Sahabat Sejati

Thursday, 31 March 2016

KULIAH BERGANDA DI MASJID FATIMAH AZ-ZAHRA, KUANTAN


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada muslimin dan muslimat yang berkelapangan khususnya warga Kuantan, dijemput untuk mengikuti kuliah ilmu bersama pendakwah yang tersohor iaitu Syeikh Mohammad Abdel Aziz Ghonim. Beliau yang merupakan Penasihat Am Ahli Majlis Fatwa al-Azhar al-Sharif dan fasih berbahasa melayu dengan kecek kelate. Jangan lupa untuk bersama di dalam majlis ilmu ini. Rugi tak datang!

- KULIAH MAGHRIB
Jumaat / 1 April 2016
7.45 malam

- KULIAH MUSLIMAT
Sabtu / 2 April 2016
8.15 pagi - 9.00 pagi

***********

SYEIKH Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim, hanya berusia 35 tahun. Graduan Universiti al-Azhar, Mesir ini merupakan anggota termuda Majlis Fatwa Mesir, Muhafazat (Wilayah) Al-Gharbiyah, cawangan Tanta. Beliau pernah berkunjung ke Malaysia dan menjadi imam tarawih di masjid-masjid sekitar jajahan Jeli, Kelantan. Beliau pernah bertugas sebagai Fellow Kehormat di UiTM Machang sejak 2004. Menariknya, beliau sangat fasih berbahasa Melayu Kelantan. Kecek Kelate.

Wednesday, 30 March 2016

Jangan sampai terkeliru...


Gambar di atas merupakan sebuah papan tanda yang dipasang di hadapan sebuah masjid di negeri Pahang. Saya percaya semua masjid meletakkan papan tanda seperti ini untuk mengingatkan sesiapa yang singgah untuk bersolat atau ke bilik air. Bagus, satu peringatan kepada semua.

Papan tanda yang serupa juga kelihatan di perkarangan pejabat agama, mahkamah syariah, sekolah agama dan sebagainya. Dari satu sudut, ia adalah satu usaha yang sangat baik kerana memang sepatutnya tempat-tempat tersebut perlu dijaga kesuciannya sebagai institusi agama, seumpama menutup aurat, menjaga tingkahlaku dan sebagainya. Namun, dari sudut yang lain, wujud kebimbangan jika ada yang terkeliru seolah-olah kewajipan menutup aurat itu hanya ketika berada di tempat-tempat tersebut. Ada yang berfikiran begitu.

Saya teringat satu pengalaman yang pernah dialami. Ketika itu saya menziarahi seorang saudara yang berada di hospital. Tatkala masuk waktu solat, saya ke surau di wad berkenaan. Sejurus tiba (sebuah bilik yang dijadikan surau) saya melihat seorang lelaki yang berseluar pendek sedang bersandar di dinding luar surau berkenaan. Manakala di celah ketiaknya terkepit sehelai kain pelikat. Saya yang melihatnya merasa hairan. Tiba-tiba datang seorang perempuan berusia menegurnya.

"Abu (bukan nama sebenar) dah sembahyang?"

"Dah mak", jawabnya sambil tersenyum.

Saya tambah hairan. Tetapi sekurang-kurangnya dia sembahyang, cuma bab aurat itu yang tidak berapa cantiknya.      

Bukanlah niat saya mahu menceritakan keaiban seseorang. Tidak sekali-kali! Aib saya sendiri ber'lana-lana'. Cuma mahu berkongsi satu pengalaman yang pernah dilihat. Boleh jadi dia sudah berubah, siapa tahu. Tetapi itulah yang berlaku di hadapan mata saya.
 
Menutup aurat bagi lelaki dan wanita muslim adalah satu kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.  Sebagai hamba-Nya, kita perlulah akur dan patuh dengan ketetapan ini. Apakah Islam melarang berfesyen dan bergaya? Tidak! Islam sekali-kali tidak melarang untuk bergaya atau kelihatan cantik. Malahan, disebutkan di dalam hadis tentang Allah sukakan kepada keindahan. Tetapi di sana ada garis panduan yang telah ditetapkan dan wajib diikuti. 

Marilah kita bermuhasabah, apakah perintah dan larangan dalam agama bersifat mahu mengongkong atau menyekat kebebasan. Sekiranya difikirkan, setiap apa yang ada di dalam agama sebenarnya memberikan kebaikan kepada kita. Mungkin kita yang tidak menyedarinya.     

Peringatan buat diri saya...

Tuesday, 29 March 2016

Alhamdulillah, hujan pun turun..

foto hiasan (sumber)

Lebat sungguh terjahan hujan malam tadi. Bumi yang telah sekian lama ketandusan, akhirnya basah dengan rahmat Tuhan. Alhamdulillah, penghuni alam larut dalam bersyukur atas nikmat yang telah sekian lama dinanti ini. 

“Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (al-A`raf: 57) 

Memang lama benar hujan tidak turun di tempat saya. Terdengar desas-desus di mana-mana betapa panasnya cuaca kebelakangan ini. Saya turut mengakui akan kebenarannya. Kipas angin di rumah saya hampir 24 jam berpusing. Rasanya kalau kipas itu boleh bercakap, tentu ia mengeluh kerana kepenatan. Petang semalam dalam perjalanan ke Kemaman saya melihat kesan kebakaran di beberapa kawasan hutan. Cuaca panas mudah terhasil kebakaran. Punca sekecil puntung rokok yang dibuang sewenangnya boleh menyebabkan semak-samun dan hutan habis dijilat api.

