Sahabat Sejati

Friday, 31 March 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 95

Salam Jumaat.


"Anak-anak! Janganlah kamu fikir kamu berjaya hari ini adalah kerana hebatnya diri kamu. Sebenarnya kamu tidak ada apa-apa jika bukan berkat doa ibu bapa kamu walaupun mereka tidak berpelajaran sekalipun!"

~Habib Syech Abd Kadir as-Segaff

Tuesday, 28 March 2017

"Telur pindang, sedap juga. Terima kasih sahabat.."

"Tinggal 9, satu sudah dimakan.."

Rasanya, umur saya inilah kali pertama saya menikmati telur pindang. Seingat saya begitulah. Yalah, mana nak cari telur pindang di bumi Kuantan ni. Kalau ada pun mungkin tidak ‘nak berapa’asli lagi resepinya. Mungkin ada satu atau dua bahannya yang kurang, saya agak sahaja. 

Setelah menikmati sebiji telur pindang, sedapnya juga, ujar saya kepada ummu Ikhwan. Kena pula dengan selera orang tua ini. Ada rasa-rasa herba gitu. “Ummi, kupas sebiji lagi”, pinta saya. Ummu Ikhwan cuma tersenyum sambil mengupas sebiji lagi. Dan ia juga menjadi habuan tembolok saya. 

Di mana saya mendapat telur pindang ini? Kata tadi di Kuantan bukan senang mahu mencarinya. Oh, sebenarnya, seorang kenalan ummu Ikhwan yang memberi kepada kami. Beliau yang berasal dari Johor, pulang ke sana ketika cuti sekolah yang lalu.

Pagi tadi (Isnin) 10 biji telur pindang di dalam bungkusan plastik diserahkan kepada kami. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan! Seperti saya katakan tadi, bukan senang mahu mencari telur pindang di bumi Kuantan ini. Mungkin ada tetapi saya yang tidak ketemu, entahlah. 

“Buat sendiri ni!” Katanya seraya menyerahkan bungkusan plastik yang berisi telur pindang kepada ummu Ikhwan. Kalau begitu, telur pindang ini dimasak sendiri oleh orang Johor di negeri Johor. Tentu resepi yang asli dengan ramuan yang secukupnya. Agak sayalah. 

Saya menggodek-godek di dalam internet melalui ‘syeikh google’ untuk mengambil cakna serba sedikit mengenai telur pindang ini. Pertama, ia adalah masakan warisan negeri Johor. Direbus dengan campuran daun-daun tertentu, rempah-ratus dan herba. Lazimnya disediakan di dalam majlis-majlis keraian seperti majlis perkahwinan, cukur jambul dan sebagainya. 

Melihat kepada cara penyediaannya, ternyata cukup rumit. Disebutkan jika dibuat dalam kuantiti yang banyak, mengambil masa selama tiga hari untuk merebusnya. Calang-calang orang, tidak sanggup membuatnya. 

Alhamdulillah, mujur ada sahabat yang sudi menghantar kepada kami. Jadi, tidak perlulah kami cuba-cuba membuat sendiri jika ingin memakannya (memang tak akan buat). Hmm, nak tunggu buat sendiri ‘kempunanlah' nampaknya!

Monday, 27 March 2017

Cuti sekolah kali ini

Sekejap sahaja rasanya. Seminggu cuti sekolah, semalam telah pun berakhir.

Semalam saya menghantar anak-anak balik ke asrama. Acik Adawiyah di SMKAA, kemudian along Ikhwan di stesen bas Rapid Kuantan untuk balik ke Kulliah Abu Bakar Pekan, menyambung kursus KIBA yang masih lagi berbaki. Manakala angah Irsalina, saya menghantarnya di PPTI Kemaman pada petang Sabtu. Negeri Terengganu dan beberapa negeri lain memulakan sesi persekolahannya pada hari Ahad. 

Apabila tiba cuti sekolah dan anak-anak pulang ke rumah, pastinya ia sesuatu yang amat menyeronokkan. Apabila semua berkumpul, bermulalah episod riuh-rendah dengan keletah dan cerita yang dibawa dari sekolah masing-masing. Ada sahaja cerita yang mahu disampaikan. Maka abi dan ummi pun menjadi pendengar yang setia. Sesekali kami mencelah dengan nada berlucu untuk menggamatkan suasana. 

Cuti sekolah baru-baru ini, saya mengambil kesempatan untuk membawa anak-anak menziarahi saudara-mara terdekat. Terutamanya membawa along Ikhwan bertemu dengan mereka semua. Maklumlah, along Ikhwan akan berangkat ke Mesir pada awal Mei nanti (insya-Allah). Jadi, bolehlah mereka menitipkan serba sedikit nasihat serta mendoakan agar dipermudahkan semua urusan. Lagipun jangkamasa pengajiannya selama 4 tahun. Ah, bermacam-macam taqdir Ilahi boleh berlaku dalam tempoh tersebut. 

