Sahabat Sejati

Friday, 26 February 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 58

Salam Jumaat.


Apabila kamu berdepan dengan masalah, ingatlah 3 perkara:
- Ia bersifat sementara
- Ia telah ditakdirkan
- Ia akan mengurniakan pahala dan ganjaran jika kamu bersabar

Thursday, 25 February 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (7)

Sambungan daripada: Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (6)

foto hiasan (sumber)

3. Abdullah

Dia ialah ayahanda Rasulullah saw. Ibunya bernama Fatimah binti Amru bin Aidz bin Imran bin Makhzum bin Yaqzhah bin Murrah. Abdullah ialah anak kepada Abdul Mutalib yang paling tampan, sekaligus paling disayangi dan dicintainya.

Abdullah dipilih untuk disembelih sebagai pembayaran nazar ayahnya. Hal itu terjadi ketika anak lelaki Abdul Mutalib telah genap berjumlah 10 orang dan mereka telah dewasa. Abdul Mutalib menyampaikan kepada mereka nazar yang dulu pernah diucapnya dan mereka pun mematuhinya. Maka, dia menulis nama mereka di setiap batang anak panah yang akan diundi, lalu menyerahkannya kepada penjaga patung Hubal. Maka, keluarlah nama Abdullah.

Maka, Abdul Mutalib membawa Abdullah ke Kaabah untuk disembelih. Ketika itulah orang Quraisy berusaha mencegah Abdul Mutalib, terutama bapa-bapa saudara Abdullah daripada kalangan Bani Makhzum dan abangnya, Abu Talib. Abdul Mutalib bertanya kepada mereka, "Jika tidak kusembelih anak ini, apakah yang perlu aku lakukan dengan nazarku?" Mereka menyarankannya untuk mendatangi seorang dukun perempuan untuk meminta jalan keluar.

Abdul Mutalib mendatangi dukun perempuan yang dimaksudkan. Lalu, si dukun menyuruh Abdul Mutalib untuk mengadakan undian antara Abdullah dengan 10 ekor unta. Apabila yang keluar nama Abdullah, maka unta yang diundi ditambah 10 lagi lalu diadakan pengundian berulang, hingga Tuhan redha. Namun begitu, kalau yang keluar ialah anak panah bertulis "UNTA", maka unta-unta itulah yang akan disembelih sebagai ganti Abdullah.

Segera Abdul Mutalib pulang dan mengundi antara Abdullah dan 10 ekor unta. Dalam pengundian tersebut, yang keluar ialah nama Abdullah sehingga jumlah unta ditambah 10 lagi. Hal yang sama terjadi pada pengundian seterusnya hingga jumlah unta yang diundi mencapai 100 ekor. Selepas itu, barulah anak panah bertulis "UNTA" yang keluar. Maka unta-unta itu pun disembelih sebagai ganti Abdullah.

Jasad unta-unta yang telah disembelih itu dibiarkan begitu sahaja oleh Abdul Mutalib, sehingga bebas dimakan oleh manusia maupun haiwan-haiwan liar. Dahulu, memang jumlah tebusan untuk seorang manusia dalam kalangan Quraisy dan juga di seluruh bangsa Arab adalah 10 ekor unta. Setelah kejadian itu, ditetapkanlah bahawa jumlah tebusan adalah 100 ekor unta. Jumlah ini kemudian digunakan oleh Islam dalam masalah tebusan. Diriwayatkan bahawa baginda bersabda, "Aku ialah anak dua orang yang disembelih." Apa yang dimaksudkan oleh baginda ialah Ismail dan Abdullah.(1)

Rujukan: 
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. i, hal. 151-155; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil.ii, hal. 89-90 dan Abdullah ibnu Muhammad an-Najdy Alu Syeikh, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 12, 22-23. 

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Tuesday, 23 February 2016

Kejar dunia jangan cicir akhirat, buru akhirat jangan tinggal dunia...

Islam adalah satu-satunya agama yang mengutamakan kebahagian hidup di dunia dan akhirat, malah Islam mahukan setiap penganutnya berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam kedua tempat. 

"Bahawa Rasululllah saw. bersabda: Bukanlah orang baik daripada kamu mereka yang meninggalkan dunia kerana akhirat semata-mata dan bukanlah juga baik jika ia meninggalkan akhiratnya kerana mengerjakan dunianya semata-mata sebaliknya hendaklah ia berusaha mendapatkan kedua-duanya sekali,kerana dunia sebagai jambatan untuk menuju akhirat dengan sebab itu janganlah jadikan diri kamu itu kepayahan kepada orang lain" 

Hadis di atas menerangkan bukanlah baik orang yang meninggalkan dunia kerana akhiratnya semata-mata, demikian juga tidaklah baik orang yang meninggalkan akhirat kerana mengerjakan dunia semata-mata. Sebaliknya orang yang dianggap baik oleh Islam ialah mereka yang bekerja untuk kebaikan dunia dan akhirat. 

Untuk dunia mereka semestinyalah berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat setinggi-tinggi kemajuan dan kedudukan mengikut jalan yang diredhai Allah, kerana kebaikan di dunia adalah sebagai jalan atau jambatan untuk menuju kepada kebaikan akhirat yang kekal abadi. Maka untuk mencapai kebaikan akhirat mestilah terlebih dahulu kebaikan di dunia dari segi kesihatan kebendaan (maddiyah), keamanan, kemajuan, dan lain-lain lagi diutamakan. 

