Sahabat Sejati

Wednesday, 23 November 2016

Ya Allah, selamatkanlah saudara kami.. umat Islam Rohingya

Tidak betah untuk menulis sesuatu yang menyeronokkan ketika ini. Lantaran ada yang menyesakkan dada dan meruntun jiwa. Mata saya berkaca tatkala menatap foto-foto yang tergambar di skrin telefon bimbit. Tidak habis membelek foto-foto tersebut, akhirnya saya memadamkannya kerana tidak sanggup melihatnya. Marah, geram, ngeri, kasihan bercampur-baur.  

Sekarang ini umat Islam Rohingya sedang dibantai dan diratah dengan rakusnya oleh rejim junta pemerintah Myanmar serta penduduk awam yang beragama buddha. Wanita, kanak-kanak dan orang awam dibunuh, dirogol, dibakar hidup-hidup dan segala jenayah kemanusiaan yang lain. Ekoran pembantaian tersebut memaksa mereka menyelamatkan diri dengan menjadi pelarian, mengharap belas ehsan negara Islam yang lain. 

Majoriti etnik Rohingya tinggal di bahagian utara negeri Arakan atau Rakhine yang terletak di Barat Burma. Negeri ini juga bersempadan dengan negara Bangladesh. Berdasarkan sejarah, etnik Rohingya adalah beragama Islam disebabkan berlakunya aktiviti migrasi seperti perdagangan oleh sejak abad ke-9 oleh pedagang Arab yang membawa agama Islam ke Arakan. 

Rohingya merupakan susur galur daripada percampuran penduduk tempatan menerusi perkahwinan dengan penduduk Muslim dari Afghanistan, Parsi, Turki, Semenanjung Arab dan Bengal. Bahasa yang dipertuturkan dinamakan Bahasa Rohingya yang mempunyai persamaan dengan Bahasa Bengali yang digunakan oleh penduduk di Chittagong, sebuah wilayah di Bangladesh.

Mereka telah sekian lama ditindas dan dinafikan banyak hak di negara mereka sendiri. Di antara hak yang dinafikan ke atas mereka oleh pemerintah Myanmar ialah tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka. Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayah Arakan, menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api, dan bangunan berek tentera. Sekatan makanan sehingga mereka hidup di dalam keadaan kebuluran, sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan dan lain-lain. Sekarang ini pula mereka sedang berhadapan dengan proses penghapusan etnik yang sangat kejam.  

Isu umat Islam Rohingya adalah isu sejagat yang merentasi sempadan geografi, terutama kepada orang Islam. Mereka adalah saudara seagama dan seaqidah dengan kita. Saya hairan mengapa persidangan Kemuncak ASEAN yang diadakan setiap tahun tidak pernah membincangkan isu besar ini. Mengapa perkara ini tidak dibangkitkan kepada pemimpin Myanmar yang turut hadir. Betul-betul pelik!    

Dalam keributan bantahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman yang dilakukan pemerintah Myanmar ini, boleh pula Malaysia menghantar pasukan bolasepak bertanding dalam Piala Suzuki AFF di Myanmar. Takkan tiada langsung rasa simpati dan empati kepada umat Islam yang ditindas di sana. Tidak boleh ke memboikot kejohanan ini dengan tidak menghantar wakil yang bertanding. Boikotlah sebagai tanda membantah kekejaman dan kezaliman yang amat dahsyat ini.

Saya teringat dulu (membaca di majalah sukan), Malaysia pernah memboikot kejohanan Sukan Olimpik 1980 di Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas negara Afghanistan. Dengan tegasnya Malaysia tidak menghantar wakil ke sukan tersebut. Jika mahu diikutkan Sukan Olimpik lebih besar malah lebih gah berbanding dengan pertandingan bolasepak Piala Suzuki AFF. Boleh pula boikot pada masa itu. Entahlah (sambil menggaru-garu kepala), mungkin pemimpin negara pada masa itu lebih bertegas (baca: berani) daripada pemimpin yang ada sekarang. Mungkinlah..

Jika ada pula yang berkata, "Itu sukan, tidak ada kena mengena pun jika boikot." Suka pula saya katakan, "Apalah erti sukan jika tiada kemanusiaan." Bukankah ia satu kezaliman dan kekejaman ke atas satu etnik manusia dan mereka itu beragama Islam. Tidakkah kita merasakan ada pertalian yang mengikat di antara kita dan umat Islam Rohingya? Bukankah kita berkongsi lafaz kalimah thoiyibah yang sama? Marilah kita membantu dengan segenap upaya yang ada. Paling tidak dengan memanjatkan doa kepada Allah SWT agar diselamatkan saudara-saudara kita itu. Mudah-mudahan kita semua ada jawapan di hadapan Allah SWT nanti.       

Dari Nu’man bin Basyir ra., katanya Rasulullah saw bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam." (Hadis riwayat Muslim)

Kita prihatin!

4 comments:

Zakie Purvit said...

Lebih sadis pemimpin kita boleh membantu buddist myanmar bekerja di sini. Dpt visa senang betul berbanding nak dptkan visa islam pakistan. Kakak mengalaminya ni AI. Tapi skrg kakak dah 2 thn tak ambik myanmar. Kami ambil pakistan aje.

Yg penting sebenarnya 'org yg duduk atas' kena peka dan ada keberanian bab membela saudara seummah.

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan.... Saya juga menerima foto-foto sadis penganiayaan umat Islam Rohingya di WA. Terus delete dan tidak mahu melihatnya. Sedih dan pedih hati membaca ujian yang mereka terima. Mereka boleh hidup lebih baik dari itu jika semua pemimpin Islam bersatu membela mereka. Sungguh kalau Khalifah Umat Al-Khattab masih hidup, negara Myammar itu pasti diperangi demi umat Islam. Saya setuju, boikot sukan bola sepak tu seperti yang pernah di buat di Moscow. Biar dunia melihat kebejatan pemimpin negara Myanmar ini. Mudahan ada belas ihsan negara Islam lain untuk kesejahteraan umat Islam Myanmar. Aamiin. Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga dlm perlindungan Allah...sedih membaca n3 ustaz. Umat Islam minoriti sentiasa ditindas di mana n kita xberusaha lakukan sesuatu utk membantu walau sedikit.

Normala Saad said...

Kita disini cuma mampu berdoa..Masa isu Bosnia dulu kerajaan kita begitu berperihatin begitu juga sukarelawan Malaysia. Harap isu Rohinya ini kerajaan dan rakyat Malaysia dapat melakukan perkara yang sama

Post a Comment