Sahabat Sejati

Wednesday 7 December 2016

Bahagia dengan memberi (update)

"Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92).

Anas ra. berkata: Abu Talhah seorang yang terkaya dari sahabat Ansar di Kota Madinah. Beliau mempunyai sebuah kebun kurma yang paling disayangi yang terletak berhadapan dengan masjid, bernama Bairuha`. Di dalamnya mengalir satu sumber air yang jernih, dan Rasulullah saw selalu masuk meminum sumber airnya.

Berkata Anas ra. lagi: Tatkala turunnya ayat "Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92) maka datanglah Abu Talhah kepada Rasulullah saw lalu berkata, :Ya Rasulullah! Allah telah menurunkan ayat ini kepadamu, dan harta yang paling ku kasihi adalah kebun Bairuha` ini. Oleh itu aku mahu menafkahkannya kepada Allah, semoga ia menjadi tabungan disisi Allah nanti."

Maka berkata Rasulullah saw, "Itulah harta yang menguntungkan, itulah harta yang menguntungkan (berlaba). Dan aku telah mendengar semua yang telah engkau katakan, maka aku berpendapat lebih kamu jadikan ia sedekah kepada kerabatmu yang terdekat."

Abu Talhah berkata, "Baik ya Rasulullah."

Maka Abu Talhah segera membahagi-bahagikan di kalangan kerabatnya.

Sesungguhnya Islam agama yang mementingkan amalan sosial. Ia menyeru penganutnya agar sentiasa memikirkan kehidupan sesama mereka. Inilah yang dinamakan 'ehsan' iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain. Kerana itulah Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang berada di dalam kesempitan.

Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi saw jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya. Seorang Muslim tidak akan mendapat kebaikan kecuali jika menafkahkan sebahagian hartanya untuk manfaat orang lain, inilah yang dimaksudkan oleh ayat di atas. Demikianlah betapa indahnya Islam dalam mengurus kasih sayang sesama mereka.

Mari memberi 

Amalan sedekah merupakan perbuatan yang terpuji di sisi Islam. Semenjak awal kedatangan Islam, Rasulullah saw menunjuk contoh dengan bersedekah dan memotivasi para sahabat supaya menjadikan bersedekah sebagai amalan. 

Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai contohnya, telah menafkahkan seluruh harta kekayaannya untuk digunakan pada jalan Allah SWT. Apabila ditanya oleh Rasulullah saw apa yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya, beliau menjawab; Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dengan sahabat-sahabatnya yang lain seperti Zubir bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi. Mereka ini adalah ahli perniagaan yang berjaya dan memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi mereka tidak pernah lupa menafkahkan hasil perniagaan mereka untuk kepentingan Islam. 

Jiwa dan keimanan mereka amat kental sehingga tidak mampu ditewaskan oleh harta kekayaan yang mengelilingi kehidupan mereka. 

Rasulullah saw bersabda: "Daripada Abu Zar ra. bahawasanya segolongan manusia dari sahabat Rasulullah saw berkata kepada baginda: "Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (kaya) telah mendapat pahala (lebih banyak daripada kami). Mereka solat sebagaimana kami solat dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka. 

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu suatu untuk bersedekah? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala." (Muslim). 

Secara umumnya Rasulullah menyebut amalan bersedekah itu banyak cabangnya, tidak khusus hanya kepada harta sahaja. Tetapi yang paling penting ialah sikap kita apabila bersedekah. Bersedekah disertai dengan keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah. 

Firman Allah swt: “Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan kelakuan yang menyakiti (hati penerima) seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu batu itu menjadi licin kembali. Tidak suatu pun yang dapat mereka peroleh dari usahanya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Baqarah-264). 

Marilah kita sama-sama merenungi peringatan ini. Kehidupan kita di dalam masyarakat memerlukan di antara satu sama lain. Kita tidak mungkin dapat hidup berseorangan, oleh itu janganlah kita terlalu bersifat ananiyah (mementingkan diri sendiri). Marilah kita singkirkan sifat kikir yang ada di dalam diri kerana ia adalah sifat mazmumah dan amat merugikan kita. 

Berkata Yahya bin Muaz: "Tiada dalam hati orang-orang yang pemurah selain kasih walaupun mereka orang-orang yang fasik. Dan orang-orang kikir itu hanya mempunyai kemarahan, walaupun mereka orang-orang yang baik." 

Nah! Mari kita berkasih sayang melalui sedekah, kita pasti bahagia.

1 comments:

Kakzakie Purvit said...

Itulah dikatakan pentingnya hablum-minannas dan hablum-minallah kan AI. Dua-dua hubungan sesama manusia dan dengan Allah kena seiringkan. Macam kita solat berjemaah. Solat sama-sama mendapat ganjaran (insya-allah) dan sama-sama mengaminkan doa. Sedekah dgn doa lagi kita tak sedar dan tak nampak..

Post a Comment