Sahabat Sejati

Tuesday, 31 May 2016

Dosa, antara lalat dan gunung

"Disebabkan dosa-dosa mereka, orang-orang itu ditenggelamkan lalu dimasukkan ke dalam api neraka, maka mereka tidak mendapati penolong selain Allah." (Nuh: 25)

Dosa adalah perbuatan yang dilarang Allah SWT yang dimuatkan di dalam al-Quran tentang pengharamannya, atau perbuatan yang wajib dihukum, atau sesuatu perbuatan yang mengundang ancaman seksaan api neraka pada hari kiamat.

Dosa yang dilakukan menimbulkan kegelapan hati. Apabila hati telah menjadi gelap, maka ia pun menjadi keras dan jauhlah pemilik hati tersebut dari Allah. Akibat daripada perlakuan dosa adalah kerugian di dunia dan akhirat dan tidak akan selamat melainkan ia memohon keampunan serta bertaubat  dengannya.    

Disebutkan, orang-orang fasik melihat dosa hanya umpama lalat yang hinggap di atas hidungnya. Boleh dihalau begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Orang beriman pula melihat dosa bagaikan sebuah gunung yang mahu menghempapnya. Begitu besar dan berat untuk ditanggung serta akibatnya buruk. 

Sebab itu kita tidak pelik apabila ditegur berkaitan soal pelanggaran syariat secara terang-terangan dalam masyarakat, ramai yang memberikan reaksi berbeza. Ada yang mudah menerima, manakala ada sebahagian pula bagaikan ianya tak ada apa-apa salah dan dosa. Malahan disinis dan disindirkan pula.  

Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni semua dosa kita...

Sunday, 29 May 2016

KAU SEMBAH APA? Berdialog Dengan Non-Muslim


Tajuk : KAU SEMBAH APA? Berdialog Dengan Non-Muslim
Penulis : Ahmad Iqram Mohamed Nor
Penerbit : PTS Publishing House
Harga : SM 25.00 / SS 28.00
Muka Surat : 280
 
Buku ini mengisahkan tentang agama-agama di Malaysia, serta ulasan dan kritikan terhadap isu-isu sensitiviti antara agama yang wujud di negara ini. Sesungguhnya ia bukan perkara atau isu baharu untuk didialog dan dibahaskan, masing-masing akan menegakkan hujah untuk menyatakan bahawa agama merekalah yang terbaik untuk dianuti.

Apa yang berlaku dalam masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum masih wujud lagi individu yang beranggapan bahawa apabila mereka masuk Islam, bermakna mereka masuk Melayu. Ini menunjukkan bahawa masih ramai yang hanya kenal Melayu tetapi masih belum mengenali Islam dengan baik. Sebenarnya mereka harus mengenali Islam seperti mana kesungguhan mereka mengenali agama mereka. 

Kemunculan buku KAU SEMBAH APA? Berdialog Dengan Non-Muslim ini bagaikan sebuah subjek dalam fakulti Usuluddin mengajar mengenai perbandingan agama serta agama-agama yang ada di Malaysia yang dipegang oleh pelbagai kaum dan keturunan di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Buku ini memaparkan sembilan bab. Ia dimulai dengan penjelasan mengenai pengertian atau definisi agama yang dihubungkan dengan manusia. Agama yang diperakui Allah adalah Islam sahaja, kerana Islam adalah satu nama bagi agama buat umat Islam yang diperkenal dan diberi nama oleh Allah SWT seperti yang termaktub dalam al-Quran. Perkataan Islam disebut beberapa kali dalam al-Quran, antaranya ayat 19 surah Ali `Imran yang bermaksud: "Sesungguhnya satu-satu agama yang diperakui Allah adalah Islam." Islam yang diertikan sebagai penyelamat bagi manusia di dunia dan akhirat.

Bab kedua mengkisahkan mengenai peranan dakwah dengan sistematik bagi menarik lebih ramai lagi non-muslim untuk menerima Islam. Perkataan dakwah tidak ada bagi agama-agama selain Islam di Malaysia ini. Inilah keunikan Islam berbanding agama lain, kerana ia lengkap datangnya dari Allah Yang Maha Sempurna. 

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Friday, 27 May 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 69

Salam Jumaat.


Jangan melampau di dalam menceritakan perkara agama kepadaku... 
Sebaliknya biarkanku melihat agama itu melalui perangai, akhlak dan pergaulanmu.

Wednesday, 25 May 2016

Tuesday, 24 May 2016

Bicara santai: Sekadar berkongsi cerita hari ini...

'nombor giliran hari ini'

Hari ini sekali lagi saya mengambil cuti kerana memenuhi temujanji di Jabatan Oftalmologi, HTAA. Bukan temujanji saya tetapi 'si kecil Haikal yang istimewa'. Jabatan oftalmologi atau senang faham iaitu klinik mata. Alhamdulillah, walaupun ramai pesakit yang menunggu, tetapi 'si kecil Haikal yang istimewa' mendapat nombor giliran yang agak awal. Mungkin kerana dia pemegang kad OKU, jadi didahulukan gilirannya. Saya cuma mengagak.

Hasil pemeriksaan hari ini, dikhabarkan si Haikal perlu menukarkan cermin matanya dengan 'power kanta' yang lebih tinggi. Jika diikutkan, sekarang ini 'power kantanya' adalah 1700+ sebelah. Makin tinggi 'power kanta' maknanya makin tinggilah harganya. Tetapi bukanlah kos itu yang mahu dirungutkan. Insya-Allah ada jalannya. Cuma saya terfikir, apabila bertambah 'power kanta' bermakna ada masalah dengan mata anak saya yang 'istimewa ini. Ada juga sedikit detik di hati, namun saya tenangkan dengan kalimat: "Allah tidak menguji melainkan dengan kesanggupan hamba itu..." 
 
Sebenarnya masalah mata 'si kecil Haikal yang istimewa' dikesan sejak lahir lagi. Di kedua belah matanya terdapat selaput katarak yang membataskan penglihatannya. Oleh itu, pihak hospital telah mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bagi membuang katarak tersebut. Maka, sewaktu si Haikal berumur 6 tahun, pembedahan pertama pun dilakukan untuk membuang katarak di sebelah mata kanan. Kemudian 3 bulan selepas itu, pada mata sebelah kiri pula. 

Sejak daripada itulah si Haikal memakai cermin mata dengan 'power kanta' yang sangat tinggi. Sejak daripada itu juga saya perlu membawanya untuk temujanji di hospital sampai sekarang. Tetapi mujurlah di HTAA Kuantan, jadi tidaklah sesulit mana. Cuma banyak cuti yang perlu diambil setiap bulan.  
          
Entah sudah berapa kali saya membawa Haikal ke HTAA untuk pemeriksaan kesihatannya sejak daripada usia kelahirannya. Memang saya tidak pernah pun mengira berapa kali. Termasuk juga di klinik ENT, SOPD, Paediatric dan juga IJN di Kuala Lumpur. Mujurlah temujanji di jabatan Fisioterapi sudah lama discharge sejak dia mula boleh berjalan ketika berusia 5 tahun. Boleh dikatakan kebanyakan staff di klinik-klinik berkenaan sudah pun mengenali si Haikal.            

