Sahabat Sejati

Thursday, 31 December 2015

Cetusan rasa: 2015 yang melambai pergi (setahun umur telah berkurang)

 'foto hiasan'

Tersenyum saya tatkala menatap gambar-gambar lama yang tersusun kemas di dalam album. Zaman kanak-kanak, zaman remaja meniti dewasa, terakam kemas di helaian kertas tersebut. Di antara gambar tersebut ada yang telah kuning kemerahan, pudar dimamah perjalanan waktu. Tidak semena-mena saya terasa diruntun. Ada sedikit perasaan yang tercuit apabila diajak semula berada di setiap peristiwa yang terakam. Setiap satunya ada kenangan yang tersisa, terpahat kemas diingatan. 

Saya sudah pun melewati perjalanan hidup sehingga ke hari ini. Hari semalam sudah pun berlalu menjadi denai sejarah yang semakin jauh ditinggalkan. Yang masih berbekas hanyalah ingatan yang sesekali menjengah, menampar lamunan. Namun, ia juga tidak kekal tersimpan di peti minda. Bahkan kian hari semakin pudar dek berlalunya masa dan seiring pertambahan usia. Demikianlah lemahnya yang bernama manusia. 

Hari esok, belum pasti bagaimana coraknya di atas kanvas kehidupan. Setiap dari kita hanya mampu melakar. Kesudahan sebuah lukisan hidup sudah tentu di dalam genggaman-Nya. Kita hanya dapat menitip untaian doa, semoga esok yang mendatang sentiasa damai dan bahagia. 

Seringkali saya berbisik kepada diri sendiri. Andainya masa mampu diundurkan, sudah tentu saya mahu kembali ke zaman itu. Pulang ke masa silam, meneroka kembali nostalgia yang pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru, saya mahu membetulkan kembali kepincangan yang dilakukan. Mengapa? Agar sentiasa yang terbaik dapat dipersembahkan kepada Tuhan yang Maha Pencipta. 

Iradat Tuhan tidak mungkin diubah. Segala-galanya telah tertulis pada pahatan taqdir. Oleh itu, tidak sekali-kali saya menyesali potret kehidupan sekarang, apatah lagi mahu menyalahkan Dia. Terikat kemas di relung sukma, setiap yang berlaku adalah yang terbaik menurut ketentuan-Nya. Biarpun hati merasa gusar dan cuak, namun itulah kemanisan yang pasti diteguk tatkala tiba saatnya. 

“...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216) 

Untaian mutiara kalimah suci ini saya genggam seeratnya supaya tiada gundah gulana. Walaupun ada sesuatu yang menghimpit lalu menundukkan keegoan, semuanya adalah ibrah untuk dimuhasabah. Tidak perlu menangisi kecacatan yang berlaku. Langkah kaki perlu diteruskan. Tiba masa yang telah dijanjikan, kita semua akan berangkat pulang meninggalkan dunia ini. Sebagaimana mereka yang telah mendahului, kita jua begitu... 

Diambang 01 Januari..ayuh sahabat!

'menanti detik 12 malam'

“Ala, tak payah susah-susahlah bang. Kuburkan masing-masing.” 

“Mak bapak kami pun tak kisah, yang abang sibuk-sibuk ni kenapa?” 

Berdesing anak telinga mendengar kata-kata provokatif ini. Terasa ringan mulut mahu menghamburkan jawapan berapi: 

“Memang kubur masing-masing. Tapi kena ingat kalau kamu mati, kamu tak gali kubur sendiri, kamu tak mandi sendiri, tak balut kain kapan sendiri, tak bergolek masuk dalam kubur sendiri. Semuanya orang lain yang buat, jadi masa hidup dengar-dengarlah nasihat orang.” 

Rasakan. Puas. 

Ya, jika saya menggunakan jawapan ‘anak muda’ juga untuk membalas, pasti saya akan menghambur jawapan dengan nada yang sama. Api lawannya api. Akhirnya saya akan merasa kagum dan puas kerana dapat ‘menutup’ mulut mereka. Mereka semua mungkin terdiam, atau menutup telinganya sambil beredar. Atau menanti saya mengangkat punggung dan beredar persis seorang pemenang. 

Namun, tatkala memikirkan dengan akal yang sedar bahawa jawapan tersebut tidak memberi laba sedikit pun kepada kerja-kerja dakwah, maka hasrat tersebut terkubur begitu sahaja. Sebagai balasan, ukiran senyuman dipaksa menghiasi bibir biarpun di dalam dada Tuhan sahaja yang tahu betapa pahitnya perisa senyuman tersebut. 

Demikianlah di antara pengalaman yang diperolehi dalam misi dakwah anak muda yang merupakan program rutin DPPIM. Ribuan risalah tentang Islam diedar untuk menjentik tangkai hati mereka. Objektifnya bertemu masyarakat terutama anak muda dengan membawa risalah Islam. Sasaran kepada program ini ialah tempat-tempat hiburan, konsert-konsert popular, lokasi yang menjalankan acara besar pada malam tahun baru, hari valentine, malam merdeka dan tempat lain yang difikirkan sesuai. 

Menyertai program dakwah ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Malah, telinga kena tahan menerima perlian, sindiran, sinisan yang menyakitkan hati. Kata-kata tersebut sudah menjadi makanan dalam misi dakwah yang disertai. Sudah ‘mangli’ di cuping telinga kata orang. 

Masih saya ingati, ada satu ketika sewaktu kami menghulurkan risalah dakwah seraya menyampaikan sedikit nasihat, lalu setelah mengucapkan terima kasih mereka berkata: “Bolehlah buat lapik alas duduk nanti…” Ada pula yang melaungkan takbir raya dan diiringi gelak ketawa beramai-ramai, entahlah seperti mahu menyindir lagaknya. Dalam hati, Allah jua yang mengetahui betapa malu dan aibnya kami ketika itu. 

