Sahabat Sejati

Saturday 24 June 2017

Salam aidilfitri 1438H


Ramadhan telah melabuhkan tirainya. Kini Syawal pula menghadirkan diri. 

Di kesempatan ini, saya menyusun hamparan sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada kecelaruan tulisan, perkataan maupun garisan yang bisa menyentak hati dan perasaan. 

Demikianlah, insan manakan lari dari salah dan silap. Tidak keterlaluan jika dikatakan hidup insan ini sentiasa berada di atas jurang kesalahan dan kesilapan. Justeru, hamparan keampunan dan kemaafan dipersembahkan. Agar yang keruh kembali jernih, yang berduka kembali memutik ceria.

Bersihkanlah hati di bulan Syawal ini sebagaimana ia telah suci di sepanjang Ramadhan yang lalu.

"Selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin"    

Akhukum fillah,
abuikhwan
Kuantan, Pahang

Wednesday 21 June 2017

Lailatul Qadar adalah kemuncak - update


Lailatul Qadar adalah kemuncak kepada agenda ibadah bulan Ramadhan. Setiap orang yang yakin dan percaya akan bersungguh memburunya, kerana besar ganjaran yang akan diperolehi daripadanya. 

Sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab, maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” (Bukhari dan Muslim) 

Semasa kecil, saya sering mendengar orang tua-tua bercerita mengenai lailatul qadar. Kata mereka,pada malam itu pokok akan sujud ke bumi, air akan menjadi beku, alam menjadi sunyi sepi tanpa suara riang-riang dan cengkerik malam dan bermacam-macam kepelikan lagi. Dan itulah yang saya pegang sejak sekian lama. 

Pernah juga saya bangun waktu malam untuk melihat kalau-kalau pokok sujud dan membuka paip air, manalah tahu jika air paip menjadi beku. Otak budak-budak ketika itu. Yang pastinya saya tidak pernah melihat peristiwa itu berlaku. Sedikit demi sedikit pegangan itu terhakis dari fikiran, setelah usia mula menginjak kematangan. 

Sebagaimana yang disebut oleh Prof Hamka semua perkara-perkara itu tidak dapat dipertanggungjawabkan menurut ilmu agama yang sebenarnya. Wallahua`lam. 

Tetapi saya tidak nafikan, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk melakukan sedemikian, malah lebih dari itu lagi. Bukanlah sesuatu yang rumit. Tetapi tidaklah menjadi syarat bahawa lailatul qadar mesti terjadi perkara itu. Kadang-kadang suasana biasa sahaja tanpa ada sebarang keganjilan. 

Namun, sekiranya kita bersungguh-sungguh dan konsisten beribadah bermula satu Ramadhan hingga penghujungnya, tidak mustahil kita akan memperolehinya walaupun tanpa sebarang tanda-tanda kepelikan yang berlaku. Insya-Allah, kerana dalam sebulan Ramadhan, akan berlaku satu hari lailatul qadar. 

Sebenarnya pokok memang sentiasa tunduk dan sujud kepada Allah SWT tanpa mengira masa. Pokok sujud dalam erti kata patuh dan taat kepada perintah dan ketentuan Allah yang disebut dengan ‘Sunnatullah’ atau ‘Sunnah Alam’. 

Pokok membesar menjulang ke langit tidak tunduk mencucuk bumi. Pokok memerlukan udara, air dan baja untuk hidup. Pokok berbunga dan berbuah menurut masa yang ditentukan. Ada buah yang gugur sendiri dan ada yang perlu dikait atau petik. Daun yang hijau apabila tua berwarna kuning layu dan gugur. Semuanya menurut sunnatullah. 

Begitu juga dengan makhluk Allah yang lain seperti matahari yang tunduk dan patuh kepada Allah memancarkan cahayanya pada waktu siang, manakala bulan menyusul pada malamnya. Tidak pernah keduanya berebut atau bertukar masa terbit. Termasuklah angin yang bertiup, petir dan kilat yang memancar, lautan yang terbentang, sungai yang mengalir dan sebagainya tunduk dan sujud pada sunnatullah. Tidak sekali-kali mengingkarinya. 

Lailatul Qadar 

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (al-Qadar: 1-5) 

Menurut Prof Hamka di dalam Tafsir al-Azhar, lailatul qadar diertikan dengan malam kemuliaan, kerana setengah dari erti qadar itu adalah kemuliaan. Dan boleh juga diertikan lailatul qadar itu dengan malam Penentuan, kerana pada waktu itulah mulai ditentukan khittah atau langkah yang akan ditempuh oleh Rasul-Nya di dalam memberi petunjuk bagi umat manusia. 