Semalam cuti sekolah telah berakhir, lalu tibalah masa untuk mereka kembali semula ke asrama, perasaan sayu mula mendatang. Terasa suasana kembali ‘sunyi’. Ya, benar-benar sunyi. Tinggallah kami melayani kehidupan, menunggu cuti sekolah kembali kunjung tiba. Abi pandang ummi, ummi padang abi. Abi senyum kepada ummi, ummi senyum kepada abi. ‘Si kecil Haikal yang istimewa’ pula berceloteh dengan suara yang tidak tentu butir perkataan. Menyatakan kesunyian juga barangkali.

Wednesday, 22 March 2017

Muhasabah diri (aku)

Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang mengatur perjalanan hidup setiap makhluk. 

Justeru, tiada siapa yang mengetahui ketentuan masa bilakah ‘kita’ akan keluar dari jasad ini. Semuanya tersimpan di dalam rahsia Allah SWT. Jika jasad ini kita hiasi dengan kesombongan, yang akan menjadi tanah jua akhirnya, kitalah yang akan menanggung akibatnya. Di akhirat pasti kita termasuk di kalangan mereka yang rugi dan menyesal. 

Kita dikurniakan akal. Dengannya kita dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan indah dan sempurna. Akal berfungsi sebagai pengimbang, pembeza dan pemilih. Akal yang sihat mampu berfikir dengan waras dan rasional, maka kita dapat membezakan mana satu yang baik serta memberi manfaat dan mana satu yang buruk serta memudaratkan. 

Malanglah jika akal yang dikurniakan ini kita sia-siakan dengan merosakkan fungsinya. Sebab itulah Islam melarang merosakkan akal dengan pengharaman arak dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan kewarasannya. 

Kita adalah makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Kita dijadikan dalam keadaan fitrah dan bersih. Sekiranya fitrah yang suci itu kita cemari dengan dosa dan maksiat, maka mohonlah rahmat keampunan-Nya. Sesungguhnya rahmat keampunan-Nya seumpama air bersih yang mengalir membawa pergi segala kotoran. 

Muhasabah Diri 

Apabila terbitnya matahari di pagi hari, bermakna bertambahlah usia kita sehari. Ia juga bererti helaian catatan perjalanan hidup kita pada hari semalam turut berlalu tanpa dapat kita pastikan apakah ia dipenuhi dengan perkara-perkara kebaikan atau sebaliknya. 

Bagi seorang muslim yang prihatin, pastinya perjalanan hidup yang telah berlalu sentiasa dimuhasabah dan direnungi, agar perjalananan seterusnya benar-benar berada di landasan yang betul dan tidak tersasar ke jalan yang dimurkai-Nya. Ini adalah kerana jiwa manusia sangat cepat berubah. Ada ketika baik dan ada ketika tidak. Malah kecenderungan untuk melakukan perkara terlarang lebih kuat dorongannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan aku tidak membersihkan diriku (dengan mengatakan aku tidak bersalah), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yusuf: 53) 

Justeru, adalah menjadi suatu kemestian bagi kita memohon kepada Allah SWT agar memberi petunjuk dalam menjalani kehidupan ini. Suburkanlah keimanan dengan memperbanyakkan amal ibadat. Disamping itu hendaklah kita sentiasa melazimi majlis ilmu supaya dengan ilmu pengetahuan akan menjadikan amal ibadat lebih sempurna dan berkualiti. 

Sebagai akhirnya, marilah kita bermuhasabah atau koreksi diri bagi menilai sejauhmana peningkatan diri kita khususnya di dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan menuruti sunnah Nabi saw. 

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam.”

Friday, 17 March 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 94

Salam Jumaat.


"Muhammad saw bukan orang berharta. Tapi ada benda yang menjadi kelebihan pada Nabi saw. Ianya lebih berharga berbanding dengan harta. Benda itu adalah AKHLAK. Melalui akhlak nabi-lah. maka ramai yang tertarik dengan Islam."
~Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abdul Azizi bin Nik Mat (1931 - 2015)

Thursday, 16 March 2017

Kenangan masih basah: Abang Long dan layang-layangku

 'Pasar pagi di daerah Pekan ~ sumber foto

Sebelum pulang ke Kuantan seusai menziarahi anakanda Ikhwan di Kulliah Abu Bakar Pekan, saya singgah sebentar di Pasar Tani berhampiran Jalan Rompin Lama. Dari satu gerai ke satu gerai saya susuri bersama ummu Ikhwan dan si kecil Haikal. Meninjau-ninjau jika ada sesuatu yang berkenan untuk dibeli. 

Suasana tidak ubah seperti di pasar pagi di tempat lain dengan deretan pelbagai gerai. Ada gerai pakaian, kuih-muih, buah-buahan, lauk pauk dan sebagainya. Seronok memerhati gelagat penjual yang menawarkan jualan serta pengunjung yang berpusu-pusu dengan tujuan masing-masing. 

Setibanya di satu gerai, milik sepasang suami isteri yang mempamerkan beraneka jenis dan warna layang-layang di samping barang permainan kanak-kanak. Kami berhenti sebentar. Anak mata saya tertumpu pada sesuatu. Tiba-tiba teringin saya untuk membelikan layang-layang kepada si kecil Haikal. Tanpa banyak bersoal saya membayar harga layang-layang tersebut walaupun kemudiannya saya dapati harganya agak mahal. Ah, apa yang tidak mahal sekarang ini, detik benak saya. 