Dengan sebab itu Islam melarang keras seseorang itu hidup malas dan berdiam diri serta berpeluk tubuh dengan menunggu rezeki dari usaha orang lain. Nabi telah menegaskan orang yang bersikap sedemikian sebagai menyusahkan orang lain dan dipandang hina oleh masyarakat. Maka, orang Islam mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat kebahagiaan hidupnya disamping melakukan kerja-kerja akhirat. Disamping itu masyarakat sekeliling juga haruslah memberi sokongan dalam bentuk yang pelbagai dan wajar. 

Tidak salah mencari kesenangan dan kekayaan, asalkan ianya dapat dimanfaatkan ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dengan kekayaan juga kita dapat meningkatkan ekonomi umat Islam dengan cara mengeluarkan zakat, sedekah dan sebagainya. Apa yang kita bimbang jika kekayaan kita ini mengheret kita ke arah kebinasaan dan menjadi punca kemurkaan Allah SWT. 

Oleh itu, sangat jelas ingatan yang disampaikan oleh Rasulullah saw, iaitu mukmin yang baik ialah yang mengejar dunia tanpa mencicirkan akhirat dan memburu akhirat tanpa meninggalkan dunia. Mereka beramal dan beribadat dan dalam masa yang sama mereka berusaha mencari rezeki untuk keperluan hidup. Dunia adalah jambatan menuju akhirat, oleh itu pastikan usaha yang dilakukan di dunia dapat disalurkan ke akhirat. Lihat, betapa cantiknya sistem muamalat yang diatur oleh Islam. 

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qashah:77)

Friday, 19 February 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 57

Salam Jumaat.


Apabila aku melakukan kesalahan kepada manusia, berilah kekuatan padaku untuk memohon kemaafan.

Apabila manusia melakukan kesalahan kepadaku, berilah kekuatan padaku untuk menerima kemaafan dan keampunan.

Thursday, 18 February 2016

FORUM PERDANA: Indahnya Hidup Bersyariat


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua khususnya warga KUANTAN yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk memeriahkan majlis ilmu "FORUM PERDANA: Indahnya Hidup Bersyariat". Program ini akan diadakan pada 19 Februari 2016 (Jumaat), jam 7.30 malam dan bertempat di Masjid al-Iman, Pelindung Beserah. Forum ini membariskan tokoh ilmuan yang sememangnya cukup dikenali dan berupaya mengupas persoalan-persoalan yang diajukan. Jangan lupa, rugi jika tidak datang!  

Ilmu itu didatangi, bukan ilmu yang mendatangi. Ilmu dicari, bukan ilmu yang mencari. Justeru, luang-luangkanlah masa untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama, mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan. Kata ulama', "Jangan kita tiada masa dengan Allah, nanti Allah akan tiada masa dengan kita. Tunaikanlah hak Allah, nanti Allah akan tunaikan hak kita."

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (6)


foto hiasan: sumber

Menurut kebanyakan ahli sejarah, Peristiwa Gajah terjadi pada bulan Muharam, iaitu 50 atau 55 hari sebelum kelahiran Nabi Muhammad, bertepatan dengan akhir Februari atau awal Mac tahun 571 M. Ini merupakan hadiah daripada Allah untuk nabi-Nya dan rumah-Nya (Kaabah). Apabila kita melihat Baitul Maqdis (kiblat pertama) ketika itu, kita akan mendapati bahawa kaum paganis (penyembah berhala) yang menguasai kiblat tersebut, sebagaimana yang dilakukan oleh Bukhtanashar pada tahun 587 SM dan Rom pada tahun 70 M.

Padahal, penduduk asalnya waktu itu beragama Islam (pemeluk agama Nasrani yang masih memegang teguh ajaran Nabi Isa). Sedangkan keadaan Kaabah adalah sebaliknya, tidak pernah dijajah oleh orang Nasrani (yang ketika itu boleh dikira sebagai Islam kerana memegang ajaran Nabi Isa secara murni) padahal penduduknya adalah orang paganis.

Berita tentang Peristiwa Gajah menjadi bualan dalam banyak versi yang masing-masing berkembang hingga ke sebahagian besar negeri yang peradabannya telah lebih maju pada waktu itu. Ini adalah kerana Habsyah memiliki hubungan yang rapat dengan Rom. Sementara Parsi, sebagai musuh Rom waktu itu terus mengamati setiap perkembangan yang terjadi pada Rom dan sekutu-sekutunya. Berbekalkan maklumat yang dihimpun tentang peristiwa Gajah, Parsi segera melancarkan serangan ke Yaman. Memang, kedua-dua negara tersebut (Rom dan Parsi) merupakan dua kuasa besar ketika itu.

Peristiwa Gajah telah menarik perhatian dunia dan menunjukkan akan kesucian dan kemuliaan Baitullah. Baitullah dipilih oleh Allah untuk disucikan Kemudian, salah seorang penduduknya menjadi nabi. Maka, bolehlah dikatakan perkara itu sebagai rahsia sebenar daripada Peristiwa Gajah. Akhirnya, faktor kenabian itu menjadi jawapan akan hikmah tersembunyi, kenapa Allah menolong orang Musyrik (Quraisy) dalam menghadapi orang beriman (Nasrani Habsyah) melalui satu cara yang tidak terfikir oleh akal.(1)   

Abdul Mutalib mempunyai 10 orang anak lelaki, iaitu Harits, Zubair, Abu Talib, Abdullah, Abu Lahab, Ghaidaq, Muqawwim, Shaffar dan Abbas. Ada juga yang menyebut 11 orang, iaitu ditambah seorang anak lagi bernama Qitsam.Ada pula yang menambah dua orang lagi, iaitu Abdul Kaabah dan Hajl, sehingga jumlahnya menjadi 13.