Kedua-dua makna ini adalah betul iaitu jika diertikan kemuliaan bermaksud mulai malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada Nabi saw, kerana itulah permulaan malaikat Jibril menyatakan diri di hadapan baginda di dalam gua Hira`. 

Jika diertikan dengan penentuan, bermaksud malam itu dimulai menentukan garis pemisah antara iman dan kufur, Islam dan kufur serta syirik dan tauhid. Maka teranglah dari kedua makna itu, lailatul qadar adalah malam yang amat istimewa. 

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada suatu malam yang diberkati, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (ad-Dukhan: 3-4) 

Tingginya nilai malam tersebut melebihi seribu bulan. Pada kali pertama dan utama itu Jibril memperlihatkan dirinya kepada Muhammad menurut keadaan yang asli, sehingga Nabi saw sendiri pernah mengatakan bahawa hanya dua kali baginda dapat melihat Jibril dalam keadaan sebenarnya. Iaitu pada malam al-Qadar atau malam Nuzul al-Quran di gua Hira`. Dan melihatnya sekali lagi di Sidratul Muntaha ketika peristiwa Isra` dan Mi`raj. Manakala ketika yang lain baginda melihat Jibril dalam penjelmaan manusia, sepertimana yang pernah Jibril merupakan dirinya dengan sahabat Nabi saw iaitu Dahiyyah al-Kalbi. 

Bilakah masanya lailatul qadar 

Ahli-ahli hadis dan riwayat membincangkan dengan panjang lebar mengenai bilakah berlakunya lailatul qadar. Disebutkan di dalam Kitab Fathul Baari syarah Bukhari dari Ibnu Hajar al-Asqalani dinyatakan lebih 45 qaul tentang malam terjadinya lailatul qadar. 

Begitu juga dinukilkan di dalam Kitab Nailul Authar oleh al-Imam as-Syaukani. Tetapi terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan berlaku pada 10 akhir Ramadhan. Dikatakan Nabi saw lebih menguatkan ibadahnya berbanding malam-malam sebelumnya serta mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah SWT. 

Abdullah bin Ma`ud, asy-Sya`bi, al-Hasan dan Qatadah pula berpendapat bahawa malam itu adalah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka adalah kerana ada hadis dari Wasthilah bahawa al-Quran diturun pada 24 Ramadhan. Malah, ada sebahagian ulama yang menyatakan bahawa sepanjang Ramadhan itu boleh menjadi lailatul qadar. 

Bilakah waktunya bukan persoalannya, apa yang penting marilah kita mengisi Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Ikhlaskan diri dalam beramal tanpa mengira malam-malam tertentu. Hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui dan menetapkan sebarang malam untuk menjadi malam al-qadar. 

Seperti yang saya tegaskan di awal tadi beribadatlah dengan konsisten sepanjang Ramadhan, bermula awal hingga akhirnya. Insya-Allah kita akan beroleh lailatul qadar yang diimpikan. 

Aamiin ya Rabb...

Saturday 17 June 2017

Bicara santai: Tak bangun sahur pulak!

foto hiasan ~ sumber

Letih dan mengantuk. Lapar dan dahaga sudah semestinya. Inilah akibatnya apabila tidak bangun sahur. Bukan sengaja tidak mahu bangun tetapi memang betul-betul tidak terkejut. Jam sudah dikunci, henfon pun sudah di’setting’ masanya, tetapi masih tidak terkejut. Tidur mati kata orang tua-tua. Yalah, jam dan henfon tidak berkuasa, Allah yang berkuasa. Dia yang memberi rasa mengantuk dan menidurkan hamba-Nya, dan Dia jugalah yang membangkitkan insan daripada tempat tidurnya. Insaf dengan ketetapan taqdir-Nya, kami sekeluarga tidak bangun sahur hari ini. 

Lucu juga apabila mengenangkan, saban tahun pasti ada hari yang kami tidak bangun sahur. Nak buat macamana dah tak terkejut. Masa budak-budak dulu pun selalu terjadi sebegini. Kalut dan kelam kabut kami sekeluarga bila terjaga jam sudah hampir menjengah waktu subuh. Menjerit bonda di dapur memanggil untuk minum sekadar segelas sebelum azan subuh berkumandang. Pada siang harinya merengeklah saya menyatakan rasa lapar dan dahaga, budak-budak. 

Sekarang sudah umur-umur begini tidaklah kalut sangat jika tidak bersahur, cuma terasa rugi dengan keberkatan yang ada pada ibadah sahur itu sebagaimana ingatan Rasulullah saw, pada sahur itu ada keberkatan. Bahkan sahurlah yang membezakan puasa kita dengan puasa golongan yahudi. 

