Sahabat Sejati

Tuesday 28 June 2016

Sunnah berbuka, jangan berlebihan

foto hiasan ~ sumber: FB

Jika ketika bersahur disunnahkan dengan tamar (kurma kering), ketika berbuka pula Nabi saw mendahulukan ruthab iaitu kurma basah (yang lembik). 

Menurut Anas Ibn Malik ra: “Bahawa Rasulullah saw berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab sebelum bersolat. Sekiranya tiada ruthab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah). 

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah ruthab, jika tiada dengan tamar dan jika tiada dengan air. Ruthab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Jadi kita haruslah berusaha untuk mendapatkan dan saya kira pada hari ini sangat mudah untuk kita mendapatkannya. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita ruthab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. 

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan ruthab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” 

Apa pun tidaklah salah jika berbuka dengan makanan lain selain ruthab. Apa yang penting ialah makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT maksudnya: Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).

Monday 27 June 2016

Lidahmu (aku) jagalah..

Daripada Sahl bin Sa’ad dia berkata, Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara kedua rahangnya dan apa yang ada di antara kedua kakinya maka aku menjamin untuknya Syurga.” (Riwayat Al-Bukhari, dan tidak ditemui dalam sahih Muslim).”

Rasulullah memberi satu kiasan di dalam hendak mengingatkan umat Baginda supaya menjaga lidah. Baginda mengatakan ‘Barangsiapa yang dapat menjaga apa yang berada di antara dua rahangnya’ iaitu lidahnya, ‘dan apa yang berada di antara dua kakinya’ iaitu kemaluannya, ‘maka aku menjamin untuknya Syurga’. Persoalan, kenapa Rasulullah tidak terus kata ‘Barangsiapa yang menjamin untukku lidah dan kemaluannya’? Kenapa Baginda berkias? Tujuannya adalah supaya kita ambil perhatian, supaya kita berfikir. Sebab kalau ucapan itu dimudahkan, orang akan mengambil mudah.

Hadis yang lain menyatakan bahawa kebanyakan manusia akan masuk neraka kerana dua perkara ini. Sebuah hadis lagi menyatakan bahawa seseorang mengucap sesuatu perkataan hanya dengan tujuan manusia dapat kesempatan untuk ketawa sedikit dan gembira dengan lucunya, tetapi akibatnya ia dicampakkan jauh ke dalam neraka Jahannam seperti jauhnya langit dan bumi.

Hadrat Sufian Saqafi ra. telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw, “Perkara apakah yang baginda paling takut bagi umat tuan?” Baginda saw memegang lidahnya sendiri yang berkat lalu bersabda, “inilah.” (Misykat)

Disamping itu ada banyak lagi riwayat-riwayat yang menyatakan perkara ini dengan berbagai cara. Walhal kita sangat-sangat lalai daripadanya. Sesungguhnya manusia harus sedar supaya perkataan yang diucapkannya, walaupun tidak mendatangkan faedah apa-apa, sekurang-kurangnya tidak memerangkapnya dalam musibah dan bahaya. 

Hadrat Sufian Thauri ra. adalah merupakan Imam hadis dan fiqh yang masyhur. Beliau berkata, “Aku telah melakukan satu dosa yang akibatnya adalah selama lima bulan aku telah kehlangan taufik untuk sembahyang tahajjud.” Salah seorang telah bertanya. “Apakah dosa itu?” Beliau menjawab, “Melihat salah seorang menangis, aku telah menyatakan kepada diri sendiri bahawa orang ini adalah mempunyai sifat riya` (yakni menunjuk-menunjukkan kepada manusia).” (Ihya`). 

Itu adalah akibat bercakap sia-sia dengan dirinya sendiri. Walhal kita sentiasa meneruskan bercakap sia-sia akan perkataan yang lebih keras lagi mengenai orang lain secara terang-terangan dan tanpa apa-apa alasan. Jika sekiranya ada permusuhan dengan sesiapa, maka kita tidak ragu-ragu untuk mengumpat dan membohonginya. Setiap kebaikannya di sisi kita menjadi sebagai keaiban dan setiap keaibannya menjadi keburukan yang terlalu besar, kemudian kita mengumumkannya.

