Benar-benar Ramadhan itu bulan yang dipenuhi dengan kebaikan. Di dalamnya terkandung rahmat yang melimpah-ruah. Puasa yang diwajibkan mengandungi falsafah ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT, namun hikmahnya yang sebenar hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Alhamdulillah.
Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan Ramadhan sebagai bulan yang dipermudahkan untuk beribadah. Manusia berlumba-lumba merebut peluang melakukan kebajikan yang diganjari pahala sehingga berlipat kali ganda nilainya. Di mana semua amalan sunat dibalas dengan pahala ibadah wajib manakala amalan wajib pula digandakan sehingga tujuh puluh kali kelebihannya.
Yang jarang ke masjid mampu datang ke masjid untuk bersolat tarawih sekalipun lenguh lutut dan peha, waktu subuh juga penuh masjid yang kebiasaannya banyak tiang dari jemaah. Manakala al-Quran yang berhabuk jarang dibuka mampu dikhatamkan berkali-kali. Semuanya kerana tidak mahu melepas peluang meraih ganjarannya.
Mungkin jika tanpa Ramadhan, bilakah masanya kita dapat memperbaiki diri dan menambah amal ibadat setelah sebelas bulan kita disibukkan serta dilalaikan dengan berbagai-bagai urusan yang tidak pernah selesai. Itulah nikmat Ramadhan tidak pernah kecundang menzahirkan dirinya saban tahun, tetapi hanya kita yang sering alpa, lalai dan membiarkannya pergi begitu saja.
Hamba Allah bukan hamba Ramadhan
Kita beramal kerana yakin dan percaya dengan ganjarannya. Tetapi bagaimanakah tanda-tanda amal tersebut diterima? Jika selepas Ramadhan kita mampu meneruskan momentum ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT sebagaimana sebulan Ramadhan, itulah sebesar-besar nikmat dan kurniaan-Nya yang wajib disyukuri.
Namun, jika selepas Ramadhan kita mula culas untuk hadir ke masjid, al-Quran kita tinggikan kembali dengan meletakkannya di tempat yang tinggi sehingga payah untuk dicapai, ibadah kita umpama ibadah bermusim, maka jadilah kita hamba kepada Ramadhan bukan hamba Allah SWT. Jika demikian, apalah makna Ramadhan yang datang berkunjung, sedangkan hebat dan gahnya Ramadhan, ia disebut madrasah tarbiyyah yang mampu menjana dan membentuk modal insan dengan akhlaq mulia dan berjiwa besar.
Jangan diteruskan tradisi beribadat semaksima pada Ramadhan dan berakhir apabila berakhirnya Ramadhan. Jangan biarkan ia tergantung begitu sahaja. Jadikan ia proses berterusan dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Justeru, muhasabahlah diri dengan memohon keampunan-Nya.
Meraikan fitrah
Ramadhan berlalu, tibalah masa kita meraikan pula aidilfitri yang datang berkunjung. Kita raikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Kita bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada-Nya. Kita lafazkannya setiap tahun agar jiwa kita sentiasa merasa bangga dan mulia dengan Islam yang tercinta ini.
“...dan hendaklah kamu mengagungkan Allah SWT atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185)
Namun apakah sebenarnya yang kita raikan? Adakah meraikan berakhirnya puasa dan kita bebas melakukan apa sahaja yang dilarang ketika berpuasa?
Sesungguhnya kita meraikan hakikat kita sebagai Muslim. Sesuai dengan makna aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah. Sesungguhnya kita kembali kepada fitrah yang suci dan murni.
Dengan Islam kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia dan harta. Dengan Islam kita mampu menjaga diri dari perbuatan dosa dan noda. Dengan Islam kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada manusia. Dengan Islam kita suka untuk menjaga ukhuwah dan persaudaraan sesama manusia. Dengan Islam kita terselamat dari dipesongkan dari jalan kebenaran-Nya. Dengan Islam kita dipandang mulia, sebagaimana ungkapan Saiyidina Umar ra.:
“Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, bilamana kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kita akan dihina oleh Allah”.
Oleh itu, jangan dicemari fitrah ini dengan kelalaian dan kecuaian kepada perintah Allah SWT. Sebaliknya, isilah ia dengan rasa taqwa sebagaimana yang dijanjikan natijah daripada puasa. Renungilah kisah kejatuhan Kota Baghdad di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Imam Ibnu Katsir menyebut di dalam al-Bidayah wa an-Nihayah bagaimana pada tahun itu umat Islam di Kota Baghdad terlupa untuk menunaikan solat Aidilfitri lalu mengqada`kannya selepas Maghrib. Dengan kecuaian mereka terhadap solat, amar ma`ruf nahi mungkar serta jihad, maka disaat itulah Allah SWT menimpakan kebinasaan walaupun pada masa itu Kota Baghdad adalah qiblat tamadun dan ilmu pengetahuan.
Marilah kita semua mengambil kisah ini sebagai pengajaran.
Akhirnya, jadikanlah madrasah Ramadhan ini dan bulan seterusnya adalah pelaburan untuk akhirat dan amat rugi sekali kepada mereka yang masih leka dibuai mimpi serta dilalaikan dengan aktiviti keduniaan yang tidak pernah habis.
“Semoga Allah SWT menerima amalan kami dan amalan kalian semua.” (Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani)
No comments:
Post a Comment