Sahabat Sejati

Friday, 28 April 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 97

Salam Jumaat.


Anak murid Tok Guru bertanya mengapa Tok Guru boleh bersabar tatkala dihina sehingga moyang pun dihina.

"Jika seseorang datang dengan hadiah ditangan dan anakanda tidak menerimanya, akhirnya hadiah itu milik siapa?" Tanya Tok Guru kembali.

"Orang yang memberi hadiah itu, Tok Guru," jawab anak muridnya.

"Sama juga dengan perasaan dengki, marah dan penghinaan," kata Tok Guru. "Apabila ia tidak diterima, ia kembali ke tangan orang yang membawanya."

"Oh sebab itu di hujung tadi orang itu yang jadi marah, walhal dia nak Tok Guru yang berasa marah."

Tok Guru tersenyum sambil mengusap kepala anak muridnya. "Senyum"

~Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man~

Sunday, 23 April 2017

Seeru `ala barakatillah, buat anakanda Ikhwan di bumi anbiya`

 

Jumaat, 21 April 2017.

Jam menunjukkan pukul 3.45 pagi ketika kami memulakan perjalanan. Rumah jiran-jiran masih gelap, penghuninya sedang diulit mimpi pastinya. Dimulakan dengan lafaz basmalah dan doa, roda kenderaan bergerak lancar membelah kedinginan pagi melalui jalan pintasan Kuantan - Kemaman. Waktu-waktu begini tidak banyak kenderaan yang lalu-lalang, menjadikan pemanduan cukup selesa. 

Hari ini kami sekeluarga dalam perjalanan menghantar anakanda Ikhwan ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (LTSAS). Sebentar nanti anakanda Ikhwan akan meninggalkan bumi bertuah ini untuk memulakan musafir dalam kembara menuntut ilmu di bumi anbiya`. Dari LTSAS ke KLIA dengan pesawat MAS, kemudian menaiki pesawat Oman Air menuju ke Muscat International Airport Oman dan seterusnya dari sana bertukar lagi pesawat (masih Oman Air) untuk menuju ke Kaherah.

Alhamdulillah, pada tahun ini pihak Jaip/Muip bermurah hati memberikan tiket penerbangan  'ihsan' kepada para pelajar untuk memilih samada mahu naik di LTSAS Kuantan ataupun di KLIA. Jika diikutkan tahun-tahun sebelum ini tidak disediakan tiket 'ihsan' ini. Maknanya semua pelajar perlu naik di KLIA, samada yang dekat atau yang jauh.

Seramai 33 pelajar memilih untuk naik di Kuantan. Manakala selebihnya seramai 44 orang naik di KLIA. Mereka yang naik di Kuantan terdiri daripada pelajar dari daerah Kuantan, Maran dan Temerloh. Ini kerana lebih dekat berbanding ke KLIA di Kuala Lumpur, yang lebih sesuai kepada pelajar dari daerah Jerantut, Bentong dan sebagainya. 


Menurut jadual yang diberikan, pesawat dari LTSAS akan berlepas pada pukul 6.30 pagi. Namun, para pelajar diingatkan untuk berada di sana sekurang-kurangnya jam 4.30 pagi kerana proses menimbang bagasi bermula jam 5 pagi. Yalah, dalam ramai-ramai itu, tentu akan berlaku sedikit kesulitan, biasanya begitulah. Jadi arahan daripada pihak Jaip/Muip untuk berada di sana pada jam 4.30 walaupun difikirkan mungkin agak awal tetapi saya merasakan ia agak relevan. Sudah pasti mereka telah mengambil kira beberapa faktor berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas.

Tanpa diduga berlaku juga sedikit kekecohan. Sebelum ini pegawai Jaip/Muip yang bertugas memaklumkan beg untuk bagasi boleh dalam 2 beg. Tetapi sewaktu mahu menimbang beg, petugas di lapangan terbang memaklumkan hanya satu beg sahaja. Ini kerana dari KLIA mereka akan menaiki pesawat Oman Air yang hanya membenarkan satu beg melalui bagasinya(bagasi melalui Oman Air). Bayangkan kekecohan yang berlaku kerana rata-rata pelajar menyediakan 2 beg untuk disumbat ke dalam bagasi termasuk anakanda Ikhwan.   

Bermulalah kerja-kerja menukar 2 beg kepada satu beg, setakat mana yang boleh. Terpaksalah tingggalkan mana-mana barang-barang yang kurang mustahak seperti barang makanan dan sebagainya. Saya pula meminta anakanda Ikhwan membawa masuk ke dalam pesawat beg yang satu lagi yang sepatutnya dibawa melalui kargo. Tawakkal sahaja. Jika disuruh keluarkan, maka keluarkanlah. Bawalah yang mana boleh. Usaha-usaha dah!     


