Sahabat Sejati

Thursday, 26 January 2017

Tiba-tiba teringat Ramadhan, bukan kemaruk!

Dalam rintik-rintik hujan yang membasahi bumi pagi ini, saya termenung jauh di birai tingkap. Teringat zaman budak-budak dahulu. Satu persatu memori singgah di benak terutama ketika bulan Ramadhan. Ya, Ramadhan di zaman budak-budak dulu sangat mengesankan. Tiba-tiba saya terasa ingin menulis mengenai Ramadhan.

Tentu ada yang berkata, kemaruk sangat ni. Ramadhankan lambat lagi, lebih kurang 4 bulan lagi. Sekarang ini pun, dalam sehari dua baru nak masuk Jumadil Awal. Yalah, membaca tajuknya pun mungkin sudah ramai yang terasa lain macam. ‘Betul’ ke tidak si penulis ni? Agaknyalah.

Jika menulis dalam bulan Rejab boleh dikatakan wajarlah juga kerana mahu mengaitkan dengan saranan hadis Rasulullah saw supaya membaca doa, "Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya`ban. Dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan." Wajarkan? Tetapi sekarang ini belum pun masuk Rejab lagi. Lusa baru masuk bulan Jumadil Awal. Memang janggal jika menulis sesuatu yang diluar ‘musim’. Mushkidah? (bukankah begitu?)

Bukan kemaruk. Bukan juga 'gelepor'. Saya melihat di sisi yang lain.  

Al-Hafidz Ibnu Rajab menyebutkan satu riwayat yang menunjukkan semangat mereka dalam menyambut Ramadhan. Beliau menyebutkan keterangan Mu’alla bin Al-Fadhl – ulama tabi’ tabiin – yang mengatakan:

 كانوا يدعون الله تعالى ستة أشهر أن يبلغهم رمضان يدعونه ستة أشهر أن يتقبل منهم

“Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadhan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadhan. Kemudian, selama enam bulan sesudah ramadhan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka selama bulan Ramadhan.” (Lathaif Al-Ma’arif, hlm. 264) 

Nah! Maknanya relevanlah jika saya menulis tentang Ramadhan pada ketika ini, sebagaimana mengambil teladan para sahabat rhum, berdasarkan kata-kata al-Hafidz Ibnu Rajab.  Moga sahabat-sahabat bersetuju dengan saya. (senyum)

Tidak sabar

Memang saya tidak sabar menanti kedatangan Ramadhan. Kalau boleh biarlah Ramadhan dua, tiga kali setahun. Bukannya setahun sekali. Saya percaya sahabat-sahabat pun sama, merindukan lambaian Ramadhan. Saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan jika ada yang tidak menyukai bulan ini. “ Aduh Ramadhan dah tiba, birulah muka aku menahan makan 12 jam..” 

Entahlah jika ada yang berkata demikian. Tetapi saya rasa tidak ada (saya cuba bersangka baik), kerana semua sukakan Ramadhan. Buktinya, ada yang tidak sembahyang tetapi sanggup berpuasa menahan makan selama 12 jam. Maknanya mereka sayangkan bulan Ramadhan dengan turut sama berpuasa. Bab sembahyang, itu soal lain. Janji Ramadhan mesti dihormati dan diraikan. 

Sangat tepat ia disebut sebagai adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Lihatlah, ramai yang menjadi baik tatkala masuknya bulan ini. Masjid dan surau mulai penuh sehingga AJK-nya berkira-kira perlu dibesarkan lagi tahun hadapan untuk menampung jemaah yang hadir. Tangan pula menjadi ringan untuk bersedekah dan menderma, manakala budaya bertukar juadah menjadi satu kemestian dek kerananya. Itulah penangan Ramadhan.

Bagi diri saya pula selain daripada peluang menambah-nambah amal kebajikan dengan berbagai-bagai program yang telah disusun, Ramadhan ada sesuatu yang menggamit hati dan sanubari yang menjadi kenang-kenangan. Ia ada kegembiraan yang sukar untuk dijelaskan, tetap ia sentiasa di dalam benak memori. 

Namun, dalam melayan kegembiraan tersebut terlintas juga di fikiran, “sempat ke aku bertemu dengan Ramadhan tahun ini..” 

Takut dan bimbang menguasai jika ajal terlebih dahulu menjemput. Kehidupan bukan milik kita. Ia adalah kepunyaan mutlaq Allah SWT. Dia yang menciptakan kita dan seterusnya menetapkan tarikh kematian yang menjadi rahsia milik-Nya. Dalam ketakutan sekiranya tidak sempat bertemu dengan bulan Ramadhan, saya berharap-harap agar sempat dengan izin-Nya. 

Kata Syeikh Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi di dalam Mau`izatul Mukminin: 
"Takut dan harap adalah seumpama dua sayap yang digunakan untuk terbang bagi orang-orang yang benar-benar mendekatkan diri dan jiwanya kepada Allah SWT agar dapat menuju ke kedudukan yang terpuji.” 

Keduanya perlu ada dalam setiap diri Muslim. Sifirnya mudah, kita takut Allah tidak menerima amal ibadat kita tetapi dalam masa yang sama harap-harap Allah terima. Kita takut Allah tidak mengampunkan dosa kita, dalam masa yang sama harap-harap Allah ampunkan. Demikianlah hakikatnya, takut dan harap sangat perlu dalam kehidupan. 

“Takut tidak sempat bertemu Ramadhan, harap-harap sempat,” kata hati kecil. 

#Tak sabar tunggu Ramadhan
#Mushkidah : Bukankah begitu (lahjah arabiah `amiyyah @ arab pasar)

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Kalau boleh kakak pun nak ramadhan selalu AI. Kenapa tau kakak suka. Banyak yg kakak nak list tapi semuanya taklah memberi ganjaran banyak sebenarnya.

1. Tak payah masuk dapur berkali-kali
2. Tak payah sibuk buat utk bawa bekal
3. Boleh diet haha..
4. Nak makan apa aje ada di bazar hihi..
5. Lepas ramadhan ada raya hooreyy!
6. Kalau baca quran mesti banyak-banyak best kan
7. Solat terawih dpt jumpa ramai kawan yg tak selalu pernah ke masjid.

Heee... dah banyak dah. Jgn marah kakak gurau

Hakikatnya ramadhan memang salah satu bulan indah buat kita umat Islam. Kalau Johor ni rabiulawal pun tau AI. Kami bermaulid sampai bulan rejab. Best tau!

Nor Azimah said...

Salam ustaz dan kzakie.
Setuju ngan kzakie terutama yg no 1 dan 2, hihi

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sejahtera sekeluarga...sentiasa menanti hadirnya ramadn agar mampu dinikmati lagi suasananya. sedih pula baca n3 ustaz ni

Normala Saad said...

Salam Abu, Semoga kita semua sempat bertemu Ramdhan tahun ini.

Post a Comment