Apa pun, temujanji hari ini sudah pun selesai. Insya-Allah, bulan depan pula datang bertandang. Apa ceritanya, wallahu a`lam semua di dalam ilmu-Nya Yang Maha Bijaksana. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana, "DALAM URUSAN DUNIA LIHATLAH ORANG YANG LEBIH RENDAH DARIPADA KAMU." Pengajarannya, supaya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki...

Allahu al-Musta`an...

Saturday, 21 May 2016

Dapat lagi...


"Malam Nisfu Sya'ban Insya Allah jatuh pada hari sabtu tanggal 21.5.16 malam minggu (tutupnya buku amalan). Jadi sebelum terlambat saya dan keluarga meminta maaf kalau ada salah baik disengaja atau yang tidak...kerana NABI MUHAMMAD SAW bersabda: "Barang siapa yang mengingatkan kedatangan bulan ini, HARAM api neraka baginya..." Aminn ya rabbal `alamin. Maaf lahir batin semua dosa dan salah baik yang disengajakan maupun yang tidak sengaja." 

Demikianlah bunyi pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang saya terima. 

Ada lagi rupanya pesanan ringkas yang dikitar semula. Dulu ia dihantar melalui SMS. Tetapi sekarang ini dengan teknologi lebih canggih dan mudah seperti whatsapp, twitter, FB, Telegram dan sebagainya. Terutama melalui perkongsian ‘group’, cukup dengan satu tekan butang ‘send’, beratus yang akan menerimanya. 

Akhirnya setelah diam seketika, saya membalas: "Meminta maaf amalan yang mulia dan amat digalakkan. Tetapi hadis yang dinyatakan itu tiada asalnya dan tiada sanadnya (hadis palsu). Maka hentikanlah daripada menyebarkannya." 

Ancaman 

Apabila masuk sahaja bulan baru, maka kedengaranlah apa yang didakwa sebagai hadis seperti yang saya dan pastinya rakan-rakan juga pernah terima. Malahan sama sahaja susunan ayatnya dengan memberikan fadhilat yang sangat besar. Di antara yang dikatakan hadis itu ialah: 

Bila tiba bulan Muharram, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Muharram, haram neraka baginya..." 

Bila tiba bulan Rejab, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Rejab, haram neraka baginya..." 

Bila tiba bulan Syaaban, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Syaaban, haram neraka baginya..." 

Bila tiba bulan Zulhijjah, 
"Barangsiapa yang memberitahukan tentang kedatangan bulan Zulhijjah, haram neraka baginya..." 

Demikianlah yang pernah saya terima.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 1209, baginda saw bersabda: Dari al-Mughirah ra, beliau berkata: Aku pernah mendengar Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka, sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka." 

Berpandukan kepada hadis di atas, sebagai peringatan yang sangat jelas kepada kita bahawa berdusta ke atas nama Rasulullah saw bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Malah ia adalah suatu perkara besar yang sewajarnya dielakkan oleh sesiapa jua. Ingatlah ancaman yang dijanjikan kepada mereka yang berdusta ke atas nama baginda saw, iaitu sesuatu yang amat dahsyat, bakaran api neraka. 

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, muka surat. 98) 

Sama-sama beringat!

Friday, 20 May 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 68

Salam Jumaat.


Hidup manusia dalam 4 keadaan:

Samada dalam ketaatan... ia perlu teruskan.

Samada dalam maksiat... ia perlu istighfar.

Samada dalam nikmat... ia perlu syukur.

Samada dalam bala... ia perlu sabar.

Thursday, 19 May 2016

Bicara santai: Along Ikhwan sudah balik Pekan

 Stesen bas Rapid Kuantan ~ sumber foto

Along Ikhwan sudah pun berada di dalam perut bas Rapid untuk balik ke asramanya di Pekan. Setelah lebih dua minggu bercuti, maka tibalah masa untuk menyambung kembali pengajian yang tergendala ekoran pembedahan kaki tempohari. Banyak subjek yang tertinggal yang perlu diulangkaji memandangkan peperiksaan akhir pada bulan November nanti. Insya-Allah, jika lulus sekurang-kurangnya pangkat ‘Jayyid’ bolehlah memohon untuk menyambung pengajian samada di Mesir, Jordan atau di Indonesia, ataupun di universiti tempatan dengan biaya biasiswa Yayasan Pahang.

Kalau nak pergi dengan belanja sendiri, alamat tak kesampaianlah jawabnya. Berapa banyak RM yang perlu disediakan. Zaman sekarang semua benda mahal. Itulah realitinya. Bak kata seorang kenalan, "Di Malaysia ni hanya air hujan sahaja yang turun, yang lain semuanya naik." Gelihati saya mendengarnya. Apa pun lupakanlah dulu yang itu. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan impian anak sulung saya itu untuk menjadi seorang pendakwah. Aminn...

Sebelum menghantar beliau naik bas, terlebih dahulu saya membawanya ke klinik DFU, HTAA untuk memenuhi temujanjinya. Ekoran itu terpaksa (tidak terpaksa pun sebenarnya) saya mengambil cuti setengah hari. Alhamdulillah, hasil pemeriksaan pakar perubatan, kesan pembedahan tersebut telah sembuh sepenuhnya dan tidak memerlukan rawatan ulangan. Cuma antibiotik yang dibekalkan perlu dihabiskan.

Bas mula bergerak meninggalkan stesen menuju destinasi. Di rumah tinggallah saya dan ummu Ikhwan ditemani 'si kecil Haikal yang istimewa' yang sentiasa bising mulutnya tanpa butir bahasa. Insya-Allah, ahli syurga... 

Monday, 16 May 2016

Sukarnya menjadi guru di zaman ini - updated

 
Guru, cikgu, murabbi, sifu, mudarris ataupun apa sahaja yang seerti dengannya adalah kalimat yang menyerlahkan di mata maupun di hati kemuliaan dan kehormatan. Tatkala kalimat ini dituturkan, maka sekilas rasa yang terlintas di benak manusia ialah rasa terhutang budi akan jasa-jasa mereka. 

Sejak dari usia kecil saya telah dilingkungi insan-insan yang bergelar guru. Saya dapat menyaksikan betapa kehormatan diberikan kepada mereka, hatta walau hanya mengajar mengenal alif ba ta kepada anak-anak kampung. Mereka bukan hanya dihormati oleh anak-anak yang datang belajar mengaji saban malam, malahan turut dihormati oleh ibu bapa anak-anak tersebut. 

Penghormatan itu mereka tumpahkan melalui sikap dan laku, tutur bicara dan pertolongan yang mereka hulurkan kepada guru anak-anak mereka. Sedaya upaya hati guru anak-anak mereka dijaga. Jika boleh tidak mahu sekali-kali guru anak-anak mereka terkilan sehingga menimbulkan rasa jemu dan tidak senang kepada anak-anak mereka. Bimbang ilmu yang ditadah hilang keberkatannya. 

