Sahabat Sejati

Friday 4 September 2015

Roti pisang di BTR Jengka

(Sambungan daripada artikel: Pulau Tawar sentiasa menggamit hati)


Saya meninggalkan Pulau Tawar untuk pulang ke Kuantan. Seperti biasa, jalan raya yang membentangi Kota Gelanggi menjadi pilihan. Seterusnya memasuki gugusan felda Jengka bermula daripada felda Jengka 8. Ia adalah laluan yang paling dekat berbanding yang lain, setakat yang saya tahu. Menyusuri aspal jalan, anak mata saya disajikan dengan panorama menakjubkan di sebelah kiri. Jajaran bukit batu kapur tersergam yang dikenali dengan nama Gua Kota Gelanggi. Ia mempunyai berbagai-bagai cerita misteri dan ganjil yang sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai.

Kota Gelanggi merupakan kompleks yang mengandungi lebih 100 buah gua dan setiap gua disebut “kota” kerana bentuknya bagaikan sebuah kota. Cuma kira-kira 30 buah gua saja yang dibuka kepada orang ramai kerana faktor keselamatan antaranya Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Bukit, Kota Rehut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Lena. Semua gua-gua tersebut dikenali dengan nama Kota Gelanggi. Gua-gua ini dipanggil kota yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman dahulu.

Apabila sampai di gua ini, anda akan bertemu dengan gua yang berbentuk pintu gerbang, di dalamnya terdapat alur air yang mengalir air jernih lagi sejuk. Gua Kota Gelanggi juga dikatakan pernah dijadikan tempat pahlawan Mat Kilau dan bapanya Tok Gajah berlindung dan bertapa untuk meningkatkan ilmu kebatinannya.

Dek kerana keunikan dan keindahannya, telah menarik minat seorang produser filem iaitu M. Borhan yang juga pemilik Syarikat Sabah Filem memilih Gua Kota Gelanggi sebagai salah satu lokasi penggambaran filem “Sumpah Semerah Padi.” Cubalah cari filem tersebut di youtube.

Melepasi Kota Gelanggi, saya membelok ke kanan memasuki jalan raya felda Jengka 8. Pemanduan bergerak lancar kerana tidak banyak kenderaan yang membelah aspal tar yang menghubung felda-felda di dalam gugusan felda Jengka ini. Cuma yang sedikit mengganggu benak ialah jalan yang agak sempit tanpa ada sedikit lebihan laluan sikal di kiri dan kanan di sesetengah tempat. Cuak juga tatkala sesekali berselisih dengan lori-lori yang membawa muatan buah kelapa sawit.

Bilakah agaknya jalan utama Jengka ini mahu dilebarkan. Sejak pertama kali melaluinya lima tahun dulu rasanya macam inilah juga keadaannya. Kalau ada pun cuma tampalan baru di tempat-tempat yang mengalami kerosakan yang agak teruk. Pemimpin telah beberapa kali bertukar, tetapi jalan ini seperti apa yang terlihat sekarang. Tahun-tahun akan datang saya berharap ada perubahan, insya-Allah mudah-mudahan.

Bandar Tuan Abdul Razak Jengka


Saya memusingkan stering kereta untuk masuk ke bandar Tun Razak Jengka setiba dipersimpangannya. Dahulunya ia dikenali dengan nama bandar Pusat Jengka. Sekarang ini ia telah ditukar kepada bandar Tun Abdul Razak Jengka. Satu penghormatan kepada warga Felda Segi Tiga Jengka dengan pengistiharan ini, bersempena Hari Peneroka FELDA 2011 pada 7 Julai 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dikelilingi persekitarannya oleh 25 gugusan felda Jengka serta 6 lagi felda yang berhampiran, bandar Tun Abdul Razak ini ditadbir oleh Majlis Daerah Maran. 

Kali pertama saya ke sini ialah pada tahun 1994. Singgah sebentar dalam perjalanan pulang daripada ekspedisi mendaki Gunung Tahan. Memori saya agak kelam untuk mengingati dimanakah lokasi persinggahan bas yang membawa kami. Pada masa itu ia tidaklah semaju dan membangun seperti hari ini dengan berbagai-bagai prasarana.

Satu lagi Bandar Tun Abdul Razak terletak di Keratong. Saya tidak pernah lagi masuk ke sana. Sekadar melalui jalan luar apabila ke Segamat. Insya-Allah, ada masa dan upaya saya akan singgah pula di sana untuk menambah cerita kehidupan.

Saya mempunyai rancangan yang tersendiri tatkala singgah di bandar Tun Razak Jengka ini. Mahu menunaikan hajat dihati yang sekian lama terpendam. Bukanlah hasrat yang terlalu besar, Cuma hasrat seorang rakyat marhaein iaitu mahu mencuba roti pisang yang katanya cukup dikenali di sini. Sebelum ini saya telah mencari di bandar Kuantan, tetapi tidak ketemu. Asalnya saya mengetahui wujudnya juadah yang bernama roti pisang di Bandar Tun Abdul Razak ini, setelah diberitahu oleh salah seorang pelajar yang menjalani praktikal di bawah seliaan saya awal tahun yang lalu. Saya tidak pasti di mana lokasi restoran tersebut, malahan nama restoran itu pun saya tidak tahu. Apa yang menjadi tanda, ia terletak bersebelahan Agro Bank. Maknanya saya perlu mencari Agro Bank terlebih dahulu.


