Sahabat Sejati

Tuesday, 10 January 2017

Jangan persiakan masa itu

 'Sebahagian daripada bersemadinya kasih sayangku'

Duhai yang masih bergelar anak. Tentu kamu mengerti akan kasih sayang seorang ibu atau ayah. Perasan itu akan lebih bermakna setelah kamu menjadi salah satu daripadanya. Kasih keduanya mengatasi segala apa yang ada. 

Mungkinkah ia dapat dinilai dengan emas permata? Atau dinilai dengan wang ringgit? Tidak. Manakan sama dengan semua itu. Tidak sesekali hilang perasaan rindu seorang ibu dan ayah kepada anak-anak. Bahkan semakin bertambah usia, semakin tebal perasaan rindu di dalam dada. 

Pernahkah kita terfikir, kadang-kala ibu tidak dapat menyuapkan makanan ke mulutnya kerana teringatkan anak-anak. Kadang-kala ayah tidak mampu melelapkan mata kerana terkenangkan anak-anak. Ada ketikanya berlinang air mata ibu kerana merindui anak-anak. Ada ketikanya ayah hanya diam bersandar di sudut serambi kerana memikirkan perihal anak-anak. 

Cubalah bertanya, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka. Bilakah kali terakhir kita mencium tangan dan merangkul tubuh lemahnya. Sedangkan berada di dalam pelukan mereka seumpama turun sakinah dari langit Ilahi. 

Tidak cukup dengan hanya mengirim sejumlah wang, atau bertanya khabar melalui telefon. Malahan tidak cukup dengan hanya menempelkan foto di facebook kemudian menitipkan “Aku sayang ibu atau ayah”. Manakan rindu dapat dilampiaskan seandainya tidak bertemu, mata tidak bertentang, tubuh tidak berdakapan. Fahamilah isi hati ayah dan ibu, kerana satu masa kita juga akan berada di tempat mereka.

Pulanglah bertemu mereka. Dengarilah cerita-cerita mereka. Semakin tua, suara mereka semakin kurang didengari. Mereka tiada cerita baru, semuanya cerita lama. Namun fahamilah, apa yang diperdengarkan untuk kita bukanlah sekadar cerita dan kisah, tetapi cinta. Ya, cinta dan belaian untuk kita semua anak-anaknya yang telah dewasa dan berkeluarga.

Tatkala masih diberi kesempatan, maka gunakanlah untuk menggembirakan mereka. Setelah kesempatan itu direnggut, maka penyesalan tiada berguna, ia pasti tidak akan kembali.

4 comments:

Warisan Petani said...

In syaa Allah.

Nor Azimah said...

Assalam, moga keluarga ustaz beroleh sakinah sentiasa.
Terkenang arwah bonda, rindu tidak terkata.

abuikhwan said...

Salam wp,
InsyaAllah alhamdulillah

abuikhwan said...

Salam kak nor azimah,
Terima kasih atas doanya...ya sentiasa ada rindu utk keduanya

Post a Comment