Kisah hujan

Satu kisah yang tercatat di dalam Sahih Bukhari daripada Sayyidina Anas ra. Turut dimuatkan di dalam Sahih Muslim. 

Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat semasa Rasulullah saw sedang memberi khutbah. Lelaki itu memberitahu Rasulullah: “Wahai Rasulullah, telah binasa segala harta (akibat kemarau) dan berbagai usaha telah dilakukan. Tolonglah doakan kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami.” 

Maka Rasulullah saw pun mengangkat kedua tangan dan berdoa tiga kali dengan ucapan: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami.” Anas berkata: “Demi Allah, tidak kami melihat satu awan pun di langit walau secebis antara kami dan bukit Sala`. Tiba-tiba muncul awan di langit seperti rupa perisai, maka ketika awan tersebut berada di tengah langit, ia berkembang dan kemudian menurunkan hujan. Demi Allah, tidaklah kami melihat matahari selama seminggu (hujan turun terus menerus selama seminggu). 

Kemudian seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw pada Jumaat yang berikutnya semasa khutbah. Lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, telah binasa segala harta (kerana banjir) dan berbagai usaha telah dilakukan, maka mohonlah kepada Allah untuk menahannya daripada turun (menahan hujan daripada berterusan turun)”. Maka Rasulullah saw pun mengangkat tangan berdoa: “Ya Allah, jadikanlah hujan ini turun disekitar kami dan bukan atas kami. Ya Allah, turunkanlah ianya atas gunung-ganang, bukit-bukau, lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan.” 

Seketika juga kami keluar dan berjalan di bawah sinaran matahari (hujan telah berhenti). 

Pagi ini hujan turun lagi. Detapnya mengiringi sayup azan subuh yang berkumandang. Mudah-mudahan hujan ini memberi manfaat kepada kami semua penghuni alam, aminn.

Friday, 25 March 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 60

Salam Jumaat.


Allah merahsiakan masa depan, untuk menguji kita agar.. 
berprasangka baik,
merencana dengan baik,
berusaha yang terbaik,
serta bersyukur dan bersabar.

Bersangka baiklah pada Allah!

Thursday, 24 March 2016

Hikmah Islam melarang keras pekerjaan atau amalan sihir

Soalan: 

Apakah hikmah Islam melarang keras pekerjaan atau amalan sihir? 

Jawapan: 

Pekerjaan dan amalan sihir adalah sesuatu yang pada kebiasaannya mengagungkan makhluk halus sama ada yang bernama iblis, jin, syaitan dan sebagainya. Makhluk ini sememangnya bertugas sepenuh masa menyesatkan anak Adam dan menjauhkan mereka dari rahmat Allah SWT. 

Mereka telah dilaknati Allah SWT, maka mereka berusaha untuk menyesatkan manusia supaya dijauhkan rahmat Allah. Salah satu caranya adalah menggunakan sihir sebagai satu profesion mereka mengajar manusia melakukan kerja jahat tersebut.

Manusia akan mudah terpengaruh apabila seorang manusia mampu melakukan perkara yang ganjil pada pandangan manusia lain. Atau seolah-olahnya ada kelebihan khusus kepada orang tertentu, yang mengetahui penyakit orang lain tanpa diberitahu. Atau mungkin boleh membaca fikiran orang lain. 

Hal sedemikian ini ada kemungkinan boleh berlaku dengan bantuan makhluk halus, dapat mengagak atau makhluk halus mengetahui daripada percakapan mereka kepada diri atau kawan-kawan. 

Perkara ini merangsang manusia mendampingi dan mendapatkan khidmat ahli sihir untuk menyampaikan sesuatu maksud mereka. 

Bila sihir dilakukan, maka berlaku perkara negatif, yang paling besar sekali adalah kerosakan aqidah. Dalam beberapa hadis Rasulullah saw (mafhumnya): "Sesiapa yang mendatangi ahli sihir maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah SWT." (Riwayat Imam Muslim). 

Hadis lain menyebut (mafhumnya): "Sesiapa yang mendatangi seorang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib, lalu mempercayai dakwaan tersebut, sesungguhnya dia telah kufur dengan al-Quranul Karim yang diturunan kepada Nabi Muhammad." 

Dengan amalan sihir juga membuka jalan kepada seseorang mempercayai apa sahaja yang dikatakan ahli sihir kepadanya. Kata-kata seperti, 'penyakit itu berpunca daripada orang yang terdekat kepadanya', kadang-kadang menamakan orang tertentu (sama ada ahli keluarga atau kawan karibnya), terus dipercayai tanpa menyiasat dengan terperinci. 

Hal ini boleh menimbulkan permusuhan yang berpanjangan sehingga perkara yang tidak sepatutnya berlaku, dilakukan. Lebih buruk apabila, dibalas balik dengan sihir juga. 

Dalam al-Quran, Allah SWT menyebut (mafhumnya): "Sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengkehendaki supaya berlakulah di kalangan kamu, permusuhan dan benci-membenci." (Surah ali-Imran, 91). 

Jelas bahawa peluang yang terbuka kepada orang yang mendatangi ahli sihir ini, syaitan mengambil kesempatan menimbulkan permusuhan antara dua orang yang berkasih, menimbulkan kebencian yang amat sangat antara anak-beranak. 

Ilmu sihir merupakan perantaraan yang boleh menimbulkan caca-merba dalam masyarakat. Peluang ini digunakan oleh orang yang bukan ahli sihir, tetapi mendakwa boleh melakukan hal-hal sedemikian untuk mendapat keuntungan duniawi sehingga mengenakan bayaran yang tidak tertanggung oleh pesakit. 