Semoga Allah SWT melindungi diri kita semua..

Wednesday 22 June 2016

Alhamdulillah, hidayah di atas jalan-Nya

Islam adalah agama yang telah disempurnakan oleh Allah SWT untuk sekelian hamba-Nya. Sesiapa sahaja yang beramal segala tuntutannya iaitu dengan mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya dalam segala ruang kehidupan, pasti akan memperolehi kejayaan dan kemuliaan.

Telah dikeluarkan oleh at-Thabrani dan Abu Nu`aim di dalam kitab al-Hilyah dan al-Hakim dari Abu Sa`labah al-Khusaini bahawa Rasulullah saw telah kembali dari satu ghuzwah kemudian baginda saw memasuki masjid dan bersolat dua rakaat di dalamnya. Ini adalah amalan yang disukai oleh baginda saw apabila kembali dari safar. Baginda saw akan singgah terlebih dahulu di rumah Fatimah rha. kemudian rumah isteri-isterinya. 

Pada suatu hari, baginda saw telah kembali dari berdakwah dan singgah di rumah anaknya Fatimah rha. dan disambut oleh Fatimah sambil menangis. Rasulullah saw bertanya kepada beliau: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis?” Jawab Fatimah: “Aku melihat wajah ayahanda, telah bertukar warna kulitmu (akibat susah payah berdakwah kepada agama) dan kotor pakaianmu, apakah yang menyebabkan ayahanda berbuat demikian?” 

Rasulullah saw menjawab: “Sesungguhnya aku telah diutus oleh Allah SWT dengan tugas ini, di mana tidak akan tinggal sebuah rumah di bandar mahu pun di desa melainkan Allah SWT memasukkan ke dalamnya kemuliaan ataupun kehinaan sehingga tersebar (agama ini) sebagaimana malam itu tersebar sehinggalah tabir malam itu tersingkap.” 

Maksud ucapan baginda saw ialah setiap ahli rumah yang menerima agama ini dan mengamalkannya, maka Allah SWT akan memuliakan mereka. Sebaliknya sesiapa yang menolaknya maka mereka akan ditimpa kehinaan di dunia dan akhirat. 

Sesungguhnya Allah SWT dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, telah menganugerahkan kemuliaan dengan meletakkan kalimah Laa ilaha illallah ke dalam hati-hati kita. Bahkan ianya diperolehi tanpa kita menempuh sebarang kesukaran. Tatkala kita dilahirkan ke dunia ini, kalimah membesarkan dan mentauhidkan Allah SWT di bisikkan ke telinga. Mudahnya kita menerima Islam ini dengan mewarisinya daripada ibu dan bapa. Tidak seperti sesetengah mereka yang terpaksa menelan jalan kesusahan dan kepayahan, kadang-kadang terpaksa bergadai nyawa demi sebuah hidayah. 

Jika kita menelusuri sirah para sahabat, tentu kita akan melihat bagaimana keperitan dan penderitaan mereka dalam mempertahankan aqidah ini. Seumpama kisah Saiyidina Bilal, di mana dia dibaringkan di atas padang pasir yang panas membakar. Kemudian sebiji batu besar telah ditindihkan ke dadanya. Dia dipaksa untuk kembali kepada kekafiran. Lihat pula pengorbanan Khabab al-`Arat yang diseret di atas bara api yang menyala sehingga darah dan nanahnya memadamkan bara api tersebut. 

Kata Saiyidina Umar ra: "Kita adalah kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam maka kita akan dihina oleh Allah." 

Ini ditegaskan lagi oleh Allah SWT dengan firman-Nya: "Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi." (Ali-Imran: 85)

Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa menetapkan kita semua di atas jalan-Nya yang Maha Benar itu. Amiinn..

