Sahabat Sejati

Thursday, 27 July 2017

Celoteh sebentar..

Lebih tiga bulan anakanda Ikkhwan mengharungi kehidupan di bumi Mesir, kota Kaherah jolokan kota seribu menara. Alhamdulillah, sepanjang berada di sana tiada pernah lagi terjadi apa-apa masalah yang menyukarkan. Moga-moga begitulah hendaknya sentiasa. Meskipun begitu, jika ada sebarang kesulitan, biarlah ianya dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Maklumlah, terpisah jauh beribu batu, hanyalah doa yang mampu dipanjatkan dengan harapan yang disandarkan semata-mata kepada-Nya. 

Rindu? Sudah semestinya. Bak kata Hijjaz: “Rindu itu adalah anugerah dari Allah, Insan yang berhati nurani punyai rasa rindu..” Ya, saya dan ummu Ikhwan punyai rasa rindu terutama di usia ini. Semakin bertambah usia, semakin menebal rasa rindu. Sementelah lagi anak-anak yang lain juga turut tinggal di asrama. Angah Irsalina di PPTI, acik Adawiyah di SMKAA. Di rumah ini tinggallah abi dan ummi, bersama ‘si kecil Haikal yang istimewa’. Sedikit sebanyak terhibur juga dengan keletahnya biarpun lidahnya hanya mampu mengeluarkan suara, “aaa.. eee..” 

Telefon bimbit menjadi alat perhubungan yang sangat penting, untuk mendekatkan jarak kami. Aplikasi whatsapp, voice mail, serta video call banyak membantu. Dapatlah mengubati kerinduan hati kepada anak sulung kami ini. Cuma, kadang-kadang hiba juga tatkala melihat keadaan 'si kecil Haikal yang istimewa'. Beberapa kali saya perasan, linangan air matanya yang membasahi pipi tatkala dia membelek foto-foto abangnya di dalam telefon bimbit ummu Ikhwan. Sambil itu dia menggayakan isyarat tangan dengan maksud, "mana along, (lama along tak balik)? 

Ramadhan dan Syawal baru-baru ini adalah sambutan yang pertama tanpanya. Terasa seperti ada sedikit kelainan. Maklumlah, biasa beraya berenam, tahun ini tinggal berlima. Jangkamasa 5 tahun mungkin boleh terasa sekejap detiknya. Pejam dan celik, malam berganti siang, tanpa sedar lima tahun berlalu. Itu jika dalam keadaan biasa. Tetapi hakikatnya, di ketika ini, ketika rindu mengisi penuh kolong hati, apabila menyebut 5 tahun, terasa lama sangat masanya. Bahkan masa juga terasa bergerak terlalu perlahan.

Moga anakandaku semua berada di dalam limpahan rahmat dan redha-Nya, serta di dalam jagaan-Nya yang sebaik-baik penjaga...

3 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sejhtera sekeluarga..anak2 adalah anugerah terindah dalam hidup kita terlalu bernilai tinggi

Normala Saad said...

Semoga anak-anak Abu berada dalam keadaan baik.

Hana Khairi said...

segala kerinduan itu akan segera berakhir bila tiba masanya. segalanya dengan izin Allah

Post a Comment