Tidak bersahur memang terasa agak lapar dan dahaga pada siangnya. Malahan jika bersahur pun masih ada juga rasa lapar dan dahaga. Yalah tidak makan dan tidak minum sepanjang hari. Kadang-kadang saya terfikir, pelik juga jika ada yang berkata “saya berpuasa tapi rilek je, tak rasa lapar dan dahaga pun”. 

Bukankah di antara hikmah puasa itu ialah untuk merasa lapar dan dahaga. Dengannya kita dapat berfikir dan sama merasai bagaimana mereka yang tidak mempunyai makanan dan minuman walaupun bukan di bulan Ramadhan. Kita berlapar dan dahaga sekadar di bulan Ramadhan, itupun di siang hari. Waktu berbuka kita boleh 'melantak' semahunya. Tetapi ada golongan yang diuji dengan lapar dan dahaga sepanjang masa. Contohnya di Iraq, Syria, Palestin, termasuk juga negara-negara yang dilanda kebuluran.

Jadi, rasa lapar dan dahaga itu mampu menterjemahkan rasa insaf dan bersyukur dengan apa yang kita mampu dan miliki. Disebaliknya pula ada golongan yang tidak mampu dan memiliki. Fikir-fikir!

Tuesday 13 June 2017

Ramadhan 1438H, telah berlalu separuh daripadanya

 foto hiasan ~ sumber

Tup..tup, pejam dan celik kita telah pun melepasi separuh Ramadhan. Maknanya tidak lama lagi kita akan keluar daripada madrasah tarbiyah tahunan ini. Sekadar pertanyaan, bagaimanakah agaknya kualiti puasa kita setakat ini, sempurna atau tidak, kita sendirilah yang boleh menilainya. Jika terasa semakin ringan untuk beramal ibadat, maka seharusnya kita merasa gembira kerana mendapat sesuatu daripada tarbiyah Ramadhan ini. Namun, jika sebaliknya, tentulah ada yang tidak kena. Maka perlulah kita koreksi diri, mencari-cari dimanakah silap dan kekurangannya.

Bazar Ramadhan tetap seperti biasa, masih bertahan bilangan pengunjungnya. Tetapi sebilangan surau dan masjid telah berkurangan jemaahnya. Bukankah semakin hampir ke penghujung Ramadhan, sepatutnya semakin terisi masa dengan amal ibadat. Entahlah, kadang-kadang terasa pelik dengan apa yang berlaku. Sudah menjadi terbalik, masa yang sepatutnya bertambah hebat kualiti dan kuantiti ibadat menjadi suram dan berkurangan pula. Inilah yang boleh dilihat setiap tahun. 

Madrasah Ramadhan yang menghasilkan taqwa hendaklah digunakan sebaiknya. Hanya yang bertaqwa itu sahaja yang benar-benar mendapat petunjuk Allah dan beroleh kejayaan. Mudah-mudahan kita semua tidak dimasukkan ke dalam golongan yang diisyaratkan oleh Rasulullah saw, ketika baginda menaiki tangga-tangga mimbar masjid baginda. Lalu mengaminkan satu persatu yang disebutkan oleh Jibril as. 

Di antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah saw: “Jibril mendatangiku seraya berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk neraka serta dijauhkan Allah (dari Rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi, “Ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin” Tidakkah peringatan ini amat menggerunkan? 

Maka saya mengajak sahabat sekelian dan tentu sekali kepada diri saya, marilah kita mengisi Ramadhan yang masih berbaki ini dengan sebaiknya. Rebutlah peluang ini. Mudah-mudahan tatkala kita keluar daripada madrasah Ramadhan ini nanti, kita menjadi hakikat seorang Muslim yang fitrah. Insya-Allah.

Friday 9 June 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 100

Salam Jumaat.


"Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat. Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah..." 

~Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat

Puasa bukan alasan untuk bermalas-malasan

foto hiasan ~ sumber

Puasa memang meletihkan, memenatkan ditambah dengan lapar dan dahaga. Tetapi bukan alasan untuk bermalas-malasan. Ada yang menyatakan bahawa puasa melembabkan, membantutkan produktiviti dan bermacam-macam alasan untuk meremehkan puasa. 

Buktinya, di dalam sejarah apabila Presiden Tunisia yang pertama Habib Bourguiba (1957 – 1987) telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya berpuasa di bulan Ramadhan. Alasannya mudah, berpuasa mengurangkan produktiviti. 

Beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengahari bulan Ramadhan sambil makan beramai-ramai. 

Pemikiran sceptic! 

Tetapi salahnya bukan pada puasa tetapi manusia. 

Satu analogi. Jika anda ternampak sebuah kereta yang tersadai melanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan kereta? 

