Sahabat Sejati

Tuesday, 31 March 2015

(01 April) Aku Tunggu Mu Datang!

Senyum selebarnya...


##Tiada kena-mengena dengan April fool.

Monday, 30 March 2015

Bait Kafeel بيت كفيل

Sambil-sambil godek youtube tadi, tersua dengan klip video ini. Rasa ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat kerana tertarik dengan kreativitinya.

Teringat semasa belajar bahasa arab ketika bergulat di zaman medan tempur menuntut ilmu dulu. Pada mulanya, terasa susah juga belajar bahasa arab ni. Sampai herot-herot mulut membetulkan sebutan kalimahnya. Itu belum termasuk menghafal qawa`id. Ada masanya semacam berputus asa untuk mempelajarinya. Kalau tidak dikuatkan semangat, memang terkulai layu di pertengahan jalan. Akan tetapi, setelah dapat memegang beberapa qae`dah, jadi seronok pula. 

Saya dulu belajar bahasa arab semata-mata apa yang ada di dalam buku yang menjadi silibus sahaja. Alat-alat bantu belajar sebagai sokongan tambahan tidak ada. Kalau ada pun amat sedikit. Tetapi zaman ini, mudahnya mahu belajar bahasa arab. Pusat-pusat tuisyen bahasa arab giat dibuka, buku-buku berkenaan asas bahasa arab serta bahasa arab komunikasi banyak ditulis. Malahan di internet pun boleh belajar. Banyak laman web, youtube yang berkaitan yang memberi panduan untuk berbahasa arab. Tinggal lagi, terpulang kepada empunya diri mahu ataupun tidak.

Klip video yang berdurasi lapan minit lebih ini sebenarnya berasal daripada sebuah lagu hindi tetapi diubah senikatanya. Klip ini berasal dari Saudi dan menggunakan bahasa arab fushah, tetapi ada ada juga beberapa patah arab `ammi. Walau bagaimanapun, yang tidak memahami bahasa arab baca sahaja terjemahannya di bawah... Hayya bil `arabiyyah!   

video
(sumber: Youtube The Khalliwalli show)

Sunday, 29 March 2015

Program Street Dakwah Bersama Zuar XPDC


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk bersama memeriahkan program 'street dakwah' berkala ini. Tarikh pada 29 Mac 2015 bertempat di pantai peranginan Teluk Cempedak. Kali ini program street dakwah akan diserikan dengan kehadiran bro Zuar XPDC. 

Jangan lupa, bawa keluarga dan kawan-kawan! 

Friday, 27 March 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 17

Salam Jumaat.


Semua yang berlaku kepadamu walaupun perkara kecil... Sebenarnya Tuhan ada matlamat di sebaliknya.
Maka bertenanglah.

Thursday, 26 March 2015

"Apa, nasi lemak tak ada??" Astaghfirullah...

Semenjak dua menjak ini ia menjadi isu yang hangat dipolemikkan. Boleh dikatakan ramai yang mahu bercakap mengenainya. Tidak cukup dengan orang alim, orang awam pun 'tumpang semangkuk' menambah perisa. Saya maksudkan adalah hukum hudud yang mahu dilaksanakan di negeri Kelantan. Malahan orang bukan Islam pun turut sama memberi komentar, meskipun ada yang tidak tahu hakikat apa yang dinamakan hudud itu. Ada yang menyokong pelaksanaannya, dan ramai juga yang tidak bersetuju aka membantah.

Saya membaca di internet, bermacam-macam alasan yang diberikan untuk menidakkan ia dikuatkuasakan. Ada yang kata tidak sesuailah, belum sampai masanya, ramai yang tidak fahamlah dan 1001 alasan yang keluar, lebih daripada itu hinggakan ada yang membuat video klip yang menyakitkan hati. Selepas itu apabila dikecam dan diancam oleh massa, tahu pula minta maaf dengan memberikan alasan yang direka-reka. Eh, baginda sultan Kelantan sendiri  menyeru dan menitahkan agar undang-undang itu dikuatkuasakan, mengukuhkan pandangan bahawa Kelantan perlu dibenarkan menjalankan undang-undang hudud. Hmm, ketua agama negeri pun bersetuju, apalah kita pula tak setuju.