“Kalau tak setuju ikan mahal jangan makan ikan, makan sayur sahaja. Kalau tak setuju tol naik, jangan lalu highway lalu jalan biasa. Kalau tak setuju minyak naik, guna basikal...” Hmm, teringat beberapa ayat ‘keramat’ pak-pak menteri di negara Malaysia yang tercinta ini. 

Layang-layang yang berbentuk segi tiga dan bercorak warna-warni serta ekornya berambu lebat, begitu juga kepak di kiri kanannya, bertukar tangan. Haikal mempamerkan keseronokan seraya menegakkan ibu jarinya tanda isyarat bagus. Ummu Ikhwan di sebelah turut tersenyum. 

“Pandai ke Haikal main nanti..” ujarnya. 

Petang yang menjadi kenang-kenangan 

Petang itu, walaupun masih terasa sedikit kepenatan, saya gagahi menemani Haikal ke padang permainan perumahan kami. Beberapa orang budak-budak turut sedang bermain layang-layang. Cuaca yang baik, angin yang agak kuat memang sesuai untuk bermain layang-layang. 

Tetapi, agak sukar untuk si kecil Haikal menaikkan layang-layangnya sehingga berkali-kali saya terpaksa membantunya. Ya, kondisinya tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya layang-layang tersebut berjaya juga dinaikkan setelah dibantu oleh seorang anak jiran. 

Terhibur hati saya melihat keseronokan mereka berdua bermain layang-layang, terutama si kecil Haikal. Kalau diikutkan anak jiran saya itu yang memainkannya, si Haikal sekadar memegang hujung gelung tali. Mengikut sahaja arah gerakan tali yang ditiup angin. Tak mengapalah, asalkan dia gembira, saya juga turut gembira. 

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan si kecil Haikal kepada keluarga kami. Pastinya ia terkandung hikmah yang tidak mampu saya tafsirkan. Tetapi saya yakin setiap ketentuan-Nya adalah kebaikan. 

Saya meninggalkan mereka berdua bermain bersama kumpulan budak-budak yang lain. Pangkin kayu di tepi padang menjadi tempat saya melabuhkan punggung. Dari kejauhan saya memerhati, tiba-tiba hati saya dirundung sayu. 

Suatu hari, lebih tiga dekad yang lalu menjengah ke dalam lipatan nastolgia hati. 

Teringat-ingat 

Musim cuti persekolahan bermula. 

Tanah lapang berhampiran rumah ayahanda menjadi taman permainan kami. Bermacam-macam permainan budak-budak yang dimainkan. Seingatnya, zaman saya dan kawan-kawan membesar, permainan kanak-kanak pada masa itu banyak bergantung kepada alam sekeliling. 

Manalah kami tahu permainan komputer, play station dan sebagainya. Terlalu asing bagi kami yang lebih sebati dengan menggantung lastik di tengkuk, bedil buluh di tangan, menggalas senapang kayu atau meranduk paya mencari ikan laga tanpa merasa jeran dengan gigitan sang lintah di betis. 

Permainan waktu itu menjadikan kami kreatif mencipta, belajar berinteraksi sesama manusia dan interaksi dengan alam. Bahkan, permainan dulu-dulu kebanyakannya dimainkan secara berjemaah. Rasanya tidak seperti permainan kanak-kanak zaman sekarang yang asyik dengan keseronokan menekan punat komputer. Masing-masing dengan dunia sendiri. Aku aku, kamu kamu. 

Lebih malang lagi baru menginjak usia awal remaja sudah pandai merempit di jalanan, melepak sehingga dinihari bermandi embun. Demikianlah harga kemodenan yang perlu dibayar yang telah menghakis identiti remaja dan kanak-kanak silam. 

Maafkanlah kerana membebel pula. 

Ah, saya sudah terlampau asyik mengisahkan perihal yang menghilangkan warna tajuk cerita di atas. Begitulah diri saya, mudahnya larut dalam kenangan sehingga tersasar daripada apa yang mahu dipaparkan. 

Saya kembali semula ke judul entri ini. 

Layang-layangku 

 foto hiasan ~ sumber

Satu petang setelah selesai mengaji quran, saya habiskan masa di bawah pohon jambu air, berdekatan tanah lapang. Anak mata melihat kanak-kanak yang kebanyakannya sebaya dengan saya bermain layang-layang. Waktu itu musim panas berangin yang memang sesuai untuk bermain layang-layang. Bila mereka mula melabuhkan lelayang masing-masing barulah saya bangun dan beredar. 

Ketika melangkah untuk pulang, hati saya mula berkira-kira untuk meminta abang long buatkan saya sebuah layang-layang. Teringin benar mengelek layang-layang bersama rakan. Teringin benar rasanya memegang tali layang-layang yang sedang berlengok-lenggok menongkah angin. 

Setiba di rumah, saya ajukan hasrat saya kepada abang long yang sedang berehat di beranda. Namun dia menjawab pendek, tidak mahu saya bermain di tengah panas. Ibu yang turut berada di situ hanya mendiamkan diri. 