Monday 20 June 2016

Semoga mendapat taqwa

Alhamdulillah, dengan izin dan limpahan rahmatnya, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan yang dipenuhi dengan keberkatan dan keampunan. Ramadhan adalah satu anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan kepada umat Muhammad saw. Allah SWT telah memfardhukan puasa di dalam bulan ini dan solat malam di dalam bulan itu sebagai satu tatawwuk (ibadah mendekatkan diri kepada Allah dan sunnah Rasul-Nya - solat terawih dan lainnya). 

Maka, amat rugi jika dengan kesempatan yang masih diberikan ini, lalu disia-siakan. Berlalunya bulan ini tanpa mengambil sebarang kebaikan dan ruang kebajikan yang banyak ditawarkan adalah satu sikap yang tidak sewajarnya pada diri yang bergelar Muslim. Ingatlah peristiwa bagaimana Rasulullah saw ketika mendaki tangga-tangga mimbar masjid baginda saw, mengaminkan satu persatu yang disebutkan oleh Jibril as. 

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah ra. katanya: Rasulullah saw bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail as telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. (Riwayat al-Hakim dan sanadnya Sahih) 

Apakah tidak terdetik dihati kita merasa gerun dengan amaran ini. Oleh itu, berusahalah seupaya untuk mengisi ruang-ruang di dalam bulan ini dengan sembahan ibadah yang cukup untuk menagih keampunan Allah SWT. 

Boleh jadi, Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir bagi kita. Tiada yang mampu menjamin kita akan berjumpa dengan Ramadhan tahun berikutnya. Oleh karena itu nikmat yang sangat agung ini hendaknya kita syukuri. Kita mensyukurinya dengan memanfaatkan bulan ini untuk melaksanakan perintah-perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kita harus bersungguh-sungguh untuk mengisinya dengan amalan ketaatan. Pergunakanlah madrasah tarbiyah ruhiyah ini sebagai tangga untuk mendaki puncak mencapai anugerah taqwa yang didamba.

Friday 17 June 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 72

Salam Jumaat.

Syurga......Neraka

Dengan amalanmu yang akan menentukan halatujumu.

Wednesday 15 June 2016

"Selamat berbuka puasa sahabat-sahabat.."

foto hiasan ~ sumber: FB

Telah jelas kepada kita bilakah waktunya untuk berbuka puasa, iaitu apabila dilaungkan azan menunjukkan masuk waktu maghrib. Sunnah yang dituntut untuk dilakukan adalah menyegerakan berbuka dan tidak menangguhkannya. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Beberapa hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: 

Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah saw bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Kata ‘Amr bin Maimun Al-Audi ra, “Para sahabat Nabi Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling cepat berbuka dan paling lambat sahur. (Riwayat Abdurrozaq di dalam Al-Mushannaf) 

Sabda Rasulullah saw: “Agama ini akan terus-menerus menang (zahir) selama mana manusia menyegerakan berbuka puasa, kerana Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya.” (riwayat Abu Daud no.2353, An-Nasa-i dalam Al-Kubra, Ahmad, Ibnu Hibban dalam Al-Ihsan, Hakim, Al-Baihaqi dan Ibnu ‘Abdil Bar dalam At-Tamhid) 

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi saw, iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Paling cepat berbuka bukan bererti mereka memperawal waktu berbuka sebelum maghrib, tetapi mereka segera berbuka dan tidak bertangguh-tangguh sebaik masuk waktu maghrib. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. 

Kadangkala ada sesetengah orang apabila mendengar azan dia menangguh berbuka untuk menjawab azan dahulu. Ada yang menunggu orang lain untuk berbuka puasa bersama. Ini adalah kekarutan dan tidak ada dalam sunnah Nabi saw. Sebaik azan dikumandangkan kita dituntut untuk terus berbuka dan tidak perlu menunggu sesiapa pun.

Kata at-Tibi (meninggal 743H): “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.” (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut). 

Selamat beramal!