Pendapat pertama yang menyebut bahawa anak lelaki Abdul Mutalib ada 10 orang berhujah bahawa Abdul Kaabah ialah Muqawwim, Hajl ialah Gahidaq dan abdul Mutalib tidak mempunyai anak bernama Qaisam. Manakala anak perempuan Abdul Mutalib, jumlahnya ialah enam, iaitu Ummu Hakim (nama asalnya Baidha`), Barrah, Atikah, Safiyah, Urwa dan Umaimah.(2)

Keterangan: 
(1) Pada suatu saat nanti, kaum Musyrik di Mekah beralih menjadi orang beriman yang memeluk agama Islam. Hal itu terbukti setelah peristiwa Fathul Mekah. Sedangkan orang Nasrani sebelumnya beriman berubah menjadi kaum paganis sejak Romawi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dan memasukkah begitu banyak unsur kesyirikan dalam agama tersebut. Disebabkan itu, sebuah kaum yang tadinya Musyrik namun suatu masa akan beriman, maka mereka berhak ditolong oleh Allah. Apatah lagi kemudiannya Kaabah akan menjadi simbol ketauhidan dan keimanan bagi seluruh dunia.

Rujukan: 
(2) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 8-9 dan Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil.ii, hal. 56 dan 66. 

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Tuesday, 16 February 2016

Debaran menanti 14 April...

Cover majalah Majnun-Majnun (Gila-Gila) edisi Februari 2016, menarik!
 
Assalamualaikum warahmatullah.

Sudah lama tidak bercerita perihal bauksit. Maklumlah, sekarang sudah mendapat semula 'kedamaian' yang sekian lama didambakan (baca: diperjuangkan). Yalah, kalau boleh sudah tidak mahu lagi mengingati igauan ngeri tersebut. Selama dua tahun lebih menanggung keperitan yang teramat. Tetapi, ingatan ini kembali menerjah tatkala terlihat foto cover majalah Majnun-Majnun edisi Februari di dalam FB. Wah, terujanya! Sampai majalah kartun ini pun terkesan dengan isu bauksit. Ini satu perkembangan yang sangat baik.

Jika diikutkan pada arahan Putrajaya, moratorium atau pemberhentian sementara selama 3 bulan akan tamat pada 14 April 2016. Selepas itu, samada aktiviti perlombongan beroperasi semula dengan mengikut SOP yang telah digariskan, atau sebaliknya (seperti dulu), sama-samalah rakyat Kuantan tunggu. Tetapi jika moratorium ini dilanjutkan lagi, itu yang terbaik (senyum). Rasanya jika ditanya kepada rakyat Kuantan, ramai yang bersetuju ia dilanjutkan lagi.   

Penjagaan alam sekitar adalah soal iman dan peranan manusia sebagai khalifah. Setiap manusia bertanggungjawab memelihara alam ini kerana ia adalah amanah. Saya rasa semua bersetuju dengannya. Tidakkah jika kita melihat bahawa di dalam al-Quran dan al-Sunnah penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? 

Teringat saya kata-kata ustaz Hasrizal di dalam satu kuliah, kaedah membina rumah pun diperincikan oleh syariat. Ketinggian bangunan juga jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Begitu juga bagaimana air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam. Lihat betapa Islam amat menitikberatkan hal pemeliharaan alam sekitar.

Manusia memerlukan air yang bersih, manusia juga memerlukan udara yang bersih. Tetapi bagaimana jika hanya ada segelintir yang menjaga amanah ini, sedangkan sebahagian pihak melalaikannya, bahkan dengan rakus merosakkannya atas nama perniagaan. Tidakkah ia satu proses kehidupan yang sangat tidak seimbang. 

Dalam isu bauksit ini pun, berulang kali telah ditegaskan, rakyat Kuantan tidak membantah aktiviti perlombongan bauksit kerana ia sememangnya dapat menjana ekonomi negeri. Namun, biarlah ia diuruskan dengan sebaiknya dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Kami tidak membantah aktiviti perlombongan bauksit tetapi membantah pencemaran akibat daripada perlombongan bauksit. Tidak timbul isu mahu menutup periuk nasi sesiapa.    

Lebih kuat iman di dada, lebih kuat kita menjaga alam persekitaran yang ada, setuju?

##Menanti 14 April dalam debaran..

Monday, 15 February 2016

Ketenangan milik-Nya...

 foto hiasan ~ sumber
Teman,
Antara kesenangan dan ketenangan ternyata ketara perbezaannya. Mungkin dengan beberapa lembar ringgit tidak sulit untuk memperolehi kesenangan. Namun belum tentu beroleh ketenangan dan ketenteraman, kerana bukan senang syarat tenang. Manakala jika tenang insya-Allah pasti melahirkan kesenangan. Itulah hakikat yang menjadi dambaan setiap manusia. 