Ada pula satu pasangan, si gadis duduk di atas riba si lelaki. Kata si gadis tersebut: “Terima kasih ajelah bang, tu emak saya ada di belakang.” Sambil menuding jari ke arah seorang wanita berusia di belakangnya. Wanita tersebut sambil marah-marah kepada kami, mengakui bahawa gadis muda itu adalah anaknya. Perlahan-lahan kami beredar. Entahlah samada dia berbohong atau tidak. Kami tiada kuasa bertanya atau menyiasat. 

Tetapi tidaklah semua begitu, ada juga yang sebaliknya. Menerima baik kunjungan kami dengan ramah dan mesra dan mendengar nasihat yang diberikan.  Kami amat menghargai mereka semua.


“Kami adalah pendakwah bukan penghukum, kami mahu menerang bukan menyerang”. Itulah motto yang menjadi pegangan dalam setiap misi dakwah menyantuni anak muda. Kami mahu menghulurkan tali, bukan cambuk api, mahu menjentik hati-hati mereka dengan kebaikan Islam. Memang, sebelum itu kami telah diberi taklimat agar membuka kopiah, bermanis muka, jangan mengelilingi mereka sehingga menyebabkan mereka berasa tidak selesa serta sampaikan nasihat dengan cara yang paling lembut. 

Dakwah tetap diteruskan walau apa jua keadaannya. Untuk merasa lemah dan kecewa tidak sekali-kali. Dakwah memang begitu jalannya. Tidak ada hamparan karpet merah dan pacakan bunga manggar di kiri dan kanan. Bahkan ia jalan yang sukar. Diejek, disindir, dijadikan bahan ketawa adalah perkara biasa seumpama makanan harian dalam mengenal erti dakwah. Lihatlah dalam lembaran sirah junjungan mulia, bagaimana pahit dan peritnya jalan itu. 

Tidak mengapa ia diremehkan hari ini. Tidak mengapa mereka menolak dengan sindiran dan wajah mencuka. Tidak mungkin dakwah yang kecil ini mampu mengubah dengan serta-merta. Percayalah, suatu hari nanti mereka akan mengerti jua. Kami harapkan demikian. 

“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (al-Ghasyiah: 21-22)

Ayuh sahabat, 
01 Januari sudah diambang,
Infaqkan masa walau seketika,
Turun ke jalanan santuni muda-mudi,
Dengan santun dan tertib pesona,
Biarlah lelah dan keringat diganjari pahala. 

Wednesday, 30 December 2015

Tuesday, 29 December 2015

Solatullah wa salamuhu `ala Rasulillah (1)

foto hiasan (sumber)

Kita masih lagi berada di dalam bulan Rabiulawal yang diberkati. Bulan yang sarat dengan berbagai-bagai peristiwa besar yang tercatat di dalamnya. Di antaranya peristiwa agung iaitu kelahiran junjungan besar Rasulullah saw juga di dalam bulan ini. Dengan kelahiran ini maka bermulalah episod pancaran rahmat kepada semua manusia yang mengikuti jalan yang lurus, iaitu jalan Allah SWT. Malahan dicatatkan bahawa Rasulullah saw juga wafat di dalam bulan Rabiulawal ini. Tidak keterlaluan dikatakan selain menyambut kelahiran Rasulullah saw, kita juga sebenarnya turut mengingati akan tarikh kewafatan baginda. 

Tak kenal maka tak cinta. Meneladani Rasulullah saw merupakan satu faktor yang membuatkan hati kita meruntun untuk mencintai baginda. Kenalilah seluruh aspek kehidupannya dengan mempelajari sirahnya. Pada hakikatnya sirah nabawiah merupakan perbuatan yang jelas daripada risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada masyarakat. Dengan risalah ini Rasulullah saw mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama manusia, menuju kepada penyembahan semata-mata kepada Allah SWT. 

Marilah kita soroti peristiwa kelahiran baginda yang mulia sempena berada di bulan Rabiulawal ini. Nasab Nabi Muhammad saw sebagaimana yang termaktub di dalam kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum, karangan Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri: 

Nasab Nabi Muhammad saw terbahagi menjadi tiga bahagian: 

1. Bahagian yang disepakati kesahihannya oleh pakar sejarah dan ahli nasab, iaitu daripada baginda hingga ke Adnan. 

2. Bahagian yang diperselisih oleh mereka yang mengambil sikap tawaquf (diam) mahupun yang mengambil sikap qaul (bercakap), iaitu tingkatan-tingkatan selepas Adnan hingga Nabi Ibrahim. 

3. Bahagian yang tidak diragui mengandungi maklumat yang tidak benar, iaitu daripada Ibrahim hingga ke Adam. Dipaparkan secara terperinci bahagian-bahagian tersebut: 

Bahagian 1: Muhammad – bin Abdullah – bin Abdul Mutalib (Syaibah) – bin Hasyim (Amru) – bin Abdul Manaf (Mughirah) – bin Qushay (Zaid) – bin Kilab – bin Murrah – bin Kaab – bin Luay – bin Ghalib – bin Fihr (digelar dengan sebutan Quraisy) – bin Malik – bin Nadhar (Qais) – bin Kinanah – bin Khuzaimah – bin Mudrikah (Amir) – bin Ilyas – bin Mudhar – bin Nizar – bin Maad – bin Adnan.(1) 

Bahagian 2: Ia adalah tingkatan-tingkatan selepas Adnan (hingga Ibrahim), iaitu: Adnan – bin Ad – bin Humaisa’ – bin Salaman – bin Aush – bin Bauz – bin Qumwal – bin Ubay – bin Awwam – bin Nasyid – bin Juza – bin Baldes – bin Yudlaf – bin Thabikh – bin Jahim – bin Nahisy – bin Makhy – bin Aidh – bin Abqar – bin Ubaid – bin Daa – bin Hamdan – bin Sanbar – bin Yutsrabi – bin Yahzan – bin Yalhan – bin Ur’awy – bin Aidh – bin Daisyan – bin Aishar – bin Afnad – bin Aiham – bin Musurahhar – Nahits – bin Zarah – bin Sammy - bin Mazzy – bin Audhah - bin Aram – bin Qaidar – bin Ismail – bin Ibrahim.(2) 