Rasanya tidak pelik jika yang tidak bersetuju itu dari kalangan orang bukan Islam. Yalah, mereka tidak faham pun berkenaan amalan agama kita. Tetapi pelik juga. kenapa mereka mahu membantah sedangkan hukuman tersebut bukan terkena ke atas batang tubuh mereka pun. Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ah, lagi pelik apabila ada dari kalangan orang Islam sendiri yang menolaknya, saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal sekali lagi. Pelik wal aneh. Sepatutnya orang Islam menyokong hukum Islam, barulah betul.
 
Lagipun jika tidak bersalah apa yang mahu ditakutkan. Benar, kamu tidak mencuri, tidak merompak, apa yang mahu digusarkan. Kamu tidak minum arak, tidak berzina, lalu apa yang menjadi kebimbangan kamu. Hudud adalah hukuman untuk orang bersalah, yang tidak bersalah jangan takut! Untuk menjatuhkan sesuatu hukuman hudud bukannya mudah. Banyak faktor yang diambil kira. Bukannya, "Oo..kamu mencuri ye, bak sini tangan tu." Grung.. grang..grung..grang terus dipotong. Bukan begitu. Pergilah mengaji, banyakkan membaca dan bertanya kepada tok-tok guru berkenaan hudud untuk mendapat pencerahan dan lebih memahaminya.

Hudud, asasnya ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka seorang Muslim tidak boleh menentang hudud yang terdapat di dalam kedua sumber agung tersebut. Bab tidak faham, itu cerita lain. Banyak perkara yang kita tidak faham tetapi boleh pula kita menerima dan melaksanakannya. Contohnya, Lord William Reid yang mengetuai Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab merangka perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu sebelum memperolehi kemerdekaan daripada pihak Britain, berapa kerat yang memahami dan menghafalnya, tetapi boleh pula menerima tanpa dakwa-dakwi.

Saya melihat, disinilah peranan yang perlu dimainkan oleh media perdana. Tentunya ia medium terbaik untuk memberi penerangan tentang pelaksanaan hudud di negeri atau negara ini sebagaimana penerangan yang sama dalam bentuk iklan digunakan untuk mempromosikan GST. Cuba lihat di televisyen, selebriti digunakan dalam usaha mempengaruhi rakyat supaya menerima pelaksanaan GST. Maka kerajaan juga sepatutnya boleh menggunakan kaedah sedemikian dalam isu hudud ini supaya rakyat faham agar tidak timbul salah faham berkaitan hudud.

Bagi saya dengan terlaksananya hukum hudud, akan menyebabkan orang Islam menjadi kuat. Yalah, orang Islam tidak lagi mencuri, merompak, menagih dadah, minum arak, berzina dan sebagainya. Bukankah itu satu kebaikan? Jika ada kekurangan, mohon para mufti, ustaz-ustaz, cendekiawan Islam memberi pandangan dan nasihat untuk penambahbaikan.

Tidak perlulah kita menyindir atau mengeluarkan kata-kata picisan, "hudud Kelantanlah, hudud PASlah, nasi lemak tak ada?? Tak ape hududkan ada!" (sambil mengibar-ngibarkan bendera negeri Kelantan). Astghfirullah, bimbang sangat-sangat, tanpa disedari kita bukan sahaja menghina negeri Kelantan dan rakyatnya. Malah, yang lebih parah kita telah menghina hukum hudud itu sendiri. Tidak rosakkah aqidah dan keimanan kita ini?

Hudud itu benar-benar hukuman pencegahan (nakalan) daripada Allah. Bukan sahaja ia menggentarkan hati-hati manusia tatkala melaksanakannya, cadangan untuk melaksanakannya sahaja sudah mampu menggentarkan hati manusia. Buktinya, lihat senario yang berlaku sekarang ini.

Tepuk dada tanya iman..

Wednesday, 25 March 2015

Adakah sama Saka dengan Qareen?

Soalan:

Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk harus atas seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan istilah qareen yang pernah Dato' sentuh dalam jawapan terdahulu. Samakah antara saka dengan qareen? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila ianya berlaku? 

Jawapan: 

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus. 

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka. 

Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka. 

Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar. 

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam. 

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya. 

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif. 

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia. 

Adapun Qareen adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain. 

Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), "Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui." 

Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka. 

Firman Allah (mafhumnya), "Dan berkatalah Qareennya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku." (Surah Qaf, ayat 23). 

Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, "Yang menyertai dia, Qarennya berkata pula,"Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh." 

Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah SWT menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen. 

Dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud ra, bahawasanya Nabi Muhammad saw bersabda (maksudnya), "Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah SWT membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telah pun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan." (Riwayat Muslim). 