Cerita di Ramadhan 9

'Menunggu giliran'

Hari ini sekali lagi saya mengambil cuti untuk memenuhi temujanji 'si kecil Haikal yang istimewa' di HTAA. Kali ini temujanjinya di unit Audiologi. Sejak dari lahir lagi si Haikal mengalami masalah pendengaran di tahap yang teruk di kedua-dua belah telinganya. Jika diikutkan malas sungguh pergi ke bandar pada bulan Ramadhan. Sudahlah hari panas, jalan pula selalu jem, istilah orang kampung saya 'sumbat lemak'. Tetapi apa boleh buat, tiada pilihan, kena pergi juga. Kalaulah encik doktor boleh datang ke rumah saya untuk membuat pemeriksaan, alangkah bagusnya.  Eh, siapalah saya?

Sebab itu jika ke bandar berseorangan saya lebih suka menunggang motosikal. Bukannya apa, untuk mengelak daripada tersekat dalam kesesakan. Mudahlah sikit mahu mencelah dan menyelit di antara kenderaan yang bersimpang-siur. Tetapi naik motor pun ada masalah juga, hari hujan! Itulah manusia, ada sahaja yang tidak kena. Kalau hujan, mahu panas. Jika panas, sering bertanya bila hujan mahu turun. Senyum. Apa pun cerita hospital sudah selesai. Tunggu temujanji akan datang pula.   

Juadah berbuka kami sekeluarga tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Cukup sederhana, sekadar satu atau dua jenis kuih bersama minuman. Maklumlah tinggal saya dan ummu Ikhwan sahaja berbuka bersama si Haikal. Si kecil Haikal pula sekadar menumpang seronok berbuka. Yalah, dia tidak perlu berpuasa pun. Itulah sebabnya saya katakan dia seorang yang istimewa. Puasa tak perlu, sembahyang pun sama. Istimewakan?

Kembali kepada cerita juadah berbuka puasa kami. Yang berpuasa di rumah sekarang ini tinggal kami berdua, jadi, apa perlunya juadah yang banyak. Jika tidak habis, dibuang. Bukankah membazir namanya. Sedangkan membazir itu saudara .......... Sudah tua-tua begini  selera pun tidak seberapa. Terlebih makan penyakit mudah pula bersarang. Lainlah sewaktu budak-budak dulu, tengok apa pun menyelerakan dan semuanya mahu disumbat ke dalam perut.

Setakat Ramadhan hari ini, dua orang yang saya kenali telah pulang ke rahmatullah. Betapa mereka berdua tidak sekali-kali mengetahui bahawa Ramadhan tahun ini tidak sempat mereka dihabiskan. Semua ini benar-benar menginsafkan saya. Hanya doa dan harapan agar Allah SWT mengampunkan semua dosa mereka dan diterima setiap amal kebaikan yang dilakukan. Manakala doa dan harapan saya agar disampaikan sehingga ke hari Ramadhan yang terakhir, bahkan pada Ramadhan tahun-tahun seterusnya, amiinn. 

Kelmarin pula seorang sahabat setaman saya telah dimasukkan ke ICU akibat strok. Berita yang diterima pagi tadi melalui isteri beliau, keadaannya sangat lemah. Pihak surau taman kami juga telah melakukan solat hajat memohon ke hadrat Tuhan agar disembuhkan kesihatannya.      

Allahu al-Musta`an!

Saturday 11 June 2016

Teruskan istighfar


"Kadang-kadang rezeki kita perolehi macam banyak tetapi tak tahu ke mana perginya. Pelik, sentiasa tidak cukup."

"Istighfarlah." 

"Kadang-kadang kita rasa seperti hilangnya nikmat beribadah, timbul rasa malas dan cepat letih untuk beramal. Rimas.

"Istighfarlah." 

"Ada masanya, kita rasa seperti hendak marah sahaja. Pantang silap sikit hati mudah panas. Adakalanya tidak tahu apa yang nak dimarahkan. 

“Istighfarlah.” 

"Adakalanya sukar benar nak menghafal. Kadang-kadang ayat yang pendek pun mengambil masa yang lama. Ingat di pangkal lupa pula di hujung. Kelam.

