Sahabat Sejati

Sunday 25 February 2018

Coretan pendek..

Alhamdulillah, dalam sibuk-sibuk ada juga waktu senggang. Dapatlah juga saya curi-curi sedikit masa untuk membelek dan mencoret di dalam pondok kecil abuikhwan ini. Hampir seminggu saya tidak berkunjung ke sini dan juga ke blog sahabat-sahabat. Tentu banyak coretan menarik sahabat-sahabat yang saya terlepas membacanya. Insya-Allah, akan saya qadha membacanya nanti. 

Mungkin sahabat sekelian sedia maklum, minggu lepas kita semua dikejutkan dengan berita yang menyayat hati, iaitu tragedi serangan udara tentera Russia ke atas wilayah Ghutoh Syria. Serangan tanpa henti selama tiga hari itu mengakibatkan kemusnahan teruk mengorbankan orang awam yang kebanyakannya kanak-kanak. Ia adalah episod ulangan serangan yang berlaku seperti sebelum ini.

Justeru, ekoran yang berlaku, saya bersama NGO Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) bingkas menggerakkan kempen sumbangan dana untuk mangsa yang terlibat khusus di Ghutoh. Sementelah lagi Ketua Rabithah Ulama Syam iaitu Prof Dr Syeikh Usamah ar-Rifaie yang berkunjung ke Malaysia (Kuantan) awal bulan lalu juga merayu bantuan untuk rakyat Syria yang ditimpa musibah akibat perang yang tiada tanda-tanda kesudahan. 

Mohon sahabat-sahabat doakan semoga Allah SWT menyelamatkan saudara-saudara kita di Syria khususnya di wilayah Ghutoh, serta doakan juga agar kami YAMCP dipermudahkan dalam urusan membantu umat ini sekadar mana termampu. Allahu al-Musta`an!    


Sunday 18 February 2018

Hukum Memakan Tupai


Ulama berselisih pendapat tentang hukum makan tupai. Jumhur (mayoritas) ulama berpendapat bahawa makan tupai hukumnya halal. Sementara sebahagian ulama berpendapat haramnya tupai, karena haiwan ini mengigit dengan taringnya.

Pendapat kedua ini merupakan pendapat Mazhab Hanafi dan sebahagian ulama Syafi’iyah dan Hanabilah. Sementara Malikiyah berpendapat makruh. Pendapat yang lebih kuat adalah boleh, sebagaimana yang ditegaskan Imam An-Nawawi dalam al-Majmu’, Ibnu Qudamah dalam al-Mughni, Khalil dalam at-Taudhih, dan Al-Mardawi dalam al-Inshaf.

Dari Abu Tsa’labah bahawa Nabi saw melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring (Hadis riwayat Muslim). Perlu diketahui bahawa hadith ini mutawatir sebagaimana ditegaskan Imam Ibnu Abdil Barr dalam At-Tamhid (1/125) dan Ibnu Qoyyim Al-Jauziyah dalam I’lamul Muwaqqi’in (2/118-119) Maksudnya “dziinaab” yakni binatang bertaring atau berkuku tajam untuk melawan manusia seperti serigala, singa, anjing, harimau, beruang, kera dan sejenisnya. Semua itu haram dimakan”. (Syarh Sunnah (11/234) oleh Imam Al-Baghawi.

Dalilnya adalah prinsip dasar hukum syariah Islam, bahawa “al-ashlu fi al-asy-yaa` al-ibaahah maa lam yarid dalil al-tahriim” (Hukum asal benda adalah mubah selama tidak ada dalil yang mengharamkan). Imam Asy-Syaukani menjelaskan kaedah tersebut pada bahagian akhir bab tentang makanan, buruan dan sembelihan dengan mengatakan,”Berbagai ayat dan hadis yang disebut pada awal bab ini menunjukkan bahawa hukum asal benda adalah halal (al-ashlu al-hill). 

Sebilangan besar ulama’ menghukum dan memfatwakan tupai sebagai binatang yang halal dimakan. Oleh itu, memakan daging tupai itu adalah halal dan tidak memudaratkan kesihatan. Lebih-lebih lagi, tupai bukanlah binatang buas yang bertaring mahupun binatang yang hidup daripada dua alam seperti katak dan buaya. 

