Sahabat Sejati

Thursday 1 February 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (34)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (33) 

Jibril Membawa Wahyu Kali Kedua 

Ibnu Hajar berkata, "Hal itu (terputusnya wahyu selama beberapa hari) dimaksudkan agar gementar yang dialami oleh Rasulullah saw pada peristiwa pertama hilang dan baginda boleh mempersiapkan diri untuk menerima wahyu yang berikutnya."(1)

Perlahan-lahan rasa gemuruh baginda berkurangan, tanda-tanda hakikat mula kelihatan nyata, mula disedarinya dengan pengetahuan yang yakin bahawa baginda telah diangkat menjadi nabi oleh Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi dan bahawa apa yang dibawa oleh "duta wahyu" (Jibril) adalah berita dari langit.

Baginda juga mula menyedari bahawa persiapan diri untuk menyambut kedatangan wahyu adalah supaya baginda dapat teguh dan kukuh dalam memikul amanah. Selepas itu, barulah Jibril datang membawa wahyu untuk kali keduanya.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda tentang kekosongan wahyu, "Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar satu suara dari langit. Kudongakkan kepalaku memandang ke arah langit. Kudapati malaikat yang sebelum itu turun kepadaku di Gua Hira`, sedang duduk di atas kerusi yang terletak di antara langit dan bumi. Aku tersungkur ke tanah.

Selepas itu  aku pulang menemui keluargaku. Aku berkata kepada mereka, "Selimutilah aku. Selimutilah aku." Maka mereka menyelimutiku. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat 1 hingga 5 daripada surah al-Muddaththir. Semenjak itu, wahyu selalu datang berturut-turut kepadaku."(2) 

RUJUKAN: 

(1) Ibnu Hajar al-Asqalani, Fath al-Bary, jil. i, hal. 27

(2) Sahih al-Bukhari, kitab al-Tafsir, bab Wa al-Rujza Fahjur, jil. ii, hal. 733

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

0 comments:

Post a Comment