"Istighfarlah."

Kita mungkin tidak perasan, barangkali kurangnya keberkatan rezeki, hilangnya nikmat beribadah, tidak terkawal perasaan marah dan pudarnya ingatan adalah disebabkan kesilapan yang kita lakukan. Mungkin ia adalah berpunca daripada tompokan dosa-dosa kita. Maka beristigfarlah, mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan kesalahan kita dan membuka jalan yang diredhai-Nya. 

Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah SWT akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad). 

Teruskan istighfar.

Friday 10 June 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 71

Salam Jumaat.


Tiada yang kekal abadi..
Semua perkara berubah bila berlalunya masa..
Individu berubah...
Suasana berubah...
Perasan berubah...

Thursday 9 June 2016

Hujan menghidupkan bumi, al-Quran menghidupkan hati..

 
 foto hiasan ~ sumber

Hujan sudah pun berhenti. Tetapi cuaca masih lagi mendung dengan awan kelabu yang mengandung air. Saya andaikan bila-bila masa ia boleh tumpah membasahkan serata halaman. Hujan tadi pun agak lebat juga, dari awal petang sehingga ke waktu maghrib, barulah hujan mulai tampak sidang dengan rintik-rintik halus. Serasa kedinginan yang menyelimuti suhu kepanasan, apatah lagi sudah sekian lama ia ditagih oleh makhluk alam.

Saya melihat hujan yang turun dengan perasaan yang sukar digambarkan. Ia bukan sekadar air yang mencurah dari langit Ilahi lalu menerjah ke bumi, ia umpama 'menghidupkan' kembali bumi yang gersang. Makhluk alam pula seolah-olah merayakan titisan rahmat Tuhan ini. Burung-burung berterbangan riang,sang katak dan mergastua berbalas sahutan, manakala pepohon kelihatan segar dengan dedaun yang hijau mekar menari-nari disapa angin dingin.

Firman Allah SWT:

“Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya).”(al-Nahl :65)

Firman-Nya lagi:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati; sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Fussilat :39) 

Teringat ungkapan guruku: "Sebagaimana bumi yang memerlukan air dari langit untuk hidup, maka begitulah hati manusia yang memerlukan wahyu (al-Quran) dari langit agar sentiasa hidup."

Allah SWT menurunkan hujan dari langit supaya bumi menjadi hidup subur, maka keluarlah dari bumi yang subur itu tumbuh-tumbuhan yang menjadi rezeki untuk sekelian makhluk. Begitu juga al-Qur'an yang mulia diturunkan oleh Allah SWT untuk subur hidupkan jiwa dan akhlak manusia supaya mendapat kemuliaan di atas muka bumi ini. Lebih daripada itu untuk mendapat kenikmatan syurga di akhirat nanti. 

Iman itu umpama tumbuhan, jika disirami air ia akan subur dan menghijau indah, begitulah juga jika sebaliknya. Jiwa manusia jika sentiasa disirami dengan curahan ilmu, maka terpancarlah keindahan akhlak, begitulah juga sebaliknya.

Moga Allah SWT mengurniakan taufik dan hidayah-Nya kepada kita, dijauhi kita dari kebencian terhadap agama-Nya, amiinn.

Wednesday 8 June 2016

Tuesday 7 June 2016

Harap-harap istiqamah..

 foto hiasan ~ sumber

Sempat juga malam ini menjengah dan mencoret sesuatu di pondok kecil abuikhwan. Biasanya selepas terawih, sibuk pula dengan urusan kebajikan dan dakwah. Mengemaskini dan menyusun apa-apa yang patut untuk diisi pada bulan yang berkah ini. Sememangnya serasa tidak cukup kaki tangan dengan program yang telah disusun. Semuanya saya harapkan menjadi ganjaran bonus yang kekal di sisi-Nya. Amiinn. 