Anak-anak sering diingatkan agar sentiasa ringan tulang membantu kerja-kerja tuan guru. Tujuannya ialah agar anak-anak mereka dikasihi dan disenangi oleh guru. Dari kasih sayang itulah mengalir ilmu yang penuh berkat dan membekas ke dalam jiwa anak-anak murid. 

Benarlah pesan guru saya: “Separuh dari keberkatan ilmu adalah dengan kita mengamalkan ilmu, dan separuh lagi adalah dengan kamu menghormati guru-guru kamu.” 

Saya masih ingat ketika kanak-kanak dahulu, selepas mengaji al-quran kami akan membantu memenuh air di dalam tempayan, menyapu sampah, menyiram tanaman dan sebagainya. Kami lakukan adalah semata-mata perasaan kasih dan curahan bakti kepada jasa guru yang mengajar. 

Begitu juga jika ingin berpindah belajar di tempat lain, maka hendaklah meminta kebenaran dan dihalalkan segala ilmu yang dipelajari. Memohon kemaafan daripada guru, kerana tanpa disedari mungkin ada perkara-perkara yang telah dilakukan mengguris hati dan perasaan seorang guru. 

Guru adalah ayah dan ibu seorang murid di sekolah. Alangkah indahnya jika ibu bapa sentiasa berpesan agar anak-anak mereka menghormati dan menyayangi guru sebagaimana guru sentiasa berpesan kepada anak-anak muridnya agar menghormati dan menyayangi ibu bapa mereka. 

Secebis rasa simpati 
Inilah secebis lakaran potret wajah masyarakat yang pernah saya saksikan dahulu. Yang pastinya zaman itu telah berlalu. Jika adapun hanyalah seperti kabus pagi yang semakin menipis disimbah sinar mentari. Taqdir Allah kita kita hidup di zaman ini dan melihat wajah masyarakatnya. 

(Mungkin saya tersilap) Sekarang kita hidup di zaman manusia berlumba-lumba menempatkan diri di celahan kebendaan. Kita hidup di zaman kebanyakan hati manusia sarat dengan berbagai-bagai keinginan. Lonjakan nafsu dalam diri memburu dan terus memburu beraneka kemahuan yang tidak bertepi. Terlihat hanya sedikit sisa ruang untuk mencintai ilmu dan keberkatannya. 

Seringkali saya bersimpati dengan keadaan sebilangan guru hari ini. Ada yang terpaksa bertugas di luar waktu. Kadang-kadang, jika ada sesuatu yang tidak kena, mereka akan menjadi mangsa sindiran dan tempat melampias ketidakpuasan dengan cara yang kasar. Apa yang terbuku di hati dihamburkan dengan sewenang-wenangnya. Bukan mahu disanjung tetapi menegur biarlah secara beradab dan mengikut akhlaq yang baik. 

Ada sesetengah tempat guru dipukul oleh murid-murid. Kereta dicalarkan, harta benda dirosakkan, sedangkan kita diajar untuk sentiasa menghormati guru. Apakah keberkatan ilmu bagi mereka sesuatu yang tidak pernah wujud dan tidak penting dipelihara? Apakah mereka tidak pernah mengerti dan memahami bahawa hati guru yang disakitinya itu akan membawa kepada tercabutnya keberkatan ilmu dari dada-dada mereka? Persoalan keberkatan ilmu sudah semakin terluput dari kamus kehidupan. 

Bagaimana boleh dikesan ilmu yang tidak berkat sedangkan ilmu itu tidak berbicara? Kata guru saya: “Lihatlah sang murid itu tidak ghairah untuk beramal dengan ilmu yang ada dan orang ramai tidak berminat untuk mengambil ilmu daripadanya walaupun sang murid itu seorang yang alim lagi pandai.” Mungkin ada contohnya di zaman ini... 

Sukarnya...  

'abuikhwan ~ masih seorang murid'

Sukarnya menjadi guru di zaman ini. Ibarat seorang pedagang yang penat memikul barang dagangan di bahu namun masih banyak yang tersisa. Kadang-kadang langsung tidak dilayan walaupun sudah jauh berjalan. Jika barang dagangan dibeli pun setelah sekian lama tawar menawar dengan harga yang amat murah. 

Salam penghormatan buat guru-guru yang taatkan Allah. Izinkan saya ungkapkan sekali lagi kata-kata: “Sukarnya menjadi guru di zaman ini.” 

Sukarnya...

Sunday, 15 May 2016

Sebelum lima perkara menjengah pula...


Sesungguhnya hati ini milik-Nya. Seringkali ia berbolak-balik, seringkali juga ia terumbang-ambing bak sampan dioleng ombak di tengah samudera. Adakala ia tandus dan kering apabila nafsu menyelubungi. Kadang-kadang ia selembut bayu bilamana iman dan akal menguasainya. 



 Hidayah juga milik-Nya. Disaat hati kita terpinga-pinga tidak keruan. Tiba-tiba terang benderang suluhan cahaya daripada-Nya. Ketika itu kenangan silam menjelma satu persatu. Dosa dan maksiat yang pernah umpama pakaian bagaikan terpampang di depan mata. Seandainya ditaqdirkan ketika ini malaikat maut merenggut nyawa, pasti ular, kala jengking dan ulat-ulat sedang menanti. 



 Apabila manusia berhati tulus, bersih maka ia tentu dicintai Allah SWT. Sebaliknya bilamana manusia memenuhkan dirinya dengan kesombongan serta melanggar batas-batas yang telah digariskan agama, maka ia akan menimbulkan kemurkaan Allah SWT. Lantas yang demikian itu akan menerbitkan titik-titik penyesalan di kemudian hari.

Firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami (petunjuk Allah) dengan hati itu…(al-A`raf: 179) 



Dengan rahmat-Nya kita masih diberikan masa. 

Ingat lima perkara sebelum lima perkara menjengah pula...

Friday, 13 May 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 67

Salam Jumaat.


Apabila kamu berada dipuncak... 
tolehlah ke bawah untuk melihat siapa yang membantumu sampai ke puncak.
Tolehlah juga ke langit agar Allah meneguhkan kakimu dipuncaknya.

Sepasang suami isteri di dalam rumah tangga


Malam ini saya membawa ummu Ikhwan ‘pekena’ char kue teow di sebuah gerai makan berhampiran bandar Kuantan. Char kue teow-nya memang cukup dikenali di kawasan sekitar. Saya sudah beberapa kali singgah menikmati keenakkannya bersama rakan-rakan terutama sewaktu pulang daripada program lewat malam. 

Memandang sudah lama benar kami tidak keluar makan bersama, jadi malam ini tanpa berbasa-basi saya mengajak ummu Ikhwan ke gerai char kue teow tersebut. Hanya kami berdua, tanpa ada ‘gangguan’ daripada anak-anak. Tetapi bukanlah kami keluar kerana bersempena dengan hari ibu. Tiada kena-mengena pun dengan sambutan itu. Manakala ‘si kecil Haikal yang istimewa’ pula kami tinggalkan bersama abangnya. Satu ‘rahmat’ along Ikhwan yang masih lagi dalam tempoh cuti sakit, maka dialah menemankan adiknya di rumah. 

