Sahabat Sejati

Tuesday 24 May 2016

Bicara santai: Sekadar berkongsi cerita hari ini...

'nombor giliran hari ini'

Hari ini sekali lagi saya mengambil cuti kerana memenuhi temujanji di Jabatan Oftalmologi, HTAA. Bukan temujanji saya tetapi 'si kecil Haikal yang istimewa'. Jabatan oftalmologi atau senang faham iaitu klinik mata. Alhamdulillah, walaupun ramai pesakit yang menunggu, tetapi 'si kecil Haikal yang istimewa' mendapat nombor giliran yang agak awal. Mungkin kerana dia pemegang kad OKU, jadi didahulukan gilirannya. Saya cuma mengagak.

Hasil pemeriksaan hari ini, dikhabarkan si Haikal perlu menukarkan cermin matanya dengan 'power kanta' yang lebih tinggi. Jika diikutkan, sekarang ini 'power kantanya' adalah 1700+ sebelah. Makin tinggi 'power kanta' maknanya makin tinggilah harganya. Tetapi bukanlah kos itu yang mahu dirungutkan. Insya-Allah ada jalannya. Cuma saya terfikir, apabila bertambah 'power kanta' bermakna ada masalah dengan mata anak saya yang 'istimewa ini. Ada juga sedikit detik di hati, namun saya tenangkan dengan kalimat: "Allah tidak menguji melainkan dengan kesanggupan hamba itu..." 
 
Sebenarnya masalah mata 'si kecil Haikal yang istimewa' dikesan sejak lahir lagi. Di kedua belah matanya terdapat selaput katarak yang membataskan penglihatannya. Oleh itu, pihak hospital telah mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bagi membuang katarak tersebut. Maka, sewaktu si Haikal berumur 6 tahun, pembedahan pertama pun dilakukan untuk membuang katarak di sebelah mata kanan. Kemudian 3 bulan selepas itu, pada mata sebelah kiri pula. 

Sejak daripada itulah si Haikal memakai cermin mata dengan 'power kanta' yang sangat tinggi. Sejak daripada itu juga saya perlu membawanya untuk temujanji di hospital sampai sekarang. Tetapi mujurlah di HTAA Kuantan, jadi tidaklah sesulit mana. Cuma banyak cuti yang perlu diambil setiap bulan.  
          
Entah sudah berapa kali saya membawa Haikal ke HTAA untuk pemeriksaan kesihatannya sejak daripada usia kelahirannya. Memang saya tidak pernah pun mengira berapa kali. Termasuk juga di klinik ENT, SOPD, Paediatric dan juga IJN di Kuala Lumpur. Mujurlah temujanji di jabatan Fisioterapi sudah lama discharge sejak dia mula boleh berjalan ketika berusia 5 tahun. Boleh dikatakan kebanyakan staff di klinik-klinik berkenaan sudah pun mengenali si Haikal.            

Apa pun, temujanji hari ini sudah pun selesai. Insya-Allah, bulan depan pula datang bertandang. Apa ceritanya, wallahu a`lam semua di dalam ilmu-Nya Yang Maha Bijaksana. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana, "DALAM URUSAN DUNIA LIHATLAH ORANG YANG LEBIH RENDAH DARIPADA KAMU." Pengajarannya, supaya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki...

Allahu al-Musta`an...

3 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz,anak no 4 akak mengalami lazy eyes sebelah mata powernya lebih 1600...Akak memang sedih sangat tapi bersyukur dia penglihatan nya normal je guna sbelah mata .Betul kata ustaz tu perlu lihat orang yang lebih rendah dari kita...

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz,anak no 4 akak mengalami lazy eyes sebelah mata powernya lebih 1600...Akak memang sedih sangat tapi bersyukur dia penglihatan nya normal je guna sbelah mata .Betul kata ustaz tu perlu lihat orang yang lebih rendah dari kita...

Kakzakie Purvit said...

Allahuakbar! Entahlah kakak ni seorg ibu bila baca kisah anakanda Haikal ini mesti hati kakak dipagut rasa sayu teramat sangat. Ujian buat seisi keluarga tapi sebenarnya Allah berikan utk memberi ganjaran disebalik ujian itu.

Semoga terus kuat dan tabah menempuhinya. Anak yg telah dijanjikan syurga buatnya inilah dia.

Post a Comment