Oleh kerana itu maka Islam sebagai agama salam sejahtera, menyelamatkan manusia dari hal-hal yang tidak baik, khasnya menjaga aqidah supaya tidak rosak, memelihara harta benda dari pemerasnya dan untuk manusia kembali kepada pertolongan Allah SWT. 

Islam melarang dengan sekeras-kerasnya menggunakan sihir sebagai medium menyampaikan sesuatu maksud. 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Wednesday, 23 March 2016

Tuesday, 22 March 2016

Membina rumah rakit di Sungai Pahang (1)

“Datanglah kalau nak tahu macamana proses buat rumah rakit,” bunyi whatsapp yang saya terima daripada seorang rakan yang tinggal berhampiran sungai Pahang.

“Insya-Allah, memang dah lama teringin melihatnya,” jawab saya.  Teruja.

Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk melihat sendiri proses membina rumah rakit. Jika boleh mahu melihatnya bermula dari A sampailah Z. Bermula dari memilih lokasi sehinggalah meletak berus cat pada dinding yang terakhir. Apabila seorang rakan yang tinggal di Chenor memberitahu ingin membina rumah rakit, ia umpama “pucuk dicita ulam mendatang”. Sebenarnya hasrat untuk membinanya sudah lama dinyatakan kepada saya, cuma dia tidak pasti bilakah masa mahu memulakannya. Saya pun arif dengan kesibukannya.

Kata sahabat saya ini, dia membina rumah rakit sebagai tempat berehat dan beriadah, lokasi mesyuarat YAMP dan boleh jadi juga sebagai homestay bagi yang berminat. Ia dilengkapi dengan ruang tamu, bilik tidur, dapur, tandas dan beranda. Turut dilengkapi dengan 2 buah bot untuk mengail atau memukat ikan. Atau boleh juga bersiar-siar samada menghilir atau mudik ke hulu melawan arus sungai Pahang yang mengalir lesu itu.

Namun, proses membuatnya bukanlah mudah, tidak siap dalam masa sehari. Sementelah lagi sahabat saya ini membuatnya hanya pada hujung minggu atau jika ada masa-masa terluang. Jadi, ia akan mengambil masa yang lebih lama lagi.
 
Menurut kajian, di Pahang, rumah rakit hanya boleh ditemui di dua bandar sahaja iaitu Temerloh dan Kuala Lipis. Dan sejarah kewujudannya berbeza di antara satu sama lain. Dikatakan sekarang ini di Temerloh terdapat lebih 40 buah rumah rakit
 

Kerangkanya didirikan dengan besi yang dicat dengan anti karat. Maklumlah besi jika terkena air mudah berkarat. Penat juga mengangkut besi kerangka dari jalan ke tebing sungai, mujurlah tidak jauh mana.


Tong plastik digunakan sebagai pelampung untuk menampung berat rumah rakit. Sepanjang pemerhatian saya di mana-mana rumah rakit, tong plastik yang berwarna biru seperti ini yang biasa digunakan. Ada sebahagian tuan punya rumah rakit menambah batang-batang buluh untuk lebih kuasa apungan.


Kerja-kerja memasang sebahagian pelampung pada kerangka lantai. Ia dicantum menggunakan skru. Selebihnya dipasang di dalam sungai. Jika dipasang kesemuanya di atas tebing, bimbang terlalu berat untuk dibawa ke dalam air.


Proses memasang pelampung selebihnya di dalam air. Sekarang ia menjadi lebih mudah, cuma susunkan sahaja tong plastik di bawah kerangka rel kemudian ikat dengan skru.


Rumah rakit dibina di tebing sungai yang airnya agak tenang, dengan itu pembinaannya akan lebih stabil dan selamat.


 Kesemua tong plastik yang berfungsi seagai pelampung sudah pun dipasang. 



Memasang kayu sebagai pasak untuk lantai. Cukuplah untuk kerja-kerja hari ini. Sebelum balik jangan lupa tambatkan tali, kalau tidak entah ke mana dihanyutkan arus. Jenuh pula mahu menghilir mencarinya.

#Bersambung...

Monday, 21 March 2016

Ke Kuala Lipis lagi..

Minggu lepas saya ke Kuala Lipis. Beberapa hari bermukim di sana kerana menghadiri kursus anjuran pihak majikan. Lebih tepat lagi kursus tersebut diadakan di Kechau Tui, satu lokasi yang terletak di antara Padang Tengku dan Merapoh. Jalan ini juga boleh terus menuju ke Gua Musang di negeri Kelantan.

Kali terakhir saya ke Kuala Lipis kira-kira tiga tahun yang lalu. Daripada pengamatan saya, tidak banyak perubahan yang ketara dalam jangka masa tersebut. Jika ada pun, satu dua bangunan rendah yang dinaikkan. Lain-lain tidaklah saya perasan sangat. Tetapi yang masih mengujakan ialah Kuala Lipis masih lagi di kelilingi dataran hutan hijau yang mempesonakankan.   

Sebenarnya saya tidak berapa gemar menginap di hotel jika bermusafir, yang pastinya terletak di dalam bandar. Melainkan terpaksa, apa boleh buat. Saya saya lebih senang mencari penginapan di luar kawasan bandar. Jika terdesak sangat, masjid pun boleh jadi sebagai tempat bermalam. Pernah beberapa kali saya bermalam di masjid sewaktu bermusafir ke beberapa buah negeri.

Perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lipis sejauh 235km bukanlah sesuatu yang menyenangkan bagi sesetengah orang. Melalui Jerantut Feri, Jeram Landak, Kuala Teh dan sebagainya yang kondisi jalannya berbukit-bukau dan berselekoh bak ular dipalu. Bagi yang tidak biasa ia boleh mendatangkan masalah, berdenyut-denyut kepala kepeningan. Jika tidak kena gaya, mahu terhambur isi perut.


Kalau ke Kuala Lipis, saya tidak akan melepaskan peluang untuk singgah di sebuah kedai makan yang sememangnya berada di dalam diari minda. Boleh dikatakan 'sekiranya tiada aral melintang wajib singgah'. Jika diperhatikan kedai ini tidak banyak beza dengan kedai-kedai makan yang lain. Saya suka melihat 'design-nya yang klasik. Dinding depannya menggunakan susunan papan sebagai dinding yang boleh dibuka sekeping, sekeping. Memang ‘design’ kedai lama di kampung-kampung. Manakala tiang luar dan alangnya diperbuat daripada batang kayu hutan, memang istimewa.

Kedai makan ini bernama Kedai Makan Kampung Melaka. Letaknya di jalan lama Padang Tengku - Gua Musang. Dari Kuala Lipis, kedai makan ini 1km selepas Petronas Kechau. Kedai makan ini masih beroperasi walaupun selepas lebuh raya baru dibuka pada tahun lepas. Kali terakhir saya singgah 3 tahun lalu setelah diperkenalkan oleh seorang sahabat.


Apa menu yang istimewa di sini? Tidak lain ialah daging bakar dan ikan tilapia bakar, dicicah dengan kicap bersama hirisan bawang dan lada serta titisan limau nipis. Turut disediakan juga air asam sebagai pelengkap pencicah. Memang mengecurkan air liur. Memadai makan nasi putih dengan ikan bakar sahaja tanpa mengambil lauk sayur. Menurut pekedai tersebut bekalan ikan tilapia diperolehi daripada penternak ikan sangkar yang banyak kedapatan di sekitar daerah Kuala Lipis. Maknanya ikan segar yang dipelihara dalam air mengalir, patutlah tidak berbau dan tidak berlemak. Ikannya pun besar-besar. Purata saiznya dalam dua tapak tangan orang dewasa.


Makan tengahari yang agak berat. Menitis air hidung akibat kepedasan, tetapi enaknya tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Selain ikan bakar, menu yang turut disediakan ialah daging bakar, gulai tempoyak ikan patin serta sayur. Dengar-dengar kerang bakar pun ada juga. Entahlah tidak pula saya bertanya. Nampak ikan tilapia bakar terus tidak ingat apa-apa. 

Sahabat-sahabat yang mahu mencicip ikan tilapia bakar, daging bakar dan menu-menu yang lain, silalah berkunjung ke kedai makan Kampung Melaka, Kechau Tui. Insya-Allah, sedap!

Wednesday, 16 March 2016

Bila tiba masanya...

 foto hiasan: sumber

Berkata Syeikh Ibnu Atho`illah: "Yang telah hilang dari umur (usia) hidupmu tidak dapat ditarik kembali, sedang yang telah berhasil bagimu, tidak dapat dinilai harganya."

Teman (aku),

Setiap yang muda belum pasti merasai masa tua, tetapi setiap yang tua telah pun mengecapi usia muda. Tiada yang indah pada usia tua, kerana segenap keterbatasan telah mula melingkungi diri. Tenaga, ingatan, penglihatan, selera semakin berkurang.

Masa muda mestilah digunakan sebaiknya. Masa yang terus berlalu mengiringi perjalanan hidup adalah modal yang sangat berharga. Setelah ia pergi melewati maka selama-lamanya tidak akan kembali, yang akan terus tiba adalah masa yang lain pula. Seumpama kita mencelupkan kaki ke dalam aliran sungai, apabila kita mengangkat kaki dan mencelupkannya kembali aia adalah aliran yang lain, kerana aliran yang tadi sudah pun menghilir jauh. Begitulah perbandingan. 

Amal perbuatan dan gerak laku adalah satu pelaburan kehidupan di akhirat nanti. Apa yang dilakukan di dunia ini menjadi hasil tuaian kelak. Saat hidup di dunia inilah tabungan amal perlu dipenuhkan sebanyak-banyaknya. Oleh itu, masa yang diperuntukkan, biarpun sekecil mana perlu diisi dengan sesuatu yang bermanfaat dan bernilai disisi-Nya. 

Tiada yang mampu melepaskan diri daripada kematian. Ia pasti akan menjemput setiap yang bernyawa. Di mana pun kita berada, walaupun di dalam benteng yang kukuh, kematian tetap akan menjengah tanpa ada penangguhan biarpun sedetik. Justeru, kematian bukanlah musuh yang seharusnya dilawan dengan apa jua persenjataan. Ia adalah taqdir ketentuan Allah SWT. 

Pusingan umur di dunia pasti akan berakhir, tandu kematian akan mengetuk pintu rumah menjemput pergi. Kebahagiaan hakiki akan diperolehi di akhirat kelak sekiranya gigih beramal di dunia ini. Jika nyawa sudah di ambang halkum, peluang menambah kebaikan sudah tertutup rapat, kesempatan memperbaiki kehidupan juga telah lenyap. Yang tinggal hanyalah tanggungjawab dan perkiraan amal. Maka, fikir-fikirkanlah ke mana arah tuju yang dipilih...

