`e bin Amir kepada Rustam, ketua angkatan perang kerajaan Parsi semasa disoal jawab sebelum berlaku peperangan Qadisiyah. Dalam peperangan itu beliau menjawab: “Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki daripada menyembah manusia kepada menyembah Allah Yang Esa, dan untuk mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia kepada kelapangan dan keluasan akhirat dan dari kezaliman agama-agama (selain agama Islam)kepada keadilan Islam.”
Mari kita lihat realiti masyarakat Islam hari ini. Boleh dikatakan ramai yang masih kabur dan tidak memahami tentang tuntutan tauhid yang sebenar. Memang, tidak dinafikan ramai umat Islam tidak mengingkari tentang adanya Allah dan tentang Tauhid Rububiyyah. Mereka juga tidak menolak segala sifat-sifat Allah yang sempurna, malah mereka terkehadapan dalam membelanya. Tetapi dari sudut yang lain, kadang-kadang mereka mengingkari tentang kehakiman Allah SWT dan hak kuasa perundangan-Nya, sehingga menolak ke tepi undang-undang dan peraturan Allah. Kemudian mereka gantikan dengan peraturan dan undang-undang ciptaan mereka sendiri. Inilah yang berlaku hari ini.
Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi berkata: “Sesiapa yang melakukan syiar Islam dengan bersembahyang, berpuasa serta menunaikan ibadat haji dan umrah, tetapi masih menerima dan mencari hukum selain daripada hukum Islam dalam urusan masyarakat dan negara, sesungguhnya ia telah menyembah tuhan selain Allah, dan ia telah memberi kepada yang selain daripada Allah hak yang khusus bagi Allah sahaja.”
Oleh itu, jagalah iman dan tauhid kepada Allah, sesungguhnya ia adalah satu perkara yang amat penting dalam agama kita.
No comments:
Post a Comment