Sahabat Sejati

Tuesday 5 January 2016

Belajarlah bersungguh-sungguh duhai anak-anak!

 
 'PPTI Kemaman'

Hari ini merupakan hari yang agak sibuk bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak untuk didaftarkan ke sekolah. Pagi tadi sewaktu melintasi sebuah sekolah dalam perjalanan ke tempat kerja, saya menyaksikan kesibukan tersebut. Ibu bapa berpusu-pusu menghantar anak-anak yang akan memasuki darjah satu. Bermacam ragam dan peel yang dapat dilihat, yang merajuk, yang mengamuk dan ada yang terlebih berani pula. Teringat pula ketika saya mendaftarkan anak memasuki darjah satu dahulu.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan yang telah menggazetkan waktu persekolahan bermula jam lapan pagi. Alasannya ialah untuk memberi kelonggaran masa kepada para pelajar bersolat Subuh. Ya, satu usaha yang patut dipuji. Sesiapa yang pernah melalui waktu persekolahan seawal jam tujuh atau tujuh setengah pagi, tentu mengakui akan kesulitan tersebut. Mana nak bersiap, nak bersolat subuh kemudian takut pula ketinggalan bas. Lainlah jika dihantar oleh ibu bapa, ia tidak menjadi satu masalah.

Semoga Allah SWT merahmati kerajaan negeri Kelantan! 

Hari Sabtu kelmarin saya telah menghantar angah Irsalina pulang ke PPTI Kemaman untuk menyambung kembali pengajiannya. Negeri-negeri yang hujung minggunya hari Jumaat, memulakan sesi persekolahan pada hari Ahad. Insya-Allah jangka masa 'jihad' selama empat tahun perlu digunakan sebaiknya oleh anak kedua saya itu untuk dinobatkan sebagai lulusan peringkat Thanawi.

Manakala semalam pula, saya telah menghantar acik Adawiyah balik ke asramanya di SMKAA. Hari ini bermulalah sesi persekolahannya di tingkatan 2. Insya-Allah, minggu depan pula akan menghantar along Ikhwan ke Kuliah al-Lughah wa ad-Din di daerah Pekan. Beliau akan memulakan sesi pengajian di peringkat STAM di sana. Semoga dipermudahkan oleh Allah segala urusan.

Hmm, hampir berpeluh juga tapak tangan sewaktu membayar belanja persekolahan anak-anak. Tiada bahasa, tiada ungkapan, tiada pilihan keluarkan wang dan bayar. Itulah keterpaksaan (rela) yang perlu dihadapi oleh ibu bapa demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sebagaimana orang lain.Sebagai ayah yang mahukan anak-anak berjaya dan cemerlang dalam pelajaran, pasti sanggup menelan segala kepayahan dan kesukaran mencari belanja bagi persekolahan anak-anak.

Anak-anak, jika kalian melihat kesusahan dan keperitan ibu bapa mencari duit belanja untuk kalian dapat belajar dengan selesa. Maka, belajarlah bersungguh-sungguh. Senangkan hati ibu bapamu yang sekali-kali tidak pernah meminta balasan. Cukuplah kejayaan kalian sebagai penghilang penat dan lelah mereka.

Insafi dan berbanggalah dengan insan yang bergelar ibu bapa ini, duhai anak-anak!  

5 comments:

paridah said...

ASSALAM...KALAU RAMAI ANAK2 YG MASUK SEKOLAH AWAL TAHUN MMG TERASA JUGA PERITNYA MELUNASI SEMUA KEPERLUAN PERSEKOLAHAN KAN...TAPI TANGGUNGJAWAB SBG IBU BAPA TERHADAP ANAK2NYA TETAP DILAKSANAKAN JUGA SEBAIKNYA...INSYA ALLAH PENGORBANAN IBUBAPA ANAK2 AKAN MENGINGATINYA DAN MEMBALAS JASA...SEMOGA ANAK2 USTAZ BERJAYA DLM PELAJARAN SETERUSNYA MENCAPAI KEJAYAAN DLM KEHIDUPAN DI DUNIA N AKHIRAT

saniahibrahim said...

Assalamualaikum,bagusnya sekolah masuk pukul 8,taklah ibubapa kelamkabut pagi hari.Mujor kakak tinggal 2 yg sekolah taklah terasa sangat bayaran sekolah .Sekurang2nya tak serentak dgn anak2 yg belajar di IPT.

LYAfrina said...

Alhamdulillah..moga terengganu pon akn ikut jejak...
smoga anak2 kita dpt menempuhi alam psekolahan dgn sebaiknya...

Fida Z Ein said...

Assalamualaikum...

Alhamdulillah...bagus tu...cikgu2 pun tak terkejar2 nak menghantar dan menyiapkan anak2 mereka...semoga Kedah pun akan turut serta...

Kakzakie Purvit said...

Biar perit macam mana pun sebagai ibu-bapa dah bersedia utk melaksanakan segala keperluan anak-anak. Kita masih bersyukur kerana ada yg sampai tergendala pembelajaran dek ekonomi yg hebat kat tempat kita ni AI. Jiran sebelah rumah bapak kakak tahun 2016 ini semua anak-anak yg bersekolah di asrama terpaksa dibawa pulang bersekolah biasa dek tak mampu. Sedih ke lima-lima anak sekarang belajar di sekolah yg dekat dgn rumah. Anak-anak semua bukan calang-calang pandainya tapi sedih...

Semoga Allah lorongkan kebahagiaan dan kemudahan buat anak-anak tersebut.

Post a Comment