Dalam soal jawab ini, jelaslah bahawa tiada dalil yang mengharamkannya samada secara langsung ataupun tidak. Oleh itu, hukumnya kembali kepada hukum mubah, yakni harus untuk dimakan. Wallahu a`lam.

Sumber: Tranungkite

Friday 16 February 2018

Meraikan acara keluarga, semestinya


Cuti sekolah sudah pun bermula, sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina. Anak-anak saya yang menginap di asrama, masing-masing telah pun berada di rumah. Acik Adawiyah pulang semalam dari asramanya di SMKAA. Manakala angah Irsalina balik tengahari tadi. Saya meminta Ummu Ikhwan menjemput kedua-duanya di sekolah hari ini, berikutan kesibukan saya dengan beberapa perkara. 

Seperti biasa Ummu Ikhwan tidak pernah menghampakan. Bersedia mengambil alih tugas saya tanpa berbasa-basi. Justeru, memandulah Ummu Ikhwan ke Alor Akar pada hari semalamnya dan hari ini pula ke Kemaman dengan menempuh kesesakan jalanraya bersabit cuti perayaan ini. Apa pun, syukur pada-Mu Tuhan yang memudahkan urusan, serta terima kasih yang tidak terhingga kepada Ummu Ikhwan atas pertolongan yang diberikan.

Peluang berkumpul bersama malam ini kami penuhi dengan meraikan hari ulang tahun kelahiran Ummu Ikhwan dan angah Irsalina. Kendati tarikh keduanya sudah pun berlalu, tetapi tidak kisahlah. Yang penting ada sambutan sebagai satu penghargaan kepada mereka berdua. Hanya sambutan kecil dengan sebiji kek dan sedikit jamuan kecil. Asalkan semua merasa gembira dihargai seadanya.

Teringat sewaktu kecil dahulu, ayahanda dan bonda saya tidak pernah menyambut hari lahir saya. Setiap tahun tarikh bersejarah tersebut berlalu begitu sahaja. Ayahanda dan bonda juga tidak pernah hadir ke sekolah saya untuk meraikan apa-apa acara yang perlu untuk saya. Apa yang berlaku, sesekali abang atau kakak saya hadir bagi menggantikan mereka berdua.  Demikianlah seingat saya.

Adakah saya menyalahkan mereka? Berkecil hati dengan mereka? Memberontak? Tidak! Tidak sekali-kali. Saya tidak pernah menyalahkan ayahanda dan bonda. Walaupun ketika itu seringkali ekor mata saya melihat rakan-rakan dikunjungi dan diraikan ibu bapa masing-masing. Namun, saya amat memahami keadaan ketika itu. Ayahanda dan bonda cuma berkerja kampung, kesibukan dan kepayahan membanting tulang menyara anak-anak, jadi manalah kesempatan untuk meraikan hari lahir saya, malahan apa-apa acara yang perlu. Kesusahan mereka,  perit-jerih mereka menyediakan pelajaran untuk saya agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain lebih besar ertinya.     

Namun untuk anak-anak dan keluarga, saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak terlepas untuk meraikan apa sahaja hari mereka sekadar mana termampu. Hari ulang tahun kelahiran mereka, acara mereka di sekolah dan sebagainya, sedaya upaya saya cuba penuhi. Pernah beberapa kali saya 'merempit' bermotosikal (kereta masuk wad) dari Kuantan ke Jerantut sewaktu anak sulung belajar di sana, semata-mata meraikan acara sekolahnya. Sama juga merempit ke Kemaman. Bahkan bukan sekali, tetapi berkali-kali. 

Mengapa saya lakukan ini? Ianya semata-mata meraikan hari anak-anak, agar mereka sentiasa merasa dihargai. Seterusnya satu hari nanti mereka mengenang akan apa yang dilakukan oleh abi atau ummi kepada mereka. Dihargai, agar turut menghargai..    

Tuesday 13 February 2018

Selamat hari lahir Ummu Ikhwan


Terima kasih sayang atas segala pengorbanan, maafkan diri ini atas setiap kekurangan. Moga dirimu sentiasa dipermudahkan dalam urusan dunia dan akhirat.

