foto hiasan (sumber)
Assalamualaikum warahmatullah.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan keizinan untuk bertemu di ruangan alam maya ini, setelah beberapa ketika menyepikan diri. Memang hasrat dihati ingin bertemu setiap hari, apakan daya ketentuan adalah milik mutlak-Nya. Kita hanyalah mampu mentadbir, tetapi ditangan-Nya kekuasaan mentaqdir. Akur dengan ketentuan itu, ada masa-masa saya terpaksa ‘berpuasa’ daripada mencoret sesuatu dek kerana aral yang menjadi penghalang.
Melihat pada tarikh entri terakhir ditulis, rupa-rupanya telah genap seminggu saya tidak mencoret apa-apa di pondok kecil abuikhwan ini, sekaligus memberi erti selama itulah saya tidak menjengah ke laman sesawang milik sahabat-sahabat. Maafkanlah kerana ia bukanlah disengajakan.
Sebenarnya dalam tempoh tersebut, laptop kesayangan yang banyak berjasa ini mengalami kerosakan. Hari-hari yang dilalui tanpa mengetik butang-butang hurufnya, biarpun cuma seminggu, agak meresahkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan ia seumpama kehilangan sebelah tangan. Kewajarannya ada, banyak tugasan yang dilakukan dengan bantuan laptop usang ini. Kerja-kerja berkaitan kebajikan dan khidmat masyarakat, kuliah ilmu, misi dakwah, termasuk juga sebagai alat menjalinkan ukhuwah fillah dengan sahabat-sahabat menerusi laman blog, FB dan sebagainya.
Teringat sindiran seorang pakcik pengusaha 'house boat' di Tasik Kenyir satu ketika dahulu: "Budak-budak zaman sekarang kalau tak ada telefon macam tak boleh hidup!"
Tersenyum kami semua mendengarnya. Apa tidaknya, keadaan kami membenarkan kata-kata pakcik tersebut. Masing-masing semacam kelam-kabut, resah dan gelisah lantaran tiada liputan telefon di situ. Itu baru tiga hari dua malam, bayangkan jika seminggu atau sebulan. Mau 'gila' jadinya. Demikianlah sekadar perbandingan.
Namun saya tetap bersyukur dengan lafaz alhamdulillah, mujurlah kerosakannya masih boleh dirawat. Dapatlah juga membereskan kerja-kerja yang telah tergendala. Tetapi entahlah sampai bila ia mampu bertahan, kerana menurut sahabat yang membaikinya, hard disc-nya’ juga telah menghampiri ambang sore.
Begitulah hakikat yang perlu difahami. Tiada yang kekal di dunia ini bagi yang bergelar makhluk. Tentunya ia lebih bererti buat diri kita. Laptop, atau apa sahaja tiada persoalan untuk dipertanggungjawabkan nanti. Rosak, usang dan dibuang, maka setakat itu sahaja. Manakala kita selaku khalifah di atas muka bumi ini yang telah berbai`ah di alam roh dahulu, akan dipersoalkan apa sahaja yang dilakukan di dunia ini. Perbuatan yang baik atau sebaliknya ada perhitungan dan pembalasan. Hati-hati jangan sampai kita terleka dalam kehidupan di dunia ini.