Jam 6 pagi, para pelajar diagihkan boarding pass dan kemudiannya diarah memasuki departure hall. Kami semua memeluk anakanda Ikhwan dan memberikan nasihat serta kata-kata peransang. Begitu juga dengan ibu bapa yang lain. Suasana agak sayu dan sebak.  ramai yang mengalirkan air mata pada pagi tersebut.

Saya tidaklah bercakap banyak kerana bimbang menerbitkan kesayuan kepada beliau. Hanya berbasa-basi dengan sedikit nasihat. Jangkamasa 4 tahun (boleh jadi 5 tahun) perlulah digunakan sebaiknya. Bukan mudah untuk sampai ke sana. Hanya yang terpilih dengan izin-Nya sahaja dapat sampai. Maka manfatkanlah masa yang ada dengan menimba ilmu sebanyaknya.

 
Sudah pun berlepas! Diiringi dengan lambaian doa dan munajat, moga dipermudahkan semua urusan dan diberikan keselamatan sepanjang berada di Mesir bumi anbiya`. Pergilah dengan segunung harapan, pulanglah dengan segulung kejayaan. Seeru `ala baraktillah, Allahu al-Musta`an...

Mohon doa daripada sahabat-sahabat, mudah-mudahan anakanda Ikhwan berjaya di dalam pengajiannya dan dapat berbakti kepada masyarakat apabila pulang nanti.

Tuesday, 18 April 2017

Fikir-fikir: Pesanan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah...

Saya teringat kepada pesanan Imam al-Ghazali di dalam satu tulisannya. Beliau menyatakan bahawa kita perlu ingat 2 perkara dan lupakan 2 perkara. Setelah saya amati, pesanannya itu memberi hikmah yang amat besar dalam menjalani kehidupan ini. 

Ingat 1 

Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Apa sahaja kebaikan yang orang lakukan kepada kita hendaklah kita ingat. Ini akan menerbitkan rasa menghargai dan terima kasih setelah menerima kebaikan itu. Jika kebaikan daripada manusia kita mesti ingat dan hargai apatah lagi kebaikan pihak yang paling banyak memberikan kebaikan, iaitu ALLAH SWT. Ingatlah kebaikan ALLAH terlalu banyak. Hitunglah betapa baiknya ALLAH kepada kita. 

Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya? Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini? 

Lupa 1 

Lupakan kebaikan kita kepada orang. 

Lupa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti. Kita bimbang dengan mengungkit itu akan ada hati yang terguris, akan ada perasaan yang terhiris. Lalu dengan mengungkit itu akan meruntuhkan pula pahala yang telah dibina. Maka sia-sia apa yang diusahakan. 

“Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!” kata si sombong. 

“Huh..! Dasar tak mengenang budi, masa dia susah siapa yang tolong. Sudah senang......” cebik si dia. 

Jangan begitu. Ingatlah amaran ALLAH SWT di dalam al-Quran: 
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat." (Al-Baqarah: 264) 

Dan yang paling penting jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya. Berapalah sangat ibadah kita jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya. Kita lalai, kita leka, kita alpa. Namun, tidak pernah berkurang sedikit pun nikmat-Nya kepada kita. 

Mahu menghitung nikmat-Nya? Tidak perlu, kerana telah habis air di lautan sebagai dakwat untuk menulisnya. Belum habis lagi habis nikmat-Nya yang mahu dicoret. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan melakukan semua perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Laba kebaikan pastinya untuk kita jua.  

Ingat 2 

Ingat keburukan kita kepada orang 

Ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Kita memang banyak melakukan kesilapan dan kesalahan baik pada tutur kata dan tingkah laku. Kadang-kadang tanpa kita sedari kata-kata atau perbuatan kita menyakiti orang lain. 

Kenangkan ia, ingatkan selalu. Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. Kita tidak mahu menjadi hamba yang muflis tatkala mendatangi Allah SWT di hari akhirat. Lantaran kebajikan yang di bawa terpaksa diserahkan kepada orang lain dan tidak kurang pula keburukan orang lain pula terpaksa kita pikul. Segera memohon kemaafan agar segalanya jernih semula. 

Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan sesama manusia, dosa dan kejahatan kita terhadap ALLAH itulah yang paling melata, setiap masa, setiap ketika. Mohon keampunan daripada-Nya, istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia. 

Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya. Ingatlah kekurangan diri kita, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. 

