Sahabat Sejati

Thursday 12 January 2017

Kenangan masih basah: Rindu rumah itu...

 'Hanya rumah kampungan, tidak cantik. Tetapi beranda sentiasa dikunjungi dan halaman menjadi tempat jiran-jiran menumpang melaksanakan ibadah korban'

Kadang-kadang saya diramas jari-jari kerinduan pada sebuah kenangan. Tatkala rindu itu semakin menyesak, saya segera berkhayal untuk menggapai kembali jejak bayang-bayang lama yang terbias di kelopak ingatan. Rindu itu tidaklah suatu yang besar, kerana ia hanyalah rindu biasa. Sebenarnya jiwa saya diheret kerinduan pada sebuah rumah lama. Ya, di situlah letak jatuhnya sebuah kerinduan, pada sebuah rumah yang pernah didiami suatu ketika dahulu. 

Rumah itu rumah biasa. Bukan rumah agam atau rumah mewah. Sekadar rumah lama rakyat kebanyakan yang dibina hasil titik peluh nenek moyang terdahulu. Tiang dan gelegarnya dibelah dengan gergaji menggunakan kudrat empat kerat. Manakala dinding dan papan lantainya terdiri daripada bilahan papan yang dibelah dan diketam halus dengan penuh teliti menggunakan alatan tradisional. Sudah pasti cita-cita pembina rumah itu ialah untuk menyedia teduh bukan sekadar sehari dua, tetapi hingga ke anak cucu, biar pun dirinya sudah reput di perut dunia. 

Akhirnya tersergamlah sebuah rumah kayu di hadapan sebatang jalan yang diberi nama Jalan Tengah. Di sinilah saya dibesarkan dengan limpahan kasih sayang ayahanda dan bonda. Kasih sayang dua wali keramat yang sentiasa mengalir tercurah tanpa syarat. Bahagianya di saat memanjat tangga-tangga kehidupan meniti hari-hari mendatang.

Teringat ketika berlari-lari di tengah-tengah ruang rumah sehingga menggegarkan lantai. Teringat juga ketika melompat dari berandanya terus ke halaman tanpa menjejak kaki terlebih dahulu pada anak tangga. Semuanya gara-gara ingin meniru aksi pendekar di dalam televisyen. Kemudian, disusuli jeritan bonda memarahi kerana bimbang tercedera. Semua itu kerana naluri kasih sayang seorang ibu, anugerah Tuhan yang Maha Kasih Sayang. 

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa rumah itu menghadiahkan sejuta warna dan makna dalam hidup saya. Ia begitu hening dan damai menyapa bongkah-bongkah memoir silam zaman budak hingusan. Saya tersenyum keseorangan tatkala nostalgia tersebut singgah di benak memori. Setiap nostalgia ada manis, ada pahit dan jerih. Namun, tidak keterlaluan saya katakan, ia sentiasa indah apabila dikenang. 

Letaknya di Jalan Tengah 

'Jalan Tengah'

Rumah kayu ini berdiri di hadapan sebatang jalan yang digelar Jalan Tengah. Sebatang jalan yang dulunya hanyalah jalan tanah merah yang sesetengah permukaannya ditutupi rumput menjalar. Kemudian datang lori-lori yang sarat dengan batuan kerikil menambun jalan tersebut, menimbus sama rerumput yang selama ini subur mencengkam akar. Saya masih ingat ianya diawal 80-an, dari atas beranda saya melihat jentolak meratakan batuan kerikil yang dicurah lori tersebut. Akhirnya tidak berapa lama ia diturap pula dengan tar hitam oleh sang penguasa untuk kemudahan penduduk kampung. 

Serba-salah pula mahu mengakui apa yang pernah mendodoi-dodoi perasaan. Masih saya ingati ketika zaman bersekolah dulu. Entah mengapa, saya merasa amat malu jika ada rakan-rakan yang mahu bertandang ke rumah. Mengapa? Pelik bukan? Sebenarnya, malu jika rakan-rakan melihat rumah saya hanya sebuah rumah kayu. Ada juga riak-riak cemburu apabila melihat rumah rakan-rakan yang dibangunkan dengan bancuhan pasir, batu dan simen. “Cantik, tentu seronok tinggal di dalamnya.” Getus hati kecil. 

Ahh, rumah saya pula cuma rumah kayu, rumah kampungan, tidak cantik, tiada apa-apa istimewa. Dalam diam saya memendam impian untuk tinggal di rumah batu suatu hari nanti. Masa itu bolehlah sahabat-sahabat datang bertandang ke rumah dan saya tidak akan merasa malu lagi. Budak-budak begitulah fikirannya. Masih hingusan.. 

Saya teringat sewaktu kedua orang tua masih ada dulu, rumah ini sentiasa menjadi tumpuan. Berandanya yang luas dipenuhi dengan jiran-jiran yang datang bertandang pada waktu petang. Bonda pula suka menjamu dengan apa yang ada. “Singgah dulu..!” tegur bonda dari atas beranda kepada sesiapa yang lalu di hadapan rumah. Begitu juga jika ada jiran-jiran berhampiran yang melaksanakan ibadah korban, pasti halaman rumah kami yang menjadi tempat menambat dan menyembelih haiwan korban. Sangat meriah suasana ketika itu. 