Bahagian 3: Tingkatan-tingkatan di atas Ibrahim, iaitu: Ibrahim – bin Tarih (Azar) – bin Nahur – bin Saru’ (Sarugh) – bin Ra’u – bin Falikh – bin Abir – bin Syalikh – bin Arfakhsyad – bin Sam – bin Nuh – bin Lamik – bin Matusyalakh – bin Akhnukh (ada yang menyebut namanya Idris) – bin Yared – bin Mahalail – bin Qainan – bin Anusyah – bin Syaits – bin Adam.(3) 

Kelahiran Insan Termulia 

Penghulu para nabi; Nabi Muhammad saw dilahirkan daripada Bani Hasyim di Mekah pada Isnin pagi, 9 Rabiulawal pada tahun Peristiwa Gajah atau setelah berlalu 40 tahun pemerintahan Kisra Anusyirwan di Parsi. Ia bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 April tahun 571M, sebagaimana disimpulkan oleh ulama ternama Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri dan pakar ilmu falak Mahmud Pasha.(4) 

Ibnu Saad meriwayatkan, ibu baginda iaitu Aminah berkata: “Ketika aku melahirkannya , daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana Syam.” Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah penyataan yang tidak jauh berbeza.(5) 

Bahkan ada riwayat yang menyatakan, tanda-tanda kenabian telah kelihatan semenjak baginda lahir, iaitu runtuhnya 14 tiang istana Kisra, padamnya api yang disembah oleh orang Majusi serta musnahnya gereja-gereja yang ada di sekitar tasik Sawa. Riwayat ini disampaikan oleh Baihaqi. Namun begitu, riwayat ini tidak disetujui oleh Muhammad al-Ghazali.(6) 

Tatkala baginda lahir, ibunya menyuruh seseorang menemui Abdul Mutalib untuk menyampaikan berita mengenai kelahiran cucunya. Segera Abdul Mutalib datang dengan penuh rasa bahagia, lantas membawa cucunya itu ke dalam Kaabah. Di situ dia memanjatkan doa dan kesyukuran kepada Allah. Abdul Mutalib menamakan cucunya itu dengan nama Muhammad, satu nama yang belum pernah dikenali sebelum itu oleh bangsa Arab. Muhammad dikhatankan oleh Abdul Mutalib pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sebagaimana kebiasaan yang telah diamalkan orang Arab.(7) 

Wanita pertama yang menyusui baginda selepas ibunya ialah Tsuwaibah, hamba Abu Lahab, yang ketika itu juga sedang menyusui anak kandungnya sendiri bernama Masruh. Sebelum itu, Tsuwaibah pernah menyusui Hamzah bin Abdul Mutalib. Setelah menyusui baginda, Tsuwaibah juga menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumy.(8) 

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an –Nabawiah, jil. 1, hal. 1-2; Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 5-6 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 11-14 dan 52. 

(2) Syeikh Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri menghimpunkan bahagian ini daripada garis nasab yang diriwayatkan oleh al-Kalby dan Ibnuu Saud setelah melakukan penelitian mendalam. Lihat Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 14-17. Dalam hal ini terdapat perbezaan yang ketara antara pelbagai rujukan sejarah. 

(3) Ibnuu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 2-4; Ibnuu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 6; al-Thabary, Khulasah al-Siyar, hal. 6; dan al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 18. Beberapa nama disebutkan dengan lafaz berbeza dalam rujukan-rujukan ini. Bahkan, ada rujukan yang tidak mencantumkan sebahagian nama. 

(4) Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. I, hal. 38-39. Perbezaan pendapat para ulama dalam menetapkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad pada bulan April disebabkan oleh kepelbagaian versi kalendar Masihi. 

(5) Abdullah bin Muhammadal-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 12 dan Muhammad bin Saad, al-Thabaqat al-Kubra, jil I, hal. 63. 

(6) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 46. 

(7) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 159-160 dan Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw dilahirkan dalam keadaan telah terkhatan – lihat Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4. Berhubung hal ini, Ibnuu al- Qayyim mengatakan dalam Zad al-Ma`ad jil. I, hal. 18, “Tidak ada hadis yang kuat mengenai hal ini (Nabi Muhammad lahir dalam keadaan telah khitan).” 

(8) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar al-Sirah al-Rasul, hal. 13. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung... 

Saturday, 26 December 2015

Kuliah Maghrib bulanan UAI


Assalamualaikum warahmatullah.

Kuliah maghrib bersama UAI kembali lagi. Kuliah sambungan syarah kitab Jam`ul Jawami` ini akan diadakan pada 27 Disember 2015. Bertempat di lokasi yang tidak asing lagi dengan kehadiran selebriti-selebriti dakwah iaitu Masjid Qaryah Balok, Kuantan. (Masjid yang sangat aktif dengan program-program dakwah dan kebajikan di daerah Kuantan)

Justeru, kepada peminat majlis ilmu khususnya warga Kuantan yang berkelapangan, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk bersama memeriahkannya. Rugi kalau tak datang!  

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Friday, 25 December 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 51

Assalamualaikum warahmatullah. Salam Jumaat yang diberkati.


Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan...
"Bersama" bukan "selepas" maka bertenanglah...

Wednesday, 23 December 2015

Tuesday, 22 December 2015

Maafkan daku duhai Rasulullah - update

Buatmu Rasulullah (sempena Maulidur Rasul saw 1436H)
Tiada lukisan yang dapat menggambarkan betapa agungnya akhlaqmu, sebagaimana tiada tulisan yang dapat dicoretkan betapa halusnya pekertimu. 