Monday, 14 March 2016

Jelajah ilmu Syeikh Nuruddin al-Banjari di sekitar Kuantan


Assalammualaikum warahmatullah.

Perhatian kepada semua khususnya warga Kuantan yang berkelapangan, dijemput untuk bersama-sama mendengar bicara ilmu bersama pendakwah yang tersohor, Fadhilat as-Syeikh Nuruddin al-Banjari. Beliau akan berada di bumi Kuantan selama tiga hari dalam program jelajah ilmu di beberapa masjid terpilih. Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dirahmati oleh-Nya.   

15 MAC 2016 / SELASA
: Kuliah ZOHOR - Masjid Tepian Putra
: Kuliah MAGHRIB - Surau ar-Rayyan Indera Mahkota 15

16 MAC 2016 / RABU
: Kuliah MAGHRIB - Masjid Sultan Ahmad Shah, Sg Isap

17 MAC 2016 / KHAMIS
: Kuliah DHUHA - Universiti Malaysia Pahang, Gambang
 
#Semarakkan budaya menuntut ilmu!

Tuesday, 8 March 2016

Saat Aku Tergelincir lagi...


Tajuk : SAAT AKU TERGELINCIR LAGI...
Penulis : Mohd Hafizul Faiz
Penerbit : Karya Bestari
Harga : RM 23.00
Muka surat : 214

Buku ini adalah himpunan kisah, artikel, suara hati, catatan-catatan peribadi daripada penulis mengenai ranjau hidup yang ditempuh. Penulis bercerita tentang kehidupan yang ranjaunya penuh berliku, sukar, dan kesusahan demi kesusahan yang seakan bertali-tali menyambung. Segalanya ditimbulkan, dikongsi bersama, dikerah untuk saling bantu-membantu. Akhirnya, ia menjadi sesuatu yang inspiratif dan ke arah mencapai redha ALLAH SWT. Nukilan daripada seorang remaja menerusi Saat Aku Tergelincir Lagi.... Kita sentiasa ada peluang untuk bangun kembali.

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Monday, 7 March 2016

Fikir-fikir sejenak...

sumber: fb GERAM

"Beratus tahun, Orang Asal jaga hutan dengan baik walaupun tidak ke sekolah. Tapi apabila hutan diurus oleh mereka yang 'pandai,... hasilnya... HANCUR.

#sekadar cetusan rasa, tidak melibatkan yang hidup atau yang mati...

Syeikh Dr. Hasan at-Turabi (01 Februari 1932 - 05 Mac 2016) : Mentor Dakwah Di Balik Tirai Besi Di Sudan

Syeikh Dr. Hasan at-Turabi (01 Februari 1932 - 05 Mac 2016)

Sudan bukanlah bumi yang terasing dengan perjuangan Islam, kerana di wilayah ini pernah tertegak pemerintahan Islam seperti el-Funj, al-Musabaet. Bahkan di zaman penjajahan British golongan ulama telah memimpin perjuangan bersenjata yang dipimpin oleh Muhammad al-Mahdi yang telah memberikan penentangan yang sengit. Ribuan syuhada telah bersemadi di Sudan dalam era menentang penjajah British yang disifatkan oleh Jeneral Gordon, Sudan sebagai tempat paling sengit perjuangan menentang British.

British telah memerdekakan Sudan dan Islam telah menjadi elemen yang penting dalam mencetak rupa negara itu. Apatah lagi, Sudan sejak berabad lamanya sangat subur dengan pengajian Islam dan pengaruh alim ulama serta para sufi.

Menurut Muhammad Abu Bakar (1987), pengaruh Islam di Sudan adalah meluas dan idea pelaksanaan Islam pula telah didokong oleh beberapa puak dan pergerakan yang kuat. Golongan Ansar yang pernah ditewaskan oleh British telah menubuhkan Parti Ummah dalam tahun 1944, telah lama memperjuangkan Islam manakala puak Khatimiya yang merupakan golongan sufi yang terbesar di negara itu, bertanggungjawab membentuk Parti Demokratik Rakyat pula dan juga tidak ketinggalan mengemukakan idea-idea Islamnya.

Latar belakang dan kehidupan   

Dr. Hasan at-Turabi, satu nama besar dalam aspek dakwah dan gerakan Islam di Sudan, rasa terpanggil untuk mengajak manusia di negaranya agar kembali kepada cara hidup Islam yang lengkap lagi sempurna. Dengan membawa masuk fikrah Ikhwan Muslimin yang disifatkan paling sesuai untuk diterapkan di kalangan masyarakat seperti di Sudan.

Dilahirkan pada 01 Februari 1932 di Kasala yang terletak di timur laut Sudan bersempadan dengan negara Eriteria. Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kuat berpegang pada ajaran agama Islam kerana bapanya seorang tokoh kadi dan tokoh pengamal tarekat sufi yang terkenal.

Mendapat pendidikan awal di tangan ayahnya dengan mempelajari bahasa Arab, ilmu perundangan Islam, ilmu-ilmu berkaitan Syariah dan Usuluddin, dan mampu menghafal al-Quran ketika usia masih kecil dengan tarannum beberapa riwayat qari.

Di peringkat pengajian tinggi, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Khartoum pada tahun 1951-1955, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A di Universiti of London pada 1957 dan memperolehi Ijazah Kedoktoran (P.hd) dalam pengkhususan 'Kenegaraan' daripada Universiti Sorbone di Perancis pada tahun 1964. Justeru, beliau mampu menguasai empat bahasa iaitu Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Sekembalinya beliau dari Perancis dan pulang ke negara asal, beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Undang-undang di Universiti al-Khartoum. Pada permulaan era pemerintahan Jeneral Omar el-Basyir, beliau telah dilantik sebagai Menteri Undang-undang pada tahun 1988 dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Ahli Parlimen pada tahun 1996.

