Sahabat Sejati

Saturday, 17 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (18)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (17), di bawah tajuk: PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI


foto hiasan (sumber)

Menghirup Udara di Perkampungan Bani Saad

Telah menjadi kebiasaan masyarakat Arab kota untuk mencari wanita penyusu dari desa untuk anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk menjauhkan anak-anak itu daripada pelbagai penyakit yang ada di kota. Diharapkan tubuh anak-anak itu membesar sihat dan kuat, dapat berdiri tegap dan mempunyai akhlak yang baik. Penduduk di pedalaman itu juga dapat mengajar anak-anak di situ bahasa Arab yang baik semenjak masih bayi.

Maka, seperti orang Arab kota yang lain, Abdul Mutalib mencarikan wanita penyusu untuk cucunya. Ketika itulah seorang wanita daripada Bani Saad bin Bakar bernama Halimah binti Abu Dzuaib yang didampingi oleh suaminya yang masih berasal daripada satu kabilah dengannya, bernama Harith bin Abdul Uzza yang dikenali juga dengan nama Abu Kabsyah menawarkan diri untuk menyusui Muhammad.

Tawaran tersebut diterima oleh Abdul Mutalib, maka baginda dibawalah ke perkampungan Bani Saad. Semasa penyusuan Halimah, baginda mendapat tiga saudara susuan, iaitu Abdullah bin Harith, Anisah binti Harith dan Hadzafah atau Judzamah binti Harith. Judzamah digelari dengan sebutan asy-Syaima' dan dia lebih dikenali dengan gelarannya ini berbanding nama asalnya.

Selain mengasuh Rasulullah saw, Halimah pernah juga mengasuh Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutalib, anak bapa saudara baginda. Bahkan, bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib juga disusui dalam kalangan Bani Saad bin Bakar. Penyusuan Hamzah bukan pada Halimah, tetapi pernah satu hari Hamzah disusui oleh Halimah padahal waktu itu Rasulullah saw sedang disusui oleh Halimah. Oleh itu, Hamzah juga adalah saudara susuan Rasulullah saw daripada dua laluan iaitu daripada Tsuwaibah dan Halimah al-Saadiah.(1)   

Sejak bertemu dengan Nabi Muhammad, Halimah mendapat keberkatan yang sehingga membuatkannya kagum. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq, Halimah menjelaskan, dia dan suami membawa anak mereka yang masih kecil dan masih dalam penyusuannya, keluar dari kampung mereka. Mereka bergabung dalam rombongan Bani Saad bin Bakar, pencari anak susuan.

"Ketika itu adalah musim kemarau, Halimah tiada makanan sedikit pun. Dia menunggang keldai betina betina berwarna putih coklat dan membawa unta betina tua milik mereka. Demi Allah, unta itu tidak lagi mengeluarkan susu walau setitis pun. Halimah tidak boleh tidur sepanjang malam kerana anak lelakinya terus menangis kelaparan. Air susunya nyaris kering sehingga tidak cukup untuk menghilangkan rasa lapar anaknya. Tidak ada makanan pula untuk unta betina. Mereka mengharapkan sekiranya ada malam pertolongan dan jalan keluar.  

Rujukan :

(1) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma`ad, jil. 1, hal. 19
 
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

3 comments:

paridah said...

Assalam moga ustaz ni famili dlm perlindungan Allah. sukar sekali kehidupan ibu susuan Rasullullah pada awalnya ya...perkongsian kisah nabi yg patut diambil tahu.

Nor Azimah said...

Assalam ustaz, semoga ustaz sekeluarga sentiasa dlm rahmat dan kasih sayang Allah jua.

Kisah yang tidak jemu2 dibaca, moga dengan menghayatinya makin mendalam kasih sayang dan kecintaan kita kpd Baginda.

Kakzakie Purvit said...

Kakak rasa macam nak ada lanjutan dari kisah perjalanan itu. Memang menghayati kisah / sirah baginda tak pernah jemu.

Post a Comment