Sahabat Sejati

Friday, 5 May 2017

Akhirnya ketemu jua!


Kunjungan ke daerah Pekan kali ini agak bermakna. Selain memenuhi jemputan ke Kulliah Sultan Abu Bakar untuk menerima sijil STAM bagi pihak anakanda Ikhwan, ada sesuatu yang menjadi kemuncaknya. 

Usai sahaja acara penyampaian sijil, tanpa sempat menunggu jamuan makan, saya ‘melarikan’ keluarga ke destinasi yang biasa saya singgah tatkala bermusafir ke daerah Pekan. Tidak lain, lokasinya di seberang jalan berhadapan Masjid Sultan Ahmad atau juga dikenali dengan Masjid Kubah 10. Di situlah letaknya beberapa kanopi yang menjual berbagai aneka kuih-muih dan minuman segar. Melihat lambakan kuih-muih yang tersusun, naik rambang mata dibuatnya. Macam-macam ada, semuanya nampak menyelerakan sehingga tidak tahu apa yang mahu dicapai! 

Namun keterujaan saya hari ini agak lebih kerana ‘terserempak’ dengan sejenis kuihtradisi yang telah lama saya idam untuk mencicipnya. Tak sangka pula akhirnya ketemu jua. Juadah yang saya maksudkan ialah lemang periuk kera. Teringat di dalam siri animasi ‘Upin dan Ipin’, apabila Kak Ros meminta adik-adiknya mencari periuk kera untuk dibikin lemang sebagai santapan berbuka puasa. 


Lama sungguh saya mencarinya. Sejujurnya, sebelum ini saya tidak pernah melihat di depan mata apatah lagi memakannya. Hanya sekadar melihat gambar dan membaca di dalam internet. Sukar nak mendapatkannya malahan belum terdengar lagi dimana ia ada dijual. Taqdir Tuhan, hmm, hari ini ia sudah di depan mata. Apalagi, tidak perlu menunggu lama, terus membelinya sebelum ia diambil orang lain. 

Sedap! Itulah yang dapat saya simpulkan. Cukup lemak santannya, diganding pula dengan rendang daging yang lembut. Memang menyelerakan. Cuma saiznya kecil sedikit. Kalau saiznya sama dengan lemang biasa, kan ke bagus! Sambil makan, membiarkan tubuh dihembus angin segar dari terusan berhampiran yang mengalir menuju ke Sungai Pahang. Wah, menjadikan suasana sangat mendamaikan. 

Terima kasih kepada kakak yang menjual lemang periuk kera di gerai hadapan Masjid Kubah 10 itu. Tercapai jua hajat saya untuk merasai keenakannya. Insya-Allah, nanti datang lagi!

4 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga dlm lindunganAllah hendaknya...sedapya lemang periuk kera comel je rupanya.
masa kak berkelah bersama kwn2 sekolah kat hutan lipur Pancing banyak jg jumpa periuk kera ni kat tepi semak..xtau pula boleh dimasak lemang.

Normala Saad said...

Salam Abu..
Kak belum pernah jumpa dan makan lagi lemang periuk kera ni. Memang pernah dengar ceritanya. Mungkin satu hari nanti InsyaAllah terserempak juga..

Nor Azimah said...

Assalam ustaz dan kuarga, moga dlm rahmat Àllah jua hendaknya.
Kt area rmh saya ada jual sesekala, tapi tk penah bwrpeluang nk beli, laku sangat.
Agaknya lagi sedap dari lemang biasa ye?

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan...

Apa khabar ? Didoakan Abu Ikhwan dan keluarga dalam lindungan Allah SWT dan dirahmati-NYA.

Jika sudah ditentukan rezeki untuk kita, pasti apa yang selama ini menjadi impian akan dikabulkan Allah SWT. Itulah kasih sayang Allah kepada kita sebagai tanda ganjaran atas bakti kita kepada-NYA selama ini. Tidak semua orang dapat menikmatinya termasuk saya. Beruntunglah Abu Ikhwan dan keluarga.

Walau nampak kecil dan comel tetapi sukar dicari. lemang periuk kera ini belum pernah saya jumpai tetapi periuk kera itu banyak sekali di hutan belukar sekolah menengah saya dahulu. Tak tahu pula boleh dijadikan lemang. Sayangnya Abu Ikhwan tidak menulis harga lemang periuk kera tersebut. Mahal atau murah ? Nak tahu juga ni hehehe...

Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

Post a Comment