Maafkan diri ini ya Rasulullah 
Kerana mahu menulis sifat dan peribadimu 
Sedangkan ia jauh dari sesungguhnya
Tetapi hati ini meronta untuk mencoretkannya

Duhai Rasulullah 
Tiada lukisan yang dapat melukis akhlaqmu 
Tiada kata yang seindah dan selembut bicaramu 
Engkaulah tauladan dan ikutan 
Engkaulah keistimewaan di mata sahabatmu 
Demikian keistimewaan di hati kami 
Meskipun dikau insan biasa seperti manusia lainnya
Namun, engkau adalah pilihan-Nya
Mengeluarkan kegelapan batil kepada cahaya iman
Menyalakan obor buat umat hingga akhir zaman

Teringatku di dalam sirah yang mulia, sewaktu engkau berkejaran dengan si Humaira` di padang pasir nan kering. Malam yang indah menyaksikan engkau menewaskan si Humaira`. Sambil tertawa engkau berkata, "kita sudah seri." Mengimbau kembali kekalahanmu dulu di awal perkahwinan. Aduhai romantiknya..... 

Engkau tidak malu untuk melakukan kerja-kerja rumah tangga agar tidak membebani isterimu. Jika ada pakaian yang koyak kau sendiri menampalnya begitu juga jika sepatu yang robek, kau menjahitnya sendiri. Engkau sendiri yang memerah susu kambing untuk keluargamu. Setiap kali engkau pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah dimasak, sambil tersenyum kau menyinsing lengan baju untuk membantu kerja-kerja di dapur. Ah...betapa tidak dapat ku bayangkan dirimu insan pilihan yang melakukan kerja-kerja biasa. Tidak mungkin dilakukan oleh seorang raja maupun seorang presiden kini. 

Pernah ketika pulang diwaktu pagi, tentunya dirimu amat lapar ketika itu. Namun tiada apa-apa pun yang ada untuk sarapan. Lalu dengan lembut dikau bertanya, "belum ada sarapan ya Humaira`? Lalu kau diberitahu tidak ada apa-apa yang boleh dimasak. Apakah jawapanmu, "kita berpuasa pada hari ini." Tanpa sedikitpun tergambar kesal diwajahmu. Ya Allah! betapa tingginya kesabaranmu. 

Satu ketika kau pulang lewat dari kepergian. Lalu kau hamparkan selendang rida`mu di hadapan pintu, kerana tidak sanggup mengejutkan isterimu yang sedang lena beradu. Pagi esoknya, ketika isterimu memohon maaf, tiba-tiba dikau pula yang memohon maaf. Katamu "saya yang pulang lewat." Pada satu ketika, kau mengimami solat, pergerakanmu amat sukar sekali dan para sahabat mendengar seolah-olah sendimu bergesel diantara satu dengan yang lain. Tika ditanya rupa-rupanya engkau mengikat batu diperut buat menahan lapar yang amat. 

Wahai Rasulullah! Engkau tidak pernah jijik sedikit pun makan disebelah orang tua yang miskin, berkudis dan kotor. Hanya diam dan sabar tika kain rida` ditarik dengan kasar oleh si arab Badwi sehingga berbekas di sekeliling leher. Dengan penuh kehambaan kau membasuh tempat kencing si Badwi di dalam masjid kemudian menegurnya dengan lembut tanpa mencalar perasaan. 

Sampai di sini aku berhenti seketika mencoret, mengesat pelupuk mata yang basah bergenang.  

Tingginya kecintaanmu kepada kekasih yang abadi, Allah SWT. Di tengah malam yang sepi kau berterusan beribadah sehingga bengkak kakimu yang mulia, biarpun kemuliaan yang diberikan kepadamu sehingga diampunkan dosa yang lalu dan akan datang. Namun itu semua menambahkan lagi sifat kehambaanmu. Tika ditanya, "Wahai Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin syurga? Mengapa bersusah sebegini? Lalu dengan tegas engkau menjawab, "Bukankah aku ini seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur." 

Disaat hampirnya pertemuanmu dengan kekasih yang abadi, yang terbit dimulutmu, "ummati, ummati, ummati..." Demikianlah kecintaan kepada umatmu. Dan kau wafat hanya meninggalkan seekor keldai dan baju perang. Tiada dinar dan tiada dirham. Sedangkan engkau adalah rahmat buat semesta alam. 

Aisyah menceritakan di saat akhir hidupmu, engkau bersabda:

"Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat ke atas mereka daripada para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin. Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah aku. Pertemukanlah aku dengan Kekasih yang Maha Tinggi, Kekasih yang Maha Tinggi..."

Kalimat yang terakhir diulang hingga tiga kali, yang disusuli tangan baginda yang lemah. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji`uun. Baginda telah kembali ke pangkuan Kekasi yang Maha Tinggi.   

Semakin bercucuran airmataku, tidak mampu untuk aku teruskan. 

Maafkan daku duhai Rasul junjungan..... 

"Hai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (atas manusia) dan sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan. Dan sebagai da`ie (penyeru) manusia kepada Allah dengan izin-Nya dan menjadi pelita yang menerangi. Dan berilah khabar gembira kepada orang mukmin, bahawa bagi mereka kurnia yang besar dari Allah." (al-Ahzab: 45-47)

Sunday, 20 December 2015

Forum Maulidur Rasul 1436H/2015M


Assalamualaikum warahmatullah.

Tanggal 12 Rabiul Awwal merupakan satu tarikh yang diingati oleh umat Islam di seluruh dunia. Sesungguhnya kelahiran Baginda ke dunia ini, merupakan satu rahmat yang agung, dan sudah sewajarnya kita membesarkan Hari Keputeraan insan mulia ini selaku tokoh agung sepanjang zaman bukan hanya untuk umat Islam malahan untuk umat manusia sejagat. 

Sempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1436H, satu forum agama akan diadakan pada 21 Disember 2015, bertempat di Masjid Qaryah Balok Kuantan. Forum ini akan menampilkan 2 panelis iaitu al-Fadhil Ustaz Dr Riduan Mohd Nor (Muslim Care) dan Dr Muhammad Ibrahim (UIAM). Manakala moderator pula ialah al-Fadhil Ustaz Basri Ibrahim (Mudir SRAIB).     