Tidak mungkin. 

Tiada yang akan menyalahkan kereta. Sebaliknya semua orang akan menyalahkan pemandunya. Itu yang sebetulnya. 

Badar al-Kubra 

Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah saw sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1000 orang tentera kafir Quraisy. 

Jika kita berfikir sejenak, apakah Allah SWT tidak mengetahui bahawa tentera Islam sedang berpuasa? Jadi, mengapa diwajibkan berperang sedangkan ketika itu masing-masing dalam keadaan lapar dan keletihan. 

Jelas bagi kita bahawa Allah SWT ingin menunjukkan bahawa walaupun sedang berpuasa tetapi bukan alasan untuk bermalas-malasan, meletihkan dan sebagainya. Terbukti tentera Islam menang dalam peperangan tersebut. 

Bagaimana keadaan kita hari ini, adakah puasa untuk bermalasan dan mengurangkan produktiviti? 

Tepuk dada tanya iman di dalam dada...

Wednesday 7 June 2017

Kenangan masih basah: Belajar puasa

'Ummi tak sempat masak hari ini, jadi kena pergi bazar Ramadhan cari kuih...'

Ketika artikel ini dicoret, hujan dari langit Ilahi mencurah-curah membasahi bumi. Sesekali kilat memancarkan cahayanya berserta guruh yang bergaung di udara. Hujan rahmat, hujan rahmat, benak sentiasa memikirkan demikian.

Hari ini sudah pun masuk 11 Ramadhan. Ini juga menandakan sudah 11 hari kita semua menjalani ibadat puasa. Laju benar hari yang berganti. Kadang-kadang serasa diri jauh tertinggal di belakang dek lajunya masa yang bergulir. Apa pun, moga ibadat puasa yang dikerjakan sehingga hari ke 11 ini sedikit sebanyak mampu menjana kebaikan dan ketaqwaan kepada-Nya. Manakala hari yang berbaki kita penuhi dengan sebaiknya serta makin meningkatkan lagi kualiti setiap ibadah yang dilakukan. Aamiin.

Dalam keasyikan melayani hujan yang bingit menerjah atap, tiba-tiba ingatan menerpa lantas menerjah pada kenangan lebih 3 dekad yang lalu. Memori berputar umpama mesin masa dan saya melayaninya dengan rakus. Teringat ketika mula-mula belajar berpuasa sekira-kira usia 7 tahun dahulu. Jenuh menunggu waktu berbuka. Masa dirasakan bergerak terlalu perlahan. Sekejap-sekejap saya melihat jam loceng yang sentiasa dikelek di tangan. Malahan jarum jam umpama tidak bergerak lagaknya. Teringat kata abang dan kakak, jangan selalu tengok jam nanti masa menjadi lambat, kalau tidak tengok sekejap sahaja masa berlalu. Hmm, tersenyum sendirian saya mengingatkan imbasan memori tersebut. Seperti ada kebenarannya.

Ada masanya akibat tidak tahan, saya merengek dan merayu kepada bonda menyatakan rasa lapar dan dahaga. Bonda dengan lembut memujuk sambil bercerita tentang keseronokan berbuka puasa. Bukan keseronokan yang dibuat-buat, tetapi keseronokan yang dikurniakan Allah SWT bagi setiap mereka yang berpuasa. Keseronokan berbuka puasa kerana hidangannya mungkin lebih pelbagai. Keseronokan yang lebih ketara adalah kerana makan bersama seisi keluarga, serta makan dengan sebenar-benar lapar dan dahaga.

Di tengah beranda rumah pusaka ayahanda, seringkali saya merebahkan badan. Berbekalkan sebiji bantal ‘busuk’ serta jam loceng di tangan, saya melayani perasaan sambil mengharapkan mata terpejam. Tidur adalah salah satu cara untuk melupakan keletihan serta lapar dan dahaga, lazimnya begitu. Tetapi jika perut lapar pun susah juga mahu melelapkan mata. Ada ketikanya setelah selesai memasak, bonda akan turut sama menemani saya di beranda. Sambil lembut mengusap kepala saya, mulut bonda galak bercerita. Bermacam-macam kisah yang diriwayatkan agar saya terlupa pada rasa lapar dan dahaga. Seringkali juga saya tertidur di ribaan bonda. Sangat manis tatkala mengenangkannya.  

Apabila saya melihat zaman ini. Mudahnya ibu bapa memujuk anak-anak untuk belajar berpuasa. Hulurkan sahaja gajet yang penuh dengan berbagai permainan bagi melekakan anak-anak daripada rasa lapar dan dahaga. Habis cerita. Itulah diantara yang dapat saya lihat dikalangan sahabat-sahabat saya. Senyum.