Sebahagian manusia beranggapan bahawa ketenangan itu hanya diperolehi dengan kesenangan, maka berlumba-lumbalah mencari kesenangan, menumpukkan kekayaan, rumah besar, kereta besar, kerjaya yang hebat dan sebagainya. Namun tercapaikah ketenangan? Belum tentu, walaupun itu boleh menjadi faktornya tetapi ia bukan segala-galanya. 
 
Teman,
Berapa ramai orang yang berada di dalam rumah yang besar, tidur di atas katil yang empuk, tetapi dia tidak lebih enak atau lenanya tidak lebih nyenyak. Bahkan ada orang yang hanya tidur di pondok buruk, kadang-kadang dia lebih lena dan nyenyak daripada kita. Ada orang yang berada di hadapannya hidangan yang hebat, lauk-pauk yang mahal, tetapi lidahnya tidak enak. Bahkan lebih enak lagi orang yang makan satu dua benda lauk, tetapi dia lebih selesa dan sedap mencicipnya berbanding kita. 

Ketenangan...ketenteraman...amat mahal harganya. Belum tentu diperolehi walaupun berharta dan memiliki segalanya. Oleh itu carilah formula ketenangan yang telah disediakan oleh agama. Pasti mujarab, pasti tidak kecewa. 

Teman,
Tiada kekuatan apa pun yang mampu menggoyahkan jiwa seseorang yang mendapat curahan rahmat Allah. Tiada kegelapan apa pun yang dapat menyesatkan jiwa yang di dalam lindungan-Nya. Tiada keresahan yang mampu merobek jiwa seseorang yang mendapat kasih sayang Allah. Sebaliknya hati yang ‘terputus’ dengan tali ikatan Allah amat sulit untuk mengecap tenteramannya kehidupan. Demikianlah jiwa yang gelap tanpa sinar petunjuk-Nya, jalannya berliku dan bergelombang tanpa cahaya kebenaran-Nya. 

Teman,
Jika Allah SWT mahu memberikan kebahagiaan, ia tidak dapat dihalang oleh mana-mana tangan sekalipun. Tetapi jika Allah SWT menghalang kebahagiaan kepada seseorang, maka ia tidak dapat dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun. Oleh itu, sentiasalah berhubung dengan-Nya dan berpeganglah dengan tali-Nya, agar kebahagiaan dan ketenangan sentiasa dihulurkan kepada kita. Biarpun manusia ramai melihat kita tiada apa-apa, sedangkan di dalam dada kita menggenggam sakinah...ketenangan. 

Allahu al-Musta`an.

Friday, 12 February 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 56

Salam Jumaat.


Ketika Nabi Ya`kub berkata: 
"Aku bimbang serigala akan memakannya..."
Maka dia kehilangan Nabi Yusuf dan hilang penglihatannya.

Tetapi ketika ia berkata: 
"Aku serahkan urusanku kepada Allah..."
Maka kembali kepadanya Nabi Yusuf dan kembali juga penglihatannya.

Serahkan urusan kita kepada Allah.

Wednesday, 10 February 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (5)

Ghaqat al-Qalis, dipercayai binaan Abrahah untuk menandingi Kaabah di Mekah. (sumber)

Sementara ringkasan untuk kejadian yang kedua pula, tatkala Abrahah al-Shabbah al-Habasyi (gabenor yang ditugaskan oleh Najasyi di Yaman) melihat orang Arab berhaji ke Kaabah, maka dia membangunkan sebuah gereja besar di Shanaa`. Dia ingin memalingkan haji orang Arab ke gereja tersebut. Rancangan itu didengari oleh seorang lelaki daripada Bani Kinanah. Maka pada suatu malam, lelaki tersebut mencuri-curi masuk ke gereja itu dan melumur dindingnya dengan kotoran haiwan. Mengetahui hal itu, Abrahah menjadi marah. Dia menghimpunkan pasukan dalam jumlah besar, mencapai 60 ribu orang menuju ke Kaabah untuk menghancurkan.

Dia memilih gajah yang paling besar untuk dirinya sendiri. Dalam pasukannya terdapat 9 atau 13 ekor gajah. Pasukannya berjalan tanpa henti hingga tiba di sebuah tempat bernama Maghmas. Di situlah dia menggerakkan kekuatan pasukannya, mempersiapkan gajahnya dan bersiap-siap masuk ke kota Mekah. Namun begitu, tatkala sampai di Lembah Muhassar yang terletak di antara Muzdalifah dan Mina, tiba-tiba gajahnya duduk dan tidak mahu bangkit lagi menuju ke Kaabah. Setiap kali mereka mengarahkan gajah tersebut ke arah selatan, utara atau timur, gajah itu bergerak maju dengan cepat. Namun apabila dihadapkan ke arah Kaabah, gajah itu duduk.   

Dalam keadaan seperti itu, Allah mengirimkan sekawan burung ababil yang melempar batu-batu panas kepada mereka daripada tanah liat yang terbakar. Allah membuatkan mereka musnah bagaikan dedaunan hijau yang dimakan ulat. Burung ababil bentuknya hampir mirip dengan burung layang-layang atau burung pipt. Setiap ekor burung ababil membawa tiga biji batu sebesar biji kacang, satu biji diparuhnya dan dua biji dikakinya. Batu-batu itu menghujani Abrahah dan tentera mereka sehingga ramai daripada mereka yang mati.