Petang esoknya sekali lagi saya melabuhkan punggung di pangkin di bawah pokok jambu air tersebut. Dari jauh saya memerhati keriuhan kawan-kawan yang bermain layang-layang. Hari ini semakin ramai yang menyertainya. Hati saya semakin membuak-buak untuk turut sama menaikkan layang-layang ke udara. Tapi, apakan daya saya tidak punya layang-layang seperti rakan-rakan yang lain. 

Kembali ke rumah petang itu, sekali lagi saya ajukan permintaan saya kepada abang long. Namun, jawapannya tetap sama seperti semalam. Hmm, mungkin petang esok dan petang seterusnya sama juga jawapannya yang diberikan. Akhirnya saya membuat kesimpulan sendiri yang abang long memang tidak mahu membuat layang-layang untuk saya. Ada sedikit rasa rajuk yang menguasai perasaan saya. 

Petang keesokannya, pulang dari mengaji, saya kumpulkan surat khabar lama yang berada di atas almari. Beberapa batang lidi kelapa saya ambil dari seberkas penyapu serta segulung benang daripada bekas menjahit emak. 

Tanpa disedari sesiapa saya membawa semua bahan itu menuju ke pangkin di bawah pokok kuini. Kebiasaannya pangkin tersebut menjadi tempat nenek meraut lidi kelapa atau menjahit atap nipah. Tanpa berlengah saya mula membuat layang-layang menggunakan bahan-bahan tersebut. Agak sukar membuatnya kerana saya tidak memiliki kemahiran. Ah, asalkan nampak bentuk layang-layang jadilah! 

Setelah puas bertungkus-lumus, akhirnya terhasillah sebuah layang-layang buatan sendiri. Walaupun tidaklah secantik mana, tetapi saya puas kerana dapat menyiapkannya. Memandangkan hari telah rembang, lalu saya pun menyangkut layang-layang tersebut di tiang bawah rumah, dan bertekad untuk memainkannya petang esok setelah selesai mengaji. 

Serasa puas 

Petang itu saya bermain layang-layang di halaman rumah. Saya tidak menyertai rakan-rakan yang lain kerana secubit rasa malu dengan layang-layang saya yang tidak berapa cantik berbanding dengan kepunyaan mereka. Tanpa merasa penat, saya berlari ke hulu dan ke hilir dengan layang-layang buatan sendiri yang hanya melayang-layang di atas kepala. Walaupun tidaklah setinggi mana, itupun jika saya berlari tanpa henti, tetapi saya gembira memainkannya. 

Malam itu saya tertidur awal kerana keletihan. 

Keesokannya seperti biasa tatkala pulang dari mengaji saya meluru ke bawah rumah tempat yang saya sangkutkan layang-layang. Hajat di hati ingin membaiki layang-layang agar lebih baik lagi. Tiba-tiba, anak mata saya tertumpu pada sebuah layang-layang yang cantik. Sebuah layang-layang yang berwarna kuning (kertas minyak) dengan kepak dan ekor yang berambu berada di tempat saya sangkutkan layang-layang semalam. 

“Wah, cantiknya..” hati saya meronta bercampur girang. 

Petang itu saya membawa layang-layang untuk menyertai kawan-kawan yang lain. Saya tidak merasa malu kerana layang-layang saya setanding dengan kepunyaan mereka. Kegembiraan yang tak terkata, apabila melihat layang-layang saya terbang menongkah awan. Sambil bermain layang-layang saya terfikir, tentu abang long yang membuatnya. 

Jiwa seorang abang 

'Pusara abang Long di kampung'

"Pakcik, ni layang-layangnya..."..tiba-tiba anak jiran yang menemani Haikal bermain layang-layang tadi bersuara. Saya tersentak, sekaligus memecahkan lamunan yang terbang jauh tadi. Segera saya berpaling dan menyeka air mata yang bergenang tiba-tiba.

“Terima kasih ya...” 

Matahari hampir tenggelam di ufuk barat. Burung-burung juga berterbangan untuk kembali ke sarang. Saya memimpin tangan si kecil Haikal untuk pulang ke rumah. 

Sedar dan terusik hati saya mengenangkan betapa kasih abang long kepada saya. Walaupun pada mulanya dia tidak mahu membuatkan layang-layang untuk saya, namun tersentuh jiwanya apabila melihat saya yang berlari ke hulu ke hilir sendirian bermain layang-layang. 

Untuk itu, abang long sanggup meredah hutan mencari buluh, membelah serta merautnya untuk dijadikan kerangka. Kemudian dia ke kedai Nyah (nyonya tua) pula untuk membeli kertas minyak dan dan gam. Kemudian bermulalah proses membuat layang-layang tersebut sehingga siap. Tidak terbayang di benak saya betapa rumitnya kerja-kerja menyiapkannya. Sedangkan saya, hanya singgah di tepi jalan dan membeli sebuah layang-layang yang telah siap untuk anak-anak saya. 

