Sahabat Sejati

Thursday 25 February 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (7)

Sambungan daripada: Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (6)

foto hiasan (sumber)

3. Abdullah

Dia ialah ayahanda Rasulullah saw. Ibunya bernama Fatimah binti Amru bin Aidz bin Imran bin Makhzum bin Yaqzhah bin Murrah. Abdullah ialah anak kepada Abdul Mutalib yang paling tampan, sekaligus paling disayangi dan dicintainya.

Abdullah dipilih untuk disembelih sebagai pembayaran nazar ayahnya. Hal itu terjadi ketika anak lelaki Abdul Mutalib telah genap berjumlah 10 orang dan mereka telah dewasa. Abdul Mutalib menyampaikan kepada mereka nazar yang dulu pernah diucapnya dan mereka pun mematuhinya. Maka, dia menulis nama mereka di setiap batang anak panah yang akan diundi, lalu menyerahkannya kepada penjaga patung Hubal. Maka, keluarlah nama Abdullah.

Maka, Abdul Mutalib membawa Abdullah ke Kaabah untuk disembelih. Ketika itulah orang Quraisy berusaha mencegah Abdul Mutalib, terutama bapa-bapa saudara Abdullah daripada kalangan Bani Makhzum dan abangnya, Abu Talib. Abdul Mutalib bertanya kepada mereka, "Jika tidak kusembelih anak ini, apakah yang perlu aku lakukan dengan nazarku?" Mereka menyarankannya untuk mendatangi seorang dukun perempuan untuk meminta jalan keluar.

Abdul Mutalib mendatangi dukun perempuan yang dimaksudkan. Lalu, si dukun menyuruh Abdul Mutalib untuk mengadakan undian antara Abdullah dengan 10 ekor unta. Apabila yang keluar nama Abdullah, maka unta yang diundi ditambah 10 lagi lalu diadakan pengundian berulang, hingga Tuhan redha. Namun begitu, kalau yang keluar ialah anak panah bertulis "UNTA", maka unta-unta itulah yang akan disembelih sebagai ganti Abdullah.

Segera Abdul Mutalib pulang dan mengundi antara Abdullah dan 10 ekor unta. Dalam pengundian tersebut, yang keluar ialah nama Abdullah sehingga jumlah unta ditambah 10 lagi. Hal yang sama terjadi pada pengundian seterusnya hingga jumlah unta yang diundi mencapai 100 ekor. Selepas itu, barulah anak panah bertulis "UNTA" yang keluar. Maka unta-unta itu pun disembelih sebagai ganti Abdullah.

Jasad unta-unta yang telah disembelih itu dibiarkan begitu sahaja oleh Abdul Mutalib, sehingga bebas dimakan oleh manusia maupun haiwan-haiwan liar. Dahulu, memang jumlah tebusan untuk seorang manusia dalam kalangan Quraisy dan juga di seluruh bangsa Arab adalah 10 ekor unta. Setelah kejadian itu, ditetapkanlah bahawa jumlah tebusan adalah 100 ekor unta. Jumlah ini kemudian digunakan oleh Islam dalam masalah tebusan. Diriwayatkan bahawa baginda bersabda, "Aku ialah anak dua orang yang disembelih." Apa yang dimaksudkan oleh baginda ialah Ismail dan Abdullah.(1)

Rujukan: 
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. i, hal. 151-155; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil.ii, hal. 89-90 dan Abdullah ibnu Muhammad an-Najdy Alu Syeikh, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 12, 22-23. 

(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Bila membaca ini teringat juga kisah nabi ibrahim & nabi ismail pulak kan. Bayangkan kalau skrg kena bayar dgn 10 ekor unta tak payah 100lah mahu pengsan kita hihi...

paridah said...

Assalam...nazar itu niat yg xboleh dipermainkan hendak menebusnya pun begitu berat sekali spt catatan sejarah Islam...oleh itu jgn suka2 hati nk melafazkan nazar...

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...
Begitu banyak rupanya nilai ganti Abdullah.Teringat juga peristiwa nabi Ibrahim dan Ismail.
Bila cerita part nazar ni teringat tazkirah kat tv pagi tadi.

Normala Saad said...

berat juga nazar ni...

Post a Comment