Namun begitu, tidak semua pasukan Abrahah terkena hujan batu panas. Mereka yang kena lari bertempiaran dan saling memijak satu sama lain hingga akhirnya mereka semua mati di merata tempat. Akhirnya Allah mengirimkan wabak penyakit untuk Abrahah yang menyebabkan jari dan lengannya terputus. Setelah menginjakkan kaki di Shanaa` dia telah menjadi seperti mayat hidup, hanya tinggal kepala dan badan. Selang beberapa lama, dadanya terbelah sehingga hatinya keluar dan dia pun mati perlahan-lahan.

Ketika pasukan Abrahah menggempur Mekah, orang Quraisy telah lari bertempiaran menuju ke gunung, bahkan ada yang berlindung di puncak-puncak gunung. Setelah pasukan Abrahah ditimpa kejadian yang mereka alami, barulah orang Quraisy pulang ke rumah dalam keadaan aman.(1)

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil.i, hal. 43-56 dan Sayyid Abu al-A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. vi, hal. 462-469.

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Monday, 8 February 2016

Alhamdulillah, angah sudah 16 tahun...


Hari ini 08 Februari 2016.
Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-16 buat anakandaku Wan Nur Irsalina@angah.

Nama yang telah dipilih ketika dikau masih di dalam kandungan ummi, agar ia menambah seri makna dan cahaya kegembiraan di dalam keluarga kita.

'Wan' adalah nama legasi keluarga kita sejak berzaman. Maka abi juga meletakkan tanda 'Wan' kepada semua nama ahli keluarga kita. Bukannya apa, mudah untuk mengenal rintis keluarga dan saudara-mara, kerana telah ada gelaran dan tanda. Namun begitu, tidaklah sekelumit pun mahu membangga-banggakan nasab keturunan, dan tidak pula mahu membeza-bezakan di antara manusia.  Semua kita adalah daripada Adam dan Adam itu daripada tanah. Perbezaannya adalah pada aras taqwa. Siapa yang lebih bertaqwa, maka dialah yang paling mulia. Tiada sekali-kali letaknya pada nasab dan keturunan. 

Firman Allah SWT:
"Apabila sangkakala ditiup, maka tidak ada lagi pertalian nasab (keturunan) di antara mereka pada hari itu, dan tidak pula mereka saling bertanya." (al-Mukminun: 101) 

Manakala Rasulullah saw bersabda:  
"Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

'Nur Irsalina' adalah cahaya pengiriman kami. Cahaya seringkali dikaitkan dengan kebaikan, sebagaimana matahari yang menebarkan cahaya untuk kebaikan makhluk di bumi. Hidayah dan ilmu juga adalah cahaya. Ia mengeluarkan manusia daripada gelap kejahilan. Semoga dirimu menjadi cahaya yang dikirimkan untuk menerangi keluarga kita serta ummah seluruhnya.    

Abi dan ummi sentiasa mendoakan agar anakanda Wan Nur Irsalina menjadi anak yang solehah dan cahaya mata penyejuk hati...aminn.

Sunday, 7 February 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (4)


Ada dua kejadian yang paling penting semasa Abdul Mutalib memegang amanah menguruskan Baitullah. Iaitu penggalian telaga zamzam dan Peristiwa Gajah.(1) 

 foto hiasan: Telaga zamzam (sumber)

Ringkasan untuk kejadian yang pertama bermula daripada mimpi yang dialami oleh Abdul Mutalib. Dalam mimpi itu dia diperintahkan untuk menggali telaga zamzam. Bahkan dia diberi tanda-tanda kedudukan telaga itu. Setelah dia bangun, Abdul Mutalib bergegas melakukan penggalian.

Di tempat dia menggali,dia menemui banyak barang yang dahulunya ditimbuni oleh bangsa Jurhum ketika mereka lari keluar dari Mekah. Iaitu beberapa bilah pedang, baju besi dan dua gulung kain berhiaskan emas. Pedang-pedang itu dijadikannya sebagai penghias sebuah pintu Kaabah. Pada pintu itu ditambahkan pula dua gulung kain emas. Seterusnya dari telaga zamzam yang ditemuinya, dia melayani keperluan jemaah haji.

Ketika telaga zamzam ditemui kembali, orang Quraisy menuntut kepada Abdul Mutalib dengan menyatakan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menguruskan telaga zamzam. Mereka berkata kepadanya, "Kami juga mahu menguruskannya." Abdul Mutalib menjawab, "Saya tidak akan membiarkannya. Urusan telaga zamzam ini khusus untuk aku uruskan." Orang Quraisy tidak puas hati menyebabkan mereka enggan beredar.

Bersama-sama Abdul Mutalib, mereka kemudian menemui seorang dukun wanita daripada Bani Saad sebagai orang tengah untuk membuat keputusan bagi mereka. Si dukun tidak boleh memberikan keputusan. Dia hanya memberitahu bahawa dalam perjalanan nanti mereka akan menemui tanda-tanda begini. Maka urusannya seperti ini dan jika tanda-tandanya begitu maka urusannya seperti itu.

Mereka semua tidak mahu kembali ke rumah masing-masing. Tetapi mereka masih menyusuri jalan, hingga akhirnya di suatu jalan, Allah memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Abdul Mutalib berhak menguruskan sendiri urusan telaga zamzam.