#moga roh abang long dicucuri rahmat Ilahi, al-Fatihah

Tuesday, 14 March 2017

Tulislah...

foto hiasan ~ sumber

Ahli bidalan mengukir kata: 

“ Apa tanda orang yang mulia, apabila bercakap bermanis muka”. 
“ Tanda orang berhati bersih, apabila bercakap mukanya jernih”. 
“ Tanda orang berbudi bahasa, apabila bercakap tahukan rasa”. 
“ Tanda orang berdada lapang, tahu menjaga perasaan orang”. 
“ Tanda orang berbudi pekerti, perasaan orang dia fahami”. 

Tulislah apa yang mahu kau tulis. Tulislah semahu hati. Tetapi tulislah dengan santun dan lunak bahasa. Biar yang dinukil menyentuh hati. Biar yang menatap melembut sanubari. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Demikian, yang baik itulah menjadi kenang-kenangan sehingga ke hujung nyawa. 

Tenang-tenang air di laut, 
Sampan kolek mudik ke tanjung; 
Hati terkenang mulut tersebut, 
Budi yang baik rasa nak junjung. 

Tingkap papan kayu bersegi, 
Sampan sakat di Pulau Angsa; 
Indah tampan kerana budi, 
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Sunday, 12 March 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (27)

Sambungan daripada : Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (26) di bawah tajuk besar (PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI)

foto hiasan ~ sumber

Keputusan Bijak Ketika Pemulihan Kaabah 

35 tahun setelah Rasulullah saw lahir ke dunia, orang Quraisy merobohkan dan membangunkan semula Kaabah kerana Kaabah ketika itu hanya berupa susunan batu-batu yang sedikit lebih tinggi daripada tubuh manusia. Tingginya sembilan hasta sejak dibangunkan kali pertama oleh Nabi Ismail. Kaabah tidak beratap menyebabkan para pencuri sering memasukinya dengan memanjat dan melompat dari atas untuk mencuri barang-barang berharga yang ada didalamnya.

Akibatnya, bangunan yang telah tua itu semakin rapuh dan dindingnya pecah-pecah. Lima tahun sebelum Rasulullah saw diangkat sebagai nabi dan rasul, Mekah dilanda banjir besar yang luapan airnya sampai ke Kaabah. Sehinggakan bila-bila masa sahaja Kaabah boleh roboh. 

Pada mulanya, pemulihan Kaabah tidak dapat dilaksanakan kerana kaum Quraisy lebih suka untuk membiarkan bangunan asal Kaabah seperti seadanya. Hingga akhirnya, diputuskan juga untuk memperbaiki Kaabah, tetapi dengan kesepakatan bahawa mereka tidak akan memasukkan apa-apa ke dalamnya kecuali perkara yang baik. Maka mas kahwin pelacur, wang daripada hasil penjualan dengan sistem riba serta barang rampasan tidak diterima.

Namun begitu, mereka masih juga berasa takut untuk merobohkannya. Hingga akhirnya Walid bin Mughirah al-Makhzumy memulakan menghancurkan dinding Kaabah. Melihat Walid tidak mengalami apa-apa, mereka semua mengikutinya. Mereka terus merobohkan Kaabah hingga tiba bahagian dasar yang dulunya dipasang oleh Nabi Ibrahim. Selepas itu mereka mula membangunkannya kembali.

Mereka membahagikan Kaabah menjadi beberapa bahagian. Setiap bahagian dikhususkan pembangunannya kepada satu kabilah. Setiap kabilah pun mula mengumpulkan batu-batu lalu membangunkan bahagian yang menjadi bahagian masing-masing. Orang yang merancang susun bangunan adalah arkitek berbangsa Rom bernama Baqum.

Ketika pembangunan telah sampai pada tahap perletakan kembali Hajarulaswad pada tempatnya semula, orang Quraisy berselisih tentang siapa yang layak mendapat penghormatan meletakkan Hajarulaswad di tempatnya. Perselisihan terus berterusan hingga empat atau lima hari. Situasi terus panas sehingga nyaris-nyaris menjadi pertumpahan darah di Tanah Haram.

Mujurlah Abu Umayyah bin Mughirah al-Makhzumy meredakan suasana dengan menawarkan cadangan agar keputusan atas perselisihan mereka diserahkan kepada orang yang pertama masuk menemui mereka melalui pintu masjid. Mereka semua menerima cadangan tersebut. Rupa-rupa Allah menghendaki bahawa orang yang pertama masuk ialah Rasulullah saw. Tatkala mereka melihat baginda datang, mereka berseru, "Ini dia al-Amin. Kami redha terhadapnya. Inilah Muhammad."

Tatkala baginda sampai di hadapan mereka, mereka terus menceritakan permasalahan mereka kepada baginda. Baginda lantas meminta sehelai kain panjang dan lebar, lalu meletakkan Hajarulaswad di tengah-tengahnya. Lalu baginda meminta semua pembesar daripada setiap kabilah untuk memegang hujung kain. Baginda menyuruh mereka untuk sama-sama mengangkatnya. Setelah mereka sampai di tempat meletakkan Hajarulaswad, Rasulullah saw mengambilnya dan meletakkan di tempat semula. Inilah penyelesaian bijak yang diredhai oleh semua orang.   