Justeru, kepada warga KUANTAN yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk bersama-sama memeriahkan forum ini. Mudah-mudahan kita semua dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Friday, 18 December 2015

Salam Jumaat: Saat itu pasti tiba

foto hiasan (sumber)

Hujan renyai-renyai menyimbah atap rumah. Bagaikan tidak terganggu anak telinga saya akan kebingitannya. Saya sukakan bunyi hujan menimpa atap. Berdetak-detak bagaikan melodi yang mendamaikan perasaan. Mungkin sesuatu yang pelik bagi sesetengah orang, atau mungkin sesuatu yang biasa sahaja. Tetapi itulah saya. 

Sesekali saya mengelamun di birai tingkap, melepaskan pandangan di kejauhan. Membiarkan hujan dari cucur atap memercik ke wajah, basah bersama titis-titis air mata yang tidak semena-mena bergenang perlahan. Ada sesuatu yang menggamit hati. Ingatan kembali dipugar pada perjalanan kehidupan silam. Membayangkan wajah pakcik dan makcik, atuk dan nenek, yang pernah saya kenal tatkala menjadi penghuni desa nan permai satu masa dahulu. Tidak ramai lagi yang masih ada. Seorang demi seorang berkelana 'pulang' menepati janji Pencipta, termasuk juga ayahanda dan bonda saya. Manakala yang masih tinggal sudah pun keuzuran menghitung usia.

Janji di azali. Tiada yang kekal abadi melainkan Dia. Daripada tanah berasal, kepada tanah jua dikembalikan. Saya memahami, kerana diri saya juga termasuk dalam hakikat ketentuan tersebut. Apabila ajal datang menjengah, maka akan 'pergilah' saya meninggalkan kesayangan di dunia ini. Tidaklah ia didahulukan maupun diakhirkan biarpun sedetik masa.    

Sesungguhnya, demikianlah sebuah kehidupan manusia di bawah kekuasaan-Nya. Waktu kecil yang tidak mengerti apa-apa, waktu muda yang penuh gembira, kemudian tibalah waktu tua yang sentiasa terbatas daya dan upaya. Ya, waktu tua yang telah menemui datuk dan nenek kita, akan menemui kita pula jika ajal tidak menjemput di usia muda. Sedarlah, pusingan umur di dunia ini amat singkat. Tiba masanya tandu kematian berkunjung di pintu rumah untuk menghantar ke gerbang yang menjanjikan kebahagian atau kesengsaraan. Demikianlah janji-Nya yang pasti. Allahu rabbi...  

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 
“Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas ke atas diri mereka; janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa-dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Zumar: 53)

Wednesday, 16 December 2015

SOLAT HAJAT: Memohon Kesejahteraan Rakyat Daripada Risiko & Musibah Akibat Kerakusan Pengusaha Bauksit


Isu bauksit: Pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak untuk memohon pihak kerajaan supaya menghentikan aktiviti perlombongan bauksit sekitar Kuantan semenjak 2 tahun lalu. Namun malangnya sehingga hari ini tidak ada sebarang perubahan dilihat malahan keadaan semakin tidak terkawal. 

Oleh itu, Pas Pahang bersama dengan GERAM dan KRT Taman Impianku, mengambil inisiatif melalui program kerohanian dengan memohon kepada Allah SWT supaya melindungi rakyat dan kawasan sekitar Kuantan daripada sebarang musibah. Di samping itu kita juga memohon agar Allah SWT membuka hati pihak berkuasa supaya memberhentikan segala kegiatan yang merosakkan alam sekitar dan menyusahkan rakyat. Kita juga amat bimbang dengan keadaan cuaca hari ini yg memungkinkan satu musibah besar akan berlaku. 

Justeru, kami menyeru semua penduduk sekitar Kuantan untuk hadir beramai-ramai, bersama-sama kita bermunajat dan berdoa ke hadrat Allah SWT. Usaha ini amat penting khususnya kepada orang Islam supaya banyak berdoa dan bergantung harapan hanya kepada Allah SWT. 

Program akan bermula dari jam 7.30 malam dan dijangka tamat jam 9.30 malam, akan diketuai oleh Pesuruhjaya Pas Pahang YB Ustaz Rosli Abdul Jabar. 

 'Keratan akhbar Sinar Harian'

Alhamdulillah, atas kegembiraan ini..(sekadar perkongsian)

Puji-pujian semestinya milik Allah SWT, selaku penguasa perbendaharaan di langit dan di bumi. Dialah al-Wahhab, yang sentiasa melimpahkan berbagai nikmat tanpa dihitung-hitung. Dengan nikmat-nikmat yang dikurniakan ini, maka kita semua dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan menyenangkan. Malahan perbendaharaan disisi-Nya tidak pernah berkurang, walaupun setiap detik diagih-agih kepada makhluk yang bertebaran di atas muka bumi ini.

Katakanlah "alhamdulillah" duhai teman-teman, di atas kemurahan dan kasih sayang-Nya yang tidak pernah berkurang. Mudah-mudahan tercatat ganjaran pahala dek ulas bibir melantunkan zikir kepada-Nya. 

Alhamdulillah.

Kelmarin saya mendapat dua khabar yang menyenangkan hati. Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan saya di saat mendapat perkhabaran itu. Sujud syukur kerananya!

'Anakandaku bersama kumpulan nasyidnya, Shoutul Shabab'

Pertama, anakanda sulung telah mendapat tawaran menyambung pengajiannya ke peringkat STAM di Kuliah al-Lughah Waddin as-Sultan Abu Bakar, Pekan. Sekolah ini diasaskan pada tahun 1941 oleh al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar dan merupakan sekolah agama tertinggi di kalangan Sekolah Menengah Agama di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang. Lokasi Kuliah bersebelahan Istana Abu Bakar menjadi faktor institusi ini sering mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang. 

Khabar kedua. Angah Salina iaitu anakanda kedua saya yang sedang belajar di PPTI Kemaman, telah lulus dalam peperiksaan akhir peringkat Thalis E`dadie. Peratus markah yang diperolehi membolehkannya menyambung pengajian ke peringkat Thanawi di tempat yang sama. Pengajian ini mengambil masa selama empat tahun (Rabi` Thanawi).