Penglibatan dalam gerakan Islam dan kejayaan dalam politik

Ketika menuntut di luar negara, dan atas kesedaran mahu melihat anak bangsa seluruhnya berpegang teguh kepada ajaran, beliau melibatkan diri dengan beberapa persatuan pelajar yang menunjukkan minat mendalam dengan penghayatan cara hidup Islam yang cenderung kepada Ikhwan Muslimin.

Penggarapan dan pengalaman bersama-sama pelajar dalam program-program yang boleh disifatkan Islamik, beliau berhasrat dan menyimpan cita-cita besar mahu membawa fikrah Ikhwan Muslimin ke Sudan. Ia bermula dengan penglibatan beliau sebagai salah seorang anggota Barisan Perjanjian Islam Sudan yang merupakan cawangan kepada Gerakan Ikhwan Muslimin.

Barisan Perjanjian yang dianggotainya mendapat sokongan padu rakyat Sudan dan berperanan sebagai salah satu parti politik besar. Pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan berkenaan. Beliau menyusun perancangan untuk mengadakan penggulingan kuasa terhadap Presiden Jaafar Numeiri. Walau bagaimanapun perancangannya itu dapat dihidu dan akhirnya beliau ditangkap dan dimasukkan ke penjara selama tujuh tahun.

Perancangan Dr. Hasan diteruskan walaupun beliau berada di dalam penjara. Baginya, penggulingan kuasa perlu dilakukan memandangkan Presiden Jaafar tidak menjalankan undang-undang Islam, malah menonjolkan kepimpinannya berteraskan sistem sekular dan kapitalis pada masa sama. Presiden Jaafar berjaya digulingkan pada tahun 1977 dan pada itu juga Dr. Hasan dibebaskan.

Bermula dengan karier politik sebagai Menteri Undang-undang Sudan pada tahun 1979, kemudian dilantik sebagai Naib Perdana Menteri merangkap Menteri Luar pada tahun 1988 pada era pemerintahan Sodiq el-Mahdi dan pada tahun 1996 dilantik sebagai Ketua Ahli Parlimen yang berwibawa.

Beliau yang pernah dipenjara sebanyak tiga kali ketika pemerintahan Jaafar Numeiri pada tahun-tahun tujuh puluhan. Walau bagaimanapun, disifatkan oleh pengikutnya sebagai seorang tokoh ahli politik yang tajam pandangan, berwawasan dan dan mempunyai idea-idea yang bernas sehinggakan pihak lawan terpaksa berfikir dua kali sebelum menghadapinya untuk berhujah.  

Pada tahun 1991, Dr Hasan mengasaskan Persidangan Rakyat Arab-Islam yang menghimpunkan para perwakilan daripada 45 buah negara. Dalam persidangan itu, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Tujuan persidangan ituyang hampir serupa dengan OIC, antara lain mahu membetulkan beberapa isu yang selama ini dilihat tidak berjalan dengan baik menurut kacamata Islam, seperti isu kemerdekaan, syura dan lain-lain yang dianggap oleh Presiden Jeneral Omar el-Basyir sebagai usaha yang boleh menggugat kedudukannya.

Hasil tulisan sebagai bekalan akhirat

Dr. Hasan bukan sahaja mahu memperjuangkan Islam menerusi kerahan idea-idea, tenaga atau pun wang ringgit, tetapi beliau meluangkan masa untuk berbakti kepada Islam untuk masyarakat melalui hasil tulisan yang dilihat boleh menjadi rujukan selepas beliau meninggalkan dunia ini.

Justeru, kesibukan dengan melibatkan diri dalam arena politik dan kemasyarakatan tidak sedikit pun menghalang beliau membahagi  masa untuk menulis bahan-bahan ilmiah yang beliau percaya boleh menjadi amal jariah selepas meninggal dunia. Antara hasil tulisan beliau yang sempat disiapkan:

1 - Isu-isu mengenai Perpaduan dan Kemerdekaan
2 - Pembaharuan Ilmu Usul Fiqh
3 - Pembaharuan Pemikiran Islam
4 - Bentuk-bentuk tersusun bagi sebuah Negara Islam Moden
5 - Pembaharuan isu-isu agama Islam
6 - Pemerkasaan manhaj Syariat Islam
7 - Istilah-istilah politik dalam Islam
8 - Agama dan kesenian
9 - Wanita antara pengajaran agama dan budaya masyarakat
10- Politik dan undang-undang
11- Solat tiang agama
12- Gerakan Islam .. Perkembangan ..Manhaj ..dan rujukan kitab
13- Iman dan murtad dalam kehidupan Muslim

Ujian dalam perjuangan dan kehidupan 

Dr. Hasan at-Turabi bukan sahaja pernah mendekam lama dalam penjara, kehidupannya juga sebelum mendaki kuasa politik sentiasa diintip oleh pihak perisikan termasuk dari negara Mesir. Namun setelah memperkenalkan gerakan Islamisasi secara besar-besaran di Sudan, negara itu mula dianggap 'pariah'. Syarikat minyak Chevron telah menghentikan operasinya di negara tersebut.

