Sahabat Sejati

Thursday, 31 December 2015

Diambang 01 Januari..ayuh sahabat!

'menanti detik 12 malam'

“Ala, tak payah susah-susahlah bang. Kuburkan masing-masing.” 

“Mak bapak kami pun tak kisah, yang abang sibuk-sibuk ni kenapa?” 

Berdesing anak telinga mendengar kata-kata provokatif ini. Terasa ringan mulut mahu menghamburkan jawapan berapi: 

“Memang kubur masing-masing. Tapi kena ingat kalau kamu mati, kamu tak gali kubur sendiri, kamu tak mandi sendiri, tak balut kain kapan sendiri, tak bergolek masuk dalam kubur sendiri. Semuanya orang lain yang buat, jadi masa hidup dengar-dengarlah nasihat orang.” 

Rasakan. Puas. 

Ya, jika saya menggunakan jawapan ‘anak muda’ juga untuk membalas, pasti saya akan menghambur jawapan dengan nada yang sama. Api lawannya api. Akhirnya saya akan merasa kagum dan puas kerana dapat ‘menutup’ mulut mereka. Mereka semua mungkin terdiam, atau menutup telinganya sambil beredar. Atau menanti saya mengangkat punggung dan beredar persis seorang pemenang. 

Namun, tatkala memikirkan dengan akal yang sedar bahawa jawapan tersebut tidak memberi laba sedikit pun kepada kerja-kerja dakwah, maka hasrat tersebut terkubur begitu sahaja. Sebagai balasan, ukiran senyuman dipaksa menghiasi bibir biarpun di dalam dada Tuhan sahaja yang tahu betapa pahitnya perisa senyuman tersebut. 

Demikianlah di antara pengalaman yang diperolehi dalam misi dakwah anak muda yang merupakan program rutin DPPIM. Ribuan risalah tentang Islam diedar untuk menjentik tangkai hati mereka. Objektifnya bertemu masyarakat terutama anak muda dengan membawa risalah Islam. Sasaran kepada program ini ialah tempat-tempat hiburan, konsert-konsert popular, lokasi yang menjalankan acara besar pada malam tahun baru, hari valentine, malam merdeka dan tempat lain yang difikirkan sesuai. 

Menyertai program dakwah ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Malah, telinga kena tahan menerima perlian, sindiran, sinisan yang menyakitkan hati. Kata-kata tersebut sudah menjadi makanan dalam misi dakwah yang disertai. Sudah ‘mangli’ di cuping telinga kata orang. 

Masih saya ingati, ada satu ketika sewaktu kami menghulurkan risalah dakwah seraya menyampaikan sedikit nasihat, lalu setelah mengucapkan terima kasih mereka berkata: “Bolehlah buat lapik alas duduk nanti…” Ada pula yang melaungkan takbir raya dan diiringi gelak ketawa beramai-ramai, entahlah seperti mahu menyindir lagaknya. Dalam hati, Allah jua yang mengetahui betapa malu dan aibnya kami ketika itu. 

Ada pula satu pasangan, si gadis duduk di atas riba si lelaki. Kata si gadis tersebut: “Terima kasih ajelah bang, tu emak saya ada di belakang.” Sambil menuding jari ke arah seorang wanita berusia di belakangnya. Wanita tersebut sambil marah-marah kepada kami, mengakui bahawa gadis muda itu adalah anaknya. Perlahan-lahan kami beredar. Entahlah samada dia berbohong atau tidak. Kami tiada kuasa bertanya atau menyiasat. 

Tetapi tidaklah semua begitu, ada juga yang sebaliknya. Menerima baik kunjungan kami dengan ramah dan mesra dan mendengar nasihat yang diberikan.  Kami amat menghargai mereka semua.


“Kami adalah pendakwah bukan penghukum, kami mahu menerang bukan menyerang”. Itulah motto yang menjadi pegangan dalam setiap misi dakwah menyantuni anak muda. Kami mahu menghulurkan tali, bukan cambuk api, mahu menjentik hati-hati mereka dengan kebaikan Islam. Memang, sebelum itu kami telah diberi taklimat agar membuka kopiah, bermanis muka, jangan mengelilingi mereka sehingga menyebabkan mereka berasa tidak selesa serta sampaikan nasihat dengan cara yang paling lembut. 

Dakwah tetap diteruskan walau apa jua keadaannya. Untuk merasa lemah dan kecewa tidak sekali-kali. Dakwah memang begitu jalannya. Tidak ada hamparan karpet merah dan pacakan bunga manggar di kiri dan kanan. Bahkan ia jalan yang sukar. Diejek, disindir, dijadikan bahan ketawa adalah perkara biasa seumpama makanan harian dalam mengenal erti dakwah. Lihatlah dalam lembaran sirah junjungan mulia, bagaimana pahit dan peritnya jalan itu. 

Tidak mengapa ia diremehkan hari ini. Tidak mengapa mereka menolak dengan sindiran dan wajah mencuka. Tidak mungkin dakwah yang kecil ini mampu mengubah dengan serta-merta. Percayalah, suatu hari nanti mereka akan mengerti jua. Kami harapkan demikian. 

“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (al-Ghasyiah: 21-22)

Ayuh sahabat, 
01 Januari sudah diambang,
Infaqkan masa walau seketika,
Turun ke jalanan santuni muda-mudi,
Dengan santun dan tertib pesona,
Biarlah lelah dan keringat diganjari pahala. 

4 comments:

paridah said...

ASSALAM...BUKAN SENANG BERDAKWAH KE JALAN KEBENARAN ISLAM KAN USTAZ...TERLALU BESAR CABARANNYA...WALAU DI MASAKINI MANUSIA LBH BIJAK MEMILIH N MENGADILI KEPUTUSAN...SAKIT HATI KITA DIBUATNYA BILA MRK MENOLAK PENDEKATAN KITA YG IKHLAS DEMI ALLAH ITU...TAK DAPAT PULA NAK BAYANGKAN KESUKARAN RASULLULLAH SAW MENYEBARKAN SYIAR ISLAM TIKA JAHILIAH KENTAL YG DIPENUHI AIR MATA, KESAKITAN DAN DARAH YG TUMPAH...SEBAK RASA HATI...BERSABARLAH USTAZ PASTI ALLAH PERMUDAHKAN URUSAN USTAZ SBG PENDAKWAH SYIAR-NYA.

aizamia3 said...

Moga urusan dipermudahkanNYA.
Moga akan ada hati yang cair dan menerima dengan hati yang terbuka dakwah yang disampaikan.

saniah ibrahim said...

Semoga urusan dakwah ustaz dipermudahkan ,juga dapat membuka pintu hati anak2 muda yang lalai dan leka apatah lagi diambang tahun baru ni banyak hiburan yg melekakan.

iryanty ahamad said...

assalamualaikum saudara...perkara yang menuju kebaikkan memang jarang diterima orang...

Post a Comment