Sahabat Sejati

Friday 18 December 2015

Salam Jumaat: Saat itu pasti tiba

foto hiasan (sumber)

Hujan renyai-renyai menyimbah atap rumah. Bagaikan tidak terganggu anak telinga saya akan kebingitannya. Saya sukakan bunyi hujan menimpa atap. Berdetak-detak bagaikan melodi yang mendamaikan perasaan. Mungkin sesuatu yang pelik bagi sesetengah orang, atau mungkin sesuatu yang biasa sahaja. Tetapi itulah saya. 

Sesekali saya mengelamun di birai tingkap, melepaskan pandangan di kejauhan. Membiarkan hujan dari cucur atap memercik ke wajah, basah bersama titis-titis air mata yang tidak semena-mena bergenang perlahan. Ada sesuatu yang menggamit hati. Ingatan kembali dipugar pada perjalanan kehidupan silam. Membayangkan wajah pakcik dan makcik, atuk dan nenek, yang pernah saya kenal tatkala menjadi penghuni desa nan permai satu masa dahulu. Tidak ramai lagi yang masih ada. Seorang demi seorang berkelana 'pulang' menepati janji Pencipta, termasuk juga ayahanda dan bonda saya. Manakala yang masih tinggal sudah pun keuzuran menghitung usia.

Janji di azali. Tiada yang kekal abadi melainkan Dia. Daripada tanah berasal, kepada tanah jua dikembalikan. Saya memahami, kerana diri saya juga termasuk dalam hakikat ketentuan tersebut. Apabila ajal datang menjengah, maka akan 'pergilah' saya meninggalkan kesayangan di dunia ini. Tidaklah ia didahulukan maupun diakhirkan biarpun sedetik masa.    

Sesungguhnya, demikianlah sebuah kehidupan manusia di bawah kekuasaan-Nya. Waktu kecil yang tidak mengerti apa-apa, waktu muda yang penuh gembira, kemudian tibalah waktu tua yang sentiasa terbatas daya dan upaya. Ya, waktu tua yang telah menemui datuk dan nenek kita, akan menemui kita pula jika ajal tidak menjemput di usia muda. Sedarlah, pusingan umur di dunia ini amat singkat. Tiba masanya tandu kematian berkunjung di pintu rumah untuk menghantar ke gerbang yang menjanjikan kebahagian atau kesengsaraan. Demikianlah janji-Nya yang pasti. Allahu rabbi...  

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 
“Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas ke atas diri mereka; janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa-dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Zumar: 53)

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Sungguh kita tak dapat menidakkan Kullunafsin zaiqotul maut. Setiap yg bernyawa pasti akan merasai mati. Cuma macam pokok dan binatang tidaklah seperti kita yg berakal. Kematian mereka tak ada dakwa-dakwi macam kita ni. Sebab itulah moga bila kita dijemput kelak biarlah ketika bekalan sudah mencukupi dan 'harta' yg kita tinggal mampu mendoakan kita. Allah... takut juga kakak ni AI.

paridah said...

assalam...indahnya irama titisan hujan bak lirik lagu allaryaham dato' sudirman...hujan yg turun bagaikan mutiara...moga setiap mutiara yg Allah hamburkan dari langit mampu dikutip utk bekalan dunia n akhirat...insyaAllah.

paridah said...

typing error la pulak tula cpt sgt nk publish xsemak dulu...allahyarham

iryantyismail said...

assalamualaikum saudara....bila melihat titisan hujan kerap membuat kita mengelamun jauh..kadangkala ada penyesalan disitu

Post a Comment