Masa begitu pantas berlalu. Dari hari bertunang, kemudian melangkah ke alam perkahwinan, sehinggalah dikurniakan cahaya mata. Satu, dua, tiga dan empat. Alhamdulillah, ia satu kebahagiaan anugerah Tuhan yang tidak terperi. Malahan ia adalah sesuatu yang diimpikan oleh setiap pasangan yang bergelar suami isteri tatkala melafazkan kalimah "aku terima nikahnya". 

Namun, kadang-kadang kita terlupa dalam kesibukan melayani hari-hari mendatang sentiasa ada sepasang suami isteri di dalam rumah tangga. Biarpun semakin bertambah angka usia perkahwinan, semakin bertambah ahli keluarga. Biarpun isteri memandang suami sebagai ayah kepada anak-anak, suami pula memandang isteri ibu kepada anak-anak. Selama mana bahtera rumah tangga belayar, sepasang suami isteri tetap ada. 

Malam ini kami keluar makan bersama, kerana ia adalah hari untuk kami berdua. Seorang suami dan seorang isteri di dalam rumah tangga.

Wednesday, 11 May 2016

Sunday, 8 May 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (11)

Sambungan daripada: Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (10), di bawah tajuk: Peristiwa Israk dan Mikraj 


 foto hiasan ~ sumber

Hikmah Di Sebalik Israk Mikraj

Dalil paling ringkas sekaligus paling kuat yang berisikan alasan wujudnya Israk Mikraj adalah firman Allah Taala,

لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا 
“Supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda pemerintahan Kami,” (Al-Israk: 1).

Inilah sunatullah yang berlaku kepada para nabi, sebagaimana firman Allah,

وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ (٧٥)
“Dan seperti itulah kami memperlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda pemerintahan Kami di langit dan bumi supaya dia menjadi sebahagian daripada orang yang yakin.” (Al-An‘am: 75).

Kemudian, firman Allah kepada Nabi Musa,


لِنُرِيَكَ مِنْ آيَاتِنَا الْكُبْرَى (٢٣) 
“Supaya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami.” ( Taha: 23)

Kehendak Allah untuk menerangkan tanda-tanda kebesaran-Nya kepada para nabi-Nya itu mempunyai sebuah maksud luhur, iaitu, “Supaya dia menjadi sebahagian daripada orang yang yakin.”

Setelah pengetahuan para nabi dihubungkan kepada penglihatan mereka terhadap tanda-tanda pemerintahan Allah, mereka dapat melihat dengan pandangan yang penuh yakin sesuatu yang tiada bandingannya, walaupun khabar-khabar yang disampaikan kepada mereka tidak terlihat langsung dengan mata.

Oleh itu, mereka mampu memikul suatu amanah di jalan Allah yang tidak mampu dipikul oleh manusia lain. Dengan itu juga, seluruh kekuatan duniawi serta-merta menjadi seperti sayap nyamuk bagi mereka, sehingga mereka sama sekali tidak berasa sakit ketika kekuatan-kekuatan itu mendera mereka dengan pelbagai ujian dan seksaan.

Pelbagai hikmah dan rahsia yang terdapat pada setiap bahagian perjalanan Israk Mikraj merupakan isi perbahasan buku-buku yang mengkaji tentang rahsia syariat. Ada hakikat-hakikat sederhana tetapi sarat dengan makna yang terpancar daripada perjalanan yang penuh berkat ini.

Dan kemudian hakikat-hakikat itu meluncur deras membasahi taman-taman sirah Nabi Muhammad (semoga selawat dan salam penghormatan yang layak dilimpahkan kepada baginda) di mana saya berasa perlu mencatatkan sebahagian daripadanya secara ringkas.

Pembaca dapat melihat dalam Surah al-Israk bahawa Allah menyebutkan peristiwa Israk hanya pada satu ayat. Selepas itu Allah lebih banyak menyatakan tentang kelancangan dan kejahatan Yahudi, yang disudahi dengan ayat bahawa al-Quran membimbing manusia ke jalan yang lebih lurus. Pembaca mungkin menyangka bahawa antara ayat pertama Surah al-Israk yang menyentuh tentang peristiwa Israk tidak ada hubungannya dengan ayat-ayat selepasnya.

Padahal sebenarnya, dengan urutan penuturan yang seperti itu, Allah memberi isyarat bahawa peristiwa Israk yang berlaku di Baitul Maqdis itu merupakan petanda bahawa Yahudi akan diturunkan kepimpinannya kepada umat manusia. Itu terjadi disebabkan oleh pelbagai tindakan kejahatan yang mereka lakukan yang tidak meninggalkan satu kesempatan pun bagi mereka untuk mempertahankan kedudukan tersebut.

Kemudian, secara jelas Allah akan memindahkan kedudukan kepimpinan tersebut kepada rasul-Nya. Itu bererti Allah menghimpunkan dua markas dakwah keturunan Nabi Ibrahim (Mekah dan Baitul Maqdis) sekaligus kepada Rasulullah saw.

Masa pergantian kepimpinan rohani daripada satu umat kepada umat lain itu akhirnya datang. Maka bergeserlah kepimpinan tersebut daripada suatu umat yang sejarah kehidupannya dipenuhi dengan pelanggaran, pengkhianatan, perbuatan dosa dan permusuhan kepada umat yang kehidupannya dipenuhi dengan kebajikan dan kebaikan. Rasul umat yang baik itu sentiasa menerima wahyu al-Quran yang memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus.

Persoalannya, bagaimanakah proses pergantian kepimpinan ini berlaku, padahal Rasulullah saw hanya berpusing di pergunungan Mekah kerana diburu oleh manusia? Pertanyaan ini menyingkap penutup sebuah hakikat yang lain, iaitu bahawa peringkat dakwah Islam di Mekah hampir sampai pada titik akhir dan kesempurnaannya, lalu akan bermula peringkat lain yang perjalanannya berbeza dengan yang pertama.

Oleh itu, kita melihat beberapa ayat dalam Surah al-Israk berisikan peringatan yang tegas dan ancaman yang keras kepada orang Musyrik. Antaranya,


وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا (١٦)
“Apabila Kami hendak membinasakan suatu negeri, Kami perintahkan orang yang hidup mewah di dalamnya supaya mentaati Kami. Tetapi, mereka berbuat kefasikan di dalamnya, sehingga telah selayaknya perkataan (ketetapan Kami) berlaku atas mereka. Maka Kami hancurkan negeri itu dengan sehancur-hancurnya.” (Al-Israk’: 16).

وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ الْقُرُونِ مِنْ بَعْدِ نُوحٍ وَكَفَى بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا (١٧
"Sudah berapa banyak kaum yang Kami binasakan semenjak zaman Nuh. Dan Tuhanmu telah cukup mengetahui dan melihat dosa-dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.” (Al-Israk’: 17)

Selain ayat-ayat tersebut, difirmankan juga ayat-ayat lain dalam Surah al-Israk yang menjelaskan asas sebuah kemodenan kepada umat Islam. Atas asas itulah umat Islam yang Islamik dibangunkan. Ayat-ayat itu bertutur seolah-olah umat Islam telah memijakkan kakinya di seluruh penjuru bumi, mengatur hajat hidup semua manusia di pelbagai tempat serta membentuk suatu ciri kesatuan yang dipegang oleh seluruh anggota masyarakat.

