Sahabat Sejati

Thursday, 15 October 2015

Bicara santai: Borak-borak petang tadi

Usai solat asar di surau tempat kerja tadi, saya berbual-bual sebentar dengan sahabat-sahabat sementara menanti waktu pulang. Seronok juga, bermacam-macam topik yang menjadi tajuk perbincangan. Lepas satu, satu, sehinggalah kepada topik bulan Muharram. 

Rupanya ada bangsa tertentu yang beranggapan Muharram ialah bulan sial. Saya pun baru tahu tadi setelah diceritakan dalam perbualan tadi. Akibat kesialan itu, maka tidak diadakan acara perkahwinan, membuat rumah dan sebagainya. Mereka percaya jika dilakukan juga akan mendatangkan sial dan malapetaka kepada mereka. Ada juga acara menghanyut sajian ke laut dan amalan ritual yang pelik-pelik, khusus untuk menghindari bala. Saya katakan kepada mereka bahawa dalam bulan Muharram ada Hari 'Asyura. Puasa pada hari itu mendapat keampunan dosa setahun sebelumnya. Dalam Riwayat Muslim, Nabi saw menyebut puasa paling afdhal selepas puasa fardu Ramadhan ialah puasa sunat bulan Muharram. 

Kalau bulan Safar memang kita sudah biasa dengar dituduh bulan sial atau bulan bala. Bukan setakat di kalangan umat Islam di Nusantara bahkan termasuk orang Arab. Ada pula yang tidak mahu membuat majlis kahwin pada bulan Safar. Mereka percaya jodoh tidak akan berkekalan jika ia dilangsungkan pada bulan itu. Kasihan. Mereka tidak tahu bahawa Nabi berkahwin dengan Sayyidatina Khadijah pada bulan Safar bahkan Nabi mengahwinkan anaknya Sayyidatina Fatimah juga pada bulan Safar. 

Ada pula amalan mandi Safar satu ketika dahulu. Seorang sahabat memberitahu, pernah melihatnya acara tersebut ketika zaman muda-muda dahulu sewaktu menetap di satu daerah di negeri Melaka. Menggeleng-geleng kepala saya mendengar ceritanya, bagaimana cara amalan mandi safar itu dilakukan. Maklumlah saya di antara generasi yang tidak sempat dengan semua itu. Maka kelam gambaran di minda saya memikirkan bagaimana keadaannya. Tetapi saya yakin semua kepercayaan karut-marut tersebut telah pun lenyap apabila para ugamawan bertungkus-lumus memahamkan masyarakat dengan ilmu agama. Alhamdulillah....

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (at-Taubah: 36)

2 comments:

saniah ibrahim said...

Kakak pernah dengar dari cerita2 mak kakak yang orang dulu ada mandi safar,tak mengadakan majlis perkahwinan bulan muharram...Alhamdulillah sekarang masyarakat sudah berilmu .

iryanty ahamad said...

asalamualaikum saudara....yan pernah sksikan ritual mandi laut dibulan safar dulu..masih ada agaknya yang amalkan pada zaman ni..

Post a Comment