Hadis daripada Ai'shah r.ha berkata, "Suatu ketika Rasulullah saw berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah saw kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai'shah? Apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah saw. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai'shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah SWT telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan." 

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah saw pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa. 

Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja. 

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus yang jahat. 

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua'lam. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Monday, 23 March 2015

Taman Syurga: Pengajian Kitab AL-YAQAWIT WAL JAWAHIR


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada muslimin dan muslimat yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk memeriahkan majlis ilmu ini.

Kuliah maghrib ini akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Shaharuddin Abd Mubin yang akan mensyarahkan isi kitab Al-Yawaqit wal Jawahir, karangan Al-Syeikh Abdul Wahab al-Sya'rani.

Kitab ini asalnya di dalam Bahasa Arab dan diterjemahkan kepada Bahasa Melayu (tulisan jawi) oleh Al-Alim Al-Syeikh Muhammad Ali Ibnu Abdul Rasyid bin Abdullah Al-jawi AI-Qadi al-Sumbawi. Kitab jawi ini sudah berusia 190 tahun. Ia diselesaikan pada hari Isnin selepas asar 18 Zulkaedah 1243H. 

Kitab al-Yawaqit wal Jawahir ini telah digunakan di dalam pengajaran sekolah-sekolah pondok di mana kita ketahui sistem sekolah pondok ini amat popular dan telah ramai melahirkan para ilmuan dalam bidang agama, dan juga bidang lain yang berkarisma dan menyumbangkan sumbangan besar kepada bangsa dan agama.

Di antara isi kandungan kitab ini adalah menyatakan tentang betapa seksanya orang yang melakukan dosa besar dan akan berhadapan dengan kesusahan dan kesakitan pada hari kiamat kelak serta bagaimana gambaran syurga dan sekalian orang yang berada di dalamnya. Dan kitab ini mengandungi dua belas bab:

Pertama: Seksaan orang yang meninggalkan sembahyang.
Kedua: Seksaan orang yang derhaka bagi ibu dan bapanya.
Ketiga: Seksaan orang yang minum arak dan tuak.
Keempat: Seksaan orang yang berzina.
Kelima: Seksaan orang yang liwat.
Keenam: Seksaan orang yang makan riba.
Ketujuh: Seksaan orang yang meratap.
Kelapan: Seksaan orang yang tiada mengeluarkan zakat hartanya.
Kesembilan: Seksaan orang yang membunuh orang yang Islam dengan tiada sebenarnya.
Kesepuluh: Hak isteri aras Suaminya dan hak suami atas isterinya.
Kesebelas: Kesusahan dan kesakitan pada hari kiamat.
Kedua belas: Sifat syurga dan orang yang di dalam syurga.

"Jom semarakkan majlis ilmu!"

Friday, 20 March 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 16

Salam Jumaat..


Bantal menanggung kepala
Orang kaya dan miskin...
Kanak-kanak dan orang tua...
Pengawal dan putera raja...
Pemukul dan tawanan...
Namun tiada yang mampu tidur dengan lena kecuali mereka yang memiliki jiwa yang tenang.

Wednesday, 18 March 2015

Ramainya kami tetapi umpama buih - update


Daripada Tsauban ra: Rasulullah saw bersabda: Hampir tiba suatu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit `wahan`" Seorang sahabat bertanya: "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi saw menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." (Riwayat Abu Daud) 

Mari kita renungkan apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah saw ini. Nabi menyebut lebih 1400 tahun yang lalu. Dan kita lihat sedikit sebanyak ia telah pun berlaku. Umat Islam kini melebihi 1 bilion. Mereka bertebaran di seluruh pelosok dunia. Kebanyakkannya tinggal di negara yang dikurniakan Allah hasil mahsul yang mewah. Seumpama negara-negara Arab yang kaya dengan hasil petroleum. Persoalannya mengapa umat Islam menjadi lemah, sedangkan dalam masa yang sama mereka umat yang teramai dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh.  Tidakkah ini amat memelikkan?

Sesungguhnya, Rasulullah saw telah menjelaskan punca kelemahan umat ini adalah kerana penyakit yang menimpa mereka, iaitu penyakit `wahan`. Apakah penyakit wahan itu? Dijelaskan oleh Rasulullah saw penyakit wahan itu ialah cinta pada kehidupan dunia dan pada masa yang sama takut pada kematian. 