Dalam perjalanan mencari Agro Bank, ternampak sebuah stadium yang masih dalam pembinaan. Letaknya betul-betul berhadapan dengan arked anjung selera yang sering menjadi kunjungan para pelajar UITM untuk mengisi perut. Saya berhenti sebentar untuk mengambil beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. Sekurang-kurangnya 30 atau 40 tahun akan datang tentu ia akan menjadi gambar klasik yang bemakna untuk ditatapi.

Inilah stadium bolasepak felda atau nama rasminya Stadium Tun Abdul Razak yang gah itu. Stadium ini mula dibina pada 1 April 2013 yang menelan belanja sebanyak RM 87 juta. Bagi menjayakan projek ini, sebanyak 2 kontraktor bertauliah telah dilantik iaitu Konsortium Warisan Jengka Holdings (M) Sdn Bhd dan Johawaki Sdn Bhd. Kapasiti muatan penonton mampu menampung sehingga 20,000 orang. Rumput yang digunakan ialah rumput sintetik yang dikatakan menjimatkan kos penyelenggaraan. Katanya juga ia adalah rumput tiruan yang terbaik di Asia. Saya anggarkan tahun hadapan ia siap sepenuhnya dan boleh digunakan untuk perlawanan bolasepak.


Setelah berpusing-pusing mencari arah, akhirnya anak mata tertampang pada papan tanda pada sebuah bangunan yang tertera “Agro Bank”. Menurut panduan sahabat saya itu, restoran tersebut di sebelah bank tersebut, jadi secara automatik saya telah pun berjaya menemui restoran yang dimaksudkan. Alhamdulillah jumpa juga, ia terletak di lot sebelah tepi bangunan. Berhadapan bangunan ini juga adalah sebatang jalan yang menjadi tapak pasar malam. Menurut salah seorang peniaga pasar malam yang saya temui (selepas makan), katanya pasar malam tersebut beroperasi pada setiap hari bermula jam 4 petang. Seperti yang tertulis pada papan tanda, restoran ini bernama Restoren Nadi Kota. Menunya, selain masakan panas ada juga jenis-jenis roti yang pelik-pelik namanya.


Melihat pada papan tanda menu yang tergantung pada dinding, membuatkan saya tersenyum sendirian. Apa tidaknya, pelik-pelik pula nama roti yang tertera. Ada roti pisang syahdu, roti jantan ganazz, roti boom bergetah, roti sempoi-sempoi aje dan bermacam-macam lagi. Tak pernah lagi saya mendengarnya. Kreatif!

Selain daripada menu roti, terdapat juga masakan panas yang disediakan. Saya sekadar memesan sekeping roti pisang yang menjadi sebab saya singgah ke sini. Itupun untuk merasa dahulu, jika kena dengan selera, maka bolehlah datang lagi. Roti pisang ini adalah roti canai yang dibungkuskan di dalamnya dengan hirisan pisang, sebelum digoreng di atas kuali. Konsepnya sama seperti roti telur. Ternyata memang enak rasanya, diganding pula dengan sambal tumis bilis sebagai pencicah. Keenakannya, tidak tahu bagaimana mahu saya gambarkan. Ianya subjektif! Kena cuba sendiri baru tahu. Hanya yang boleh saya katakan, ia memang kena dengan selera saya. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan mencuba pula roti yang lain, yang mempunyai nama pelik-pelik itu. 


Sebelum pulang, saya berjalan-jalan sebentar di sekitar bandar ini. Membeli sedikit juadah yang dijual di pasar malam untuk dibawa pulang. Kenderaan mula bergerak meninggalkan Bandar Tun Abdul Razak di saat azan maghrib sayup-sayup berkumandang. Insya-Allah, ada masa dan upaya saya akan singgah ke sini lagi.

9 comments:

iryantyismail said...

Asalamualaikum saudara...Salam jumaat...biasanya nama makanan pelik2 menjadi daya tarikan pengunjung .

Unknown said...

Baca entri ni rasa mcm dibawa bersiar2 je. Thnk u.
Tapi sy tak minat sgt roti pisang ni. Hehe

paridah said...

assalam kak yg selalu ke bandar jengka ni pun xtau ada kedai yg menjual roti yg pelik2 di situ tq infonya...nanti nk cari juga.jiran2 sekampung kak ada juga yg miliki premis perniagaan yg dikenali di sini .bandar jengka ni pembangunannya ketara tapi jalan2 perhubungan amat sempit n seringkali menyebabkan kemalangan yg mengakibatkan kematian..kalau musim cuti raya amatlah sesaknya jalan dgn kenderaan perantau yg pulang..jem..

saniahibrahim said...

Bnyak maklumat kakak tahu dari n3 ni...ialah mna tau kakak ke sana faham lh sikit nnti.
Roti canai pisang ,sedapnya bila cicah sambal .

beat said...

PERGHHH SEMPOI NI...

abuikhwan said...

salam yan,
Betul tu, mungkin nak menarik pelanggan tu yang bubuh nama pelik-pelik..sampaikan saya pun tertarik..

abuikhwan said...

Salam aisya,
Terima kasih atas kunjungan..walaupun tak ke jengka, tapi bila baca n3 ni dah rasa macam ke jengka..ok la tu...hehe

abuikhwan said...

Salam kak paridah,
Nampaknya akak kena cuba roti pisang ni lagipun BTR dekat je dekat tempat akak kan...satu lagi memang jalan dlm gugusan jengka ni sempit sikit..minta2lah ada perubahan nanti..

abuikhwan said...

salam kak saniah,
InsyaAllah nanti sampailah akak ke BTR ni...pastu boleh lah cuba roti pisang di sini pulak...

Post a Comment