Sahabat Sejati

Monday 22 August 2016

Walimah Perdana, moga dipermudahkan...

Jam sudah pun menunjukkan pukul 12.30 pagi. Kami melafazkan tasbih kaffarah dan surah al-`Asr, menandakan telah usai mesyuarat pada kali ini. Saya terkuap-kuap menahan mengantuk. Umur yang semakin meningkat menyebabkan saya tidak mampu bertahan. Tidak seperti muda-muda dulu. Jika berborak, sampai ke santak pagi pun tidak mengapa terutama ketika tinggal di rumah bujang. Lepas satu topik ke satu topik, sedar-sedar ayam sudah berkokok. Kisah lama...

Bulan ini (termasuk bulan-bulan lain) saya agak sibuk dengan beberapa program. Jika dilihat dalam catatan diari, hampir setiap malam saya keluar berprogram dan bermesyuarat. Malam ini saya menghadiri mesyuarat bagi pelaksanaan majlis Walimah Perdana pula, yang dijadualkan pada hujung bulan hadapan. Jika diikutkan pada bulan ini saya mahu mengikuti program dakwah dan kebajikan di pedalaman Sabah bersama Yayasan Amal, namun disebabkan terikat dengan komitmen ini, saya melepaskan sahabat-sahabat yang lain ke sana. Pagi tadi, seorang sahabat mengirim foto-foto program di sana, tak apalah tengok foto pun jadilah. Insya-Allah, di masa yang lain saya akan menyertainya. Selain daripada walimah perdana, saya juga terlibat dalam kerja-kerja penerangan RUU 355 yang sedang diperkatakan ketika ini.  

Balik semula kepada judul entri. Apakah walimah perdana yang dimaksudkan ini? Sebenarnya, ia adalah satu majlis perkahwinan beramai-ramai yang melibatkan 3 kawasan (parlimen) iaitu Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar. Seramai 30 pasangan dari 3 kawasan terbabit akan disatukan dalam satu majlis. Bunyinya sangat meriah tetapi persiapan untuk menjayakannya membuatkan urusetia yang terlibat tidak cukup masa tidur. Ia adalah program besar dengan anggaran kehadiran tetamu seramai 20 ribu orang. Saya sendiri telah diamanahkan sebagai setiausaha program, dan juga merangkap ajk publisiti.

Tujuan program walimah ini diadakan ialah untuk memudahkan pasangan mendirikan rumah tangga. Penganjur cuma menetapkan bayaran sebanyak RM1500. Manakala yang lain-lain ditanggung oleh pihak penganjur. Daripada persiapan jamuan hinggalah kain untuk membuat pakaian serta promosi juga kami sediakan, Mudahkan! Dengan keadaan yang serba-serbi meningkat hari ini, maka walimah perdana adalah satu usaha dan alternatif yang bijak dan baik kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi kurang berkemampuan. 

Prosesnya tidaklah sesukar mana. Bakal-bakal pengantin perlulah mengisi borang permohonan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Setiap permohonan tidaklah diterima terus melainkan ada kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi dan ia ditapis terlebih dahulu oleh penemuduga. Bukannya apa, sebagai langkah untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari. Taklimat kepada pemohon diberikan termasuk kepada ibu bapa pemohon setelah permohonan mereka diterima. Alhamdulillah, sahabat-sahabat di pejabat agama Islam daerah juga turut menyumbang peranan memudahkan urusan. Tinggal lagi mencari dana yang menelan belanja puluhan ribu ringgit itu.

Allahu al-Musta`an...

0 comments:

Post a Comment