Daripada kejadian itu, Abdul Mutalib bernazar. Jika Allah mengurniakan 10 orang anak lelaki untuknya dan mereka membesar hingga mempunyai kemampuan untuk membelanya, maka dia akan menyembelih salah seorang daripada mereka sebagai korban di sisi Kaabah.    

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 142-147 

(Adaptasi daripada ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

Saturday, 6 February 2016

Santai-santai hari ini

Alhamdulillahi bi as-Salam. 

Seronok. Anak-anak semuanya sudah balik dari asrama. Tengahari semalam ummu Ikhwan menjemput acik Adawiyah di sekolahnya. Along Ikhwan balik pula sendiri dengan menaiki bas, biasalah anak lelaki. Saya pun taklah rasa bimbang sangat. Lewat petang dia baru sampai kerana bertolak selepas sembahyang Jumaat dari bandar Pekan. Manakala angah Irsalina sehari lebih awal pada hari Khamis, kerana negeri Terengganu mula bercuti pada hari Jumaat. 

'Layan anak-anak main dam'

Bila sudah berkumpul ramai-ramai, riuh rendah jadinya. Macam-macam cerita yang dibawa balik dari sekolah masing-masing. Si kecil Haikal pun sama naik dengan tutur bicara yang tidak tentu butirnya. Entahlah apa yang dibebelkan. Mungkin mahu menyatakan kegembiraan dengan kepulangan abang dan kakak-kakaknya. 

Insya-Allah petang ini cadangnya mahu membawa keluarga bersantai-santai di Teluk Cempedak, itu pun jika cuaca mengizinkan. Empat lima hari ini hujan sentiasa bergenang di tempat saya. Teringat orang tua-tua dulu sebut: “hujan nak memegang raya cinalah tu.” Entahlah, betul atau tidak. Tetapi bila hampir tiba raya cina kebiasaannya hujan, di tempat sayalah. Tempat lain saya tak tahu. 

Jika pergi ke pantai Teluk Cempedak pun di sebelah petang, kerana hari ini saya ada dua jemputan kenduri kahwin. Musim cuti begini memang ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis kenduri. Kalau setakat dua boleh lagi nak pergi, tetapi jika lima enam tempat rasanya terpaksa memilih yang mana satu. Nak pergi semuanya, hmm.. tak larat.

Bercerita mengenai kenduri kahwin, saya teringat satu soalan yang pernah ditanya di dalam kuliah ustaz Azhar Idrus. Walaupun jawapan yang diberikan secara seloroh dan jenaka tetapi pengajarannya sangat berguna. 

Soalan: 

Tolong terangkan apakah perkara yang DIBENARKAN dan yang DILARANG di dalam adat PERKAHWINAN orang Melayu seperti bersanding, makan beradab, sirih junjung, tepung tawar, berinai, dan sebagainya. 

Ustaz Azhar Idrus menjawab: 

Di antara adat-adat di dalam perkahwinan orang Melayu adalah: 

* Bersanding - Yang salahnya apabila pengantin PEREMPUAN mendedahkan aurat, berpakaian ketat, tabarruj dalam solekan dan perhiasan, bermegah-megah, dan sanggup tinggal solat kerana sayang pada make-up takut hilang bila wuduk, padahal TINGGAL SOLAT 1 WAKTU waktu akan DISEKSA 6000 TAHUN dalam API NERAKA. Kalau dah nak bersanding sangat, biarlah serba SEDERHANA dan disaksikan oleh golongan WANITA dan ahli KELUARGA (mahram) sahaja dan JANGAN sampai MELANGGAR BATAS SYARAK. 

* Kalau dulu pengantin perempuan disolek "mak andam" tapi sekarang disolek "maknyah andam". Ini HARAM sebab dia adalah LELAKI, cuma lenggang-lenggoknya saja nampak lembut. 

* Makan beradab tak ada masalah kerana bukan sebab hendak menunjuk-nunjuk, cuma pasangan pengantin duduk makan bersama keluarga dan tetamu. 

* Sirih junjung ini adalah adat agama HINDU, TIDAK DIBENARKAN kecuali pengantin memang JENIS MAKAN SIRIH. 

* Tabur beras kunyit ini juga asalnya ADAT ORANG HINDU dan ianya adalah MEMBAZIR kecuali pengantin itu adalah PENGANTIN AYAM. 

* Pasang api lilin juga adat agama lain termasuk agama HINDU dan MAJUSI. Boleh guna api lilin jika lampu rumah padam. 

* Tepung tawar adalah MEMBAZIR, kan lebih baik guna tepung buat CEKODOK bagi makan pada pengantin! 

* Renjis air mawar boleh kerana BERTUJUAN untuk WANGIAN tapi jika pengantin JENIS TAK SOLAT jangan guna air mawar tapi renjis guna AIR LONGKANG 

* Bersilat depan pengantin boleh, tapi kalau pengantin JENIS TAK SOLAT jangan bersilat tapi KASI dia "flying kick" terus 

* Berinai dijari adalah HARAM bagi lelaki kerana inai jari ini adalah hiasan WANITA SAHAJA. Ada yang kata boleh sebab bagi alasan kahwin. Baik, kalau begitu pengantin lelaki bolehlah pakai bra sebab kahwin punya pasal. Bagi perempuan pula, janganlah pakai INAI LEBIH-LEBIH sampai dah buat ukiran bermacam-macam corak seperti TATU PULAK. Berlebih-lebihan juga HARAM hukumnya, lebih-lebih lagi kalau nak menunjuk-nunjuk. 