Alhamdulillah, jemaah terawih di tempat saya masih bertahan bilangannya. Ramainya sehingga melimpah keluar surau. Kanak-kanak pun ramai juga. Walaupun suasana agak berwap, namun saya merasa seronok bersembahyang beramai-ramai. Itulah nikmat ukhuwwah fillah, walaupun ramai juga yang tidak saya kenali. Pemandangan biasa di mana-mana masjid dan surau di awal Ramadhan. Tunggulah apabila Ramadhan hampir berakhir, tinggallah beberapa kerat yang masih istiqamah.  Saya tidak menuduh, tetapi menyebut berdasarkan pengalaman lampau. Harap-harap tahun ini biarlah suasana itu dapat bertahan sehingga ke hari Ramadhan yang terakhir. Harap-harap. 

Saya pula dalam hati kecil, memohon mudah-mudahan diberikan daya dan upaya untuk menghabiskan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Yalah, jika tidak kena gaya saya pun boleh terkulai layu di rumah, di saat sahabat-sahabat yang lain sibuk beribadat di masjid. Hati kita bukan boleh diteka, sekejap sahaja boleh berubah. Hari ini  rajin, boleh jadi esok malas pula. Hari ini graf iman naik mencanak, hari esok jatuh merudum. Siapa tahu? Oleh itu, sentiasalah meminta kepada Allah SWT, kerana DIAlah yang berkuasa memegang hati-hati manusia.

"Ya Allah, tetapkan hati ini di atas jalan-Mu...amiinn"

Sunday 5 June 2016

Salam Ramadhan al-Mubarak 1437H


Assalamualaikum warahmatullah.

Begitu pantas masa berlalu. Tanpa disedari, Ramadhan kembali bertamu.  

Justeru, di kesempatan ini dengan penuh syukur saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak 1437H khusus buat pengunjung pondok kecil abuikhwan, serta kepada semua yang bertaut persaudaraan atas ikatan kalimah Laa Ilaaha Illallaah. Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan untuk melakukan apa sahaja kebaikan dan kebajikan di dalam bulan ini. Dan semoga Allah SWT menerima baik segala amal dan kebajikan yang dilakukan dengan sebaik-baik penerimaan dan ganjaran.

Suburkan siang dengan hubungan sesama manusia.
Suburkan malam dengan hubungan kepada Allah SWT.

abuikhwan@KembaraMencariHamba 
Kuantan, Pahang

Saturday 4 June 2016

Ramadhan yang melambai...

 
'Foto hiasan ~ Kanopi bazar Ramadhan berhampiran taman perumahanku'
 
Jendela Ramadhan mula melambai. Bahangnya kian terasa kepada sesiapa yang mahu menyambutnya. Di banyak tempat mula berdiri bazar-bazar Ramadhan yang menyajikan juadah yang jarang kedapatan pada hari biasa. Manakala di kaca televisyen dan corong radio mula berkumandang suara lembut menikam sukma: “yusuf taiyoob..” (you so tired). Semuanya menghangatkan lagi suasana Ramadhan yang bakal menjelma. 

Sekadar menjentik.

Siapa kamu menentukan cara kamu melihat.” Manakala natijahnya yang pasti ialah “cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat.” 

Ada yang merasa gembira dan senang dengan kedatangan Ramadhan, kegembiraannya seperti menunggu kedatangan sang kekasih yang amat dirindui. Contohnya, para sahabat ra.hum yang menanti-nati kedatangan Ramadhan seumpama menanti hari perkahwinan. Mereka menyambutnya dengan penuh cerdas dan semangat yang menyala-nyala. Rasulullah saw sendiri menggembirakan para sahabat dengan hadis-hadis yang menceritakan keistimewaan dan keutamaan puasa. 

Ada juga yang biasa-biasa sahaja dengan kedatangan Ramadhan. Baginya bulan Ramadhan tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Apa sahaja kegiatan hariannya sama sahaja dengan bulan lain. Merasa senang dengan hari-hari yang telah dilalui, tidak serasa keistimewaan Ramadhan yang sempat dikecapi. 