Cinta pada kehidupan dunia menyebabkan umat Islam menjadi tamak, bakhil, dengki, sombong, mementingkan diri serta tidak mahu berjihad di jalan Allah. Istilah berkorban untuk agama telah lama terpadam di dalam kamus kehidupan segelintir umat Islam masa kini. Mereka tergoda dan leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat yang abadi. 

Lihatlah realiti yang berlaku hari ini. Selaklah lembaran-lembaran akhbar pasti ada terpampang berita mengenai krisis keruntuhan akhlaq dan moral. Semakin hari ia semakin membarah. Ditambah lagi dengan kegawatan ekonomi yang melanda dunia kini.  Kerana desakan hidup, manusia sanggup melakukan apa sahaja, biarpun ia bertentangan dengan norma-norma agama dan kehidupan.

Peranan media samada elektronik maupun cetak (tidak semua), seolah-olah turut sama menyuburkan krisis kegawatan moral ini. Lambakan rancangan realiti bagaikan tiada belas kasihan pada iman kita yang sudah setipis kulit bawang.. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Sedangkan dalam usia yang masih berbaki, sebaiknya dahulukan apa yang lebih penting dan menjadi keperluan untuk kehidupan.

Begitu juga dengan kecanggihan teknologi IT hari ini yang seakan-akan memaksa kita berlari bersamanya. Tidak salah dengannya, bahkan banyak manfaat dan kebaikan yang boleh diperolehi. Tetapi jika salah memilihnya, maka dunia tanpa sempadan, dunia di hujung jari akhirnya iman kita umpama di hujung tanduk. 

Oleh itu marilah kita berganding bahu, berpadu tenaga memainkan peranan untuk mengembalikan kegemilangan umat ini. Janganlah kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya tekadkan diri kita untuk berubah demi Islam tercinta.  Sebaik-baik perubahan ianya bermula daripada diri sendiri.

Marilah kita mencontohi umat Islam generasi pertama dahulu. Selaklah lembaran sejarah. Para sahabat telah mengorbankan harta dan jiwa mereka, serta melalui peristiwa pahit getir, kesusahan semata-mata untuk agama ini. Kesakitan dan kesusahan hidup tidak sekali-kali mampu menggugat iman dan keyakinan mereka. Malahan segala ujian ini menjadikan iman mereka semakin subur dan mantap. 

Firman Allah SWT:

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali redha terhadap kamu selama-lamanya, sehingga kamu mengikut cara hidup mereka." (al-Baqarah: 120) 

Friday, 13 March 2015

Innalillah, kita milik-Nya

Innalillah..

Anak sepupu saya telah menghembuskan nafas yang terakhir petang semalam di HTAA, setelah koma selama tiga hari. Allahyarham telah terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.  Akibat kemalangan tersebut, allahyarham mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Sungguh. Ajal, maut dan jodoh pertemuan adalah milik-Nya. Allahyarham dijangka akan melangsung perkahwinan pada hari Ahad ini. Namun, ianya tidak kesampaian kerana taqdir Allah SWT mendahuluinya. Perancangan-Nya adalah perancangan yang hakiki. Dia yang Maha `Alim apakah hikmah yang tersirat. 

Tentunya sebagai hamba yang mengimani hakikat kehidupan dan kematian, menyakini bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah kebaikan. Mungkin pada waktu ini kita tidak mengetahui kebaikan itu. Namun, tatkala tiba masanya ia akan disingkap oleh Allah SWT.    

Mudah-mudahan Allah SWT berkenan menerima segala amal kebaikannya, serta mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan. 

Allahummaghfirlahu warhamhu...

Tuesday, 10 March 2015

Perihal Nabi Ayub sakit teruk

Soalan:

Ada seorang penceramah di masjid tempat saya, dalam satu ceramahnya beliau menceritakan perihal Nabi Allah Ayub as. yang mendapat penyakit ganjil kerana perbuatan jin-jin kafir ke atasnya. Seluruh badan Nabi Ayub as. berkudis dan bernanah, sehingga dagingnya reput, berbau busuk serta berulat. Kami jemaah masjid tertanya-tanya tentang peristiwa itu, bagaimana Nabi Ayub as. boleh mengajak orang mempercayai seruannya dan kerasulannya, jika keadaan beliau seperti sedemikian. Mohon jelaskan?

Jawapan:

Kisah Nabi Ayub as. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan Firman Allah SWT (mafhumnya): 

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41) 

Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub as.terkena kesusahan dan keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya. 

Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub as., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai. 

Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya. 

Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya. 

Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub as. terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub as. dengan gangguan fizikal. 

Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti. 

Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu. 

Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah. 

Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka. 

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub as. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub as. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya: 

"Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi. 

"Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya.....(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84) 

Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa (rayuan) Nabi Ayub as. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub as. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpancar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya. 

Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub as. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda. 

Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan. 

Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s. berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya. Wallahua'lam.

(Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din)

Sunday, 8 March 2015

Kegembiran hari semalam

Alhamdulillah, siap juga. Tiga, empat hari juga mahu menyudahkannya. Kalau orang lain mungkin lagi cepat siapnya. Maklumlah saya bukannya ‘gheti’ sangat. Tahap amatur? Eh, itu pun jauh ngatnya. Buat pun sebab minat yang sangat mendalam dalam bidang penghasilan artwork. Jika mahu diikutkan bukan pengajian saya pun, tapi kalau dah minat apa pun sanggup (senyum). Dalam curi-curi masa di antara tugasan-tugasan lain, ia siap juga. Alhamdulillah, sudah sedia untuk di email kepada sahabat saya itu untuk di hantar ke ‘printing centre’.

Logo Yayasan Amal Malaysia

Sebenarnya beberapa hari lepas, saya telah diminta oleh seorang sahabat yang juga merupakan pengerusi Yayasan Amal Malaysia (YAM) cawangan Pahang untuk membuat ‘artwork’ brosur penerangan YAM. Ia akan diedar di setiap pameran dan penerangan di seluruh negara. Dengar katanya pada permulaan ini, ia akan di cetak sebanyak 10 ribu keping. Sasaran pertama nanti adalah di program Ijtima` Alami di Terengganu pada akhir bulan ini.

Menurut sahabat saya semalam, Yayasan Amal Malaysia akan membuka satu booth penerangan di sana. Jadi, kepada sahabat-sahabat yang berkesempatan ke sana, silalah singgah di booth YAM untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan NGO kebajikan dan kemanusiaan yang bergelar Yayasan Amal Malaysia ini.

Membayangkan ia adalah di antara ruang dakwah dan perkongsian kebaikan, saya bersetuju membuatnya. Walaupun dalam hati ada juga berkira-kira, “mampu ke membuatnya, sedangkan ia akan digunakan dalam ‘event’ yang besar-besar. Yalah, mana tahu jika ia tidak memenuhi ‘standard’ yang dikehendaki. Di sisi yang lain saya positifkan minda, jika tidak mencuba, mana kita tahu boleh atau tidak. Ya, sekurang-kurangnya ia menjadi kayu ukur untuk menilai kemampuan diri, sekaligus dapat mengasah skil yang ada (kalau adalah..).

Hmm, ada juga rasa bangga dan bersyukur tatkala hasil ‘air tangan’ kita menjadi ‘pintu’ untuk masyarakat membuat amal. Saya rasa sahabat-sahabat semua bersetuju dengan perkataan saya ini. Berkongsi kebaikan adalah satu tuntutan. Siapa pun kita, jangan lupa untuk berkongsi kebaikan. Biarpun sesuatu yang kecil dan kita anggap remeh. Mana tahu itulah yang besar di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan ia menjadi rantaian pahala yang berterusan sehingga akhir dunia ini, insya-Allah amin.

Namun begitu, sesuatu yang sangat mustahak untuk diberi peringatan dan perhatian, janganlah kebaikan yang dilakukan sehingga boleh menerbitkan perasaan riak. Saya sering mengingatkan diri sendiri, jika ada perasaan riak biarpun separuh debu, ia akan menghancur-leburkan amalan yang dikumpul. Sementelah lagi, perasaan riak mudah hadir tanpa kita sedari. Samada melalui perbuatan, perkataan atau pun melalui lintasan hari. Mudah-mudahan saya sentiasa ingat akannya.

“Ya Allah, lindungilah kami semua daripada perasaan riak yang boleh memufliskan amal kebaikan kami yang sangat sedikit ini, amin.”

Gembira kedua

Berbicara tentang berkongsi kebaikan ini, petang semalam di perkarangan (parkir Grand Stand) Stadium Darul Makmur Kuantan telah berlangsung pelancaran Mobil Musolla. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh TH Dato’ Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, selaku YDP Majlis Perbandaran Kuantan. Apa yang boleh saya katakan, syabas dan tahniah kepada sahabat-sahabat yang telah menggerakkan idea yang sangat baik ini.

