Sahabat Sejati

Saturday 2 July 2016

Catatan di akhir-akhir Ramadhan

'si kecil Haikal yang istimewa'

Alhamdulillah, anak-anak  semuanya sudah pun berada di rumah. Cuti sekolah sempena hari raya sudah bermula. Barulah terasa riuh-rendah dengan suara dan celoteh mereka. Tentunya yang paling gembira adalah 'si kecil Haikal yang istimewa'. Mana tidak gembira, apabila dapat berjumpa dengan abang dan kakak-kakaknya. Bising mulutnya dengan celoteh yang entah apa buah butirnya. Hanya Allah dan dia sahaja yang mengetahui apa yang mahu disampaikan oleh isi hatinya. Saya dan ummu Ikhwan sekadar menumpang gembira dengan karenah anak-anak. 

Minggu lepas, pihak HTAA telah menghubungi saya agar datang pada  pagi Jumaat (semalam) untuk mencuba alat bantuan pendengaran si Haikal. Memandang saya tidak mendapat cuti, lalu, ummu Ikhwan yang membawa si Haikal ke HTAA untuk mencuba alat tersebut. Itulah ceritanya yang menyebabkan si Haikal bising sangat mulutnya. Maklumlah, selama ini dia tidak mendengar apa-apa ekoran masalah pendengaran yang dihidapinya. Dunia pada pandangan matanya berwarna-wani tetapi senyap dan sunyi tanpa sebarang suara. 

Jadi, apabila telinganya sudah dapat menangkap bunyi dan suara, mulalah mulutnya bising cuba mengajuk apa yang didengar. Tetapi yang keluar daripada mulutnya hanyalah aaaa... aaaa... eeee... akkkk... akkkk.... Begitulah keadaannya, ibarat seseorang yang baru mendapat telinga. Tak apalah asalkan si Haikal gembira, kami sekeluarga turut gembira.       

Usai urusan di hospital, bergegas pula ummu Ikhwan ke sekolah acik Adawiyah untuk membawanya pulang. Along Ikhwan pulang sendiri dengan menaiki bas dari Pekan. Manakala angah Irsalina kami mengambilnya di PPTI pada hari Rabu sebelum itu. Sekaligus dengan jemputan ifthar perdana di sekolahnya. Selesai ifthar dan solat maghrib, saya memutuskan untuk terus bersolat isyak dan tarawih di situ. Ummu Ikhwan tiada masalah dan mengikut sahaja. Tidak sempat jika hendak balik bersolat tarawih di tempat saya kerana perjalanan pun mengambil masa kira-kira satu jam. Sememang tiada masalah untuk mengerjakan solat tarawih di rumah, tetapi dengan keadaan badan yang penat memandu, bimbang akhirnya saya terkulai layu tanpa sempat bersolat tarawih.     

Sejuk mata melihat para pelajar berduyun-duyun menuju ke masjid. Pelajar perempuan dengan telekung dan niqab, manakala pelajar lelaki berjubah dan berserban. Teringat apa yang pernah saya alami ketika zaman belajar dahulu. Sembahyang diimamkan oleh seorang pelajar tahfiz. Memang menjadi tugasan para pelajar bergilir-gilir mengimamkan sembahyang lima waktu dan solat tarawih. Saya yang berada di dalam saf bagaikan larut dalam perasaan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci sang imam tahfiz yang menembusi anak telinga. Bait-bait kalamullah dilantunkan dengan lancar dan merdu sekali. Allahu rabbi, cemburu pula rasa dihati. Saya tidak dikurniakan dengan kelebihan itu. Tetapi harapan untuk menjadi seperti itu sentiasa ada.

Allahu rabbi..Allahu al-Musta`an..

4 comments:

LYAfrina said...

Alhamdulillah utk Haikal.. in shaa Allah, dgn kuasa tuhan, mana tahu lps ni haikal blh bertutur... maybe ambik masa n kena ambk terapi pcakapan..

Selamat hari raya aidilfitri,
maaf zahir n batin

Bunda_nora said...

Alhamdulillah...pasti sikit hari lagi Haikal akan lebih ceria apabila pembelajaran untuk pertutiran pula akan di beri kepada nya...

InsyaAllah Haikal akan lebih banyak boleh berinteraksi dengan keluarganya nanti...

Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin dari Bunda..

Bunda_nora said...

Alhamdulillah...pasti sikit hari lagi Haikal akan lebih ceria apabila pembelajaran untuk pertutiran pula akan di beri kepada nya...

InsyaAllah Haikal akan lebih banyak boleh berinteraksi dengan keluarganya nanti...

Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin dari Bunda..

Normala Saad said...

Tumpang gembira dengan Haikal. Dapat bayangkan keceriaannya bila dapat mendengar bunyi buat pertama kali. InsyaAllah, mudah2an beliau dapat bercakap kelak. Selamat Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

Post a Comment