Sahabat Sejati

Thursday 16 March 2017

Kenangan masih basah: Abang Long dan layang-layangku

 'Pasar pagi di daerah Pekan ~ sumber foto

Sebelum pulang ke Kuantan seusai menziarahi anakanda Ikhwan di Kulliah Abu Bakar Pekan, saya singgah sebentar di Pasar Tani berhampiran Jalan Rompin Lama. Dari satu gerai ke satu gerai saya susuri bersama ummu Ikhwan dan si kecil Haikal. Meninjau-ninjau jika ada sesuatu yang berkenan untuk dibeli. 

Suasana tidak ubah seperti di pasar pagi di tempat lain dengan deretan pelbagai gerai. Ada gerai pakaian, kuih-muih, buah-buahan, lauk pauk dan sebagainya. Seronok memerhati gelagat penjual yang menawarkan jualan serta pengunjung yang berpusu-pusu dengan tujuan masing-masing. 

Setibanya di satu gerai, milik sepasang suami isteri yang mempamerkan beraneka jenis dan warna layang-layang di samping barang permainan kanak-kanak. Kami berhenti sebentar. Anak mata saya tertumpu pada sesuatu. Tiba-tiba teringin saya untuk membelikan layang-layang kepada si kecil Haikal. Tanpa banyak bersoal saya membayar harga layang-layang tersebut walaupun kemudiannya saya dapati harganya agak mahal. Ah, apa yang tidak mahal sekarang ini, detik benak saya. 

“Kalau tak setuju ikan mahal jangan makan ikan, makan sayur sahaja. Kalau tak setuju tol naik, jangan lalu highway lalu jalan biasa. Kalau tak setuju minyak naik, guna basikal...” Hmm, teringat beberapa ayat ‘keramat’ pak-pak menteri di negara Malaysia yang tercinta ini. 

Layang-layang yang berbentuk segi tiga dan bercorak warna-warni serta ekornya berambu lebat, begitu juga kepak di kiri kanannya, bertukar tangan. Haikal mempamerkan keseronokan seraya menegakkan ibu jarinya tanda isyarat bagus. Ummu Ikhwan di sebelah turut tersenyum. 

“Pandai ke Haikal main nanti..” ujarnya. 

Petang yang menjadi kenang-kenangan 

Petang itu, walaupun masih terasa sedikit kepenatan, saya gagahi menemani Haikal ke padang permainan perumahan kami. Beberapa orang budak-budak turut sedang bermain layang-layang. Cuaca yang baik, angin yang agak kuat memang sesuai untuk bermain layang-layang. 

Tetapi, agak sukar untuk si kecil Haikal menaikkan layang-layangnya sehingga berkali-kali saya terpaksa membantunya. Ya, kondisinya tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya layang-layang tersebut berjaya juga dinaikkan setelah dibantu oleh seorang anak jiran. 

Terhibur hati saya melihat keseronokan mereka berdua bermain layang-layang, terutama si kecil Haikal. Kalau diikutkan anak jiran saya itu yang memainkannya, si Haikal sekadar memegang hujung gelung tali. Mengikut sahaja arah gerakan tali yang ditiup angin. Tak mengapalah, asalkan dia gembira, saya juga turut gembira. 

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan si kecil Haikal kepada keluarga kami. Pastinya ia terkandung hikmah yang tidak mampu saya tafsirkan. Tetapi saya yakin setiap ketentuan-Nya adalah kebaikan. 

Saya meninggalkan mereka berdua bermain bersama kumpulan budak-budak yang lain. Pangkin kayu di tepi padang menjadi tempat saya melabuhkan punggung. Dari kejauhan saya memerhati, tiba-tiba hati saya dirundung sayu. 

Suatu hari, lebih tiga dekad yang lalu menjengah ke dalam lipatan nastolgia hati. 

Teringat-ingat 

Musim cuti persekolahan bermula. 

Tanah lapang berhampiran rumah ayahanda menjadi taman permainan kami. Bermacam-macam permainan budak-budak yang dimainkan. Seingatnya, zaman saya dan kawan-kawan membesar, permainan kanak-kanak pada masa itu banyak bergantung kepada alam sekeliling. 

Manalah kami tahu permainan komputer, play station dan sebagainya. Terlalu asing bagi kami yang lebih sebati dengan menggantung lastik di tengkuk, bedil buluh di tangan, menggalas senapang kayu atau meranduk paya mencari ikan laga tanpa merasa jeran dengan gigitan sang lintah di betis. 