Ketika hampir selesai membangunkan Kaabah, orang Quraisy kehabisan modal yang diperoleh daripada hasil yang baik. Maka, mereka membiarkan bahagian sebelah utara sebanyak enam hasta yang kemudian disebut sebagai al-Hijr atau al-Hathim. Mereka membina pintunya lebih tinggi daripada permukaan tanah agar tidak dimasuki kecuali oleh orang yang memang mempunyai keperluan. Tatkala pembinaan dindingnya sampai setinggi 15 hasta, mereka membuatkan  atap untuk Kaabah yang disangga dengan enam buah tiang.

Ketika pembangunannya selesai, Kaabah kelihatan berbentuk seperti kubus yang tingginya mencapai 15 meter. Bahagian sisinya terdapat Hajarulaswad dan sisi lawannya mempunyai panjang 10 meter. Hajarulaswad diletakkan pada ketinggian 1.5 meter daripada permukaan tanah yang digunakan untuk bertawaf.  

Sementara bahagian sisi lain terdapat pintu dan sisi lawannya mempunyai panjang 12 meter, dengan pintu setinggi 2 meter di atas permukaan tanah. Di sekeliiling Kaabah, bahagian luar terdapat kerangka bangunan yang letaknya paling bawah, yang dinamai dengan Syadzirwan merupakan sebahagian daripada bangunan asal Kaabah yang dibiarkan di situ oleh orang Quraisy.(1)  

Rujukan: 

(1) Penjelasan terperinci mengenai pembangunan Kaabah boleh dilihat dalam, Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. XII, hal. 192, 197,  Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 62-63, Sahih al-Bukhari, bab tentang keutamaan Mekah dan bangunannya, jil. I, hal. 215 dan Muhammad. al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah. jil. I, hal. 64-65

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Friday, 10 March 2017

Seeru `ala barakatillah, buat anakandaku...


“Assalamualaikum abi, pasport dah siap. Ni along dah nak balik ke Pekan..” 

Bunyi pesanan ringkas yang saya terima daripada anakanda Ikhwan. 

Beliau dan rakan-rakannya berada di pejabat Imigresen UTC Kuantan sejak jam 10 pagi untuk membuat pasport antarabangsa Malaysia. Dari Pekan, mereka menaiki bas beramai-ramai ke Kuantan. Ada juga yang berkereta. Turut bersama mereka seorang ustaz dari JAIP, yang bertindak sebagai penyelia untuk memudahkan proses tersebut. Hasilnya, keutamaan diberikan kepada para pelajar tersebut bagi mempercepatkan proses membuat pasport tersebut. 

Alhamdulillah, semua dokumen yang diperlukan hampir siap. Pihak JAIP banyak membantu melicinkan proses penyediaan dokumen yang berkaitan. Terjemahan sijil kelahiran ke dalam bahasa Arab, pengesahan sijil kelahiran di Kementerian Luar, penghantaran borang ke Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia dan beberapa hal lain yang berkaitan. 

Termasuk juga visa pelajar di Kedutaan Mesir diuruskan oleh pihak JAIP, tetapi visa tersebut akan dibuat kira-kira sebulan sebelum berangkat. Demikianlah menurut pihak JAIP. Selebihnya pelajar perlu menguruskan sendiri seperti penyediaan pasport dan draf bank ke Department Education Malaysia Egypt. 

Oh ya, sebenarnya anakanda sulung saya akan melanjutkan pengajian ke al-Azhar Mesir di dalam bidang Syariah. Jangkamasa pengajian selama 4 tahun. Saya telah pun menyemak (setelah dimaklumkan oleh anakanda Ikhwan) pada awal Februari lalu di dalam laman sesawang Kementerian Pengajian Tinggi, alhamdulillah tertera nama beliau di antara yang akan ke Mesir. 

Insya-Allah wa bi iznih, pada bulan Mei nanti beliau serta rakan-rakannya (pelajar dari Pahang) akan berangkat ke sana. Jangkaan sebelum Ramadhan menurut sahabat saya, Ustaz Lebai Idris, iaitu penolong pengarah KU/HEM & KO-KU Bah. Pendidikan JAIP yang juga merangkap pegawai yang bertanggungjawab menguruskan pelajar Pahang ke Timur Tengah. 

Jika diikutkan tahun-tahun sebelum ini, para pelajar yang akan ke Mesir berlepas pada bulan 7 atau 8. Atau sekurang-kurangnya selepas hari raya. Tetapi, oleh kerana cadangan daripada pihak EME kepada Bah. Education Malaysia agar pada tahun ini pelajar Malaysia hadir lebih awal ke Mesir. Cadangannya pada bulan Mei 2017 bagi menduduki Imtihan Qabul (ujian kelayakan Bahasa Arab) di Markaz Bahasa Arab Sheikh Zai, Jami`ah al-Azhar. 

Hmm, nampak gayanya terpaksalah dia dan rakan-rakannya menyambut Ramadhan dan berhari raya buat pertama kali di perantauan.  Tidak mengapalah, itulah namanya pengorbanan.