Masih saya ingati, di beranda ini jugalah saya tersadung jatuh ke tanah kerana terlebih melangkah. Sakitnya tidak terperi. Lebih sakit lagi apabila terdengar suara abang menyindir, “beranda besar tu pun boleh jatuh...” Diikuti ketawa kecil yang menyucuk-nyucuk anak telinga. Teringat juga bagaimana lembut tangan bonda menuam lebam di lutut dan siku akibat terjatuh tadi. Sambil itu bonda bercerita kisah-kisah lama yang mencuit hati. Akhirnya rasa sakit tadi hilang bersama pelukan mesra bonda. 

Masa berlalu pantas, ayahanda dan bonda telah lama berkelana dijemput Tuhan. Jiran-jiran yang suka bertandang dan duduk bersembang di waktu petang sambil mencicip juadah yang bonda sediakan juga telah ramai yang menyusul pergi. Jika yang masih ada pun sudah semakin uzur membilang usia. Hendak mengatur langkah pun terpaksa dipapah oleh anak cucu. Apatah lagi mahu berjalan-jalan sendiri ke luar halaman. Maka rumah pusaka yang mempunyai beranda besar ini tinggal sepi dan semakin terasing. Sudah tiada siapa yang mahu bertandang dan melabuhkan punggung di atasnya. 

Tiada juga haiwan korban untuk disembelih yang tertambat di pohon kuini. Tiada lagi. Halamannya juga semakin dinaiki semak menerung. Kami adik-beradik juga mula berpisah mencari haluan. Setiap orang tercampak di tempat rezeki yang telah dijanjikan. Rumah pusaka ini pula mula semakin terbiar usang dimamah peredaran masa. Tiba masanya ia juga pasti akan menyembah bumi kerana tiada yang abadi di dunia ini. Begitulah juga kami, sampai masanya akan jua menyusul pergi. Siapa yang dahulu, siapa yang kemudian.. 

"Ada ketikanya manusia tidak dapat membendung perasaan rindu pada masa silam. Apabila jiwa diruntun kerinduan yang menggigit jiwa dan perasaan, mereka semacam mahu kembali pada saat-saat keindahan yang mencorakkan seribu satu macam kenangan, agar kenangan itu tetap segar dan hijau di ingatan. Maka terhasillah bait-bait coretan sebagai pengganti kenangan yang semakin jauh ditinggalkan" 

##Al-Fatihah buat ayahanda dan bonda serta abang sulung yang telah mendahului. Kami jua akan menyusul nanti tatkala tiba janji waktunya. 

13 comments:

Kakzakie Purvit said...

Itulah memori yg pasti akan terpahat kejap dalam ingatan. Anak-anak sekarang tidak punya keindahan seperti zaman kita kecik dulu. Rumah kayu dan jiran yg erat sukar utk kita lihat scenario ini lagi sekarang.

paridah said...

assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga...kdg kita langsung tak menjangka akan melangkah meninggalkan jejak yang melukis kenangan indah kita...hanya memori terpahat kemas di ingatan hingga akhir hayat.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...bila baca entry ustaz ni,bagai terbayang kembali kehidupan akak masa budak2 dulu.Akak pun selalu rasa rendah diri bila nak ajak kawan datang rumah masa tu...ialah akal budak2.Apa yg ustaz lalui juga akak rasai pengalaman nya di rumah kampung dulu...indahnya bila di imbas kembali.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...bila baca entry ustaz ni,bagai terbayang kembali kehidupan akak masa budak2 dulu.Akak pun selalu rasa rendah diri bila nak ajak kawan datang rumah masa tu...ialah akal budak2.Apa yg ustaz lalui juga akak rasai pengalaman nya di rumah kampung dulu...indahnya bila di imbas kembali.

Normala Saad said...

Saya pun sentiasa digamit ringu pada kampung tempat dilahirkan. Walaupun telah berpindah semasa remaja tapi kampung itulah yang selalu ada dalam fikiran saya. Banyak kawan sekolah dan rakan bermain disitu. Sudah masuk dalam senarai hajat untuk kesana semula satu hari nanti

Warisan Petani said...

Apabil sudah berusia, kita rindukan zaman kanak2 semasa bersama2 kedua2 orang tua, membesar di rumah pusaka, sungai, sawah bendang, kebun getah,ternakan, sekolah rendah , kawan2 dan adik beradik. Semuanya tinggal kenangan yang tak akan kembali lagi.

raihanah said...

kenangan, setiap orang akan laluinya nanti

abuikhwan said...

Salam kakzakie, terima kasih atas kunjungan. Benar tu akak, semua kenangan tu terpahat kemas di memori.. Rumah kayu, jiran-jiran yang bagaikan saudara terdekat sukar utk dilihat masa ini

abuikhwan said...

Salam kak paridah, terima kasih atas kunjungan.
Kenangan itu pasti ditinggalkan seiring masa dan usia...hanya memori yang masih berlegar-legar diingatan.

abuikhwan said...

Salam kak saniah, terima kasih atas kunjungan.
Pengalaman cerita kita semua hampir sama, yang berbeza hanya masa dan ketika. Walaupun kadang-kadang pengalaman lampau itu ada manis dan pahit...tetapi sentiasa indah apabila dikenang

abuikhwan said...

Salam kak normala, terima kasih atas kunjungan
Sesiapa pun pasti ada rindu pada tempat dilahirkan, dibesarkan...saya doakan agar hajat akak dimakbulkan

abuikhwan said...

Salam wp, terima kasih atas kunjungan..
Benar apa dikata, kita pasti ada pada kenangan lalu..tidak kiralah kenangan manis atau pahit... Dan semakin jauh kenangan itu ditinggalkan seiring masa dan usia

abuikhwan said...

Salam raihanah, terima kasih atas kunjungan
Kenangan yang pasti jadi ingatan

Post a Comment