Sahabat Sejati

Friday 27 October 2017

Kembali bersiaran!

Lama sungguh tidak bersiaran. Ya, bukan hanya tidak mencoret, malahan berkunjung ke pondok kecil abuikhwan ini pun saya tidak lakukan. Setiap saat seakan pondok kecil ini digelimangi oleh suasana murung dan dipagut sepi. Pintu dan jendelanya tertutup rapat bagaikan tiada penghuni. 

Demikianlah, saya menyaksikan pada ketika ini cuma dua entri yang termuat untuk tatapan pengunjung yang bertamu. Sahabat-sahabat berkunjung ke sini dan mendapati tiada yang baru, tentunya ia termasuk puing-puing kehampaan. Mungkinkah ada yang berfikir saya telah mula perlahan-lahan mengendurkan keinginan menulis dan mencatat. Mungkinkah? Insya-Allah, tidak sekali-kali berhenti daripadanya, selagi masih ada nikmat-nikmat anugerah Tuhan.  

Sebenarnya dalam tempoh hampir sebulan ini laptop tua kesayangan mengalami kerosakan. Kali ini rosaknya tidak seperti yang sebelumnya. Kali ini ia agak kritikal. Maklumlah, hampir sepuluh tahun usia sejak saya membelinya dahulu. Justeru, memang wajarlah jika ia mengalami kerosakan ditahap tersebut.

Saya terkenangkan betapa besarnya jasa laptop tersebut kepada saya. Berapa banyak kerja-kerja kebajikan, misi kemanusiaan, dakwah dan sebagainya telah saya jayakan hasil bantuannya. Sungguh banyak!

Akhirnya, mengenangkan banyak kerja yang tertangguh dek ketiadaan laptop, maka saya mengambil keputusan untuk membeli yang baru. Tanpa diduga, aturan Allah SWT, ada pula yang berhasrat 'topup' sebahagian harga laptop baru tersebut. Alhamdulillah, kecil tapak tangan... 

Laptop yang rosak itu belum lagi saya hantar ke kedai untuk dibaiki. Saya menjangkakan kos baikpulihnya agak mahal juga. Jika tidak berbaloi kosnya, tidak perlulah dibaiki dan lebih baik saya simpan sahaja buat kenang-kenangan. Tanpa disangka, kelmarin seorang sahabat menghubungi bertanyakan laptop yang rosak itu dan menawarkan untuk menanggung kos membaikinya. Allah, termenung seketika saya...

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"    

Thursday 5 October 2017

Misi Kemanusiaan Rohingya bersama YAMCP


Alhamdulillah, selesai sudah mesyuarat khas Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) di pejabat utamanya di Sungai Isap Kuantan. Mesyuarat khas ini dihadiri ALP yang tinggal sekitar daerah Kuantan sahaja kerana terdahulu Pengerusi YAMCP mengeluarkan kenyataan, "ALP yang jauh tak perlu hadir, nanti kita 'update' dalam whatsapp grup.

Agenda mesyuarat khas ini adalah untuk menyusun beberapa program 'Misi Kemanusiaan Rohingya'. Fokusnya untuk mencari dana bagi menyalurkan bantuan kepada pelarian. Ketika entri ini dicatat, seramai hampir 500 ribu pelarian Rohingya berlindung di Teknaf Refugges Camp, Coxbazar Bangladesh. 

Saya kira semua sudah maklum apa yang sedang berlaku kepada penduduk Rohingya di Rakhine State ketika ini. Televisyen dan tentunya di internet memaparkan perlakuan penghapusan etnik oleh regim Myanmar ke atas mereka. Bagaikan tidak terjangkau dek akal kita bagaimana perlakuan kejam dikenakan kepada mereka semua. Ramai yang menjadi mangsa, terkorban dengan cukup sadis. Manakala yang sempat menyelamatkan diri bertindak menuju ke sempadan Bangladesh.  

Sehubungan itu, beberapa NGO termasuk Yayasan Amal Malaysia melalui YAM negeri-negeri mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban mereka. Beberapa bentuk bantuan telah disenaraikan seperti pembinaan tubewell, agihan beras, agihan al-Quran, membina shelter, pembinaan surau, aqiqah lembu dan kambing, pembinaan tandas serta pengagihan peralatan dapur seperti cawan, pinggan, sudu, serta peralatan-peralatan yang sesuai.

Alhamdulillah, kempen kemanusiaan ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada beberapa agensi termasuk masjid dan surau, sekolah, IPT, badan-badan swasta dan lain-lain. YAMCP menerima banyak undangan mengadakan sesi penerangan berkaitan isu ini dan seterusnya melancarkan derma dan sumbangan. Kami menganggarkan sekurang-kurangnya RM60K perlu dikumpulkan untuk dibawa ke sana pada pertengahan bulan ini.

Semoga segala usaha ini diberikan taufiq oleh Allah SWT dan dikira sebagai amal ibadat disisi-Nya. Amiinn ya Rabb..  


Sunday 1 October 2017

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Misi Qurban dan Aqiqah 1438H/2017M di Pedalaman Sabah

Assalamualaikum warahmatullah.
 