Sungguh Allah SWT menyayangi para wanita. Mereka adalah penghias utama syurga Tuhan di akhirat. Benar-benar mereka penyejuk mata dan pendamai hati. 

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ”Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.” (Riwayat Ibnu Hibban) 

Isteri yang solehah sentiasa di tempat pertama!

Monday 12 February 2018

Telah tiga tahun pemergiannya..

Tarikh ini, beliau dijemput untuk mengadap-Nya, setelah berpenatan menggalas dan memikul amanah-Nya. Saat 11 pagi sempurnalah pengkebumiannya, maka bersemadilahlah Tuan Guru di alam barzakh sana. Moga Allah SWT menjadikan kuburan Tuan Guru dan arwah yang lain di kalangan `illiyin.. 12.2.2015 - 12.2.2018, telah tiga tahun pemergiannya.. Al-fatihah.


sumber foto: FB

Thursday 8 February 2018

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran angah..


Selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat anakandaku, Wan Nur Irsalina (angah) pada hari ini.

Nama yang telah dipilih ketika dikau masih di dalam kandungan ummi, agar ia menambah seri makna dan cahaya kegembiraan di dalam keluarga kita.

Seperti insan lain yang digelari bapa, tiadalah doa abi pada usia ini semata mengharapkan moga dirimu sentiasa di dalam rahmat Allah SWT. Sesungguhnya tidak terlalai dalam rintihan munajat, sentiasa ayahanda ingin mendapat nikmat usia itu dipanjangkan agar dapat melihat penuh insaf maju mundur kehidupan anakanda dalam menongkah liku gelombang kehidupan. 

Moga anakanda menjadi penyejuk mata dan penyenang hati abi dan ummi, ameenn.

Wednesday 7 February 2018

Monday 5 February 2018

Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza - update


Saya memang suka memerhati. Banyak tempat yang saya pergi saya akan sentiasa memerhati. Pelikkah? Mungkin ya bagi sesetengah orang, mungkin juga hanya sesuatu yang biasa. 

Apa yang saya perhati? Saya suka memerhati gelagat manusia, saya suka memerhati alam semulajadi dan saya juga suka memerhati apa yang berlaku di sekeliling. Saya memerhati bukan dengan pandangan mata yang kosong tanpa warna. Saya memerhati untuk mencelikkan mata hati dan mencetus rasa peduli. 

Tidak sesekali saya memerhati kerana mahu tahu apa yang tiada pada orang lain, jauh sekali untuk mencari kelemahan dan kekurangan mereka. Saya memerhati untuk menilai dan mengenal diri agar terbit rasa syukur dengan apa yang dimiliki. 

Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza 

Sesungguhnya manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4. Benar manusia memang makhluk terbaik dan istimewa. Mereka boleh melonjak melebihi darjat malaikat jika keimanannya kukuh dan menebal serta boleh turun sehina-hina haiwan jika menurut hawa nafsu dan menyeleweng dari jalan yang telah ditetapkan oleh syarak. 

Ada ketikanya timbul pertanyaan dari akal saya yang dangkal dan cetek ini, "Mengapa Allah menjadikan manusia itu ada yang cantik dan ada yang tidak, ada yang berkulit cerah dan ada yang berkulit gelap, ada yang bermata sepet, ada yang bergigi jongang, ada yang telinga kecil, ada yang kening tebal dan berbagai-bagai persoalan lagi." 

Begitulah cetusan akal cetek dan jahil seorang manusia, serta pandangan mata makhluk yang serba tidak sempurna ini. 

Saban malam saya memerah otak mencari jawapan yang dapat meredakan hati. Kadang-kadang dek saban memikirkannya, hingga bertamu ke alam mimpi. Saya masih mencari jawapan yang hakiki. 
Akhirnya saya temui jawapannya di dalam majlis ilmu di kalangan sahabat saya. 

"Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza" kalimah inilah yang membangkitkan saya dari persoalan yang mendodoi-dodoi hidup. 