Sebagai seorang bapa saya turut berkongsi kegembiraan mereka. Malahan lebih daripada itu saya melihat kepada harapan mereka yang hampir menjadi kenyataan. Semoga anakandaku semua terus gigih dalam mengejar cita-cita untuk menjadi pendakwah dan qudwah kepada ummah. Allahu al-Musta`an.    

Monday, 14 December 2015

Hati-hati teman, pastikan kesahihan sebelum memanjangkannya...

foto hiasan (sumber)

Assalamualaikum ... Satu fakta nombor yang menarik untuk kita fikir-fikirkan:
Adakah kita sedari...??

Acheh - Tsunami 26-12-2004

Jogja - Gempa 26-5-2006

Tasik Jawa Barat - Gempa 26-6-2010

Gunung Merapi - Meletus 26-10-2010

Jambatan Tenggarong Samarinda - Runtuh 26-9-2013

Bulan lalu pada tarikh 26 Okt - Taufan Haiyan diutus Allah SWT untuk menunjukkan kekuasaan-Nya kepada seluruh rakyat Filipina yang telah merobohkan "Rumah-Nya' di Manila untuk digantikan dengan shopping mall!!

Mengapa semua ini berlaku pada tarikh 26hb. Adakah ini satu kebetulan?? Bukalah dan bacalah al-Quran juzuk ke 26, Allah SWT telah berfirman, mafhumnya:

"sedikit waktu lagi Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, laut dan darat."

Biar mereka semua tahu bahawa mu`jizat Allah itu ada!!

Jika sudi...sampaikanlah kepada hamba Allah yang lain...wallahua`lam..

Susunan ayat yang menerjah masuk ke dalam peti henfon saya. Sebenarnya sudah beberapa kali ia dihantar melalui aplikasi whatsapp group. Sekali baca memang nampak satu tazkirah pendek yang 'cantik', mengingatkan kepada semua akan kekuasaan Allah SWT. Ya, Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ia sekali-kali tidak dapat dinafikan. Tetapi tatkala melihat dalil yang dikatakan daripada al-Quran juzuk ke-26, saya terfikir, "mengapa tidak diletakkan sekali nama surah dan nombor ayatnya.    

Kesangsian saya berasas. Apabila menyemak naskah al-Quran, ternyata tiada ayat yang dimaksudkan di dalam juzuk ke-26. Jadi, dari mana pula sumber ambilannya itu. Dalam 'kepeningan' itu, akhirnya seorang teman menghantar kepada saya sumber yang dikatakan berasal daripada juzuk ke-26.  Terkejut juga...

 
'Alkitab, Hagai 2:6 yang memuatkan firman Tuhan'


Di era teknologi di hujung jari ini, memang satu kemudahan untuk menyampaikan kebaikan. Dengan hanya 'share' bermacam-macam maklumat dapat disampaikan. Maka, tidak salah untuk kita turut sama mengambil peluang yang mudah ini. Sekurang-kurangnya ia menjadi saham untuk kita di akhirat nanti. Namun, dalam keghairahan me'copypaste' hadis, artikel, tazkirah dan sebagainya, pastikan dahulu kesahihannya. Bimbang jika kita memanjang sesuatu yang tidak benar. Akhirnya menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai.

Hati-hati teman...

Friday, 11 December 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 50

Salam Jumaat.


"Satu-satunya perkara yang patut untukku sedihi...
Kecuaianku terhadap Tuhan."

Thursday, 10 December 2015

Pameran Hantu Shah Alam: Mengapa Hantu yang diawet tidak marah?

Soalan:

Bolehkah dijelaskan, kini masyarakat Malaysia heboh memperkatakan pameran hantu di Shah Alam (Jun hingga Julai 2006) yang berjaya menarikramai pengunjung. 

1. Apakah benar yang ditunjukkan itu hantu yang sebenarnya? 

2. Bolehkah hantu ditangkap, dibunuh dan diawet sedemikian rupa untuk pameran? Tidakkah hantu-hantu lain akan marah apabila manusia melakukan hal tersebut kepada anggota masyarakat mereka? 

Jawapan 1:

Hantu adalah merujuk kepada istilah yang digunakan dalam masyarakat Melayu yang dipadankan pada istilah syarak syaitan, iblis, jin, ifrit dan sebagainya. 

Makhluk halus diciptakan Allah SWT daripada 'api yang menyala dengan garang' ertinya makhluk ini dijadikan daripada bahan yang khusus untuk mereka. 

Malaikat diciptakan daripada cahaya, manakala manusia dijadikan daripada unsur tanah, yang disebutkan tanah, air, api dan angin. 

Makhluk halus ini pada kebiasaannya tidak dapat dilihat oleh manusia seperti yang dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran, (mafhum) firman-Nya: "Sesungguhnya makhluk-makhluk halus itu dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (al-A'raaf, ayat 27) 

Ayat ini merujuk kepada keadaan kejadian makhluk halus yang tidak dapat dipandang dengan mata kasar manusia sedangkan mereka dengan kabilah mereka (makhluk halus) dapat melihat manusia dengan begitu mudah. 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa, makhluk halus daripada istilah yang disebut sama ada syaitan, jin, iblis ataupun ifrit mempunyai rupa paras mereka yang asli, bentuk khusus yang Allah SWT jadikan mereka. 

Bentuk khusus adalah rupa asli yang tidak dapat dilihat manusia. Namun demikian Allah SWT yang mengetahui hikmah kejadian makhluk halus ini, mengizinkan kepada mereka pada keadaan tertentu untuk menjelmakan diri mereka menjadi rupa-rupa yang dikenali manusia. 

Lazimnya mereka zahir dalam bentuk ular hitam, anjing hitam, burung, kala jengking dan sebagainya. 

