Sahabat Sejati

Saturday 24 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (20)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (19), di bawah tajuk kecil: Menghirup Udara di Perkampungan Bani Saad.

foto hiasan ~ sumber

"Selama dua tahun menyusui Muhamad, Halimah dan keluarga sering mendapat rezeki yang banyak dan kebaikan daripada Allah. Ketika telah putus susu, Muhammad pun membesar menjadi anak lelaki yang gagah dan kuat, tidak seperti anak-anak yang lain. Bahkan, sebelum genap dua tahun, perwatakan fizikalnya telah menjadi besar."

Selepas putus susu, Halimah menghantar Muhammad pulang kepada ibunya walaupun sebenarnya Halimah ingin Muhammad tinggal bersamanya. Ini adalah kerana Halimah dapat menyaksikan sendiri betapa kehadirannya telah mengundang hujan keberkatan. Maka, disampaikan keinginannya itu kepada ibunya.

Saya meminta kepada ibunya, "Bolehkah kamu izinkan anak ini terus tinggal bersama kami sehingga dia lebih besar lagi? Sebabnya saya khuatir dia terkena penyakit yang ada di Mekah." Saya terus merayu Aminah sehingga akhirnya dia mengizinkan Muhammad terus bersama-sama kami."(1)

Demikianlah, Muhammad saw tetap tinggal di perkampungan Bani Saad sehingga baginda menginjak usia empat atau lima tahun, sehingga terjadinya peristiwa pembelahan dada baginda.(2)

Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas, Rasulullah saw didatangi oleh malaikat Jibril ketika baginda sedang asyik bermain bersama teman-teman sebayanya. Jibril lalu membaringkannya, kemudian membelah dadanya. Jibril mengeluarkan jantung baginda, lalu mengeluarkan segumpal darah (hati) daripada bahagian jantung itu. Jibril berkata kepada baginda:

"Inilah bahagian syaitan yang ada pada dirimu." Jibril lalu mencuci gumpalan darah itu menggunakan air zamzam dalam sebuah bekas emas. Selepas mencucinya, Jibril membalut kembali gumpalan darah itu sehingga keadaannya pulih seperti semula lalu dikembalikan ke tempatnya. Sementara kanak-kanak yang bermain bersama-sama baginda telah lari menemui Halimah. Mereka menceritakan. "Muhammad telah dibunuh."

Dalam situasi ketakutan, mereka mendatangi Nabi Muhammad saw. Sampai di sana, baginda terus menyambut mereka dengan senyuman berseri-seri.(3)

Rujukan:

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. i, hal. 162-164.

(2) Inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti ahli sejarah. Namun begitu, apabila ditelaah daripada riwayat Ibnu Ishaq, kelihatan bahawa peristiwa itu terjadi ketika usia baginda tiga tahun - lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. i, hal. 164-165.

(3) Sahih Muslim, bab tentang Israk-Mikraj, jil. i, hal. 92.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

2 comments:

Nor Azimah Ali said...

Salam 25 Rabiul awwal, semoga ustaz sekeluarga sihat hendaknya.

Salam rindu buat Baginda, seluruh ahli keluarga dan para sahabat baginda sekelian.

paridah said...

Assalam ustaz semoga berbhgia bersama keluarga...selawat dan salam ke atas rasul junjungan yg mulia. perkongsian yg sgt bermenafaat.

Post a Comment