Allah SWT berfirman: "Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat dosa) terhadap Tuhan kamu Yang Maha Pemurah. Tuhan yang telah mengatur kejadianmu lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya diadakan anggota itu) serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki, Dia susunkan kejadianmu." (al-Infithar: 6-8) 

Subhanallah! Rupa-rupanya setiap kejadian anggota badan sesuai dan seimbang dengan anggota yang lain. Mungkin mata yang sepet sesuai dengan muka yang panjang, mulut yang luas kerana sesuai dengan giginya, mungkin juga jari yang panjang sesuai dengan lengan yang kurus. Mungkin juga jerawat yang tumbuh di pipi sesuai dengan wajahnya. Mungkin telinga yang kecil sesuai dengan bentuk rambutnya. Semuanya seimbang menurut susunan yang dikehendaki-Nya. 

Ya Allah dangkalnya akalku, ceteknya pengetahuanku. Segera saya memohon keampunan-Nya. 

Sentiasa bersyukur dengan pemberian-Nya 

Syukur dan terus bersyukur dengan limpah kurnia-Nya kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Adapun akal kita dangkal untuk memikirkan hikmah disebalik setiap kejadian-Nya. Walaupun tercetus pada fikiran kita, aku tidak cantik dan tidak menarik, ada jerawat, kulit gelap dan sebagainya. 

Firman Allah SWT: 
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216) 

Manakala hadis Rasulullah saw untuk ketenangan hati. 
Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan juga longgokan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada amal ibadat dan hati kamu." (Muslim) 

Alhamdulillah. Tiada yang hodoh, cuma kecantikan yang berbeza. Jiwa saya tenteram dan bahagia.

Celoteh pagi-pagi..


Rutin harianku, berpagi-pagi menghantar anakanda Haikal ke sekolah. Di pintu pagar sekolah dia mencium tanganku dan aku mengucup dahinya sebagai balasan. Kemudian dengan langkah perlahan dia menapak di kaki lima yang menganjur langsung menuju ke kelasnya. Laluan itu memang dikhaskan untuk  pelajar-pelajar istimewa sepertinya. Sebelum ini aku menghantar sehingga ke pintu kelas, kemudian kujarakkan sedikit demi sedikit agar dia berdikari dan biasa pergi dan balik ke kelas tanpa aku menemaninya.

Tatkala kelibatnya hilang di pandangan, aku segera memacu kuda beroda dua ini untuk pulang ke rumah. Tetapi sebelum itu aku bersalaman dahulu dengan pengawal keselamatan yang berdiri mengawal lalu-lintas di pagar tersebut. Dia tinggal satu taman denganku. Ah, jalanraya masih seperti tadi kondisinya, sibuk! Sesampai di rumah sempatlah berehat sebentar sebelum bersiap-siap ke tempat kerja. 

Tugas harianku ada lagi menunggu pada tengahari nanti. Jam 1 tengahari, bergulinglah roda motosikal tua ini melanyak aspal jalan. Sekali lagi aku berangkat menuju ke sekolah untuk mengambil anak yang seorang ini. Tidak pernah tidak macet (jem) simpang di hadapan menuju ke pintu pagar sekolahnya. Demikianlah rutin harianku, setiap hari ia berlangsung kecuali hari Sabtu dan Ahad. 

Alhamdulillah, kendati nampak padatnya masa yang terisi, tetapi aku menjalani sirah kehidupan ini dengan bahagia sekali. Biarpun terpaksa menempuh jalanraya yang bersimpang-siur kenderaan yang bertenaga dan bernafsu garang. 

Sementelah, di waktu pagi dengan lampu-lampu kenderaan yang patuh menyorot jalan tar. Mana yang mahu menghantar anak ke sekolah, mana yang mahu ke tempat kerja, masing-masing punyai 1001 urusan kehidupan. Berlumba-lumba mengejar masa, membikin stress pada sesetengah orang. Ada juga sesekali berlaku kemalangan yang menambah kemacetan. 

“Sikecil Haikal yang istimewa” nampaknya sudah selesa dengan kodisi sekarang. Sekolah, guru-guru, rakan-rakan serta persekitaran, semuanya baharu. Setiap pagi bersiap dan membonceng ke sekolah tanpa melelahkan. Tentunya aku dan Ummu Ikhwan turut menumpang gembira dengan perkembangan ini. 

Alhamdulillah.