Lupa 2 

Lupa keburukan orang kepada kita. 

Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupakanlah. Ia akan menghindarkan kita menjadi seorang pendendam. Sifat pendendam amat bahaya kerana ia akan merosakkan hubungan kemanusiaan. Orang yang pendendam hidupnya sentiasa tidak tenteram, resah dan gelisah selagi dendamnya tidak terbalas. Benarlah ungkapan yang menyatakan “Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya.” Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa. 

Jika kita yang gagal memaafkan atau melupakan kesalahan orang kepada kita, maka ia akan terus menyeksa hidup serta mengheret diri ke dalam konflik diri sendiri. Atau makna yang lebih mudah kita berperang dengan perasaan sendiri. Demikianlah deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita. 

MAAFKANLAH SEADANYA 

Kita hamba yang tak memiliki apa-apa, saban masa dan ketika kita melakukan dosa. Kita banyak melanggar perintah-Nya. Justeru, kita amat mendambakan keampunan dari-Nya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita. 

Benar, maafkanlah semua kesalahan orang kepada kita setiap hari sebelum melelapkan mata. Jika kita memaafkan orang lain maka ALLAH SWT akan membuka pintu hati orang lain untuk memaafkan kita. Kepada Allah jua dikembalikan semua urusan.

 ...Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga-Mu 
Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu 
Ampunkan dosaku terimalah taubatku 
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...

Tuesday, 11 April 2017

Semoga Allah SWT memberikan curahan rahmat dan kerehatan buatmu teman..

 
Azhan Atan (1973 - 2017) ~ sumber foto

Innalillah… 

Terkejut, tetapi segera mengucap panjang antara perasaan sedih dan berlapang dada. 

Pagi semalam saya dikejutkan dengan berita yang agak memilukan. Seorang teman telah menghantar pesanan, memaklumkan bahawa salah seorang sahabat kami telah kembali ke rahmatullah. Sahabat yang dimaksudkan ialah Allahyarham Azhan Atan. Dikhabarkan Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di pada jam 12.05 pagi. Jenazahnya telah dikebumikan di Pekan Nanas Pontian. 

Mungkin ada yang mengenali Allahyarham Azhan Atan, atau mungkin juga hanya pernah mendengar namanya sahaja. Atau boleh juga tidak pernah kenal langsung siapakah dia. Sahabat saya ini seorang yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) dengan cacat separuh penglihatan. Namun begitu, Allahyarham dikurniakan suara yang merdu. Tidak hairanlah Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Juara Akademi Nasyid TV9 musim 1 pada 2008 yang lalu. 

Selain itu, Allahyarham banyak terbabit dalam gerak kerja sukarelawan MAPIM dan unit Amal Dewan Pemuda PAS, gigih bergerak ke seluruh negara menyantuni masyarakat walaupun beliau sendiri seorang yang cacat separuh penglihatan. 

Kegigihannya bertungkus-lumus dalam operasi bantuan banjir Pantai Timur beberapa tahun lalu amat diingati sukarelawan dari seluruh negara. Malahan di dalam Metro Ahad pada 2 Ogos 2015 melaporkan kecekalan Azhan yang menyertai lebih 100 misi di dalam dan luar negara sejak 1994 semata-mata menunaikan tanggungjawabnya sebagai Muslim. 

Teringat-ingat

' Bersama Allahyarham dalam Jambori Amal Kebangsaan di Melaka pada 2010'

Masih segar diingatan setiap kali bertemu dengannya di dalam beberapa program. Dalam upaya dirinya yang agak terbatas dia sentiasa melemparkan senyuman rakan-rakan. Kelibat Allahyarham sentiasa ada dalam setiap program di samping membawa barangan untuk diniagakan. Lazimnya, isterinya yang menjaga gerai ketika Allahyarham bertugas di dalam program-program.

Kali terakhir Allahyarham datang ke Kuantan iaitu pada tahun lalu untuk menyampaikan tazkirah Ramadhan di beberapa surau dan masjid. Selepas itu saya mendapat berita melalui whatsapp, dikhabarkan Allahyarham menghidap penyakit strok dan kesihatannya semakin menurun. Semalam saya menerima berita pemergiannya.

Semoga Allah SWT memberikan curahan rahmat dan kerehatan buat Allahyarham yang sejak sekian lama terus bertarung dengan semangatnya yang tinggi selepas disahkan menghidap penyakit tersebut.

Saturday, 8 April 2017

Genap 38 tahun..