Berlaku beberapa kejadian sejarah Islam, Allah mengizinkan mereka zahir menyerupai manusia seperti mesyuarat muafakat musyirikan jahilyyah Mekah untuk membunuh Nabi Muhammad saw semasa malam hijratul rasul ke Madinah. Syaitan menyerupai Sheikh Najiddi. 

Begitu juga dalam satu peperangan, makhluk halus ini menyerupai Suraqah bin Malik. 

Dalam hadis sahih Muslim seorang pemuda telah membunuh seekor ular di zaman peperangan Khandak di Madinah, bila ular mati, pemuda yang membunuh ular juga mati. Ketika itu Nabi saw mengatakan itu adalah angkara perbuatan jin yang memeluk Islam tetapi berlaku salah faham kerana pemuda itu menyangka itu adalah ular yang sebenar, sedangnya ianya jin, jin bertindak balas, maka pemuda itu meninggal dunia. 

Makhluk halus atau hantu sememangnya wujud, tetapi pameran tersebut adakah ia menggambarkan hantu yang sebenar? Secara peribadi saya tidak pergi melihat pameran tersebut, tetapi melalui laporan akhbar, saya agak hairan bagaimana lembaga-lembaga seperti itu diberi nama jenglot, langsuyar, toyol dan sebagainya. 

Dikatakan juga ianya menjadi lembaga yang dapat dilihat, dipegang dan dirasa seolah dalam alam realiti daripada makhluk halus tersebut. 

 Pada saya sepatutnya sebelum diberi jawapan khusus yang muktamad tentang benarkah itu adalah hantu, perlu kepada beberapa kajian yang lebih lanjut, sama ada melihat DNA makhluk tersebut, organ dalamannya, struktur jasmani yang ada pada mereka, ada darah atau ruh sebelumnya. 

Hal-hal ini seperti ini boleh dilakukan secara saintifik (di zaman sains dan teknologi) dengan menggunakan peralatan canggih bagi memastikan lembaga-lembaga yang dipamerkan itu benar-benar hantu atau ia hanya suatu hasil seni yang kreatif terjemahan daripada imiginasi yang biasa wujud dalam masyarakat kita. 

Bagi masyarakat Melayu memang disebut makhluk yang dinamakan jenglot (berasal daripada Indonesia) dikatakan umumnya, kununnya makhluk halus, tetapi sebenarnya apabila sudah dapat dilihat secara fizikal, ianya bukan lagi makhluk halus, ia adalah makhluk kasar. 

Toyol, hantu raya, pelesit dan langsuyar sebagainya digambar dengan sedemikian rupa. 

Oleh demikian hasil terjelma yang dikatakan hantu asli, amat memerlukan pengesahan daripada pakar biologi, saintis, doktor dan mereka yang mahir tentang kajipurba dengan merujuk kepada pandangan ulama yang mahir dalam bidang tersebut. 

Jawapan 2:

Makhluk halus ada yang tidak boleh dibunuh kerana mereka berumur panjang sampai hati qiamat dan ada yang mati (boleh dibunuh). Hanya Iblis sahaja tidak boleh dibunuh kerana ternyata dalam al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya): "Iblis telah berkata kepada Allah, 'Wahai Tuhanku. Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Kiamat). Allah berfirman, "Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau (termasuk) dari golongan yang diberikan tempoh. Hingga ke hari, waktu yang telah ditentukan." (al-Hijr ayat 36, 37 dan 38) 

Ahli-ahli tafsir secara umumnya menyatakan setelah iblis enggan tunduk kepada Allah S.W.T dan dilaknat serta dikeluarkan daripada syurga, mereka berdoa agar Allah memanjangkan umur mereka, maka Allah S.W.T menganugerahkan kepada mereka apa yang mereka minta iaitu berumur panjang sampai kepada hari Kiamat. 

Ertinya makhluk yang termasuk dalam suku sakat iblis ini, mereka berumur panjang, dengan lain perkataan mereka tidak mati dan tidak boleh dibunuh. 

Adapun selain daripada iblis seperi syaitan, jin dan sebagainya, mereka beranak pinak dan sampai umurnya mati, jelas dinyatakan bahawa mereka boleh dibunuh, khususnya disebut dalam sejarah mereka dibunuh dan mati dalam bentuk penjelmaan ular. 

Banyak contoh lain, makhluk ini mati sama seperti makhluk yang dapat dilihat jisim seperti manusia, binatang dan lain-lain. 

Meskipun makhluk ini mati, tetapi tidaklah sampai dapat dilihat (selain daripada bentuk penjelmaan). 

Adapun dakwaan dibunuh dan diawet untuk menjadi tontotan masyarakat, saya bertawakuf untuk mengesahkan makhluk tersebut adalah hantu kerana penjelmaan sedemikian rupa tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. 

Pameran tersebut seolah-olahnya membawa erti bahawa makhluk yang diawet itu merupakan rupa asli makhluk tersebut, kebetulan yang diperlihatkan adalah perkara yang wujud dalam masyarakat. 

Kisah awet mengawet ini berlaku dalam alam fizikal, tetapi tidak pernah berlaku manusia boleh mengawet makhluk halus. 

Sekiranya berlaku sedemikian rupa kita tidak perlu bertanya sama ada hantu lain akan marah, kerana kalau kita, manusia sendiripun, jika ada orang mati tanpa kerelaan keluarga diawet dan dipertonton sedemikian rupa, kita akan berasa marah. 

Lebih-lebih lagi jika makhluk itu ditangkap dan dibunuh untuk diawetkan. Secara logiknya tentulah hantu-hantu lain (makhluk halus) akan marah kerana tabie mereka kezaliman perlu ditentang. Pelaku zalim ke atas mereka perlu mendapat hukuman. 

Jika manusia menzalimi makhluk halus, maka memungkinkan mereka boleh menzalimi manusia. Dalam keadaan manusia tidak menzalimi makhluk haluspun, sering kita dengar mereka menzalimi manusia (merasuk dan sebagainya), inikan pula tanpa sebab munasabah manusia menangkap dan membunuh untuk dijadikan tontonan. 