Saturday 3 February 2018

Ya Allah - Aku Insafi Diriku


Tidak ada yang lebih membahagiakan diri seseorang muslim/muslimah, apabila mula sedar dari kesalahan lampau yang pernah menghantui fikiran dan dirinya. Kemudian membuat koreksi dan mengislah diri ke arah yang lebih baik dan menemui jalan keluar, iaitu kembali untuk bertemu dengan Allah selaku Pencipta Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui.

Buku "Ya Allah - Aku Insafi Diriku" bagai satu catatan hidup  seorang muslimah yang pernah melalui hidup-hidup sukar, yang mengisahkan perjalanan hidup segenap makhluk bernama manusia, iaitu sejak dari mula lahir mereka ke dunia ini. Masing-masing telah diperdengarkan laungan azan dan iqamat di telinga kanan dan kiri, iaitu laungan lafaz pertama yang diperdengarkan sebagai tanda umat Nabi Muhammad saw yang memperjuang dan menyebarkan syiar agama Islam.

Ketika itu, manusia yang masih bayi diibaratkan sebagai kain putih yang suci dan belum diwarnakan. Apabila usia semakin meninjak ke alam akil baligh, remaja, dewasa dan tua, mereka mula mencorakkan warna di atasnya, ketika itu, menjadi tanggungjawab untuk memilih warna, corak dan lakarannya. Ada ketikanya, manusia tersilap dengan berbagai-bagai warna yang menarik, corak dan bentuknya, samada mereka sedar ataupun tidak, ia akan menghiasi kain putih yang asalnya putih lagi bersih.

Buku ini sebenarnya mengajak kita semua agar menginsafi diri dan membersihkan segala kotoran rohani dan jasmani yang kita lakukan agar keharuman dan keindahan Islam akan sentiasa mewangi, mekar dan subur di hati, sehinggalah Allah menjemput kita untuk menemui-Nya dalam keadaan yang sedemikian.

Firman Allah SWT menerusi ayat 88-89 surah as-Syuara' yang bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali (harta benda dan anak pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)."

Tajuk: Ya Allah - Aku Insafi Diriku
Penulis: Normarini Yaacob
Penerbit: Best Seller Publication
Pengedar: Al-Jundi Books Market
Muka surat: 100
Harga: SM 11.90 / SS 14.90

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Thursday 1 February 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (34)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (33) 

Jibril Membawa Wahyu Kali Kedua 

Ibnu Hajar berkata, "Hal itu (terputusnya wahyu selama beberapa hari) dimaksudkan agar gementar yang dialami oleh Rasulullah saw pada peristiwa pertama hilang dan baginda boleh mempersiapkan diri untuk menerima wahyu yang berikutnya."(1)

Perlahan-lahan rasa gemuruh baginda berkurangan, tanda-tanda hakikat mula kelihatan nyata, mula disedarinya dengan pengetahuan yang yakin bahawa baginda telah diangkat menjadi nabi oleh Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi dan bahawa apa yang dibawa oleh "duta wahyu" (Jibril) adalah berita dari langit.

Baginda juga mula menyedari bahawa persiapan diri untuk menyambut kedatangan wahyu adalah supaya baginda dapat teguh dan kukuh dalam memikul amanah. Selepas itu, barulah Jibril datang membawa wahyu untuk kali keduanya.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda tentang kekosongan wahyu, "Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar satu suara dari langit. Kudongakkan kepalaku memandang ke arah langit. Kudapati malaikat yang sebelum itu turun kepadaku di Gua Hira`, sedang duduk di atas kerusi yang terletak di antara langit dan bumi. Aku tersungkur ke tanah.

Selepas itu  aku pulang menemui keluargaku. Aku berkata kepada mereka, "Selimutilah aku. Selimutilah aku." Maka mereka menyelimutiku. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat 1 hingga 5 daripada surah al-Muddaththir. Semenjak itu, wahyu selalu datang berturut-turut kepadaku."(2) 

RUJUKAN: 

(1) Ibnu Hajar al-Asqalani, Fath al-Bary, jil. i, hal. 27

(2) Sahih al-Bukhari, kitab al-Tafsir, bab Wa al-Rujza Fahjur, jil. ii, hal. 733

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..