Yang lebih teruk ialah mereka yang rasa terbeban dan terseksa dengan kedatangan Ramadhan. Seolah-olah Ramadhan adalah tetamu yang tidak diundang. Setiap hari yang dilalui pada bulan Ramadhan dengan keluh-kesah. Menunggu-nunggu agar segera berakhir Ramadhan.manakala Idul Fitri seperti hari kemerdekaan lagaknya. 

Dimanakah kita? 

Semoga Allah SWT memberikan segenap kebaikan di dalam bulan yang berkah ini. Aminn..

Membina rumah rakit di Sungai Pahang (3)

Salam ukhuwwah. Semoga sahabat-sahabat sentiasa diberikan kesihatan yang baik.

Menyambung kembali penceritaan proses membina rumah rakit di Kampung Sekara Chenor. Dalam kerja-kerja yang lalu, besi-besi yang bertindak sebagai alang yang akan menongkat bumbung sudah dinaikkan ke atas rumah rakit. Ia menunggu masa untuk dipasang. Hari ini kerja-kerja untuk memasangnya pula dilakukan. Skru diperlukan untuk melekatkannya pada tiang. 

Tetapi kerja-kerja ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ternyata ia memerlukan tenaga ramai kerana kerangka besi tersebut agak berat. Benarlah kata orang tua-tua yang bijaksana, "Muafakat membawa berkat", "Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing". Hasilnya, kesemua kerangka tersebut dapat dinaikkan dan dipasang.     


 
Kerangka besi sudah pun dipasang. Sekejap lagi proses untuk memasang atap pula. Mujurlah kawasan ini teduh dengan bayang-bayang pokok yang melindungi daripada terik matahari. Angin pula bertiup lembut, menjadikan suasana amat mendamai. Jauh daripada kesibukan dan kebingitan yang entah apa-apa. Ternyata suasana ini amat kena dengan jiwa saya yang cepat 'mengeras' jika lama berada di dalam hutan batu.   


Kerja-kerja memunggah bumbung sedang giat dilakukan. Dari tepi jalan dibawa menuruni tebing, kemudian dibawa ke atas rumah rakit. Penat usah dikira. Tetapi apabila ia dilakukan dengan bergotong-royong, yang berat akan terasa ringan.  Suka saya melihat 'orang-orang lama' membuat kerja. Dengan kemahiran bertukang yang diwarisi turun-temurun, menjadikan kerja-kerja berjalan lancar. Maklumlah, tangan 'tapak siput' istilah orang tua-tua. 
 

Melepaskan penat setelah 'berperang' dengan kayu, besi, tukul, paku dan sebagainya. Sambil-sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, joran sempat dilabuhkan. Mana tahu ada rezeki ikan segar dari dasar sungai Pahang. Bayangkan ikan Temalian yang memakan umpan, tidakkah beruntung namanya? Orang Pahang tentu tahu betapa sukarnya menangkap ikan tersebut. Lebih-lebih lagi ikan tersebut telah diwartakan sebagai spesis yang dilindungi. 

Saya teringat pula komentar kakzakie dalam entry yang kedua "kalau memasak tengah menggoreng tetiba air pasang bergoyang tak agak-agak?" Tersenyum saya.  Selama saya 'berdamping' dengan Sungai Pahang belum pernah melihat pasang surut. Kalau air naik kerana hujan di hulu tu biasalah.
 
Pasang surut ialah naik dan turunnya paras air laut akibat kesan putaran Bumi dan tarikan graviti Bulan. Pasang surut ini berlaku di kawasan pantai dan muara sungai, lazimnya dua kali pasang dan dua kali surut sehari. Waktu air pasang, air laut tenang dan kadang-kala mengalir ke hulu sungai sehingga 10 kilometer. Waktu air surut, pinggir air jauh ke tengah laut. Memandangkan sungai Pahang di Chenor ini jauh dari laut, maka tidak sempat air laut masuk. Kalau yang di derah Pekan, mungkinlah. 
  