Oleh itu, peristiwa Israk mengandung isyarat bahawa Rasulullah saw akan menemui tempat berlindung dan tempat yang selamat untuk mengukuhkan urusannya (dakwahnya) di sana, di mana tempat itu akan menjadi markas untuk mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.

Itulah salah satu rahsia daripada perjalanan yang penuh berkat tersebut. Oleh sebab rahsia tersebut memiliki kaitan dengan kajian kita, maka saya sengaja menunjukkannya di sini.

Atas dasar hikmah tersebut dan hikmah-hikmah yang lain, saya berpendapat bahawa peristiwa Israk terjadi sebelum Baiat Aqabah yang pertama atau terjadi antara dua baiat Aqabah. Wallahu a’lam.

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Friday, 6 May 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (10)

Sambungan daripada: Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (9), di bawah tajuk: Peristiwa Israk dan Mikraj

foto hiasan: sumber

Adakah Rasulullah saw Melihat Allah Dengan Mata Kasar?

Seterusnya Ibnu Qayyim menyebutkan perbezaan pendapat yang terjadi tentang hakikat Rasulullah saw melihat Allah. Di situ, beliau menyebutkan pernyataan Ibnu Taimiyah mengenai persoalan ini. 

Kesimpulan perbahasannya menerangkan pendapat bahawa Rasulullah saw melihat Allah dengan mata kasar merupakan pendapat yang sama sekali tidak berasas dan pendapat tersebut tidak pernah diucapkan oleh seorang sahabat pun. Sedangkan pernyataan Ibnu Abbas adalah Rasulullah saw melihat Allah secara mutlak dan sekaligus dengan hati nurani dan sesungguhnya penglihatan mutlak tidak menafikan penglihatan dengan hati. 

Jibril Mendekati Baginda 

Kemudian Ibnu Qayyim berkata, “Adapun firman Allah Taala dalam Surah an-Najm ayat 8, ‘Kemudian dia mendekat lalu bertambah dekat lagi,’ bukanlah mendekat dalam erti kata seperti yang terdapat pada kisah Israk Mikraj. Mendekat dalam ayat Surah an-Najm ini adalah mendekatnya Jibril yang kemudian bertambah dekat. Inilah yang dikatakan oleh Aisyah dan Ibnu Mas’ud. Konteks ayatnya sendiri juga menerangkan sedemikian. 

Manakala mendekat dan bertambah dekat yang terdapat dalam hadis Israk Mikraj, maka itu secara jelas menerangkan sebagai mendekat dan bertambah dekatnya Allah Taala. 

Dengan demikian, tidak ada percanggahan dalam ayat Surah an-Najm. Bahkan, ayat tersebut menerangkan bahawa Nabi Muhammad melihat Jibril pada kali yang lain di Sidratul Muntaha. Ya, benar, itu Jibril. Nabi Muhammad melihatnya dalam kewujudan yang asal sebanyak dua kali iaitu yang pertama ketika di bumi dan yang kedua ketika di Sidratul Muntaha. Wallahu a’lam.(1)

Beberapa Pemandangan Yang Menakjubkan Sepanjang Israk Mikraj 

Peristiwa pembelahan dada Rasulullah saw juga terjadi pada kali ini. Dalam perjalanan Israk Mikraj ini, Rasulullah saw menyaksikan banyak hal. 

- Baginda ditawarkan susu dan arak, maka baginda memilih susu. Sehinggalah Malaikat Jibril berkata kepada baginda, “Engkau telah diberi petunjuk untuk memilih sesuai dengan fitrah,” atau, “Engkau telah bertindak benar sesuai dengan fitrah. Sebabnya, jika engkau mengambil arak, pasti umatmu akan tersesat.

- Rasulullah saw melihat empat batang sungai di syurga, yang dua batangnya kelihatan, sedangkan dua batang lagi tidak kelihatan. Dua batang sungai yang kelihatan ialah Sungai Nil dan Sungai Furat. Manakala dua batang sungai yang tidak kelihatan ialah dua batang sungai di Syurga. Boleh jadi dilihat Sungai Nil dan Furat menjadi petunjuk bahawa risalah yang baginda bawa akan berkembang di lembah-lembah yang subur di sepanjang Nil dan Furat, di mana penduduknya akan memikul agama Islam daripada satu generasi ke generasi yang lain. Maka, maknanya bukan bererti air Sungai Nil dan Sungai Furat itu bersumber dari syurga. WallahuA`lam. 

- Rasulullah saw melihat Malik, malaikat penjaga neraka. Dia tidak pernah ketawa. Sedikit pun tidak ada keceriaan dan kehangatan di raut wajahnya. Kemudian Rasulullah saw melihat syurga dan neraka.

- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh pemakan harta anak yatim secara zalim. Bibir mereka seperti bibir unta. Ke dalam mulut mereka dilemparkan potongan api neraka secara paksa, lalu api itu keluar lagi daripada dubur mereka. 

- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh pemakan riba. Mereka mempunyai perut yang besar dan disebabkan itu mereka tidak dapat berpindah tempat. Kemudian seluruh pengikut Firaun berjalan di atas mereka dengan menginjak-injak mereka tatkala para pengikut Firaun itu diheret ke neraka.

- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh penzina. Sebelah tangan mereka memegang daging yang tebal dan baik, sementara tangan yang satu lagi memegang daging nipis dan busuk. Namun begitu, mereka makan daging yang nipis dan busuk, sementara daging yang tebal dan baik mereka tinggalkan.

- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh wanita-wanita yang menisbahkan anak-anak kepada lelaki yang bukan ayahnya. Rasulullah saw melihat payudara mereka digantungkan. 

- Dalam masa pemergian dan kepulangannya, Rasulullah saw melihat serombongan kafilah Mekah. Baginda sempat menerangkan arah jalan kepada unta mereka yang terpisah daripada rombongan. Baginda juga meminum air mereka daripada bekas yang tertutup ketika mereka sedang tidur, kemudian baginda meninggalkan bekas itu tetap tertutup. Ini menjadi bukti pada keesokan harinya yang membenarkan pengakuan baginda bahawa baginda mengalami Israk Mikraj.(2)

Ibnu Qayyim berkata, “Ketika Rasulullah saw kembali kepada kaumnya pada pagi hari, baginda memberitahu kepada mereka tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah perlihatkan kepadanya. Ternyata segala pendustaan, penganiayaan dan kebengisan mereka terhadap baginda semakin keras. Mereka meminta baginda untuk menerangkan ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka. Maka Allah menampakkan Baitul Maqdis dengan sangat jelas pada benak Rasulullah saw, seolah-olah baginda melihatnya dengan mata kepalanya sendiri. 

Lalu baginda memperincikannya. Rasulullah saw memberitahu ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka, sehingga mereka tidak dapat membantahnya sedikit pun.Baginda memberitahu kepada mereka tentang kafilah mereka yang baginda lihat ketika pergi dan pulang. Baginda juga memberitahu kepada mereka tentang waktu kedatangan kafilah tersebut serta tentang untanya yang terpisah daripada kafilah. 