Genap 38 tahun ayahanda meninggalkan kami semua
Dalam kelana ke negeri abadi
Biarpun telah kering air mata ini
Namun, kerinduan tidak pernah terpadam
Doa tidak pernah lupa kami panjatkan 

"Moga Allah SWT berkenan mengampuni segala dosa dan kesalahan ayahanda, serta menerima semua amal kebaikannya... aamiin."

Friday, 7 April 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 96

Salam Jumaat.


"Seekor haiwan tidak akan peduli tentang halal dan haram makanan yang ditelannya. Ia tidak peduli kebun atau harta orang kerana halal haram bukan satu persoalan baginya. Berbeza dengan manusia, halal dan haram merupakan satu persoalan yang perlu difikir sebelum makan atau melakukan sesuatu. Jika tidak, seorang manusia itu samalah tarafnya dengan haiwan..." 

~Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuesday, 4 April 2017

Tujuan hidup manusia di dunia

“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan (kebenaran) Allah. Mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. Dan mereka hanyalah berkata bohong (yang tidak ada dasar kebenarannya). (Al-An`aam:116). 

Setiap insan di dunia ini pasti mempunyai tujuan hidup masing-masing. Tidak ada manusia yang berkata bahawa mereka sekadar hidup dan tidak tahu mengapa mereka hidup. Mustahil. 

Tujuan hidup berbagai-bagai dan terpulang kepada individu itu sendiri. Tujuan hidup yang berbagai inilah yang mencorak dan mewarnai perjalanan hidup manusia. Tidak dinafikan dalam mengharungi arus kehidupan ada yang tersasar dari lapangan tujuan hidup. Mereka dibayangi tujuan hidup yang rapuh dan kabur. Mereka mudah di pengaruhi manusia di sekeliling mereka, lalu mereka tenggelam dalam arus yang menyesatkan dan semakin jauh dari kebenaran. 

Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat di atas: 
“Melalui ayat ini Allah memperingatkan kembali kepada kita tentang bahayanya mengikuti pendapat orang ramai yang menyebabkan mereka menyimpang jauh dari jalan Allah. Biasanya pendapat dan fikiran seseorang itu semata-mata andaian dan sangkaan semata-mata yang bukan dari sumber ilmu pengetahuan yang benar. Justeru itu, kepercayaan yang bulat kepada Allah mesti ada pada setiap manusia, yang tidak dapat dipengaruhi oleh apa-apa dan sesiapa pun.” 

Sesungguhnya tidak ada jaminan bahawa pendapat orang ramai itu benar dan selamat. Namun apa yang berlaku manusia lebih cenderung kepada bilangan yang banyak. Sehingga mereka mengukur dan menilai kebenaran itu berdasarkan jumlah manusia ramai. Inilah yang sepatutnya kita khuatiri jika pendapat yang banyak itulah yang menyeleweng manusia dari jalan Allah. 

Oleh yang demikian firman Allah di dalam surah al-An`aam ayat 116 memperingatkan kita supaya berhati-hati dalam kehidupan, dan bertegas agar tidak tidak tertipu dan terpedaya pendapat dan tingkah laku sebahagian besar manusia. 

Secara umumnya al-Quran menggambarkan tujuan utama hidup manusia di dunia boleh dibahagi kepada tiga tujuan: 

Pertama 

Manusia yang menjadikan hidupnya untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Mereka menggunakan tenaga, masa, fikiran, harta dan jiwa untuk mendapat redha Allah. Mereka berjuang menegakkan agama Allah. 

Firman Allah SWT: 
“Dan ada diantara manusia yang menjual dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (al-Baqarah: 207) 

Imam Jalaluddin al-Mahadi dan Imam Jalaluddin as-Suyuti menyatakan maksud ‘menjual dirinya’ dalam ayat ini ialah sanggup mengorban dirinya semata-mata ketaatan dan kepatuhan pada perintah Allah SWT. 

Oleh itu, setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya mestilah bersedia mengorbankan seluruh tenaga dan jiwa raga kepada Allah. Tiada tujuan selain mencari keredhaan Allah SWT. 

Kedua 

Manusia yang menjadikan hidupnya untuk dunia semata-mata. Mereka menghabiskan tenaga dan jiwa serta masa hanyalah untuk kesenangan dan keseronokan demi memuaskan keinginan nafsunya, mereka ingin hidup berkekalan di dunia. Tujuan hidup mereka kabur dan mereka melupai kebesaran dan nikmat Allah SWT. 

Allah berfirman: 
“Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang.” (Muhammad: 12) 

Allah SWT menyatakan kelakuan orang-orang yang mengingkari-Nya adalah seperti haiwan. Mereka makan seperti makannya haiwan. Mereka tidak pernah mengambil tahu apa yang mereka makan sama ada halal atau pun haram. 