Tetapi oleh kerana soalan yang dinyatakan tadi belum dipastikan kesahihannya, maka tindak balas makhluk halus tidak timbul. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Tuesday, 8 December 2015

Majlis Ilmu bersama PU Syed

Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan terutama warga Balok, dijemput untuk memeriahkan majlis ilmu bersama PU Syed, anak jati kampung Balok Kuantan, yang juga merupakan juara Pencetus Ummah Musim ke-3 2015.

Rugi kalau tak datang!

 


##Bangga, jadi orang Balok...

Monday, 7 December 2015

Sanah Helwah ya Bunayya..Wan Muhammad Imamuddin Haikal

"Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak abi dan ummi ke syurga Ilahi yang abadi..."

Sunday, 6 December 2015

Usia yang berbaki...

foto hiasan (sumber)

Tiada malam yang diseliputi kegelapan kecuali pada akhirnya adalah fajar yang menyinsing cahaya. Tiada pula hilang terik sang matahari kecuali ia terbenam ke hujung barat menyambut datangnya malam. Begitulah Allah SWT menjalankan pergantian keduanya sebagai bahasa untuk umat manusia memahami ketetapan dan kekuasaan-Nya. Namun, ia juga adalah tanda perkiraan masa di dunia ini. Setelah terbenam sang mentari, maka berlalulah satu hari dalam kehidupan. 

Berlalu sehari masa di dunia adalah isyarat telah hilang sehari daripada usia kita. Bayangkan seutas tali yang panjang, jika setiap hari dipotong sedikit demi sedikit, akhirnya akan habislah tali tersebut. Begitulah ibarat usia kehidupan kita. Sedarkah kita? Atau lalaikah kita? Tetapi, masa akan terus berlalu tanpa menunggu persetujuan kita. Samada kita menyambutnya atau menolaknya, ia akan tetap berlalu tanpa dapat dihalang sehinggalah akhir dunia ini. 

Seandainya kita melihat usia yang bertambah saban tahun dengan makna yang tersirat, ia bukan sekadar angka yang dibilang-bilang. Sesungguhnya ia adalah derap langkah yang memendekkan jarak kepada kematian. Menanti dan mengharungi hari-hari yang berlalu bukan sekadar pejam dan celik, ia bukan hanya kerdipan mata, tetapi lebih daripada itu. Masa adalah usia, ia adalah nikmat yang tidak terperi. Hargailah... 

#Meniti hari-hari menuju usia 40, jika ada belas keizinan Tuhan. 

Friday, 4 December 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 49

Salam Jumaat.


Rezeki itu bukan hanya berupa harta benda dan makanan...
Rezeki Allah itu cukup luas...
Boleh jadi rezeki itu berupa rakan-rakan yang baik...
Boleh jadi juga berupa ketenangan dan kerehatan jiwa.

Tuesday, 1 December 2015

Yayasan Amal Malaysia Pahang: Perasmian bot bantuan banjir

Segala puji bagi Allah, Tuan empunya dunia ini yang sentiasa tahu berbuat baik terhadap para hamba-Nya. 


Kelmarin, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMP) telah mengadakan acara ringkas perasmian bot untuk bantuan mangsa banjir, bertempat tepi tebing Sungai Pahang berhampiran Chenor. Majlis tersebut telah disempurnakan sendiri oleh pengerusi YAMP dengan ucapan ringkas dan bacaan doa memohon semoga dipermudahkan dalam semua urusan. Sejurus selepas itu diadakan pula pandu uji menyusuri Sungai Pahang dalam beberapa kilometer.  Ini untuk memastikan bot tersebut benar-benar bersedia untuk digunakan apabila tiba masanya nanti. 

Sebenarnya bot yang lengkap dengan enjin dan lain-lain eksesori ini adalah hasil sumbangan orang ramai. Alhamdulillah ,tidak sampai sebulan kempen infaq dilancarkan, ia telah mencapai jumlah yang diperlukan.  Justeru, saya dapat merasakan betapa besarnya harapan para penderma agar ia dapat digunakan dengan semaksimum yang mungkin di musim banjir. Insya-Allah, amanah tersebut akan kami pikul di bahu dengan sebaiknya. Mudah-mudahan Allah SWT membalas kemurahan hari mereka dengan ganjaran pahala yang besar. 


Firman Allah SWT: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah (dengan) pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan untuk mereka (balasan) pinjaman itu, dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (al-Hadid: 11) 

Dalam ayat ini disebutkan dengan “memberi pinjaman kepada Allah”. Apakah yang difahami dengan lafaz tersebut? Apakah Allah SWT memerlukan sesuatu daripada makhluk-Nya. Bukan begitu maksudnya. Istilah pinjam di dalam ayat tersebut hanya satu kepelbagaian tawaran Allah terhadap hamba-Nya agar membanyakkan usaha usaha berbuat kebajikan pada jalan Allah. Pinjaman juga bermakna pengorbanan derma, infaq, sumbangan, sedekah dan sebagainya. Di dalam maksud yang lain, setiap pinjaman perlu dibayar. Maknanya Allah pasti akan membayar semula “pinjaman’ seseorang kepada-Nya. 

Seseorang yang menderma walau sebanyak mana pun tidak akan menyusutkan hartanya, malahan akan bertambah banyak. Tidak pernah ada istilah jatuh miskin kepada yang menderma. Analoginya mudah. Sebatang pohon yang dicantas tunasnya akan menumbuhkan lebih banyak tunas yang baru. Demikianlah harta yang diinfaqkan.  

Dunia ini adalah ladang akhirat. Bagaimana kita menyemai benih, begitulah kita akan menuai hasilnya. Jika baik dan betul semaian kita, maka baiklah hasil yang akan dituai nanti. 


##Terima kasih daun keladi, kepada tuan rumah, sahabat Ustaz Ramli di atas jamuan nasi dengan patin masak tempoyak yang cukup 'femes' di Chenor itu. Insya-Allah, sedapnya sehingga menghirup kuah...