Memang faktanya sama dengan apa yang baginda katakan. Ternyata, semakin bertambah penolakan dan kekafiran orang zalim tersebut.(3)

Dikatakan: Abu Bakar digelar as-Siddiq kerana dia mempercayai kebenaran peristiwa Israk Mikraj ketika semua orang menganggapnya sebagai berita bohong.(4)

Rujukan:
(1) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 50, 455, 456, 470, 471, 481, 548, 549, 550 dan jil II, hlm. 684; juga Sahih Muslim, jil I, hlm. 91-96.

(2) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 50, 455, 456, 470, 471, 481, 548, 549, 550 dan jil II, hlm. 684; juga Sahih Muslim, jil I, hlm. 91-96. Lihat juga Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 397 dan 402-406.

(3) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil I, hlm. 48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil II, hlm. 684; Sahih Muslim, jil I, hlm. 96 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 402-403.

(4) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 399. 

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Rehat Minda: Pesan Murabbi 66

Salam Jumaat.


Redha dan berpada dengan apa yang ada seumpama cermin mata...
Jika kamu memakainya, kehidupan kelihatan cantik.

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (9)

 Masjidil Aqsa (sumber)

Peristiwa Israk dan Mikraj

Ketika Nabi Muhammad sedang berada pada peringkat di mana dakwah baginda mulai merentas sebuah jalan antara seksaan dan kemenangan serta mula lahir menjadi bintang-bintang kecil yang berkelip-kelip di ufuk nan jauh, maka terjadilah peristiwa Israk dan Mikraj.

Waktu terjadinya Israk Mikraj

Berkaitan pemastian waktu terjadinya Israk Mikraj, para ulama memiliki pendapat yang berbeza, antaranya:

1. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada tahun ketika Allah memuliakan Rasulullah saw dengan kenabian. Pendapat ini dipilih oleh Imam at-Tobari.

2. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi setelah lima tahun Rasulullah saw diangkat menjadi nabi. Pendapat ini dirajihkan oleh Imam Nawawi dan Imam al-Qurthubi.

3. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada malam 27 pada bulan Rejab tahun kesepuluh kenabian. Pendapat ini dipilih oleh al-`Allamah al-Mansyurfuri.

4. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 16 bulan sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Ramadhan tahun kedua belas kenabian.

5. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada satu tahun dua bulan sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Muharam tahun ke 13 kenabian.

6. Ada pula yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 1 tahun sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Rabiul Awal tahun ke 13 kenabian.

Tiga pendapat yang teratas dibantah oleh fakta bahawa Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh kenabian, iaitu sebelum solat lima waktu diwajibkan. Di sini tidak ada perselisihan bahawa solat lima waktu diwajibkan pada malam Israk Mikraj.(1)

Manakala, tiga pendapat yang lain, saya belum menemui suatu bukti yang kuat untuk merajihkan salah satunya. Jika dilihat pada konteks Surah al-Israk, maka ia menunjukkan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada masa yang sangat akhir.

Penjelasan Peristiwa Israk Mikraj

Para imam hadis meriwayatkan keterangan tentang peristiwa Israk Mikraj. Berikut kami sajikan riwayat tersebut secara ringkas.

Ibnu al-Qayyim berkata, “Rasulullah saw diisrakkan dengan jasad baginda, menurut pendapat yang sahih, bermula dari Masjidil Haram hingga Baitul Maqdis, dengan menunggang buraq dan ditemani oleh Jibril. Di sana baginda singgah sejenak dan baginda bersolat bersama para nabi dengan menjadi imam, sementara buraq diikat pada tali pintu masjid.

“Kemudian pada malam itu juga baginda dimikrajkan dari Baitul Maqdis sampai di langit dunia. Jibril meminta agar pintu langit dibukakan untuk Rasulullah saw, maka pintu itu pun dibukakan untuk baginda. Di sana Rasulullah saw melihat Nabi Adam, ayah seluruh manusia. Rasulullah saw mengucapkan salam kepada Nabi Adam, lantas Nabi Adam pun menyambut baginda, membalas ucapan salam baginda serta membenarkan kenabian baginda. Di sana Allah memperlihatkan roh para syuhada kepada Nabi Muhammad dari sisi kanan baginda dan roh orang yang sengsara dari sisi kiri baginda.

“Seterusnya Rasulullah saw dimikrajkan lagi hingga sampai di langit kedua. Jibril meminta pintu langit dibukakan untuk Rasulullah saw seperti tadi. Di sana Rasulullah s.a.w. melihat Nabi Yahya bin Zakaria dan Nabi Isa bin Maryam. Baginda bertemu dengan kedua-duanya lalu mengucapkan salam kepada mereka berdua. Nabi Yahya dan Nabi Isa pun menyambut kedatangan baginda, membalas salam baginda dan membenarkan kenabian baginda

“Selepas itu Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit ketiga. Di sana baginda melihat Nabi Yusuf. Sama seperti yang lainnya, Nabi Yusuf membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda. 

“Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit keempat. Di sana baginda melihat Nabi Idris. Sama seperti yang lainnya, Nabi Idris membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda. 

“Seterusnya Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit kelima. Di sana baginda melihat Nabi Harun bin Imran. Sama seperti yang lainnya, Nabi Harun membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda. 

“Selepas itu Rasulullah saw dimikrajkan sampai di langit keenam. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Musa bin Imran. Sama seperti yang lainnya, Nabi Musa membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda. Ketika Rasulullah saw telah berlalu pergi, Nabi Musa menangis. Maka ada yang bertanya kepada Nabi Musa, ‘Apakah yang membuatmu menangis?’ Nabi Musa menjawab, 

أَبْكِي لِأَنَّ غُلاَمًا بُعِثَ بَعْدِي يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِهِ أَكْثَرُ مِمَّنْ يَدْخُلُهَا مِنْ أُمَّتِي 
"Aku menangis kerana anak muda yang diutus selepasku itu jumlah umatnya yang masuk syurga lebih banyak berbanding jumlah umatku yang masuk syurga."

“Selepas itu Rasulullah saw dimikrajkan hingga ke langit ketujuh. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Ibrahim. Sama seperti yang lainnya, Nabi Ibrahim membalas ucapan salam Rasulullah saw, menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda. 

“Setelahnya Rasulullah saw diangkat hingga sampai di Sidratul Muntaha lalu Baitul Makmur ditinggikan untuk baginda. Seterusnya baginda dimikrajkan lagi sehingga sampai di hadapan al-Jabbar Jalla Jalaluhu (Allah ). Baginda terus didekatkan kepada Allah sehingga jaraknya hanya tinggal sepanjang dua busur panah atau lebih dekat lagi. Kemudian Allah mewahyukan kepada hamba-Nya apa yang telah diwahyukan-Nya serta mewajibkan 50 kali solat kepadanya. 

“Rasulullah saw pulang sehingga bertemu dengan Nabi Musa. Nabi Musa bertanya, "Apakah perintah Allah untukmu?" Rasulullah saw menjawab, "Untuk melakukan solat 50 kali." Nabi Musa berkata, "Sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melakukannya. Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu." Rasulullah saw menoleh kepada Jibril, seolah-olah baginda meminta pendapat Jibril tentang hal itu. Jibril pun memberi isyarat seakan-akan dia berkata, "Ya, jika kamu mahu." 