Amerika Syarikat juga telah menggantungkan bantuannya terhadap Sudan, malah pernah mengebom negara tersebut kerana mendakwa Sudan telah melindungi Usamah bin Laden dan pergerakan al-Qaeda. Sudan juga telah diwajahkan sebagai negara yang mengalami kebuluran dan menindas penganut Kristian di selatan negara itu oleh media antarabangsa yang dikawal oleh Zionis dan Amerika.

Dr. Hasan at-Turabi mempunyai jasa dan sumbangannya yang tersendiri kepada pemupukan kesedaran Islam di Sudan, namun beliau juga mempunyai musuh politik di pentas perjuangan sehingga beliau acap kali difitnah.

Kematiannya

Pada usia 84 tahun, iaitu pada hari Sabtu 05 Mac 2016, Syeikh Dr. Hasan at-Turabi dijemput Allah untuk menemuinya, selepas serangan jantung. Beliau dibawa ke unit rawatan rapi Hospital Diraja Khartoum awal pagi dan meninggal di sana. 

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala ibadahnya dan memasukkan beliau ke dalam syurga bersama para Nabi, orang-orang yang jujur, para syuhada dan orang-orang soleh. Aminn!

Al-Fatihah...   

(Adaptasi daripada buku: Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden oleh Zainudin Hashim dan Riduan Mohd Nor terbitan Jundi Resources)

Saturday, 5 March 2016

Yang mana satu idaman kalbu...

Pilih yang mana berkenan di hati, mendengar kuliah UAI atau menonton perlawanan bola sepak di antara Pahang FC dan Sime Darby. Kedua-duanya pada malam ini. mahu mendengar kuliah boleh, mahu menonton perlawanan bola sepak pun boleh. Tidak salah mahu menonton perlawanan bola sepak. Jangan kata salah pula, saya pun tak kata salah. Asalkan tidak tinggal solat dan menjaga adab, 'beres aje'

Saya sendiri pun ada masa-masa ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak. Musim lalu adalah tiga atau empat perlawanan yang saya saksikan (dalam setahun). Tahun ini belum terbuka lagi hati mahu ke stadium.  Akan datang entahlah.

Tetapi jika ditanya sekarang, jawapan saya tentunya pergi dengar kuliah UAI. Yalah, bukan senang UAI nak datang ke Kuantan sekarang ini, tidak seperti tujuh, lapan tahun dahulu. Masih saya ingati ketika mula-mula mengikuti kuliah UAI di Kuantan, kira-kira lapan tahun dahulu. Kuliah bulanannya bergilir hanya kepada dua, tiga masjid yang sama berhampiran tempat tinggal saya. Maknanya mudah UAI datang ke Balok. Usai kuliah pula ramai yag terus pulang atau mengunjungi gerai jualan, tidak ramai yang datang bersalam dengan beliau. Pendekata, jika mahu bergambar 'tersangatkah' mudah! masa itu belum 'femes' lagi.

Sekarang ini, hmm...selepas klip video kuliahnya viral di u-tube, faham-faham 'ajelah'. Semua masjid mahu UAI menyampaikan kuliah sehingga terpaksa 'rotate' di masjid terpilih dalam negeri Pahang, malahan di seluruh negara.

Apa pun pergi tengok bola jangan sampai tak pergi dengar kuliah. Pandai-pandailah berbagi...

Nak dengar kuliah UAI atau nak tengok bola. Pilih yang mana satu idaman kalbu...   





sumber: FB Tokgajah.com

Friday, 4 March 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 59

Salam Jumaat.


Poket yang kosong tidak menghalang seseorang untuk mencapai kejayaan...
Sebaliknya akal dan hati yang kosong itulah halangan kejayaan.

Thursday, 3 March 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (8)


foto hiasan - sumber

Abdul Mutalib memilih Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab untuk dijadikan isteri Abdullah. Aminah ketika itu merupakan salah seorang wanita terkenal dalam kalangan Quraisy, samada secara nasab mahupun kedudukannya di tengah masyarakat. Ayahnya tergolong sebagai pemimpin Bani Zuhrah samada secara nasab mahupun kehormatan diri. Bersamanya, Abdullah membina sebuah rumah tangga kecil di Mekah.

Tidak lama setelah pernikahan, Abdul Mutalib mengutus Abdullah ke Madinah untuk menghimpunkan kurma bagi keluarga mereka. Namun begitu, setibanya di Madinah, Abdullah meninggal. Ada pendapat lain yang menyebutkan bahawa Abdullah melakukan perjalanan dagang ke Syam. Ketika itu, dia bergabung dengan rombongan pedagang Quraisy. Tatkala singgah di Madinah, dia mengalami sakit teruk dan meninggal di sana.

Abdullah dimakamkan di rumah Nabighah al-Ju'dy. Sewaktu meninggal, dia berumur 25 tahun. Dia meninggal sebelum kelahiran Rasulullah saw. Ini menurut kebanyakan sejarawan dan ada pendapat lain yang menyebutkan bahawa dia meninggal dua bulan selepas kelahiran anaknya itu.(1) Berita kematian Abdullah sampai ke Mekah, Aminah meratapi dengan memakai pakaian serba usang, lantas membaca syair.(2)

Telah meninggal seorang anak Bani Hasyim di sisi Buthha`
Menempati liang lahad nun jauh di sana
Disambutnya pelbagai cita-cita yang terpancang di langit Mekah
Tiada seorang pun pernah meninggalkan kesan sehebat dirinya
Pada senja hari mereka membawa pulang kain alas tidurnya
Beramai-ramai digenggam oleh semua temannya
Melambunglah kini segala cita dan keraguannya
Tapi limpahan kasih sayangnya tidak akan dilupakan

Harta warisan yang ditinggalkan Abdullah ialah lima ekor unta, sekumpulan kambing dan seorang hamba perempuan dari Habsyah bernama Barakah yang memiliki nama gelaran Ummu Aiman. Barakah inilah wanita yang pernah mengasuh Rasulullah saw.(3)

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. i, hal. 156 dan 158; Muhammad al-Ghazzali, Fiqh al-Sirah, hal. 45  dan Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. ii, hal. 91.