Mereka hidup dalam keadaan berseronok-seronok, bersukaria dengan dunia serta menurut hawa nafsu. Mereka berebut-rebut mengutip kekayaan dan keseronokan dunia tanpa memikirkan ke mana selepas ini. Amat malang sekali jika ada di antara orang Islam yang turut terpedaya dengan kehidupan ini. Hidup yang tiada pegangan, tiada memberi manfaat masa, harta dan tenaga. 

Firman Allah SWT: 
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta benda yang melimpah-ruah dari emas dan perak, kuda tunggangan pilihan, binatang-binatang ternak dan tanam-tanaman. Itulah kesenangan hidup di dunia. Dan kepada Allah jualah tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Ali-Imran: 14). 

Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: 
“Sesungguhnya Allah SWT memberitahu apa yang disukai dan dicintai oleh manusia dalam kehidupan dunia yang berupa pelbagai kesenangan dan kemewahan seperti wanita-wanita, anak-anak...tetapi kemudiannya Allah SWT akhiri ayat ini dengan peringatan bahawa semua itu merupakan kebahagiaan hidup di dunia, kesenangan dan keindahan yang akan hilang dan lenyap. Sedangkan di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya". 

Sepatutnya segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT digunakan semata-mata untuk mencari keredhaan-Nya, yang demikian adalah sebaiknya. Namun demikian, mutakhir ini kita lihat berbagai serangan fizikal dan pemikiran yang menimpa umat Islam. Lihatlah apa yang ada di dalam media masa serta media cetak sekarang. Kebanyakannya adalah mengajak ke arah berhibur yang melampau-lampau. 

Cara hidup hedonisma yang di canang dari segenap penjuru. Maka tidak hairanlah umat Islam kini mulai lalai dan leka serta semakin jauh dari cara hidup Islam. Sensitiviti terhadap sesuatu isu yang melibatkan umat Islam pudar dan terpadam, jiwa umat Islam mati. Yang tinggalah puntung-puntung jasad yang condong menanti rebah. 

Ketiga 

Ada pula yang tujuan hidupnya sentiasa berubah-rubah mengikut peredaran zaman. Mereka seumpama lalang yang meliuk-liuk menurut angin yang bertiup. Mereka akan beribadat atau berjuang jika ianya memberi manfaat atau mendapat pujian dan sanjungan. Tetapi jika ibadat tersebut menyebabkanya tergugat serta di timpa kesusahan atau pun keperitan maka ia segera berlalu, mereka lari meninggalkannya. 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 11: 
 “Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan berada di tepi, maka jika ia beroleh kebajikan tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh sesuatu bencana berbaliklah ia kebelakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang amat nyata.” 

Apa yang hendak dikatakan kepada golongan manusia seperti ini. Jelas golongan ini seumpama tidak mengerti hakikat hidup. Mereka sekadar mempertahankan kehidupan tanpa melihat kepada kebenaran. Agama diperlukan untuk mempertahankan serta kepentingan sendiri. Namun jika agama dianggap mengongkong serta menyekat kebebasan maka agama dicampak ke tepi. Mereka inilah yang disebut oleh Allah SWT sebagai golongan yang rugi di dunia dan akhirat. 

Ibnu Kathir menjelaskan di dalam tafsirnya berkenaan ayat ke 11 surah al-Hajj: 
"Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Nya, ada yang menyembah Allah dengan keyakinan separuh-separuh dan iman yang amat rapuh. Apabila penglihatan mereka dalam ibadat menemui kebajikan dan menyebabkan nasib yang baik dalam kehidupan maka mereka tetap dalam ibadat dan menganggap agama itu baik dan benar.akan tetapi apabila diuji dengan musibah yang membawa kepada kerugian maka ia berpaling ke belakang serta mempersalahkan agama."

Betapa ramai golongan yang sebegini dalam kehidupan kita hari ini. Mereka berjuang bersungguh-sungguh serta mengajak manusia ke arah kebaikan dan menegah kepada keburukan. Mereka bekerja dan mencurahkan masa, tenaga dan harta untuk perjuangan. Tetapi apabila berhadapan dengan ujian yang berat, risiko perjuangan lalu mereka berpaling. 

Mereka menukar haluan perjuangan, melompat sana dan sini. Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada perjuangan yang mereka lalu kerana telah mendapat platform baru yang membantu mereka melepaskan diri dari ujian tersebut. Lompat sana, lompat sini....Wallahua`lam.