* Adat batal air sembahyang - Tahun 80-an cium tangan, 90-an cium pipi, tapi DAH ADA sekarang yang cium MULUT terus depan tok IMAM, dah jadi macam orang KRISTIAN. Jangan jadi melampau-lampau macam ni. Cara mudah nak batal air sembahyang ialah kentut saja depan tok imam. Batal jugak air sembahyang.

* Pakai baju gaun labuh ada 2 orang budak pegang di belakang, dan ada juga yang lempar bunga untuk orang ramai sambut - Ini dah ikut adat orang KRISTIAN. Jadi, jangan kita berlebih-lebihan dalam majlis perkahwinan. 

*Tinggallah adat-adat yang BID'AH dan kembali kepada SUNNAH. 

Itulah lebih kurang untuk panduan kita bersama. Jika nak ikut silakan, kalau tak nak ikut pun tak kisah cuma kita KENA INGAT, yang kena JAWAB soalan-soalan dalam KUBUR nanti adalah kita. 

Ada satu lagi bagi yang bakal berkahwin, jika hari perkahwinan si suami membenarkan isterinya memakai TUDUNG letak di DALAM BAJU, maka SUAMI itu telah menanggung DOSA si isteri, dan suami dikira DAYUS. Pemakaian tudung sebegini adalah menjadi kebiasaan WANITA pada AKHIR ZAMAN. Marilah sama-sama minta bakal isteri memakai tudung yang ikut syariat.

Semoga mendapat kefahaman dan bermanfaat!

Friday, 5 February 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 55

Salam Jumaat.


"Jangan gopoh memetik buah..
Sabarlah..
Tanaman yang baik akan mendatangkan hasil walaupun selepas beberapa waktu."

Thursday, 4 February 2016

Lemang bakar, lemang rebus...hentam sajalah labu...

Deretan gerai lemang di Kijal - sumber foto
 
“Eh, nak ke mana ni?” Tanya isteri saya di sebelah, kehairanan apabila saya tidak membelokkan kenderaan memasuki simpang ke Bakau Tinggi. 

“Oh, nak jalan-jalan ke Kuala Terengganu.” Jawab saya bersahaja diselangi ketawa kecil. 

Tengahari tadi saya dan keluarga mengambil angah Irsalina di PPTI Kemaman sempena cuti tahun baru cina. Sebelum itu, setibanya di simpang menuju ke sekolahnya, saya terus melajakkan kereta tanpa masuk ke simpang tersebut. Hairan juga ummu Ikhwan, angin tidak hujan pun tidak, tiba-tiba nak ke Kuala Terengganu. Yalah tanpa apa-apa persiapan, tiba-tiba mahu makan angin ke sana. Hari biasa pula, bukan hujung minggu. 

Tatkala memasuki kawasan Kijal saya memberhentikan kereta di hadapan gerai lemang yang banyak berderetan di tepi jalan utama ke Kuala Terengganu. Bau asap membakar lemang menusuk deria bau. Kembang-kempis hidung saya menikmati baunya yang dibawa terbang angin. Kurang pasti, bilakah kali terakhir saya singgah membeli lemang di sini. Mungkin hampir sedekad lalu, ketika pulang daripada satu konvensyen di Kuala Terengganu. 

“Nak beli lemang rupanya..." Kata isteri saya, sewaktu saya sedang memasukkan lemang ke dalam but kereta. 

Daerah Kijal memang terkenal dengan pembuatan lemangnya. Bila sebut Kijal, automatik di dalam kepala teringat kepada lemang. Kiranya Kijal dan lemang cukup sinonim, tidak boleh dipisahkan. Alhamdulillah, setelah tawar menawar dapat juga 6 batang lemang dengan harga RM20. Murah dah tu! Nak bawa balik ke Kuantan, kata saya kepada si penjual lemang yang murah dengan senyuman itu. Tak perlu jumpa bomoh atau dukun meminta pelaris. Cukup dengan berbudi bahasa, murah dengan senyuman, masakan yang sedap dan harga yang berpatutan, insya-Allah larislah jualannya. 

Di sini juga ada menjual sata, tetapi tidaklah sebanyak sata di Kuala Kemaman. Selain itu serunding dan jeruk buah pun ada dijual. Bolehlah nak menghilang mengantuk ketika memandu dengan mengemam jeruk yang masam itu. Tetapi saya cuma membeli lemang sahaja.  

Kata orang, sekarang ini banyak lemang rebus. Maksudnya lemang yang direbus terlebih dahulu sebelum masukkan ke dalam buluh dan barulah dibakar. Bukan apa, untuk menjimatkan masa. Cara biasa orang menipu berniaga. Hendak buat macamana, takkan nak bertanya siasat bagai. Kalau ‘signboard’ tulis lemang bakar, kira percayalah ianya lemang bakar. Kalau tak betul, ‘menjawablah’ nanti di sana. 

Memang sekarang ini banyak yang tak berapa nak ‘cantik’ (baca: segelintir). Kalau madu lebah bercampur dengan air gula nira. Tempoyak pula dicampur dengan isi pisang. Bukan setakat makanan, boleh dikatakan banyak benda yang kurang asli. Ubat-ubatan, alat ganti kenderaan, pakaian dan macam-macam lagi. Sahabat-sahabat boleh fikir sendiri.  