“Maka Jibril naik semula bersama Rasulullah saw hingga sampai di hadapan al-Jabbar Tabaraka wa Taala (Allah) dan Dia masih di tempat-Nya (ini adalah lafaz yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari pada beberapa riwayat). Jumlah solat itu dikurangkan sebanyak sepuluh kali. 

“Kemudian Rasulullah saw turun sampai baginda bertemu lagi dengan Nabi Musa. Kepada Nabi Musa, baginda menyatakan apa yang terjadi. Nabi Musa pun berkata, "Kembalilah lagi kepada Tuhanmu. Mintalah lagi keringanan daripada-Nya." Kejadian Rasulullah saw bertemu Nabi Musa dan berhadapan dengan Allah ini terjadi berulang kali, sehingga Allah menetapkan bahawa solat yang diwajibkan hanya lima kali sehari. 

“Sebenarnya Nabi Musa masih menyuruh Rasulullah saw untuk kembali meminta keringanan. Namun begitu, Rasulullah saw berkata, 

قَدْ اسْتَحْيَيْتُ مِنْ رَبِّي وَلَكِنِّي أَرْضَى وَأُسَلِّمُ 
"Aku malu terhadap Tuhanku. Aku telah redha dan menerimanya." 

“Setelah beberapa saat ada seruan yang kedengaran, 

أَمْضَيْتُ فَرِيضَتِي، وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي 
"Telah Ku-tetapkan kewajipan daripada-Ku dan telah Ku-ringankan untuk hamba-Ku."(2)

Rujukan:
(1) Lihat pendapat-pendapat tersebut dalam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 49; Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 148-149; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 76 dan Syah Akbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil I, hlm. 124. 

(2)Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48. 

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Thursday, 5 May 2016

Doakan saudara-saudara kita!


SYRIA - Sejak Mac 2011, pergolakkan antara rakyat dan regim Bashar al-Assad di bumi Syria tidak pernah reda. Hingga kini dilaporkan ratusan ribu telah terkorban dan jutaan tercedera yang melibatkan semua peringkat umur dewasa mahupun kanak-kanak. Sementara itu, dilaporkan lebih setengah daripada 12 juta rakyatnya telah menjadi pelarian dalam Syria mahupun di negara- negara jiran seperti Turki, Jordan, Lubnan malah hingga ke benua Eropah. 

Serangan terbaru

Memetik sumber-sumber berita rasmi antarabangsa seperti Observer dan Al-Jazeera serangan udara sejak seminggu lalu oleh tentera regim dan Rusia mensasarkan masjid, sekolah, tempat-tempat pertahanan awam, pejabat-pejabat NGO, perkhidmatan ambulans dan malah beberapa hospital awam. 

Menurut Presiden Perbandaran Aleppo, Brita Hasan, dilaporkan setiap hari berlaku serangan kejam yang mengakibatkan ratusan rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsa. 

"Serangan minggu lalu telah mengakibatkan tidak kurang 347 orang terkorban termasuk 76 darinya kanak-kanak dan 38 wanita," katanya petik laporan Al-Jazeera. 

Jelasnya lagi, pihak tentera regim juga melakukan serangan dengan bom barel, serangan udara dan misil di banyak kawasan termasuklah di Hritan, Kaft Dael, Bab al-Haded dan kejiranan Kastelo, jalan menuju Aleppo. "Selama beberapa minggu yang lalu pihak regim dibantu oleh Rusia melakukan 907 serangan roket, 207 bom barrel, 36 cluster bom, 6 bom phosphorous dan 63 peluru berpandu jarak dekat. 

"Serangan-serangan tersebut mensasarkan 517 kawasan kediaman, 25 pasar rakyat, 6 pusat perubatan dan 39 kawasan orang awam," ujarnya. 

Sementara itu,serangan bom udara keatas beberapa pusat rawatan termasuk Hospital al- Quds di Aleppo pada 29 April lalu, telah mengorbankan Dr Muhammad Maaz, satu-satunya pakar kanak-kanak yang masih ada dan juga membunuh lebih 30 orang staf serta pesakit di Hospital yang dikendalikan oleh NGO Antarabangsa Doctors Without Border (MSF).  - Al-Jazeera.

Oleh itu,sebagai umat Islam dimana jua berada, fakta kerakusan regim Bashar dan sekutu-sekutunya yang telah meratah kehormatan saudara-saudara kita di Aleppo dengan pengeboman kejam wajib di kecam oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

Wednesday, 4 May 2016

Hari Terbuka TLDM di Mawilla 1 Tanjung Gelang Kuantan, sempena sambutan Hari TLDM ke-82


Hari terbuka TLDM pada 30 April - 1 Mei 2016, sempena dengan Sambutan Hari TLDM ke-82.  Lokasinya di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan. Ia adalah sambutan rutin pada setiap tahun. Berbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk para pengunjung.

Biasanya saya tidak melepaskan peluang untuk ke sana bersama keluarga. Tetapi pada tahun lepas saya terlepas untuk memeriahkannya kerana bertindan dengan program lain. Jadi, dua minggu sebelum itu saya telah 'setting' awal-awal jadual program agar tidak berulang 'tragedi' yang sama. Lagipun, anak-anak semuanya akan pulang dari asrama. (Tanpa mengetahui along Ikhwan akan masuk wad selama 4 hari). Dalam hati, "hmm..tak jadi juga agaknya nak ke sana. Tak apalah, nak buat macamana, sudah taqdir." 

Tetapi disebabkan anak-anak mahu pergi juga, termasuk along Ikhwan yang masih terhencot-hencot, lalu petang itu saya menghidupkan enjin kereta untuk ke sana. Ini juga taqdir Allah yang mengizinkan kami pergi... 



 
'Parking' sahaja kereta, wah, terujanya melihat kapal-kapal yang berlabuh.  Saya tertarik dengan persiapan pihak penganjur yang amat sistematik. Bermula dengan promosi, 'guide' penunjuk jalan, susun atur meletak kenderaan, tentatif program dan sebagainya.

Teringat semasa kecil dahulu ketika di sekolah rendah apabila cikgu bertanya mengenai cita-cita. Dengan bersemangat saya menjawab mahu menjadi tentera laut. Masa itu minat sangat dengan kapal. Lagipun ada beberapa orang 'navy' yang menyewa berhampiran rumah ayahanda. Makin bercambah minat apabila melihat mereka gagah dan segak dengan uniformnya. Taqdirnya, naik sekolah menengah minat beralih arah. Cenderung pula kepada pengajian agama. Akhirnya cita-cita mahu menjadi tentera laut terus berkubur. Taqdir Allah, pasti ada kebaikan!   




Saya bersama 'si kecil haikal yang istimewa di atas kapal KD Ganyang. Meninjau-ninjau senjata meriam di bahagian hadapan kapal. Setiap kapal mempunyai meriam di bahagian hadapan dan belakang. Saiz meriam bergantung kepada saiz kapal. Jika besar kapalnya maka besarlah saiz meriamnya.Manakala di sebelah KD Ganyang adalah kapal KD Pendekar. Bentuk dan saiznya sama dan merupakan kapal peronda yang telah lama usianya.

