Sahabat Sejati

Monday 15 February 2016

Ketenangan milik-Nya...

 foto hiasan ~ sumber
Teman,
Antara kesenangan dan ketenangan ternyata ketara perbezaannya. Mungkin dengan beberapa lembar ringgit tidak sulit untuk memperolehi kesenangan. Namun belum tentu beroleh ketenangan dan ketenteraman, kerana bukan senang syarat tenang. Manakala jika tenang insya-Allah pasti melahirkan kesenangan. Itulah hakikat yang menjadi dambaan setiap manusia. 

Sebahagian manusia beranggapan bahawa ketenangan itu hanya diperolehi dengan kesenangan, maka berlumba-lumbalah mencari kesenangan, menumpukkan kekayaan, rumah besar, kereta besar, kerjaya yang hebat dan sebagainya. Namun tercapaikah ketenangan? Belum tentu, walaupun itu boleh menjadi faktornya tetapi ia bukan segala-galanya. 
 
Teman,
Berapa ramai orang yang berada di dalam rumah yang besar, tidur di atas katil yang empuk, tetapi dia tidak lebih enak atau lenanya tidak lebih nyenyak. Bahkan ada orang yang hanya tidur di pondok buruk, kadang-kadang dia lebih lena dan nyenyak daripada kita. Ada orang yang berada di hadapannya hidangan yang hebat, lauk-pauk yang mahal, tetapi lidahnya tidak enak. Bahkan lebih enak lagi orang yang makan satu dua benda lauk, tetapi dia lebih selesa dan sedap mencicipnya berbanding kita. 

Ketenangan...ketenteraman...amat mahal harganya. Belum tentu diperolehi walaupun berharta dan memiliki segalanya. Oleh itu carilah formula ketenangan yang telah disediakan oleh agama. Pasti mujarab, pasti tidak kecewa. 

Teman,
Tiada kekuatan apa pun yang mampu menggoyahkan jiwa seseorang yang mendapat curahan rahmat Allah. Tiada kegelapan apa pun yang dapat menyesatkan jiwa yang di dalam lindungan-Nya. Tiada keresahan yang mampu merobek jiwa seseorang yang mendapat kasih sayang Allah. Sebaliknya hati yang ‘terputus’ dengan tali ikatan Allah amat sulit untuk mengecap tenteramannya kehidupan. Demikianlah jiwa yang gelap tanpa sinar petunjuk-Nya, jalannya berliku dan bergelombang tanpa cahaya kebenaran-Nya. 

Teman,
Jika Allah SWT mahu memberikan kebahagiaan, ia tidak dapat dihalang oleh mana-mana tangan sekalipun. Tetapi jika Allah SWT menghalang kebahagiaan kepada seseorang, maka ia tidak dapat dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun. Oleh itu, sentiasalah berhubung dengan-Nya dan berpeganglah dengan tali-Nya, agar kebahagiaan dan ketenangan sentiasa dihulurkan kepada kita. Biarpun manusia ramai melihat kita tiada apa-apa, sedangkan di dalam dada kita menggenggam sakinah...ketenangan. 

Allahu al-Musta`an.

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Itulah dikatakan betapa ketenagan tidak boleh dibayar dgn kekayaan. Baru semalam masjid kakak kehilangan seorg ustaz yg setiap bulan sekurang-kurangnya sekali akan memberi takzirah subuh. Perginya terlalu tenang. Airmukanya senyum bagaikan tidur. Tazkirah akhirnya berkaitan kematian dan tidak sangka tiba-tiba Allah jemput beliau dgn tenang. Kami ini yg terasa kehilangannya.

Itulah AI tenang yg kita mahu sebenarnya. Moga kita memperolehinya dan mampu mendakap dlm hidup kita ini.

saniahibrahim said...

Jiwa yang tenang lebih bererti dari kesenangan tanpa ketenangan dalam kehidupan.

paridah said...

Assalam ketenangan di jiwa sentiasa diharapkan walau kita sentiasa diuji-Nya.

Hsna Rahman said...

Tenang itu tempat tinggalnya di hati bukan sekadar satu lafaz di mulut..kerana walaupun mulut berkata tenang belum tentu hati merasa tenang..

celik akal tanya iman

Post a Comment