Apakah Mobil Musolla?


Mobil Musolla adalah Khidmat Surau Bergerak yang diilhamkan oleh Badan Nadwah Islamiah Pahang (NADWAH) yang menekankan "Dakwah Bil Hal".

Usaha ini merupakan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan mendapat sokongan kuat dari badan korporat Telaga Biru Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

Konsep Mobil Musolla:
1. Menggunakan sebuah lori 3 tan yang diubahsuai untuk menyediakan kelengkapan dan ruangan untuk Solat.
2. Menyediakan ruangan tempat solat di kiri kanan kenderaan.
3. Bumbung canvas yang boleh di tarik keluar dan masuk.
4. Ruangan Solat Wanita bertutup dengan "portable partition".
5. Menyediakan kelengkapan untuk solat seperti telekung, kain pelikat dan sejadah.
6. Tempat wudhuk dibelakang kenderaan dengan bekalan air sebanyak 500liter.
7. Penyediaan kenderaan ini untuk beroperasi mengambil masa 20 minit.
8. Petugas tetap yang akan mengazankan dan mengimamkan solat.
9. Perkhidmatan ini adalah secara percuma, namun tabung2 derma disediakan untuk sesiapa sahaja melakukan ibadah.

Lokasi Operasi
1. Pasar Malam
a. Hari Isnin : Jaya Gading
b. Hari Selasa : Taman Tas
c. Hari Rabu : Balok
d. Hari Khamis : Inderapura
2. Stadium Darul Makmur (sewaktu perlawanan yang melibatkan skuad Tok Gajah)
3. Teluk Cempedak (setiap Hari Sabtu @ Ahad) ( masih dalam perbincangan)
4. Jemputan keraian tertentu.

Menatap foto yang dikirimkan oleh seorang sahabat melalui aplikasi whatsapp, kelihatan ramai yang menggunakan perkhidmatan mobil musolla sebelum masuk ke stadium. Dengan tersedianya perkhidmatan ini, maka apa lagi alasan untuk tidak mahu bersolat. Semuanya bergantung kepada diri dan hati.

Bayangkan berapa banyak mana ganjaran pahala yang diperolehi oleh mereka yang terlibat mengusahakan kemudahan ini apabila setiap orang menggunakan perkhidmatan Mobil Musolla ini untuk bersolat. Inilah amal jariah yang akan berterusan pahala sekalipun selepas mereka tiada lagi. Ada juga rasa cemuburu dan iri hati dengan mereka. Tidak mengapa cemburu yang sebegini dibenarkan. Lainlah kalau cemburu dan iri hati yang merosakkan. Yakni merosakkan orang lain, dan tentu sekali merosakkan diri sendiri.



Walau bagaimanapun, ruang untuk membuat amal jariah tersangat luas. Lihatlah, carilah dan usahakanlah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat sekalipun setelah kita tiada lagi di dunia ini. Biar sekecil manapun kita melihat, mudah-mudahan ia besar di sisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Gembira ketiga

Semalam juga berlangsung perlawanan bolasepak liga Super Malaysia di antara pasukan Pahang Darul Makmur menentang pasukan Sime Darby. Alhamdulillah, kemenangan pertama untuk pasukan Pahang selepas tiga perlawanan. Walaupun saya tidak pergi menonton, namun kegembiraan itu sukar untuk saya sembunyikan. Memanglah kawan-kan orang Pahang, hogoh Tok Gajah hogoh..

Kegembiraan, tentunya nikmat yang tidak ternilai harganya.

Friday, 6 March 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 15

Salam Jumaat,


Telah berkata seorang ulama:

"Apabila kamu teringat seseorang dikala bersendirian sambil senyuman terukir...
Itulah tanda kasih sayang sejati terjalin antara kamu.

Wednesday, 4 March 2015

Kembara ini..(seorang hamba)

foto hiasan
 
Perjalanan ini mengingatkan aku kepada banyak kenangan. 
Perjalanan ini membawa aku kepada nostalgia yang basah di ingatan.

Kembara ini menyuburkan rindu yang bertapak dalam jiwa. 
Kembara ini memaknakan sebuah kehidupan seorang hamba. 

Dalam rindu ini aku merenung banyak takah-takah kehidupan. 
Dalam rindu ini aku bermuhasabah sibuk mencari bekalan. 