Hampir siap! Bumbung sudah pun dinaikkan, cuma dindingnya sahaja yang belum dipasang. Hari sudah mula beransur petang. Terdengar siulan burung-burung yang balik ke sarang, maka kita juga ada tugas sebagai hamba Tuhan. Insya-Allah, ada masa dan upaya kerja-kerja menyiapkannya akan bersambung kembali. Terasa puas melihat hasil kerja-kerja hari ini. Malahan tidak sabar untuk melihatnya siap serta boleh digunakan. Bolehlah nanti membawa keluarga untuk bercuti di atas rumah rakit ini, insya-Allah.   

Friday 3 June 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 70

Salam Jumaat.


Banyak masalah akan hilang jika manusia belajar untuk bercakap antara satu sama lain lebih daripada bercakap tentang satu sama lain

Thursday 2 June 2016

Membina rumah rakit di Sungai Pahang (2)

Salam semua. Sudah lama tertangguh penceritaan ini. Sepatutnya ia dikongsi  seminggu selepas kisah pertama (baca di sini) ditulis. Entah macamana saya boleh terlupa sehinggalah tatkala membelek foto-foto di dalam henfon, saya menyedari akan banyaknya foto berkenaan pembinaan rumah rakit milik sahabat saya ini. Ada pun rumah rakitnya sahabat saya yang dibina di Sungai Pahang di hujung Kampung Sekara sudah pun hampir siap, yang tinggal hanya kerja-kerja yang kecil sahaja. Namun, saya beranggapan ada baiknya saya kongsikan juga. Rasa agak janggal jika biarkan ceritanya tergantung begitu sahaja.  


Sungai Pahang di Kampung Sekara, Chenor yang menjadi lokasi pembinaan rumah rakit milik sahabat saya.  Hari ini airnya agak keruh. Menurut sahabat saya air Sungai Pahang di sini cetek, paling dalam pun separas dada. Manakala jika musim kemarau seperti sekarang kedalamannya hanya separas lutut. Katanya lagi jika mahu memasang pukat di pulau besar yang berada di tengah sungai, cukup dengan meranduknya sahaja. Saya agak was-was pada mulanya. Yalah, takkan sungai selebar ini cuma itu tahap kedalamannya. Macam tak masuk akal pula. Apa pun, orang-orang di situ yang lebih tahu hal keadaannya, jadi kena percaya jugalah.


Sebelum ini kerja-kerja menurunkan tong drum agak mudah kerana cukup dengan menggolekkannya sahaja dari atas tebing terus ke dalam sungai. Tetapi untuk menurunkan kayu dan besi yang menjadi asas kerangka rumah rakit, dengan keadaan tebing yang agak curam amat sukar. Oleh itu, khidmat backhoe diperlukan untuk menarah sedikit tebing sungai agar tidak terlalu curam.  


Tiang sudah pun dinaikkan. Sangat sukar  kerana keadaan tong drum yang sentiasa bergerak dioleng arus sungai. Tetapi dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, semua ini dapat diatasi. Teringat komen akak Paridah dalam entri yang pertama, katanya Sungai Pahang sekarang ini cetek. Sahabat yang membina rumah rakit ini pun mengatakan perkara yang sama. Akhirnya saya mengambil sebatang kayu dan mengukur kedalaman air di sekeliling rumah rakit. Betullah! Macam tidak percaya pula, air separas lutut. Tetapi, mungkin ada sesetengah kawasan yang agak dalam, saya rasalah.      


Kerangka besi yang akan digunakan sebagai alang. Semuanya sudah dibawa naik ke atas rumah rakit. Bukan mudah untuk memastikan ia berada di atas lantai rumah rakit. Bayangkan kerangka besi yang agak berat dibawa turun dari atas tebing kemudian disusun di atas rumah rakit. Kelihatan di tengah sungai yang dipanggil pulau besar, mahu ke sana cukup dengan meranduk sahaja kata sahabat saya. Anda berani untuk meranduknya? Saya, entahlah..

#Bersambung...

Wednesday 1 June 2016