Permainan waktu itu menjadikan kami kreatif mencipta, belajar berinteraksi sesama manusia dan interaksi dengan alam. Bahkan, permainan dulu-dulu kebanyakannya dimainkan secara berjemaah. Rasanya tidak seperti permainan kanak-kanak zaman sekarang yang asyik dengan keseronokan menekan punat komputer. Masing-masing dengan dunia sendiri. Aku aku, kamu kamu. 

Lebih malang lagi baru menginjak usia awal remaja sudah pandai merempit di jalanan, melepak sehingga dinihari bermandi embun. Demikianlah harga kemodenan yang perlu dibayar yang telah menghakis identiti remaja dan kanak-kanak silam. 

Maafkanlah kerana membebel pula. 

Ah, saya sudah terlampau asyik mengisahkan perihal yang menghilangkan warna tajuk cerita di atas. Begitulah diri saya, mudahnya larut dalam kenangan sehingga tersasar daripada apa yang mahu dipaparkan. 

Saya kembali semula ke judul entri ini. 

Layang-layangku 

 foto hiasan ~ sumber

Satu petang setelah selesai mengaji quran, saya habiskan masa di bawah pohon jambu air, berdekatan tanah lapang. Anak mata melihat kanak-kanak yang kebanyakannya sebaya dengan saya bermain layang-layang. Waktu itu musim panas berangin yang memang sesuai untuk bermain layang-layang. Bila mereka mula melabuhkan lelayang masing-masing barulah saya bangun dan beredar. 

Ketika melangkah untuk pulang, hati saya mula berkira-kira untuk meminta abang long buatkan saya sebuah layang-layang. Teringin benar mengelek layang-layang bersama rakan. Teringin benar rasanya memegang tali layang-layang yang sedang berlengok-lenggok menongkah angin. 

Setiba di rumah, saya ajukan hasrat saya kepada abang long yang sedang berehat di beranda. Namun dia menjawab pendek, tidak mahu saya bermain di tengah panas. Ibu yang turut berada di situ hanya mendiamkan diri. 

Petang esoknya sekali lagi saya melabuhkan punggung di pangkin di bawah pokok jambu air tersebut. Dari jauh saya memerhati keriuhan kawan-kawan yang bermain layang-layang. Hari ini semakin ramai yang menyertainya. Hati saya semakin membuak-buak untuk turut sama menaikkan layang-layang ke udara. Tapi, apakan daya saya tidak punya layang-layang seperti rakan-rakan yang lain. 

Kembali ke rumah petang itu, sekali lagi saya ajukan permintaan saya kepada abang long. Namun, jawapannya tetap sama seperti semalam. Hmm, mungkin petang esok dan petang seterusnya sama juga jawapannya yang diberikan. Akhirnya saya membuat kesimpulan sendiri yang abang long memang tidak mahu membuat layang-layang untuk saya. Ada sedikit rasa rajuk yang menguasai perasaan saya. 

Petang keesokannya, pulang dari mengaji, saya kumpulkan surat khabar lama yang berada di atas almari. Beberapa batang lidi kelapa saya ambil dari seberkas penyapu serta segulung benang daripada bekas menjahit emak. 

Tanpa disedari sesiapa saya membawa semua bahan itu menuju ke pangkin di bawah pokok kuini. Kebiasaannya pangkin tersebut menjadi tempat nenek meraut lidi kelapa atau menjahit atap nipah. Tanpa berlengah saya mula membuat layang-layang menggunakan bahan-bahan tersebut. Agak sukar membuatnya kerana saya tidak memiliki kemahiran. Ah, asalkan nampak bentuk layang-layang jadilah! 

Setelah puas bertungkus-lumus, akhirnya terhasillah sebuah layang-layang buatan sendiri. Walaupun tidaklah secantik mana, tetapi saya puas kerana dapat menyiapkannya. Memandangkan hari telah rembang, lalu saya pun menyangkut layang-layang tersebut di tiang bawah rumah, dan bertekad untuk memainkannya petang esok setelah selesai mengaji. 

Serasa puas 

Petang itu saya bermain layang-layang di halaman rumah. Saya tidak menyertai rakan-rakan yang lain kerana secubit rasa malu dengan layang-layang saya yang tidak berapa cantik berbanding dengan kepunyaan mereka. Tanpa merasa penat, saya berlari ke hulu dan ke hilir dengan layang-layang buatan sendiri yang hanya melayang-layang di atas kepala. Walaupun tidaklah setinggi mana, itupun jika saya berlari tanpa henti, tetapi saya gembira memainkannya. 

Malam itu saya tertidur awal kerana keletihan. 

Keesokannya seperti biasa tatkala pulang dari mengaji saya meluru ke bawah rumah tempat yang saya sangkutkan layang-layang. Hajat di hati ingin membaiki layang-layang agar lebih baik lagi. Tiba-tiba, anak mata saya tertumpu pada sebuah layang-layang yang cantik. Sebuah layang-layang yang berwarna kuning (kertas minyak) dengan kepak dan ekor yang berambu berada di tempat saya sangkutkan layang-layang semalam. 

“Wah, cantiknya..” hati saya meronta bercampur girang. 

Petang itu saya membawa layang-layang untuk menyertai kawan-kawan yang lain. Saya tidak merasa malu kerana layang-layang saya setanding dengan kepunyaan mereka. Kegembiraan yang tak terkata, apabila melihat layang-layang saya terbang menongkah awan. Sambil bermain layang-layang saya terfikir, tentu abang long yang membuatnya. 

Jiwa seorang abang 

'Pusara abang Long di kampung'

"Pakcik, ni layang-layangnya..."..tiba-tiba anak jiran yang menemani Haikal bermain layang-layang tadi bersuara. Saya tersentak, sekaligus memecahkan lamunan yang terbang jauh tadi. Segera saya berpaling dan menyeka air mata yang bergenang tiba-tiba.

“Terima kasih ya...” 

Matahari hampir tenggelam di ufuk barat. Burung-burung juga berterbangan untuk kembali ke sarang. Saya memimpin tangan si kecil Haikal untuk pulang ke rumah. 

Sedar dan terusik hati saya mengenangkan betapa kasih abang long kepada saya. Walaupun pada mulanya dia tidak mahu membuatkan layang-layang untuk saya, namun tersentuh jiwanya apabila melihat saya yang berlari ke hulu ke hilir sendirian bermain layang-layang. 

Untuk itu, abang long sanggup meredah hutan mencari buluh, membelah serta merautnya untuk dijadikan kerangka. Kemudian dia ke kedai Nyah (nyonya tua) pula untuk membeli kertas minyak dan dan gam. Kemudian bermulalah proses membuat layang-layang tersebut sehingga siap. Tidak terbayang di benak saya betapa rumitnya kerja-kerja menyiapkannya. Sedangkan saya, hanya singgah di tepi jalan dan membeli sebuah layang-layang yang telah siap untuk anak-anak saya. 

#moga roh abang long dicucuri rahmat Ilahi, al-Fatihah

4 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Seronok Haiqal dapat main layang2 ya.
Betul lah ustaz mainan zaman kita dulu semua melalui kreativiti sendiri bersama kawan.Berbanding skg yang banyak dihabiskan dengan gajet.
Sayang sungguh abang long dengan adeknya ya walaupun mulanya menegah...berusaha dia membuatkan layang2 cantek.
Semoga arwah sentiasa dicucuri rahmat...

Normala Saad said...

Salam Abu, memang dulu2 buat wau dng kertas minyak tu...walaupun ketika itu budak lelaki ja main tapi kami budak ppuan tak mau ketinggalan juga. Mesti nak beli wau dikedai cina & sama2 walaupun tak pernah berjaya terbang tinggi...kisah dulu2 ya

Nor Azimah Ali said...

Assalam, moga ustaz dan keluarga sentiasa dlm rahmat dan kasih sayang Allah hendaknya.
Turut terguris sayu membayangkan kasi sayang seorg abang kpd adiknya, sanggup bersusah-payah utk memenuhi permintaan seorg adik..
Ya, kita dulu2 kalo bermain mesti bermain ramai2, mcm baling selipar, susun tin, tuju getah tu, seronoknya, bila cerita kt ank2 dorang pun rasa seronok. Zaman skrg ni nk lepaskan ank2 main jauh sikit pun risau.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga..kenangan lalu menyentuh rasa..berderai airmata baca catatan ustaz ni..indah walau sayu

Post a Comment