Kadang-kala dalam kesibukan kita berjalan, kita terlupa apa yang mahu kita catatkan. 
Kita melihat dunia ini jauh ke hadapan, tanpa sedar banyak yang telah kita tinggalkan. 

Kita mencari erti di dalam setiap langkah kaki, meng-ertikan abdi di hadapan Ilahi. 
Moga terungkap hakikat diri, mengapa aku didatangkan di dunia ini... 

seorang hamba,
abuikhwan
04 Mac 2013/21:30
Ruang tamu rumahku

Tuesday, 3 March 2015

Kenangan masih basah: Musim orang kahwin...


Banyak juga jemputan kenduri kahwin pada bulan Mac ini. Kelmarin adalah jemputan yang pertama, sehinggalah akhir bulan termasuk ‘waktu puncak’ iaitu pada cuti sekolah di pertengahan bulan nanti. Kebanyakan jemputan pada hari Sabtu dan Ahad melainkan ada satu pada hari Jumaat. Itupun kerana kenduri tersebut berdekatan dengan Kemaman, maka dibuat pada hari tersebut kerana negeri Terengganu cuti hujung minggunya pada hari Jumaat. 

Hmm, melihat pada tarikh kenduri, ada yang berlangsung pada hari yang sama. Begitu juga program-program saya di luar kawasan yang biasanya diadakan pada hujung minggu. Untuk itu, agak mustahil untuk saya memenuhi kesemua undangan melainkan perlu membuat pilihan. Tetapi jika ada yang tidak dapat memenuhi jemputan kenduri tak ‘sedap’ pula rasanya. Maklumlah semuanya kenalan belaka. Tengoklah bagaimana pilihannya nanti. 

Teringat pengalaman menemani YB Adun di tempat saya memenuhi undangan kenduri. Asalnya kami terlibat dalam program taklimat GST anjuran Pusat Khidmat Dun bersama Kastam Pahang pada sebelah pagi. Saya adalah salah seorang AJK pelaksana, manakala YB pula menjadi panelis bersama seorang lagi pegawai kastam yang dijemput. 

Usai program pada tengahari, saya dan 3 lagi rakan diminta untuk menemani YB makan kenduri. Ada 5 majlis kenduri kahwin yang perlu dipenuhi. Letih juga, lepas satu, satu. Itu tak apa lagi. Cerita sahabat saya yang menemani YB pada minggu sebelumnya, ada 13 majlis kenduri kahwin. Bayangkan 13 kenduri! Kata sahabat saya itu, rumah yang ke pertama , kedua dan ketiga masih boleh makan nasi yang dihidang. Masuk rumah yang ke- 4 sampai ke-9, cuma makan pencuci mulut sahaja. Manakala rumah yang ke-10 hingga 13 cuma larat minum air sahaja. Itulah yang termampu. 

Sambungnya lagi, jika masih ada rumah yang keseterusnya mungkin hanya pergi berjumpa tuan rumah. Sekadar tunjuk muka atau ambil syarat datang, kata orang. Habis, macamana nak makan sebab perut sudah sendat dan padat. 

Gelihati saya mendengarnya. 

Sedikit kenangan kenduri dulu-dulu 

 Foto hiasan (sumber)

Bercerita tentang kenduri kahwin, ia di antara perkara yang amat terkesan dalam hidup saya. Tentunya ketika saya masih kecil, yakni di waktu umur masih di zaman persekolahan. Saya melihat betapa meriahnya suasana kenduri-kendara pada masa itu. 

Boleh dikatakan seisi kampung turut menjayakannya. Semuanya ditanggung bersama tuan rumah dan orang-orang kampung. Ibarat kata, setiap penduduk kampung tidak mahu melepaskan peluang, sama-sama mahu mengambil bahagian menghulur tangan sedapat yang mampu. Yalah, esok-esok giliran mereka pula, maka perkara yang sama akan berulang. Begitulah resmi hidup di kampung, saling memberi dan saling menerima. 

Bak kata pepatah melayu berzaman, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.” Demikianlah gambaran betapa orang melayu dulu-dulu sebuah komuniti yang bersatu, saling bantu-membantu dan mempunyai hubungan sosial yang kuat dan erat. Ia memang satu realiti yang pernah wujud, tetapi semakin berkurangan hari ini. 

