Sahabat Sejati

Wednesday, 2 November 2016

Exam di Universiti kehidupan

Minggu lepas telah pun berakhir peperiksaan STAM bagi semua sekolah tinggi agama di seluruh negeri Pahang. Minggu lepas dan minggu sebelumnya pasti menjadi saat yang mendebarkan bagi setiap pelajar yang mendudukinya. 

Mungkin di waktu ini pula masing-masing sedang berdebar-debar dan kerisauan menunggu apakah yang bakal mereka perolehi hasil daripada perahan mental di dewan peperiksaan. Berbagai persoalan demi persoalan yang berlegar di dalam benak. Luluskah? Gagalkah? Semuanya tiada jawapan sehinggalah ia terpapar di papan kenyataan.

Anakanda Ikhwan turut menjadi calonnya pada tahun ini. Tiadalah yang saya harapkan melainkan dia diberikan ketenangan dan kefahaman untuk menjawab setiap soalan yang diberikan, dan mudah-mudahan dikurniakan hasil yang terbaik. Tentunya harapan ini turut dikongsi oleh ibu bapa pelajar yang lain.

Peperiksaan adalah satu medan yang menjadi kayu ukur terhadap mutiara ilmu yang dikutip selama ini. Medan ini amat besar impaknya kepada para pelajar. Dengan hasil usaha yang dilakukan, menjadi penentu halatuju seterusnya. Samada berjaya meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi sehingga dapat menggenggam segulung ijazah yang diimpikan. Atau mungkin menjadi sebaliknya.

Tetapi tidaklah bermakna kegagalan dalam peperiksaan ini menjadi penamat kepada semua perkara. Banyak bukti, ramai yang berjaya bangkit kembali daripada kegagalan. Gagal setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh, adalah taqdir dan ia tidak perlu terlalu dikesalkan. Namun, jika kegagalan tersebut hasil daripada kesilapan sendiri, seumpama malas belajar, banyak bermain serta mengambil enteng setiap perkara, maka terimalah seadanya.

Sudah menjadi sunnatullah, untuk memperolehi keputusan yang baik memerlukan persediaan yang rapi. Mengorbankan masa yang ada dengan mengulangkaji pelajaran lebih kerap daripada biasa. Namun ada juga yang mengamalkan “ulangkaji di saat-saat akhir”. Yang paling malang ialah mereka yang lalai sehingga tidak bersedia langsung menghadapi peperiksaan tersebut yang membawa ke arah kegagalan.

Universiti kehidupan

Begitulah kehidupan di dunia ini. Ia umpama kita sedang menghadapi peperiksaan, menunggu keputusan samada berjaya atau tidak. Bagi yang beriman dengan adanya syurga dan neraka, mereka akan berusaha untuk meraih kenikmatan syurga dan menghindari siksa neraka. 

Oleh kerana itu, dia akan beribadat dengan bersungguh-sungguh sehingga tibanya ‘final exam’ iaitu kematian. Ada juga yang mengamalkan ‘last minute study, iaitu beramal tatkala usia menjelang senja. Namun ia lebih baik daripada langsung tidak beramal. Sebaliknya tambah bernafsu melakukan perbuatan yang tidak baik.

Menunggu keputusan peperiksaan, boleh diibaratkan seperti dikumpulkan di padang mahsyar untuk menerima suratan amalan. Semuanya merasa cemas dan kerisauan, memikirkan apakah nasibnya nanti. Apakah lulus atau sebaliknya? 

Sesiapa yang dianugerahkan ijazah syurga di hari konvokesyen alam mahsyar, maka dialah yang berjaya di dalam peperiksaan kehidupan. Maka layaklah dia bergembira dengannya hasil mujahadah di dunia dahulu. Manakala bagi yang gagal, maka dia akan dicampakkan ke dalam neraka, nad`uzubillah.

Renungilah firman Allah SWT:

"Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): "Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!" Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan). Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan. Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya). Buah-buahannya dekat untuk dipetik. (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!" (al-Haqqah: 19-24) 

"Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalk." Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi). Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku. (Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! (al-Haqqah: 25-32) 

Marilah kita sama-sama berfikir dengan sebaiknya. Apakah kehidupan yang dilalui sekarang ini benar-benar mengikuti perintah-Nya. Atau kita masih lagi berlengah-lengah menunggu ‘ulangkaji di saat-saat akhir. Jangan begitu! Segeralah beramal, mudah-mudahan kita semua akan tergolong dalam kalangan mereka yang berjaya menggenggam ijazah kemenangan taman syurga kelak. Insya-Allah.

2 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra skeluarga...harapan kita dan doa moga kita mampu melepasi ujian Allah hingga final exam namun rasanya xterdaya hanya terganntung pada ehsan dan reda-Nya jua

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan.... Saya doakan nanda Ikhwan akan lulus cemerlang dalam peperiksaan STAM nanti. Memang benar, apa yang kita lakukan di dunia mempunyai hubungan dengan akhirat. Setiap perjalanan kehidupan itu mempunyai makna tersendiri untuk kita fahami kepentingannya agar kita sedar siapa kita sebenarnya di dunia ini. Tulisan yang bermanfaat dan mencerahkan. Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

Post a Comment