Sahabat Sejati

Monday 12 September 2016

Selamat menyambut `Aidul Adha 1437H


Assalamualaikum warahmatullah.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd!

Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberikan kepada kita keizinan untuk mengecapi nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, penghulu sekelian nabi dan rasul, yang telah berkorban menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia.

Hari ini kita bersama seluruh umat Islam menyambut hari raya Adha atau hari raya qurban, bersempena dengan ibadat haji yang menjadi rukun Islam yang kelima. Ibadah yang menghimpunkan jumlah orang Islam yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Mereka berhimpun di Mekah kerana menunaikan perintah Allah dan menyerah diri kepada-Nya. Marilah kita berdoa semoga jemaah haji yang datang dari seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji di kota Mekah diberikan kesihatan dan keselamatan. Bahkan yang paling besar ialah mendapat haji yang mabrur yang tiada balasan kecuali syurga. 

Marilah pada hari raya ini kita merasakan betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang telah dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. Bahkan kita patut berbangga dengannya. Hanya kematian di dalam Iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah SWT. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (ali-Imran:102)

Pada hari ini juga hendaklah kita mengingati betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah saw:

"Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya." (Riwayat al-Bukhari)

Maka, hendaklah lahir daripada hati nurani oleh setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan musibah yang menimpa setiap umat Islam di serata pelusuk dunia. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membantu mereka dengan sedaya yang mungkin. Jika tidak mampu dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya dengan doa dan munajat kepada Allah. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan pertolongan-Nya dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia.

Justeru, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidil Adha kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan Aidil Adha kepada kita semua sebagai hari kebesaran untuk diraikan, maka raikanlah ia dengan penuh rasa `izzah dan `ubudiyyah kepada-Nya.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd!

3 comments:

Unknown said...

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar walillahilhamd.. semoga ibadah qurban kita diterima Allah. Salam aidil adha dari kakak.

Etuza said...

Asalam..blog ni sangat bagus..saya link kan dalam bloglist 2016 ya..salam ukuhuwa fillahi

paridah said...

ASSALAM USTAZ MOGA SHT SSJHTRA SEKELUARGA...SALAM IDIKADHA MAAF ZHR BATIN

Post a Comment