Sahabat Sejati

Friday 13 May 2016

Sepasang suami isteri di dalam rumah tangga


Malam ini saya membawa ummu Ikhwan ‘pekena’ char kue teow di sebuah gerai makan berhampiran bandar Kuantan. Char kue teow-nya memang cukup dikenali di kawasan sekitar. Saya sudah beberapa kali singgah menikmati keenakkannya bersama rakan-rakan terutama sewaktu pulang daripada program lewat malam. 

Memandang sudah lama benar kami tidak keluar makan bersama, jadi malam ini tanpa berbasa-basi saya mengajak ummu Ikhwan ke gerai char kue teow tersebut. Hanya kami berdua, tanpa ada ‘gangguan’ daripada anak-anak. Tetapi bukanlah kami keluar kerana bersempena dengan hari ibu. Tiada kena-mengena pun dengan sambutan itu. Manakala ‘si kecil Haikal yang istimewa’ pula kami tinggalkan bersama abangnya. Satu ‘rahmat’ along Ikhwan yang masih lagi dalam tempoh cuti sakit, maka dialah menemankan adiknya di rumah. 

Masa begitu pantas berlalu. Dari hari bertunang, kemudian melangkah ke alam perkahwinan, sehinggalah dikurniakan cahaya mata. Satu, dua, tiga dan empat. Alhamdulillah, ia satu kebahagiaan anugerah Tuhan yang tidak terperi. Malahan ia adalah sesuatu yang diimpikan oleh setiap pasangan yang bergelar suami isteri tatkala melafazkan kalimah "aku terima nikahnya". 

Namun, kadang-kadang kita terlupa dalam kesibukan melayani hari-hari mendatang sentiasa ada sepasang suami isteri di dalam rumah tangga. Biarpun semakin bertambah angka usia perkahwinan, semakin bertambah ahli keluarga. Biarpun isteri memandang suami sebagai ayah kepada anak-anak, suami pula memandang isteri ibu kepada anak-anak. Selama mana bahtera rumah tangga belayar, sepasang suami isteri tetap ada. 

Malam ini kami keluar makan bersama, kerana ia adalah hari untuk kami berdua. Seorang suami dan seorang isteri di dalam rumah tangga.

3 comments:

Kakzakie Purvit said...

Barokallah... sesungguh semakin lama hidup sebagai sepasang suami-isteri semakin kejap ikatan dan semakin saling memahami hatta kadang tanpa dipinta tiba-tiba si pasangan sudah memberi. Bagaikan ada sixth-sense yg memberitahu. Itulah indahnya..

Eh.. kakak terliur pulak tengok char-kew-tewo tu AI:)

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...
Kakak tak pernah lagi keluar berdua untuk makan2 pasti ada pengiring kami si bongsu.
Sesekali dapat keluar begini dapat juga mengeratkan kasih sayang suami isteri kan.

Nor Azimah Ali said...

Teringin gak keluar berdua, tapi tk smp hati tgglkan ank2 terutama kalo keluar mkn, ermmm...mgkn suatu hari di hari tua kami kot, bila ank2 semua sudah ada pasangan masing2.

Post a Comment