‘Nafara’ menuntut ilmu dan berjihad di medan perang 

Firman Allah SWT: ”Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka dapat berjaga-jaga.” (al-Taubah: 122) 

Dalam ayat ini Allah SWT menggunakan kalimah NAFARA kepada para penuntut ilmu, kalimah yang biasanya digunakan dalam mengungkapkan soal berjihad perang di jalan Allah. Tentunya Allah SWT menggunakan kalimah nafara ini perlu difikir dengan sebaiknya. Sesungguhnya Allah SWT mahu kita melihat bahawa menuntut ilmu amat memerlukan perancangan dan persediaan yang serapinya, sama seperti dengan keluar ke medan perang. 

Sungguh besar sekali makna yang tersirat di sebalik ungkapan kalimah nafara yang Allah SWT gunakan. Menuntut ilmu seumpama keluar berjihad di medan perang. Ia dikira sama kerana tujuannya adalah sama iaitu memelihara agama Islam dan sentiasa memastikannya berada di tempat yang tinggi. Berkorban masa, tenaga, harta serta nyawa sekalipun. Semua itu mahal harganya Itulah yang perlu kita semua renungkan. Ayat ini adalah mutiara kepada penuntut ilmu. 

Daripada Anas ra katanya, Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang keluar menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sehingga dia kembali.” (Riwayat at-Tirmidzi) 

Moga berjaya 

Sekarang anakanda Ikhwan berada di Kulliah al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar Pekan, kerana mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBAR) anjuran Jabatan Agama Islam Pahang. Ia adalah kursus yang wajib dihadiri bagi pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah khususnya di Mesir. Kursus ini berlangsung selama 3 bulan. Dalam pada itu dia juga akan menghadiri konvokesyen STAM yang dijangka pada bulan April di Kulliah Abu Bakar, tempat berkursus sekarang. Selepas itu wajib mengikuti Kursus Kenegaraan anjuran Biro Tatanegara (BTN) sebelum berangkat ke Mesir. 

Kemudian pada bulan Mei, insya-Allah tibalah masanya dia akan meninggalkan bumi tercinta ini untuk satu misi perjuangan iaitu menuntut ilmu. Moga berjaya anakandaku. Pergi dengan membawa harapan, pulang dengan segulung kejayaan. 

Seeru `ala barakatillah!

Wednesday, 8 March 2017

Tuesday, 7 March 2017

Nak buat macamana..

foto hiasan ~ sumber

Alkisahnya hari ini.

Pagi tadi dalam perjalanan pulang ke rumah seusai menghantar 'si kecil Haikal yang istimewa' di sekolahnya. Saya menunggang motosikal perlahan menyusuri jalan tar. Waktu pagi jalan memang agak sibuk. Di mana-mana pun sama sahaja saya kira. Yalah, mana yang mahu menghantar anak-anak ke sekolah, juga yang mahu ke tempat kerja. Berpusu-pusu bergerak menuju destinasi masing-masing.

Bukanlah saya mahu mengisahkan suasana trafik di tempat saya. Bukan itu. Ia kisah lain. Setibanya di satu tempat sebelum tiba di simpang menuju ke jalan besar, tiba-tiba mata saya tertumpu pada sekumpulan remaja yang berpakaian sekolah sedang berkumpul. Tanpa segan dan takut, apatah lagi rasa bersalah, dengan selamba mereka menyedut asap rokok. Berkepul-kepul di udara. Apa yang agak menyedihkan saya, ada juga di dalam kumpulan mereka yang beruniform pengawas. Aduhai, inilah agaknya yang dikatakan harapkan pagar (pegar), pagar (pegar) makan padi. 

Saya teringat di zaman saya bersekolah dulu, bukan tiada pelajar yang merokok. Ada, tetapi mereka tidaklah melakukannya secara terang-terangan, melainkan dengan sembunyi-sembunyi. Samada di dalam semak atau di belakang rumah atau di mana sahaja yang dirasakan tidak dilihat orang. Maknanya masih ada rasa 'hormat' pada masyarakat sekeliling. Dalam hati masih ada 'iman' (takut), kiranya begitulah.(senyum).

Sekarang ini, jangan kata budak sekolah menengah yang merokok samada lelaki atau perempuan. Bayangkan budak perempuan pun menghisap rokok. Lebih dari itu, budak sekolah rendah pun turut sama menagih rokok. Pening memikirkannya. Mahu dibiarkan terasa bersalah pula, Jika cuba dinasihati, nanti kita pula di'cerelong'nya sehingga mahu terjojol anak mata.Silap-silap diugut dengan kata-kata yang kasar. Entahlah, akhirnya tengok sajalah

Sunday, 5 March 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (26)

Sambungan daripada : Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (25) di bawah tajuk besar (PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI)

Membina Bahtera Rumah Tangga Bersama Khadijah

Tatakala Rasulullah saw kembali ke Mekah, Khadijah mendapati perniagaannya dijalankan oleh baginda dengan penuh amanah dan keberkatan. Perkara itu belum pernah diperolehi sebelum ini. Pembantunya, Maisarah memberitahu, sepanjang menemani Nabi Muhammad, baginda memiliki keperibadian yang menyenangkan. Baginda berperilaku mulia, berfikiran tajam, jujur dalam bertutur kata dan berniaga dengan cara yang penuh amanah.

