Sahabat Sejati

Sunday 7 August 2016

Perihal payung emas

 foto hiasan: sumber

Soalan:

Apakah sahih berkenaan payung emas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda saw, sahabat baginda saw serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda saw.

Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Qur’an ataupun al-Hadis tentang payung emas. Ini bermakna, payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar. 

Di dalam al-Qur’an memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan sesama suami dan isteri tetapi payung emas tidak disebut sama sekali. Begitu juga dalam al-Hadith, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga. 

Contoh ayat al-Qur’an yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah:

Firman Allah SWT: Maksudnya:
“Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka”. (An-Nisa:34)

Di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda: Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan ta'at kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. (Riwayat Ibn Hibban, 9/471)

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak terdapat sepotong ayat al-Qur’an atau al-Hadith yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana yang didakwa. Wallahua'lam

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my

3 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga...istilah payung emas hanya bumbu enak menambah perisa ceritera perkahwinan poligami kot...pada kak terpulang pada bijaksana pengamalnya untuk memayungi kehidupan keluarganya agar berbahgia seolah berada di bawah payung emas

abuikhwan said...

Salam kak paridah,
Terima kasih atas kunjungan.
Tak kisahlah mahu mengatakan nikmat poligami seperti berada di bawah payung emas ke, payung apa pun. Cuma pointnya di sini apabila mengaitkan dengan hadis Rasulullah saw, itu yang menjadi kesalahan. Kerana tiada hadis sahih menyebut tentangnya. Takutilah akan amaran Rasulullah saw, sebagaimana disebutkan oleh Al-Mughirah bin Syu'bah, Nabi Muhammad saw bersabda: "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari). Wallahua`lam.

Rintihan HambaMu said...

Na'am..setuju.

Post a Comment