Ini hanyalah catatan ringkas program misi kemanusiaan (qurban & aqiqah) yang dijayakan oleh YAMCP.  Sepatutnya entry ini telah lama saya 'publishkan', memandangkan ia merupakan program pada bulan Zulhijjah yang lalu. Namun, dek kesinambungan pula dengan program-program lain, maka telah hampir sebulan ia terperuk dalam laptop usang ini. Dalam waktu itu juga, saya langsung tidak sempat menjenguk 'pondok abuikhwan' ini.

Alhamdulillah, sedikit kurnia ruang masa ini, sebagai permulaan saya catatkan dulu misi yang telah diadakan di Pedalaman Sabah. Insya-Allah, jika berkesempatan saya cuba catatkan juga misi qurban dan aqiqah di lain-lain lokasi seumpama di India, Sri Lanka, Mindanao, Sudan, Perkampungan Orang Asal dan sebagainya. Itupun jika ada yang sudi membacanya. 

Sebagaimana yang diketahui, program ini merupakan rutin tahunan YAMCP dan telah pun masuk tahun yang ke 13. Dalam jangkamasa ini, sudah banyak lokasi yang dikunjungi. Manisnya, kerana saya secara langsung terlibat dalam menjayakan misi ini. Tidak kira samada di depan maupun di belakang tabir.  

Balik kepada tajuk, program qurban di pedalaman Sabah telah diadakan bermula 30/08 - 04/09, di dua buah kampung yang berlainan iaitu Kampung Jogotan dan Kampung Pengkalan Darat. Keduanya berada di dalam Pulau Banggi, Kudat.     

Pulau Banggi merupakan sebuah pulau yang terletak di timur laut Kudat, Sabah, Malaysia. Pulau ini berkeluasan kira-kira 440.7 kilometer persegi, merupakan pulau yang terbesar di Malaysia, diikuti dengan Pulau Langkawi dan Pulau Pinang. 

Pulau Banggi terletak di utara Sabah dan berdekatan dengan Teluk Marudu. Dari tanah besar menuju ke Pulau Banggi menggunakan bot pancung atau feri, lebih kurang masa sejam setengah hingga ke dua jam. Puncak tertinggi bagi pulau ini adalah sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Sibumbung dengan ketinggian 529 meter. 

Pusat pentadbiran Pulau Banggi ialah pekan Karakit dan pekan ini menempatkan Pejabat Daerah Kecil Banggi, Rest House (Rumah Rehat), Klinik Kesihatan, Balai Polis, jabatan-jabatan kerajaan, SMK Banggi, Pangkalan Polis PGA, dan rumah-rumah para penduduk kampung. 

Penduduk pekan ini dianggarkan seramai 1000 orang. Penduduk utama Pulau Banggi ialah daripada suku kaum Bajau Ubian dan Dusun Bonggi. Terdapat juga kaum-kaum lain iaitu orang Kagayan, dan Suluk. (wikipedia)

Kampung Jogotan dan Kampung Pengkalan Darat

Sememangnya 2 kampung ini wajar dipilih sebagai lokasi misi. Keadaannya agak dhaif dengan beberapa kekurangan dari segi prasarana. Teringat, jaringan jalan raya yang tidak sempurna menghubungkan di antara kampung-kampung. Jalan tanah merah yang sesetengahnya hanya diturap dengan batuan kerikil kasar. 

Teringat juga ketika mahu bergerak ke kampung sebelah, menaiki kenderaan pacuan empat roda 'klasik' yang disewa. Melambung-lambung setiap kali roda melalui jalan yang tidak rata. Tanpa disangka, kenderaan yang dinaiki tidak dapat meneruskan perjalanan kerana air telah pasang. Rupa-rupanya jalan yang perlu dilalui 'ada' ketika air surut, dan 'ghaib' ketika air pasang. Setelah jenuh berikhtiar, maka dapatlah menyewa sebuah bot milik rakyat Filipina. Tanpa peralatan keselamatan, kami menyusuri pantai untuk ke destinasi yang dituju. Tawakkal sepenuhnya tanpa berbelah bagi.     

Sebuah surau kecil menjadi lokasi bermalam. Bekalan elektriknya berpunca daripada sebuah generator. Tepat jam 10 malam generator dimatikan. Maka berboraklah kami dalam keadaan gelap-gelita. Mujur juga ada lampu suluh, jika tidak terpaksalah meraba-raba dalam gelap sekiranya mahu ke tandas. Alhamdulillah, semuanya dapat dilaksanakan dengan baik seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun berdepan dengan banyak cabaran dan kekurangan. 

Inilah di antara asam garam dalam melaksanakan misi kemanusiaan dan dakwah. Apa yang dilakukan hanyalah sekelumit daripada apa yang telah dilakukan oleh pendakwah terdahulu. Bahkan sangat kecil, tidak sampai separuh debu pun jika mahu dibandingkan dengan mereka semua. Kami hanya melaksanakan tuntutan dan kewajipan sesama insan. Mudah-mudahan sedikit bantuan yang dihulur dapat meringankan sedikit kesusahan mereka.  

Beberapa foto untuk tatapan: