Sahabat Sejati

Tuesday 14 February 2017

Hujan turun lagi!

'Foto 1 ~ YAMC Pahang dalam misi bantuan banjir pada Januari lalu'

Ketika entri ini ditulis, hujan masih lagi menerjah atap anjung rumah saya. Berdetak-detak bunyinya membingitkan telinga. Hujan yang turun, sekejap lebat sekejap perlahan. Musim tengkujuh masih belum berakhir agaknya walaupun kita semua telah pun berada di bulan Februari. 

Jika dulu-dulu, seingat saya, musim tengkujuh dalam lingkungan bulan November dan Disember. Bulan Januari itu sudah dikira permulaan masuk musim panas. Tetapi kebelakangan lima, enam tahun ini ia tidak begitu. Kena gaya bulan Februari pun masih lagi hujan turun mencurah-curah. Macam di tempat saya sekarang ini. 

Minggu lepas, saya membaca dalam laporan Jabatan Meterologi menyatakan beberapa daerah di Pahang mengalami hujan tahap kuning bermula Jumaat sehingga Isnin termasuk tempat saya. Tetapi hari ini sudah pun hari Selasa dan hujan masih ‘beghek’. Yalah nama pun ramalan. Kadang betul kadang silap. Apa pun, ia semua adalah di dalam pengetahuan dan perancangan-Nya. 

'Foto 2 ~ YAMC Pahang  dalam misi bantuan banjir pada Januari lalu'
 
Sebenarnya, dari sebelum subuh lagi hujan telah turun. Malahan, ia telah bermula sejak dua hari yang lalu. Tetapi seperti yang saya katakan hujan tidaklah berterusan turun, melainkan sekejap-sekejap. Ada masa lebat kemudian berhenti, selepas itu turun semula renyai-renyai kemudian sidang semula. 

Belum ada lagi tempat yang dinaiki air. Jika dilihat pada keadaan hujan, secara logiknya tidak akan berlaku banjir. Mudah-mudahan begitulah. Tidak seperti hujan di awal Januari lalu, banyak negeri yang dinaiki air. Saya menonton di televisyen berita banjir di beberapa negeri seperti Johor, Terengganu dan Kelantan. Negeri Pahang juga tidak terkecuali terutama di sebelah Pahang barat. Alhamdulillah, saya turut bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang melancarkan misi bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat. 

Dalam hati, saya sendiri juga merasa cuak, bimbang jika tempat saya dinaiki air. Teringat peristiwa ditimpa bah kira-kira tiga tahun yang lalu. Kami sekeluarga diarahkan berpindah bersama penduduk yang lain. Maka, berpindahlah kami sekeluarga ke dewan orang ramai berhampiran yang dijadikan pusat pemindahan. 

 'Foto 3 ~ YAMC Pahang dalam misi bantuan banjir pada Januari lalu'

Jadi, merasa jugalah pengalaman 'percutian' 4 hari 3 malam di pusat pemindahan. Dengan keadaan yang serba kekurangan dan kurang selesa, kami ‘memaksa’ diri untuk sentiasa ceria sepanjang berada di situ. Itulah pengalaman yang saya kira berharga juga untuk disimpan 

Hujan masih lagi turun. Moga tiada yang buruk berlaku. Allahu al-Musta`an.

5 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga. Kalau kawasan selalu ditenggelami air kala hujan turun akan buat kita risau cuaksentiasa..........banjir kilat pun boleh berlaku tak mengira musim lagi. moga kita terhindar drpd musibah banjir yg xdiingini.

Unknown said...

allahu. semoga hujan yg turun lebih membawa rahmat di tempat ustaz.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Tempat akak ni pun boleh kata setiap hari dan malam hujan sekejap2 tapi taklah lebat berterusan.Mujurlah tempat akak ni bukan kawasan banjir .

Nor Azimah Ali said...

Rasanya tahun ni banjir tak seburuk banjir 2014. Tahniah pd usaha kebajikan yg dibuat.

Eh, lupa plak, moga ustaz sekeluarga dlm rahmat dan kasih sayang Allah selalu.

Bunda_nora said...

AsSalam Ustaz... tempat bunda ni sejak dua minggu ni panas sangat .

Post a Comment