Lagi pun jika diperhatikan, ketika itu anak-anak muda kampung ramai. Benar, saya sendiri melihat rakan sebaya umur dengan saya di kampung dahulu hampir-hampir 30 orang juga. Ramai! Maka tidak hairan jika semua kerja-kerja dilakukan dengan bergotong-royong dan kerjasama antara orang tua dan orang muda. Kerja yang berat akan menjadi mudah dan ringan. Sekarang ini anak-anak muda ramai yang keluar merantau dan balik jarang-jarang sekali. Bukannya tidak ada tetapi agak sukar sedikit untuk mendapatkan tenaga muda. 

Sesuatu yang pasti, ketika itu tidak ada lagi khidmat katering yang menjadi sub kontraktor kepada kenduri kahwin seperti hari ini. Zaman sudah berubah, semuanya mahu senang dan mudah. Agar tidak pening kepala, guna sahaja perkhidmatan katering. Sediakan sahaja ongkosnya, maka tuan rumah dapat bersenang-senang bersandar di kerusi, atau berdiri di pintu pagar meraikan tetamu yang mahu pulang. (Ketika ini boleh dilihat tuan rumah memakai baju yang banyak kocek terutama baju melayu) 

Dahulu kemeriahan kenduri akan dirasai kira-kira seminggu sebelum berlangsungnya kenduri. Saya masih ingat, misalnya kenduri hendak diadakan pada hari Ahad depan, maka Ahad ini sudah bermula kerja-kerja yang besar. Orang-orang kampung akan bergotong royong membina bangsal makan, bangsal memasak dan menghidang. Memanglah, mustahil tuan rumah mahu melakukan bersendirian kerana kerja-kerja itu memerlukan gabungan tenaga ramai. 

Jika diingatkan dulu-dulu, hendak membuat bangsal kenduri kena tebang pokok buluh untuk dijadikan kerangka. Pokok buluh tidak susah kerana banyak kedapatan di belakang rumah penduduk. Pasti ada yang menawarkan pokok buluh di atas tanahnya untuk ditebang. Kemudian kena tebang pula 2 atau 3 batang pokok kelapa untuk diambil umbutnya. Saya sentiasa tidak melepaskan peluang melihat orang menebang pokok kelapa. Seronok sangat dapat melihatnya. Kadang-kadang sama naik menarik tali yang diikat pada batang kelapa. Tetapi biasanya saya duduk di hujung tali, takut tidak sempat lari (Padahal memang tidak kena kerana tali tersebut cukup panjang). 

Gedegumm! Seakan bergegar tanah yang dipijak saat batang kelapa yang panjang itu menyembah bumi. Setelah itu berebut-rebut pula mengambil buah kelapa muda untuk untuk dinikmati air dan isinya. Manakala batangnya dikatang pendek-pendek untuk dibuat tiang tempat duduk. Sekarang ini sudah tiada semua itu, sewa sahaja kanopi habis cerita. 

Demikianlah sedikit gambaran, pastinya sangat panjang jika mahu ditulis satu-persatu. Itu belum masuk cerita ‘malam besar’ dan pada siang hari kenduri. Sememangnya sangat meriah. Ahh, bagaikan masih terbayang-bayang di ruangan anak mata semua itu. Kalau ia dapat diulangi kembali... 

Seperti yang telah saya catatkan di atas, betapa orang melayu dulu-dulu, zaman ayah dan datuk kita adalah sebuah komuniti yang bersatu, saling bantu-membantu dan mempunyai hubungan sosial yang kuat dan erat. Itulah kehidupan orang kampung dulu-dulu. Unik dan berbaloi! 

Mood#Rindu zaman itu..

Monday, 2 March 2015

Hogoh Tok Gajah Hogoh malam ini...

(Sumber foto: FB Persatuan Bolasepak Negeri Pahang)

Malam ini, pertembungan pusingan kedua Piala FA membabitkan pasukan Pahang Darul Makmur menentang Johor DT di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pastinya pertemuan ini akan menjanjikan aksi pertarungan yang sengit dan mendebarkan daripada kedua-dua pasukan. 

Saya mendapat info bahawa tiada siaran secara langsung pada malam ini. Tentunya berita ini amat mengecewakan para peminat yang tidak dapat hadir ke stadium.

Apa pun, di harap kedua pasukan dapat mempamerkan permainan yang baik dan mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi. Bagi penonton kedua pasukan, elakkan sebarang provokasi melampau yang boleh mencetuskan insiden atau pergaduhan. Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Terimalah apa jua keputusan dengan hati yang lapang.

Kitakan satu Malaysia.

HOGOH TOK GAJAH HOGOH!