#Insya-Allah, esok nak jemput acik Adawiyah di sekolahnya, manakala along Ikhwan balik sendiri.

Tuesday, 2 February 2016

Andai tidak mampu melakukan kebaikan, jangan pula melakukan keburukan...

Beg plastik di sisi saya ambil, lalu ikatannya saya rungkai perlahan-lahan. Lantas saya keluarkan buku yang baru dibeli tadi, satu lagi koleksi untuk perpustakaan peribadi saya. Senyum sendirian tatkala menatap kulit hadapan, ada riak-riak mendamaikan. Sambil-sambil menunggu waktu solat bolehlah saya isi dengan membaca, sekurang-kurangnya tidaklah membuang masa walaupun ianya sebentar. 

Di beberapa sudut saya melihat ada yang sedang membaca al-Quran, ada yang sedang berbual-bual, ada yang menyandar di tiang sambil jari mengira butiran tasbih, dan ada juga sedang berbaring. Masing-masing dengan urusan sendiri. Hakikatnya mereka semua sedang menunggu masuknya waktu solat. 

Buku telah pun ditangan. Helaian-demi helaian saya selak. Tiba-tiba mata saya tertumpu pada perenggan sebelah atas. Teruja dengan coretan pengarangnya. 

 foto hiasan - sumber

Suatu hari seorang guru berkata kepada muridnya: “Wahai Ahmad, jadilah kamu bintang; jika tidak mampu menjadi bintang, maka jadilah bulan, dan jika kau tak mampu menjadi bulan, maka jadilah kamu matahari.” 

Sang murid kemudiannya bertanya: “Wahai guru, sesungguhnya bulan lebih terang dibandingkan dengan bintang dan matahari lebih terang daripada bulan, mengapa guru membalikkan urutannya?” 

Sang guru menjawab: “Wahai muridku, yang aku maksudkan adalah jadilah kamu seperti bintang yang muncul pada awal malam dan tenggelam pada waktu fajar, maka bangunlah untuk beribadah kepada Rabbmu sejak awal malam hingga akhir malam. Jikalau engkau tidak mampu solat malam setiap hari, maka jadilah kamu laksana bulan, yang terbit pada sebahagian malam kemudian lenyap, maka bangunlah pada sebahagian malam untuk beribadah kepada Rabbmu. Jika kamu tidak mampu juga untuk solat malam, maka jadilah kamu laksana matahari, terbit sejak awal pagi hingga tenggelam pada petang hari; jikalau kamu tidak kuasa untuk solat malam, maka jangan sekali-kali kamu bermaksiat kepada Allah SWT pada siang hari!” 

Membaca coretan ini benar-benar menginsafkan. Betapa indah perumpamaan yang diberikan. Sifirnya mudah, jika tidak mampu berbuat kebaikan, jangan pula kita menjadi pelaku keburukan. Saya membuat contoh, jika tidak mampu bangun sembahyang malam, janganlah pula kita sesekali terlupa berniat untuk bangun malam. Seandainya tangan kita tidak mampu untuk bersedekah, maka kawallah ia daripada membuat aniaya dan kerosakan. Janganlah sampai tangan itu kita jadikan untuk menzalimi makhluk yang lain, mengambil hak orang dan sebagainya.  

Demikianlah agama mendidik kita agar sentiasa melakukan kebaikan, tetapi andainya tidak mampu atau kuat untuk melakukan kebaikan, maka jagalah ia daripada melakukan keburukan.

Dunia untuk akhirat (ingatan buat diriku) 

Kehidupan kita di dunia ini adalah medan untuk kita membina akhirat kita. Ikhtiar untuk membina kehidupan kedua iaitu di akhirat nanti bergantung kepada kehidupan di sini. Di sana tiada lagi ikhtiar dan usaha, yang ada hanyalah balasan semata-mata. Oleh itu, peluang yang ada ini hendaklah digunakan sebaiknya untuk mencorak kehidupan di akhirat. Kebahagiaan di akhirat ada kekal, begitulah sebaliknya. Tiada ruang untuk kembali semula memperbaiki kehidupan. Masanya adalah ketika ini. 

Maka, bagaimana kita mahu membina kehidupan di dunia ini? Tidak lain dan tidak bukan berpandukan kepada Islam yang diturunkan oleh Allah SWT. Islam mengajak dan mengajar manusia untuk membina kehidupan yang seimbang dan sempurna. Baik dari sudut fizikal maupun dari sudut kejiwaan. Marilah kita menyusun dan merancang kehidupan kita dengan baik. Kita akan lihat banyak ruang yang kita miliki untuk diisi. Susunlah kehidupan kita, contoh teladan yang terbaik adalah melalui akhlaq yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah saw. 

Sa`ad bin Hisham pernah bertanya kepada ‘Aisyah rha. tentang akhlaq Rasulullah saw, maka `Aisyah rha menjawab: “Akhlaq baginda ialah al-Quran.” Lalu Sa`ad berkata: “Sungguh aku ingin berdiri dan tidak lagi menanyakan sesuatu yang lain.” (Riwayat Muslim) 

Bahagia dunia. 

Bahagia akhirat. 

Mudah-mudahan.