Sahabat Sejati

Tuesday, 8 September 2015

Semuanya ada perhitungan...


Di dalam kitab Sahih Muslim, diceritakan mengenai Rasulullah saw pada suatu hari berdiri di hadapan para sahabat, lalu menyampaikan satu peringatan. Di dalam peringatan tersebut Rasulullah saw membaca ayat 104 daripada surah al-Anbiya':

Allah SWT berfirman: "Sebagaimana Kami memulakan penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah janji yang pasti Kami tepati, sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya."

Surah al-Anbiya' yang dibacakan oleh Rasulullah saw kepada para sahabat itu mengandungi dua pengertian. Pertama, Allah SWT menyatakan bahawa menghidupkan semula manusia yang telah mati adalah mudah bagi-Nya
.
Sebagaimana manusia yang lahir daripada perut ibu dalam keadaan tanpa pakaian, maka demikianlah Allah SWT berjanji akan mengulangi penciptaannya terhadap manusia. Yakni dihidupkan atau dibangkitkan semula daripada kubur mereka dalam keadaan seperti kejadian awalnya, iaitu dalam keadaan telanjang bulat. Kemudian manusia akan dikerah oleh Allah SWT di mahsyar berjalan tanpa alas kaki, malah manusia seperti baru dilahirkan daripada perut ibu. Masing-masing belum ghurlan iaitu belum berkhatan lagi.

Ketika Rasulullah saw menceritakan perkara ini, Aisyah rha. bertanya: “Apakah orang pada masa itu tidak akan merasa malu auratnya kelihatan oleh orang lain?” Rasulullah saw menjawab: “Bahawa kerana dahsyatnya keadaan itu, tidak ada lagi orang yang ingat hendak melihat aurat orang lain, bahkan orang tidak ingat lagi bahawa dia telah telanjang.”

Manakala, pengertian kedua ialah Allah SWT berjanji untuk kembali menghidupkan manusia yang telah mati. Sesungguhnya janji Allah adalah pasti dan benar.

Ayat 104 surah al-Anbiya’ ini jika ditadabbur maknanya, maka mampu menimbulkan keinsafan kepada sesiapa yang mendengarnya. Ia adalah satu persoalan aqidah yang dapat membentuk peribadi muslim yang bertaqwa.

Sekiranya di dalam hati dan fikiran setiap manusia bahawa mereka akan dibangkitkan pada satu hari nanti, maka mereka akan berhati-hati dalam setiap apa yang dilakukan. Sebaliknya, jika di dalam hati mereka tidak tersemat keyakinan ini iaitu manusia tidak akan dibangkitkan semula, maka tidak ada apa-apa yang akan menghalang mereka daripada melakukan dosa dan maksiat.

Tidak kira siapa, khususnya mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh, jika tidak memiliki keyakinan ini, mereka akan bebas berbuat apa sahaja. Tanpa peduli kezaliman dan kemudharatan ke atas orang lain. Tetapi andainya mereka penuh keyakinan bahawa setiap manusia tidak akan dapat lari dari dibangkitkan kembali di akhirat nanti, maka hilanglah keinginan nafsu untuk melakukannya. Sesiapa pun tatkala sedar ada perhitungan dan mereka akan dipertanggungjawab kelak, adalah mustahil untuk sengaja melakukan kejahatan walaupun sebesar debu. Begitulah keadilan Allah SWT. Setiap yang lemah dan teraniaya di dunia pasti akan mendapat pembelaan di akhirat.

Demikianlah, saya seringkali mengingatkan diri sendiri. Setiap kali mahu menitipkan coretan bahasa, maka ia pasti akan menjadi satu di antara dua. Samada menjadi pahala atau dosa, memberi kebaikan atau keburukan. Mana mungkin ia akan menjadi debu yang hilang begitu sahaja ditiupkan angin lalu.

Mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita semua daripada menulis perkara-perkara adu domba, fitnah dan mehnah yang boleh memutikkan bibit-bibit permusuhan sesama kita. 

Allahu al-Musta`an

4 comments:

paridah said...

assalam...harus sedar diri bahawa kita adalah hamba-Nya dan Allah mampu melakukan ketentuan apa saja terhadap hamba-hamba ciptaan-Nya..semoga kita bukan drpd golongan yg rugi di dunia n akhirat..

beat said...

coretan yang sgt menenangkan...maksud tadabbur?

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan... Aamiin Allahuma Aamiiin. Hanya sedikit manusia yang mahu mengambil pengajaran dari hadis dan ayat yang berkaitan akhirat. Mudahan kita di kalangan orang yang sedikit itu. Membaca posting Abu Ikhwan ini menjadikan diri lebih berusaha untuk bekalan akhirat nanti. Semoga di rahmati Allah SWT. Salam takzim dari Sarikei, Sarawak.

Aisya Ahamad said...

Perkongsian yg sgt baik. Terima kasih kerana mengingatkan.

Post a Comment