(2) Muhammad Ibnu Saad, al-Thabaqat al-Kubra, jil. i, hal. 62.

(3) Abdullah Ibnu Muhammad al-Najdy Alu Syeikh, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 12; Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 4 dan Sahih Muslim, jil. ii hal. 96. 

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Tuesday, 1 March 2016

Tiada beban, batu mahu digalas...amanah!

 foto hiasan: sumber

Dari Abu Dzar r.a., katanya dia pernah bertanya kepada Rasulullah saw: "Ya Rasulullah! Apakah anda tidak hendak mengangkat ku untuk memegang suatu jabatan pemerintahan?" Lalu baginda menepuk bahuku dengan tangan beliau seraya berkata, "Hai Abu Dzar! Engkau ini lemah. Sedangkan pekerjaan itu adalah amanah, yang pada hari kiamat kelak dipertanggung-jawabkan dengan risiko penuh kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang memenuhi syarat dan dapat melaksanakan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1793)

Usai solat isyak, bersambung pula dengan mesyuarat agung KRT. Saya yang tidak ada program lain malam ini turut sama menyelit bersama hadirin ramai. Sebolehnya saya tidak mahu menguzurkan diri dalam setiap program atau acara yang melibatkan KRT, termasuk surau perumahan saya. Maklumlah kita hidup dalam komuniti ramai, maka perlu melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan. Janganlah sampai dikata kera sumbang pula, dek kerana hanya membuat hal sendiri serta tidak bercampur-gaul dengan masyarakat. Lagi pun jika ada apa-apa urusan seperti kenduri kahwin, tahlil, hatta kecemasan, jiran-jiran setaman atau sekampung juga yang akan membantu dulu.
  
Tahun lalu saya tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain di luar kawasan. Hendak buat macamana, dua program bertindan pada masa yang sama. Terpaksalah membuat 'ijtihad', yang mana satu perlu didahulukan.Hmm, saya tangguhkan dulu daripada menghadiri mesyuarat KRT, lalu mengikuti program bersama YAM. Itu kisah tahun lepas. Tahun ini lain ceritanya, saya hadir untuk melunaskan janji mahu bersama dalam mesyuarat tersebut...

Asalnya saya hadir untuk memberikan sokongan kepada mesyuarat serta kepada rakan-rakan yang bertanding. Ramai yang hebat-hebat dan berkemampuan untuk mengisi kekosongan jawatan. Saya seronok menjadi pemilih aka pengundi. Entah macamana, tiba-tiba saya pula dicalonkan beberapa jawatan. Aduh, ini yang tak berapa gemar. Rasa menyesal pula datang (senyum).  Puas saya bersilat lidah dengan segala macam 'nas' untuk menolak setiap pencalonan.

Bimbang sangat jika saya tidak mampu menggalas jawatan yang terpikul di bahu. Sebab utamanya ialah kekangan masa. Dan yang kedua saya sudah memegang beberapa jawatan di dalam beberapa NGO. Justeru, saya tidak mahu menambah lagi jawatan dengan yang sedia ada. Yalah, yang sekarang ini pun seperti tidak mampu menggalasnya, inikan pula mahu menambah lagi. Malahan, saya kerap keluar kawasan kerana terlibat dengan program-program dakwah dan kebajikan terutama hujung minggu. Sudah pasti akan terbantut program-program bersama KRT. Sudahnya jawatan hanya pada nama, tetapi aktiviti tidak ke mana. 

Kata orang tua: "Tiada beban, batu mahu digalas." Akhirnya setelah menolak itu, menepis ini, lekat juga satu jawatan. Kena galas juga 'batu' tersebut. Itupun sudah puas menolak sehingga kehabisan 'dalil'. Tidak mengapalah, orang memilih kita mungkin kerana yakin dengan kemampuan kita, biarpun hakikatnya kita sendiri tidak yakin apakah mampu memikulnya. Teringat kata guru saya: "Jika jawatan diserahkan kepada kita tanpa kita memintanya, maka Allah dan orang ramai akan membantu. Tetapi jika kita meminta jawatan tersebut, maka tiada siapa yang akan membantu kita." Ah, reda sedikit kebimbangan. Insya-Allah, adalah nanti yang akan membantu.

Saya melihat jawatan adalah satu amanah yang sangat besar. Walau peringkat mana pun ia, sekecil-kecil jemaah hingga sebesarnya, ia tetap satu amanah yang perlu ditunaikan. Syariat Islam sangat memberi perhatian berkaitan sifat amanah dan jika kita melalaikan amanah, sudah pasti di akhirat kelak kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT dari apa yang kita buat di dunia ini. Setiap amanah yang dipikul akan ditanya nanti, ingatlah diriku!    

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui. (Al Anfaal: 27)

Manakala di dalam satu hadis, dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw telah bersabda: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang mempercayakan kepadamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu.” (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi). 

Semoga saya diberikan kekuatan untuk menggalas semua amanah yang diberikan dengan sebaiknya, aminn.