Sahabat Sejati

Monday 21 March 2016

Ke Kuala Lipis lagi..

Minggu lepas saya ke Kuala Lipis. Beberapa hari bermukim di sana kerana menghadiri kursus anjuran pihak majikan. Lebih tepat lagi kursus tersebut diadakan di Kechau Tui, satu lokasi yang terletak di antara Padang Tengku dan Merapoh. Jalan ini juga boleh terus menuju ke Gua Musang di negeri Kelantan.

Kali terakhir saya ke Kuala Lipis kira-kira tiga tahun yang lalu. Daripada pengamatan saya, tidak banyak perubahan yang ketara dalam jangka masa tersebut. Jika ada pun, satu dua bangunan rendah yang dinaikkan. Lain-lain tidaklah saya perasan sangat. Tetapi yang masih mengujakan ialah Kuala Lipis masih lagi di kelilingi dataran hutan hijau yang mempesonakankan.   

Sebenarnya saya tidak berapa gemar menginap di hotel jika bermusafir, yang pastinya terletak di dalam bandar. Melainkan terpaksa, apa boleh buat. Saya saya lebih senang mencari penginapan di luar kawasan bandar. Jika terdesak sangat, masjid pun boleh jadi sebagai tempat bermalam. Pernah beberapa kali saya bermalam di masjid sewaktu bermusafir ke beberapa buah negeri.

Perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lipis sejauh 235km bukanlah sesuatu yang menyenangkan bagi sesetengah orang. Melalui Jerantut Feri, Jeram Landak, Kuala Teh dan sebagainya yang kondisi jalannya berbukit-bukau dan berselekoh bak ular dipalu. Bagi yang tidak biasa ia boleh mendatangkan masalah, berdenyut-denyut kepala kepeningan. Jika tidak kena gaya, mahu terhambur isi perut.


Kalau ke Kuala Lipis, saya tidak akan melepaskan peluang untuk singgah di sebuah kedai makan yang sememangnya berada di dalam diari minda. Boleh dikatakan 'sekiranya tiada aral melintang wajib singgah'. Jika diperhatikan kedai ini tidak banyak beza dengan kedai-kedai makan yang lain. Saya suka melihat 'design-nya yang klasik. Dinding depannya menggunakan susunan papan sebagai dinding yang boleh dibuka sekeping, sekeping. Memang ‘design’ kedai lama di kampung-kampung. Manakala tiang luar dan alangnya diperbuat daripada batang kayu hutan, memang istimewa.

Kedai makan ini bernama Kedai Makan Kampung Melaka. Letaknya di jalan lama Padang Tengku - Gua Musang. Dari Kuala Lipis, kedai makan ini 1km selepas Petronas Kechau. Kedai makan ini masih beroperasi walaupun selepas lebuh raya baru dibuka pada tahun lepas. Kali terakhir saya singgah 3 tahun lalu setelah diperkenalkan oleh seorang sahabat.


Apa menu yang istimewa di sini? Tidak lain ialah daging bakar dan ikan tilapia bakar, dicicah dengan kicap bersama hirisan bawang dan lada serta titisan limau nipis. Turut disediakan juga air asam sebagai pelengkap pencicah. Memang mengecurkan air liur. Memadai makan nasi putih dengan ikan bakar sahaja tanpa mengambil lauk sayur. Menurut pekedai tersebut bekalan ikan tilapia diperolehi daripada penternak ikan sangkar yang banyak kedapatan di sekitar daerah Kuala Lipis. Maknanya ikan segar yang dipelihara dalam air mengalir, patutlah tidak berbau dan tidak berlemak. Ikannya pun besar-besar. Purata saiznya dalam dua tapak tangan orang dewasa.


Makan tengahari yang agak berat. Menitis air hidung akibat kepedasan, tetapi enaknya tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Selain ikan bakar, menu yang turut disediakan ialah daging bakar, gulai tempoyak ikan patin serta sayur. Dengar-dengar kerang bakar pun ada juga. Entahlah tidak pula saya bertanya. Nampak ikan tilapia bakar terus tidak ingat apa-apa. 

Sahabat-sahabat yang mahu mencicip ikan tilapia bakar, daging bakar dan menu-menu yang lain, silalah berkunjung ke kedai makan Kampung Melaka, Kechau Tui. Insya-Allah, sedap!

8 comments:

Kakzakie Purvit said...

Walaupun sekadar membaca kakak dpt bayangkan keenakkan juadah/hidangan yg AI order. Ikan/daging bakar kalau pencecah dia sedap/pedas memang meletuplah makan mahu bertambah-tambah tak sedar perut dah sendat hihi..

Nak ke sana jauh benar. Nantilah ada masa kakak bakar daging sendiri makan sendiri:)

paridah said...

Assalam..uih kecur liur pagi2 ni ustaz dh bercerita bab makan2...sedap sungguh tu...jln2 yg ustaz lalui tu bak ular dipalu kan bengkang bengkoknya tapi tenang n nyaman diredupi pohon2 tinggi. Pada kak ikan sg phg yg menjadi lauk apa saja amatlah nikmatnya, berbeza rasa dgn ikan2 sungai negeri2 lain.

saniahibrahim said...

Walaupun akak tak pernah jejak di sana akak dapat bayangkan suasana nyaman nya.
Lagi best kalau dapat makan ikan segar bakar gini...pencecah dengan kicap memang sedap sangat...hmmm terasa kecur pulak membayangkan.

Normala Saad said...

Tengok gambar pun dah terliur dah ni...memang nampak sedap sangat..ikan tilapia bakar tu..mmm...nampak fresh dan lembut berair..

Atan Soi said...

Lipis daerah sejarah yg santun.

Atan Soi said...

Lipis daerah sejarah yg santun.

RAJA ZUL said...

Memang best dan pasti akan merindui ikan talapia bakar serta daging cicah kicap bawang. Sayang terlepas tadi

https://mudahbelajarsaham.blogspot.com/2016/10/about-us.html said...

Terima kasih share info ni..kenyang dh perut.. Baru je g singgah.. Memang meleleh air hidung mkn patin tempoyak daging bakar n air asam.. Kedainya mmg terpencil sikit.. Tapi mmg berbaloi

Post a Comment