Khadijah berasa bahawa dia telah menemui kembali barang yang hilang yang selama ini dia rindukan. Padahal, dia seorang wanita yang dikagumi sehingga para pembesar dan pemimpin berhasrat untuk menikahinya. Namun dia menolak. Dia menceritakan gejolak hatinya itu kepada teman karibnya, Nafisah binti Muniyah. Khadijah meminta bantuan daripada Nafisah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad untuk meraih peluang untuk bernikah.

Keinginan Khadijah rupanya disambut baik oleh Rasululah saw. Baginda segera menyampai hasrat itu kepada bapa-bapa saudara baginda. Lalu, mereka pun pergi menemui bapa saudara Khadijah. Mereka meminangkan Khadijah untuk Rasulullah saw. Setelah semua persiapan dibuat, pernikahan pun dilaksanakan. Akad nikah mereka dihadiri oleh Bani Hasyim dan para pemimpin Mudhar.

Pernikahan itu berlangsung setelah dua bulan Rasulullah saw kembali dari Syam. Baginda memberi mahar kepada Khadijah berupa 20 ekor unta muda. Ketika itu, umur Khadijah telah mencapai 40 tahun. Khadijah ialah wanita pertama yang dinikahi oleh Rasulullah saw. Selama Khadijah masih hidup, Rasulullah saw tidak menikahi wanita lain.(1)

Semua anak Rasulullah saw dilahirkan oleh Khadijah, kecuali Ibrahim. Anak pertama Nabi ialah Qasim. Sebab itulah baginda digelar Abu Qasim. Seterusnya ialah Zainab, Ruqayyah, Ummi Kalsum, Fatimah dan Abdullah. Abdullah digelar dengan sebutan al-Thayyib (yang baik) dan al-Thahir (yang bersih).

Dua anak lelaki baginda (Qasim dan Abdullah) meninggal dunia ketika mereka masih kecil. Sementara anak-anak perempuan baginda, semuanya tetap hidup hingga datangnya Islam. Mereka semua masuk Islam dan turut berhijrah ke Madinah. mereka semua meninggal ketika Rasulullah saw masih hidup kecuali Fatimah yang meninggal setelah enam bulan kewafatan nabi(2).  

Rujukan:

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 189-190, Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 59 dan Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Athsar, hal. 7.

(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 190-191, Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal.60 dan Ibnu Hajar al-Asqalany, Fath al-Bary, jil. VII, hal. 507. Antara pelbagai rujukan, terdapat sedikit perbezaan. Tetapi saya tampilkan di sini adalah yang rajih menurut saya (pengarang).

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Wednesday, 1 March 2017

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (12)

sumber foto: fb

Moh menyibukkan diri, moga ada nilai disisi-NYA!

Alahai, kasihan pula pondok kecil abuikhwan ini. Lama juga tuannya tidak menjengah diri. Mujurlah tidak sempat berlumut dan bersawang. Mungkinkah tuan punya pondok ini sudah putus semangat untuk mencoret sesuatu. Manalah tahu, sedikit demi sedikit azam untuk mengalirkan tinta dakwah sebagaimana yang pernah digenggam dahulu terhakis. Moga-moga tidak demikian hendaknya.

Sememangnya agak mengecewakan jika kita tidak dapat memberikan sesuatu yang baru untuk tatapan sahabat-sahabat yang datang berkunjung. Insya-Allah wa bi iznih, pemilik pondok kecil ini masih bernafsu untuk menitipkan sesuatu. Menulis di laman sesawang adalah di antara cabang dakwah yang paling mudah. Oleh itu, mengapa harus disia-siakan atau tawaquf  daripadanya. Tetapi inilah bahananya bila ‘buoh’ sibuk jadi molek. Sebetulnya, saya tidak menyangka 2017 adalah tahun yang agak sibuk dengan beberapa perkara. Tahun-tahun sebelum ini sibuk juga, tetapi tidaklah sepadat mana masa yang mencemburui seumpama di 2017 ini.

Tak apalah, kita lupakan kesibukan yang ada kerana kita memang sentiasa sibuk. Itulah hakikatnya, manusia yang tidak sibuk boleh dikatakan manusia yang tidak berbuat apa-apa. Sementelah lagi kita sebagai Muslim, ada tanggungjawab insani di dunia ini yang perlu dibereskan, sebagaimana kata ahli hikmah “Dunia bukanlah tempat berehat, jika ingin berehat, berehatlah di syurga.” Ya, dunia adalah tempat bercucuk tanam, akhirat tempat menuai.

Jika ingin bercucuk tanam, tentulah banyak kerja-kerja yang perlu dibuat. Bermula dengan penyediaan tapak, menebang, menebas dan sebagainya. Penat, letih, lelah! Mahu menuai yang baik maka bercucuk tanamlah dengan baik. Begitulah perumpamaannya.  

Pesan as-Syahid Imam Hasan al-Banna: “Kerja-kerja yang perlu dilakukan lebih banyak daripada masa yang kita ada.”

Moh menyibukkan diri, moga ada nilai disisi-NYA!