Saturday 3 September 2011

Bagaimana lupus akhbar ada catatan ayat Quran, nama Allah?

Soalan:

Sebagai makluman, akhbar-akhbar Harakah lama dan baru, begitu banyak dalam stor simpanan saya. Yang pasti di dalamnya ada catatan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah, serta nama-nama Rasul dalam setiap keluaran Harakah. Saya musykil bagaimana tindakan yang sesuai untuk melupuskan akhbar tersebut, takut termasuk dalam golongan yang menghina ayat-ayat Allah. Bagi kebiasaan masyarakat, dijual sahaja sebagai akhbar lama. Tidakkah itu termasuk dalam menghina ayat-ayat al-Quran. Mohon nasihat, terima kasih.

Jawapan:

PADA asasnya syiar-syiar Allah, hendaklah dihormati dan disanjungi sebagai tanda ketaqwaan kepada Allah, seperti mana firman Allah (mafhumnya): "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin." (al-Hajj: 32)

Syiar-syiar Allah maksudnya lambang-lambang agama Allah (Islam). Ia berkait rapat dengan kehidupan beragama, yang disanjung oleh umatnya sebagai syiar yang mesti dihormati. Nama-nama Allah, ayat-ayat al-Quranul karim, hadis-hadis Nabi yang sahih, tempat-tempat ibadat seperti masjid dan sebagainya, adalah antara syiar Allah yang mesti dihormati.

Oleh itu jika dipersendakan syiar-syiar ini, akan termasuk dalam golongan yang mempersendakan agama Allah. Seperti orang yang memijak atau menghinanya, atau sebagainya.

Mempersendakan syiar-syiar Allah adalah dosa besar yang boleh membawa kepada kekufuran. Firman Allah (mafhumnya): "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan-ejekan agama Islam itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main." Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?

"Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah." (at-Taubah: 65-66)

Oleh kerana itu apa sahaja yang berkaitan dengan syiar agama Allah, adalah suci mesti disanjung dan dihormati.

Adapun yang terdapat dalam akhbar-akhbar Harakah, tidaklah termasuk dalam perkara seperti yang disebut di atas, jika ada terjemahan al-Quran atau terjemahan hadis sahaja, jika tidak ada ayat al-Quran atau hadis yang ditulis sepenuhnya.

Terjemahan itu dan sebutan-sebutan kalimah Allah dan Rasul pada Harakah memanglah wujud. Oleh itu akhbar Harakah itu hanyalah akhbar dan tuntutan syarak kepadanya tidaklah sampai sehingga menghormati dan menyanjunginya seperti yang disuruh kita menyanjungi syiar-syiar agama Allah. Yang nyata, Harakah adalah sebuah akhbar.

Akan tetapi oleh kerana pada Harakah tercatat nama Allah yang Agung dan nama Muhammad, sebagai akhir zaman yang juga agung, maka Harakah wajar dipelihara dan jangan sesekal dipijak atau digunakan untuk membungkus barang-barang haram. Jangan digunakan untuk membungkus sesuatu yang hina seperti memasukkannya ke dalam tandas dan sebagainya. Ia wajar dijaga.

Untuk mengelak daripada berlakunya kejadian-kejadian seperti di atas, maka elok sangat, ia dilupuskan sahaja, seperti membakarnya. Ia dibenarkan. Hatta, al-Quran lama yang tidak digunakan atau hampir musnah dan tidak boleh digunakan, maka ia hendaklah dilupuskan dengan pelbagai cara.

Antaranya ialah dengan membakarnya. Ada juga ulama yang melarang ia dibakar, disarankan ia ditanam, atau diikat dengan benda berat dan dicampakkan ke dalam laut atau sebagainya.

Bertindaklah dengan matang dan sesuai untuk melupuskan akhbar-akhbar tersebut. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

No comments:

Post a Comment