Jika diikutkan kami sekeluarga mahu membatalkan rancangan ke hari terbuka TLDM ini, memandangkan along Ikhwan masih lagi di dalam wad. Tetapi apabila along Ikhwan dibenarkan pulang pada hari Sabtu (30/04), rancangan tersebut diteruskan semula. Jadi, petang keesokannya (01/05) kami bertolak ke sana dalam keadaan along Ikhwan masih berjalan terhencot-hencot. Tak apalah, sebenarnya dia yang beria-beria sangat mahu pergi ke sana.  Teruja sampai terlupa pada kakinya yang sakit.




Pemandangan dari atas kapal KD Ganyang. Di hadapan ada dua buah lagi kapal, tetapi saya tidak ingat namanya. Jika tidak silap ia milik Agensi MARITIM. 




Menapak ke kapal KD SELANGOR yang merupakan satu di antara dua buah kapal yang paling besar di sini. Tak sabar-sabar mahu meneroka apa yang ada di dalamnya. Kapal KD Selangor telah ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada tahun 2010 di Pangkalan TLDM Lumut, untuk menggantikan kapal peronda KD Sri Selangor yang dilucutkan tauliah pada tahun 1995.  
        



Di atas kapal KD Selangor, bersama seorang anak kapalnya sangat bermurah hati mengiringi kami sekeluarga dan melayani setiap pertanyaan yang dikemukakan. Alhamdulillah, penerangan yang diberikan sangat membantu. Menurutnya, KD Selangor sepanjang 91.1 meter dan lebar 12.8 meter menggunakan sistem persenjataan STN Atlas Cosys 110-M1 dan senjata utamanya ialah meriam 76 milimeter (mm) OTO Melara dan meriam 30 mm OTO Breda.
  



Di dalam bilik kawalan. Bilik ini umpama otak kepada kapal, kerana di sinilah terletaknya semua sistem kawalan. Jika hari biasa memang tidak boleh masuk ke kawasan ini. Tetapi pada hari ini mahu bergambar pun dibenarkan.




Ini pula kapal KD LEKIR. Saiznya pun lebih kurang dengan KD Selangor. KD Lekir telah ditauliahkan pada tahun Ogos 1984 dan kini berkhidmat dalam Skuadron Korvet ke-22. Ia juga merupakan kapal termoden dan paling berupaya dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Ketika pertikaian kepulauan Spratly, kapal ini terlibat secara aktif dalam rondaan-rondaan dan pengawasan, terutama pemantauan aktiviti kapal selam.




Pemandangan waktu petang dari atas kapal KD Lekir. Subhanallah! 

"Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Luqman: 29)




Sebelum pulang, ambil gambar 'sign' nama kapal. Terlupa mahu mengambil gambarnya sewaktu mula-mula sampai tadi.  Obses sangat mahu menjejak kaki di atas deknya. 

KD PENDEKAR sebuah kapal daripada empat kapal yang terdapat dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Ke-2 ‘Spica M’. Kapal ini telah dibina di Limbungan Karlskronadi Sweden pada tahun 1976 dan siap sepenuhnya pada tahun 1979. KD PENDEKAR telah ditauliahkan pada 21 Ogos 79, seterusnya dilancarkan pada 26 Okt 79 di Karskkronavarvet AB, Sweden. Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Ke-2 atau dikenali sebagai FAC (M) II terdiri daripada empat buah kapal kelas Handalan (Spica M) iaitu KD HANDALAN, KD PERKASA, KD PENDEKAR dan KD GEMPITA. Pegawai Memerintah Pertama KD Pendekar ialah Maj (Laut) Ng Chin Phing.

KD GANYANG pula merupakan salah sebuah kapal dari skuadron pertama Kapal Pembinasa Laju (Misil) disamping KD PERDANA, KD SERANG dan KD GANAS. KD Ganyang telah ditauliahkan pada 20 Mac 1973 di Limbungan Cherboug, Perancis. Maknanya sudah 'tua' kapal ini. Pegawai Memerintah KD Ganyang yang pertama ialah Lt Kdr Aminuddin bin Abdullah.




Masa untuk berangkat pulang dengan seribu kenangan dan pengetahuan. Katanya malam ini ada acara pertunjukan cahaya. Tapi saya tak datang sebab tak larat dah!




Cuma sempat mengambil gambar, tak dapat naik kerana hari sudah lewat petang. Jika panjang umur, punyai masa dan upaya, insya-Allah kami datang lagi. 

Monday, 2 May 2016

Along Ikhwan masuk hospital


Sabtu, 30 April 2016.

Alhamdulillah, along Ikhwan dibenarkan pulang ke rumah hari ini. 4 hari tinggal di wad setelah menjalani pembedahan kecil membuang nanah di kakinya. Selama itulah juga saya tidak sempat menjengah ke blog sahabat-sahabat, termasuk juga 'pondok kecil abuikhwan' ini. Yalah, balik kerja terus ke hospital. Pulang ke rumah hari pun dah mula gelap. Terasa macam pendek sahaja masa. Itu belum pun jika tiada program-program lain, lagilah terasa pendek dan cepat masa beredar.        

Kembali kepada kisah yang mahu dipaparkan, menurut doktor pakar yang merawatnya, sakit tersebut mungkin disebabkan oleh jangkitan kuman. Pembedahan yang dilakukan adalah untuk membuang nanah serta untuk memastikan ia tidak merebak ke tulang. Jika itu yang berlaku maka ia akan menjadi lebih serius lagi. 

Pelik juga kerana punca jangkitan itu tidak diketahui. Mahu dikatakan terpijak duri atau paku tidak pula. Malah tidak ada pun kesan luka. Menurut along Ikhwan, kaki kirinya itu mula membengkak kemerahan sebelum bernanah. Ketika itulah kesakitan mula terasa tatkala ia berdenyut-denyut dan menyucuk-nyucuk. Lantaran itu, pihak sekolah telah menghantar ke klinik di bandar Pekan yang akhirnya diminta merujuk pula ke hospital setelah antibiotik yang dibekalkan tidak memberi kesan. Hmm, macam-macam penyakit sekarang ini.

Apa pun, sekalung penghargaan terima kasih kepada pihak pengurusan Hal Ehwal Murid Kulliah al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar (Kulliah Abu Bakar) yang telah memilih untuk menghantar ke HTAA Kuantan, dan bukannya di hospital Pekan. Bukannya hospital Pekan tidak bagus, bukan itu maksud saya. Cuma jika dihantar ke hospital Pekan tentu terdapat sedikit kesukaran bagi saya mahu menguruskan apa-apa yang berkaitan. Kenalah berulang-alik Kuantan ke Pekan yang jaraknya dalam 100km pergi dan balik.

Cuti sakit selama 16 hari yang diberi gunakanlah dengan sebaiknya, duhai anakanda Ikhwan. Ulangkaji pelajaran yang tertinggal selama masa bercuti ini. Insya-Allah, mudah-mudahan semuanya dalam keadaan baik.