Sahabat Sejati

Monday, 2 January 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (21)


foto hiasan ~ sumber

Kembali ke Pangkuan Ibu

Sejak peristiwa pembelahan dada itu, Halimah mula risau akan keadaan baginda. Dia pun mengembalikan baginda kepada ibu kandungnya. Sejak itu, baginda hidup bersama ibunya sehingga umur enam tahun.(1)

Untuk mengingati suaminya yang telah meninggal dunia, Aminah berasa perlu berziarah ke makam Abdullah di Yathrib. Maka, dia meninggalkan Mekah untuk menempuh perjalanan yang jauhnya mencapai 500 kilometer. Nabi Muhammad saw turut mengikuti bersama-sama pembantunya, Ummu Aiman dan Abdul Mutalib.

Di Yathrib, mereka tinggal selama sebulan. Selepas itu, mereka pulang. Dalam perjalanan pulang, Aminah menderita sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu meneruskan perjalanan pulang yang masih jauh. Akhirnya Aminah meninggal di Abwa, sebuah kampung yang berada di antara Mekah dan Madinah.(2)

Dalam Pengasuhan Datuk Penyayang

Nabi Muhammad saw dibawa pulang ke Mekah oleh Abdul Mutalib. Rasa simpati terhadap cucunya yang telah lama menjadi anak yatim semakin bertambah. Musibah baru kematian Aminah yang menimpa cucunya itu menyebabkan luka lama (kematian Abdullah) terbuka kembali.

Rasa kasihannya terhadap Nabi Muhammad saw begitu mendalam. Belum pernah dia rasa begitu terhadap anak-anaknya sendiri. Sekuat tenaga dia bertekad tidak akan membiarkan cucunya hidup terlantar sebatang kara. Bahkan, dalam banyak hal, cucunya itu lebih dia dahulukan berbanding anak-anaknya sendiri.

Ibnu Hisyam menyatakan, "Ada sebuah tempat rehat yang diletakkan berdekatan Kaabah untuk Abdul Mutalib. Sanak-saudaranya selalu duduk-duduk di sekeliling tempat rehat itu jika Abdul Mutalib tidak ada di situ. Kalau Abdul Mutalib datang, mereka segera bangun untuk menghormatinya. Pernah sekali, Rasulullah saw yang sewaktu itu masih kanak-kanak menghampiri tempat rehat itu dan hampir duduk di atasnya. Bapa-bapa saudaranya segera menghampiri baginda, memegang dan berusaha mencegahnya agar tidak duduk di atas tempat rehat itu. Namun begitu, Abdul Mutalib berkata, "Biarkanlah anakku ini di sini. Sesungguhnya, masa hadapan yang gemilang ada di tangannya." Lantas Abdul Mutalib turut duduk bersama baginda di atas tempat rehat itu. Dia mengusap belakang baginda dengan tangannya dan sentiasa berasa gembira dengan tingkah laku yang dilakukan oleh baginda."(3)

Ketika Rasulullah saw menginjak usia lapan tahun dua bulan dan sepuluh hari, datuk baginda, Abdul Mutalib meninggal dunia di Mekah. Sebelum meninggal, Abdul Mutalib menyerahkan pengasuhan cucunya itu kepada bapa saudara baginda, Abu Talib.(4)    

Rujukan:

(1) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 7 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 168.

(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 168, Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum al-Atsar, hal. 7, Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. 1, hal. 63 dan Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 50.

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 168.

(4) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 7 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 169. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

3 comments:

Nor Azimah said...

Assalam, moga ustaz dan keluarga dlm redha dan rahmat Allah selalu.
Salam rindu buat baginda dan ahli keluarga baginda.

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Seronok baca sirah nabi walaupun dah biasa dengar .

paridah said...

Assalam ustaz moga dirahmati Allah sekeluarga...Nabi saw junjungan mulia yg dicintai ummatnya

Post a Comment